Jumaat, 24 Februari 2017

LINA HASILKAN LEBIH 200 SKRIP DRAMA RADIO

Tags



LINA HASILKAN LEBIH 200 SKRIP DRAMA RADIO

SEJAK menceburkan diri dalam dunia penulisan, Lina Mohamad Lin sudah menghasilkan lebih 200 skrip drama radio.

“Dalam bidang penulisan boleh dikatakan kakak mula menulis sejak di bangku sekolah menengah. Mula-mula menulis sajak. Kemudian mula menulis skrip drama radio sejak 1983 hingga sekarang.. Sehingga kini kakak sudah menulis lebih 200 naskhah skrip drama radio/ drama kanak-kanak dan Bualan Hujung Minggu terbitan RTM Sabah, Radio Malaysia Tawau, RTM W.P Labuan dan RTM Angkasapuri
Skrip drama radio ‘Tragedi Perigi Tua’ dan `Koide San’ dimuatkan dalam Antologi Pahlawan Lembah Tempasuk cetakan pertama 1998 dan cetakan kedua 2001, yang diselenggarakan oleh Allahyarham R Hamzah Dua, Terbitan DBP Kuala Lumpur.
Kakak juga menjadi antara penulis dan editor Buku Panduan:Pusat-pusat Sejadi di Sabah (Nature Centres Directory in Sabah) Edisi 2003 dan Edisi 2005 terbitan Unit Sains dan Teknologi, Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA).” katanya kepada Utusan Borneo.
Sungguhpun tidak banyak menulis puisi, tetapi salah satu puisinya berjudul Eyang terpilih memenangi Hadiah Sastera Sabah pada tahun 2012/2013.
“Ia satu kenangan  manis yang tidak dapat dilupakan,” katanya.Puisi-puisinya juga  pernah tersiar ialah puisi Kumohon dan Tandou: Selagi ada bulan dan Matahari dimuatkan dalam majalah wadah 2012 dan Wadah 2013 terbitan DBP Cawangan Sabah. Puisi Tandou: Selagi Ada Bulan dan Mata Hari dan Tandou: Di Sini Setia Kami Teruji’ dimuatkan dalam Antologo Cerpen dan Puisi Peristiwa Berdarah Lahad Datu & Semporna “Tandou oh Tandou’ selenggaraan Talib Samat PhD dan Ghazali Din MA tahun 2013.
Selain itu,30 puisinya  dimuatkan dalam antologi bersama Kuntum Kasih bersama empat penyair Sabah iaitu Kathirina Tati, Sabahuddin Seni dan Lya Zam  selenggaraan Kathirina Tati Sitaim terbitan Metro Media Publication & Services Jun 2013.

Lina Mohd Lin  atau nama penanya Siti Noorsabah dan Rafflesia Darlina, dilahirkan di Jesselton (kini Kota Kinabalu) Sabah pada 28 September 1957.  Anak sulung daripada sepuluh adik beradik ini  menulis skrip drama radio terbitan RTM Sabah, RTM Angkasapuri dan RTM W.P. Labuan sejak tahun 1983.
Di samping menulis puisi, beliau menulis dan menerbitkan sendiri buku Biodata Artis-Artis Senior Sabah (Era 1950-1980). Pada masa ini, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kanan di Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan bergiat aktif dalam Kumpulan Protem Seniman Senior Sabah (Era 1950-1980). Puan Lina mendirikan rumah tangga dengan penyiar RTM , Abdul Rahim Rashid  pada 25 Disember 1982 dan dikurniakan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2012/2013 bagi genre puisi. Bagi mengenang jasa baktinya, beliau dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) Sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah.
Ditanya mengenai apa perancangan selanjutnya, beliau berkata kini sedang berusaha untuk mengumpulkan skrip-skrip drama radio untuk dibukukan.