Thursday, February 23, 2017

NEK UDA JENA DAN KULINTANGANNYA



NEK UDA JENA DAN KULINTANGANNYA

Mata saya seperti berpasir ketika melihat Nek Uda Jena memainkan kulintangan, mencuba menyesuaikan duduk letaknya supaya iramanya tidak sumbang. Nek Uda Jena sudah 78 tahun, salah seorang wanita dari suku Melayu Timur yang mahir bermain Kulintangan.Kulintangan itu sudah berusia lebih 200 tahun dan satu-satunya set Kulintangan yang terdapat di Kuala Patah Parang.

Kuala Patah Parang, adalah salah sebuah kampung orang Melayu Timur , yang terletak tidak jauh dari Reteh.  Jika kita ingin ke sana, kita perlu menaiki perahu atau bot menyusuri sungai  kira-kira satu setengah jam perjalanan  dari Tembilahan, ibu kota Kabupaten Indragiri Hilir, Riau.

Saya melihat Imam Lee, berjalan di atas jambatan kecil menyambut kedatangan kami. Setelah sampai ke rumahnya dan menyatakan tujuan kedatangan kami, beliau memanggil Pak Alang Nur, seorang tua yang pandai berkisah dan masih tahu susur galur kedatangan orang Melayu Timur di Indragiri Hilir.

Menurut Pak Alang Nur, asal usul mereka datang dari negeri Timur. Beliau menceritakan menbenai Tok Sahabudin yang pulang kampung ke Negeri Timur tetapi tidak pulang-pulang lagi ke Reteh.

Di mana negeri Timur itu? Mereka tidak begitu pasti. Mereka mengeluarkan senjata-senjata pusaka nenek moyang. Antaranya kampilan, sejenis senjata khas orang Iranun, sundang dan beberapa bilah keris yang terbuat dari besi hitam. Mereka memperdengarkan kulintangan yang kelihatan sudah begitu purba. Kulintangan hanya dimainkan pada majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan. Apa yang membezakan Kulintangan Suku Melayu Timur dengan suku lain di Sumatera ialah jumlah kulintangan mereka tujuh biji, dua gendang, dua gong. Formasi kulintangan seperti itu, dan pelbagai variasi iramanya tidak ada dalam suku lain di Inderagiri.

Nek Uda Jena masih tahu memainkan beberapa jenis irama kulintangan itu. Kemudian, mereka mengeluarkan pula pamanai-sejenis bendera kecil yang dipacakkan di rumah pengantin perempuan dan samberlayang, bendera yang dipasang di rumah pengantin lelaki.

Sejarah mencatatkan bahawa orang Melayu Timur adalah keturunan orang-orang Iranun Tempasuk yang datang dalam angkatan perang 30 kapal penjajab untuk membantu Sultan Mahmud III untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang. Pada bulan Mei 1787, mereka berjaya mengalahkan Belanda sehingga tidak ada seorang pun,- Tuhfat Al Nafis mengatakan tidak ada seekorpun-yang tinggal di Tanjung Pinang. Tidak lama selepas itu, bimbang serangan balas Belanda, Sultan Mahmud III memindahkan pusat kerajaannya di Lingga.
Sebahagian dari angkatan Iranun itu pulang ke Tempasuk manakala sebahagian lagi tinggal di Riau dengan perkenan dan izin daripada Sultan. Mereka kemudian disusuli oleh Tok Lukus dan Tok Akus. Tok Lukus mengahwini Raja Maimunah, Puteri Sultan Yahya, Sultan Siak, yang kemudian melahirkan Panglima Besar Reteh Tengku Sulung. Tengku Sulung berperang lagi dengan Belanda di Reteh pada 1858.

Selain itu, perang juga terjadi Pulau Bakung, Enok dan beberapa kawasan sekitarnya. Dari Reteh itu, mereka migrasi ke beberapa tempat seperti Kuala Tungkal, Tanjung Jabung, di Jambi dan beberapa tempat lain seperti di Sungsung, Durai, Pulau Ukam dan sebagainya.
Kemudian mereka berasimilasi dengan masyarakat tempatan di Reteh dan sekitarnya. Dari keturunan mereka inilah lahir suku yang sekarang ini lebih dikenali sebagai orang Melayu Timur.  

Terdapat pelbagai bukti bertulis seperti buku sejarah dan sastera lisan mengenai asal muasal keturunan Melayu Timur ini. Perwatakan atau karakter mereka yang pemberani, temperamen, tetapi tegas dan berwibawa menjadikan mereka golongan yang disegani dan dihormati. Pelbagai cerita dan mitos berkaitan kekuatan pahlawan-pahlawan dan pejuang Melayu Timur.

Banyak lagi bukti-bukti yang meyakinkan bahawa mereka adalah keturunan Iranun. Beberapa kata seperti `degan’ yang  bererti banjir, `tutung’ yang bererti hangus, `busau’ yang bereri pelahap, `pingkak yang bererti pincang, tonong yang dikaitkan dengan kuasa ghaib, dan banyak lagi kosa kata dalam bahasa orang Melayu Timur itu tidak dapat disangkal lagi bahawa mereka keturunan Iranun dari Tempasuk dan negeri Iranun yang lain pada abad ke-17.

Inilah satu-satunya kulintang yang terdapat di kampung Kuala Patah Parang. Di tempat lain, setakat ini ada empat lagi yang dapat dikesan. Kita boleh mengandaikan bahawa jika sebuah perahu membawa satu set kulintangan, bermakna terdapat 25 lagi set kulintangan Iranun yang terdapat di Riau jika berdasarkan jumlah 30 kapal penjajab yang disebut padiwakan yang datang ke Riau pada 1787. Namun, mungkin jumlahnya lebih banyak lagi jika berdasarkan riwayat bahawa hubungan antara dunia Iranun dengan alam Melayu sudah lama berlaku jauh  sebelum kedatangan penjajah ke Nusantara.

Saya melihat Nek Uda Jena, sudah tua usianya. Seorang lagi, nenek, kalau tak silap namanya Minah sudah berusia kira-kira 90 tahun. Pak Alang Nur, yang sudah berusia 75, Alhamdulillah masih sihat dan dapat bercerita mengenai sejarah silsilah Melayu Timur.

Nek Uda Jena terus memainkan kulintangan itu. Iramanya bergetar seperti bercerita hikayat masa lalu yang mengalir bersama pasang surut air di Kuala Patah Parang. Kulintangan itu boleh dikatakan sudah agak `antik’. Pemain-pemainnya pun terdiri dari orang-orang tua, berusia kira-kira 60-an dan 70-an. Jika kulintangan itu hilang, dan pemain-pemainnya sudah tiada, akan terdengar lagikah irama budaya Melayu Timur itu yang mempunyai peranan penting dalam perlawanan melawan kolonial sekitar abad ke-17 dan 18. Apakah mereka juga akan terus terpinggir di pinggir sungai  dan kuala kemudian luput dari catatan sejarah?

Saya tidak punya jawapan. Saya hanya teringat nek uda Jena bersama kulintangannya.

No comments: