Jumaat, 24 Februari 2017

Pasang surut air di Kuala Patah Parang, Inderagiri Hilir

Tags




Pasang surut air di Kuala Patah Parang, Inderagiri Hilir
“Kalau nak tahu kuala lumpur yang sebenarnya, di sinilah tempatnya. Di sini kuala lumpur memang berlumpur,” kata Mosthamir Talib ketika kami meredah sungai ke Kuala Patah Parang, Indragiri Hilir. Di sungai itu, ketibaan dan keberangkatan ditentukan sebahagiannya oleh pasang surut air. Perjalanan biasanya dilakukan pada waktu air pasang. Jika air surut kemungkinan besar perahu tersadai kerana tidak dapat melepasi kuala yang berlumpur.
Saudara Mosthamir,seniman wartawan pemenang anugerah Adinegoro itu, bersama saudara Kazzaini Ks, Ketua Yayasan Sagang  menemani kami dari Pekanbaru Riau ke Tembilahan, Indragiri Hilir seterusnya ke Pulau Kijang dan Kuala Patah Parang untuk menelusuri jejak Iranun, di sana dikenali Melayu Timur, yang datang ke Reteh selepas mereka membantu Sultan Mahmud III mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787.
Sebahagian mereka tidak pulang, sebaliknya menurut Tuhfat Al Nafis, kitab karangan Raja Ali Haji, mereka mengaku taat setia kepada sultan.Apabila sultan memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga, mereka turut serta ke sana dan seterusnya mendapat perkenan untuk mendiami Reteh. Menurut sumber Belanda dan Inggeris, orang Iranun ini sempat bermukim di Sungai Ayer Jawar di Lagoi Pulau Bintan dan bertanam padi di sana hingga 1818, apabila mereka diserang semula oleh Belanda. Ada riwayat yang menyatakan bahawa mereka akhirnya menyingkir ke Reteh.
Inilah kisah sejarah yang menggamit kami ke Indragiri Hilir. Dari Kota Kinabalu, kami terbang ke Kuala Lumpur pada awal pagi 12 November, singgah sebentar di sana sebelum terbang lagi ke Pekanbaru Riau,
Rombongan Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) diketuai pengerusinya Orang KayaKaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Abdul Madin Sumalah dan saya sendiri. Setibanya di Pekanbaru, kami dijamu makan tengahari oleh Bupati Inhil HM Wardan. Beliau mengaku masih ada keturunan Melayu Timur dari sebelah neneknya.
Dari Pekanbaru, kami meneruskan lagi perjalanan kira-kira lapan jam ke Tembilahan dengan ditemani Kepala Dinas Pemuda Olahraga  Budaya dan Pariwisata, Pak Junaidi.  Malam sudah hampir larut ketika kami tiba di Tembilahan,dan  bermalam di rumah  Ketua Lembaga Adat Melayu Inderagiri Hilir, Datuk Haji Syamsuri Latif di Wisma Pancang Jermal, Parit 10, Tembilahan.  Keesokan harinya, kami ke Pulau Kijang dan Kuala Patah Parang, berkunjung ke rumah perkampungan Melayu Timur, keturunan Iranun di sana.Dari Tembilan mengambil masa kira-kura dua jam untuk sampai ke Kuala Patah Parang, Kecamatan Sungai Batang.
Perjalanan menyusuri sungai itu sangat menarik. Bot yang kami naiki meluncur laju membelah dada sungai yang terkenal dalam sejarah penentangan melawan Belanda pada abad ke-18 dan 19.Kehadiran orang Iranun, keturunan angkatan Raja Tempasuk, Sultan Sa Tebuk seperti yang disebut dalam sejarah itu membuktikan bahawa satu masa dahulu hubungan persaudaraan antara kerajaan dan rakyat di Nusantara amat kukuh dan akrab.
Di Pulau Kijang, kami singgah di rumah Mirzami Hamzah, mantan kepala desa dan sempat bersilaturrahmi dengan masyarakat Melayu Timur disana. Ada beberapa hal menarik yang sempat dirakamkan. Ada diantaranya membawa kampilan.Kampilan adalah senjata Iranun yang panjangnya  antara 60 cm sampai 80 cm. Bahagian atas hujungnya sedikit bercabang , hulunya  berukir kepala naga dengan umbai-umbai seperti rambut atau bulu binatang.Kampilan, senjata pusaka yang sekian lama tersimpan dalam lipatan sejarah dan hampir-hampir dihanyutkan oleh arus perubahan sekiranya tidak ada lagi yang peduli mengenainya
Kami meninggalkan pengkalan ketika air mulai pasang. Kami terpaksa menyingsingkan seluar supaya tidak basah. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Kuala Patah Parang, menyusuri laluan sungai yang dipenuhi pokok pedada.
Kuala Patah Parang, menurutnya cerita, mendapat namanya selepas perang Reteh tahun 1858. Panglima Besar Reteh, Tengku Sulung anak kepada Tok Lukus atau Datu Lukus dengan isterinya Raja Maimunah, Puteri Sultan Yahya Siak. Beliau mengetuai penentangan terhadap Belanda. Selepas kalah perang, mereka berundur ke Kampung yang kini dikenali Kuala Patah Parang.
Rumah yang kami tuju ialah rumah Che Li, imam surau Kuala Patah Parang. Nama sebenarnya Muhammad Ali Sapar. Di rumahnya kami melihat alat muzik kulintangan, yang sudah berusia ratusan tahun, dan satu-satunya yang terdapat di kampung itu. Kerana sudah lama, ada kulintang yang sudah berlubang. Gong pula sudah hilang pemukulnya. Yang ada ialah gendang. Kebanyakan pemainnya terdiri kaum wanita, yang sudah berusia 70-an. Kaum Lelaki sudah tidak ada yang mengetahui cara bermain kulintangan.
Meski begitu, Nek Ude Majene, 78, yang memalu kulintang itu  tahu bahawa bunyi irama kulintangan itu sudah sumbang. Tetapi ia tetap meneruskannya. Siti Aminah binti Hamid, 70-an - memainkan gendang, Semah binti Ketik ,90-an, juga memainkan gendang manakala  Cik Li memalu gong. Abdul Madin juga memalu gendang. Di rumah yang sederhana itu, orang-orang tua, Pak Alang Nur atau Nurdin Syahjohan (75) masih bangga bercerita mengenai sejarah nenek moyang mereka. Beliau juga mengingat dahulu mengadakan persandingan, di atas kapal padiwakan. Di hadapan puluhan orang yang berhimpun di rumah berdinding papan itu, sejarah dituturkan semula tetapi cerita perjuangan itu hampir terhapus dari ingatan generasi muda.
Walau demikian, Nek Ude Majene dan wanita-wanita yang lain masih ingat beberapa irama khas muzik tradisional itu. Antaranya serama, andu-andu, kudidi, gubang-gubang, gubang kayu dan dan sebagainya. Namun kini, titikan kulintangan itu makin jarang diperdengarkan. Di kampung itupun, hanya tinggal itulah satu-satunya.
Sayang sekali tidak ramai lagi yang mampu memainkan kulintangan itu. Boleh dikatakan kesenian itu hampir pupus, hampir dihanyutkan arus sungai sejarah dan bakal tenggelam jika tidak ada regenerasi. Banyak usaha perlu dilakukan untuk menyelamatkannya. Sebenarnya masih banyak kisah yang belum terungkap mengenai perjuangan nenek moyang `apu-apu’ kita , yang konsisten dan tanpa kompromi menentang Belanda.  Tapi air di kuala semakin surut. Kami harus segera pulang sebelum tersadai di tengah lumpur kerana tempat itu memang terkenal dengan kuala lumpur.