Thursday, February 23, 2017

POHON BERTANYA KEPADA BADAI



POHON BERTANYA KEPADA BADAI

Pohon-pohon bercerita dengan badai. Beburung telah lama lari, dan para pemburu pun telah tidak kisah lagi tentang damak dan peluru. Menyayangimu tidak pernah menimbulkan kesukaran, malah aku sentiasa berusaha mengikis kesombonganku,” demikian satu posting yang dibuat oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin, seorang penulis-penyair-cerpenis-seorang peneliti puisi rakyat dalam ruang facebook pada 23 Oktober lalu.
Beliau bercerita dengan badai mengenai beburung yang sudah lari manakala pemburu tidak lagi peduli mengenai damar dan peluru. Bahawa menyayangimu, katanya tidak pernah menimbulkan kesukaran sebaliknya `aku’ yang sentiasa berusaha mengikis kesombongannya.
Tanpa disangka, posting beliau menerima tanggapan daripada seorang tokoh yang berada di luar dunia sastera. Seorang tokoh yang amat dihormati dan menduduki hirarki penting dalam negara, yang biasanya selalu berhubungan dengan parlimen, politik kuasa dan sebagainya.Tidak disangka beliau juga meminati sastera, tidak kira sastera dunia atau sastera rakyat.
Respon yang beliau berikan itu agak menarik. Dan akhirnya menjadi satu sesi tanya jawab yang banyak menggunakan bahasa kiasan tetapi sangat menarik diikuti.
S:Pohon bertanya pada badai. "Selain dari membawa bencana, apa buah tangan bawaan mu untuk burung-burung yang tumpang menghilang letih di ranting-ranting ku?"
J:Mungkin jawab badai itu: aku bawakan kejernihan suasana pagi besoknya, juga saripati yang tak ternilai bagi buah- buahan.
S: Pohon menyampuk, " Kejernihan suasana hari esok? Dapatkah ia mengembalikan kebahagiaan seadanya pada hari kelmarin?
J:Ya, jawab badai. Sebab hari ini dia sekadar melepaskan apa yang terpendam di kalbu, saat malam menjelma, kegelisahan itu pasti cair oleh mimpi yang manis
S:"Bukankah mimpi itu hanya mimpi?" Manisnya dirasai sewaktu bermimpi." Alangkah eloknya badai menjadi tiupan angin sepoi-sepoi bahasa?" Disyukuri yang ada seadanya daripada mengharap sesuatu yang tidak pasti akan menjelma". Pohon menyapa pula.
J: Jawab badai: Mimpi pasti tercapai jika dunia satu tujuan, badai akan reda andai tabah diharungi. Syukur adalah tingkat tertinggi kehidupan, sementara menunggu hasil yang baik perlukan kesabaran.
S:"Walau dunia tampak sebagai bulatan, namun ianya tidak sehaluan. Khutub Utara dan Khutub Selatan sejuk menggila. Manakala garisan Capricon sering banjir. Di sesetengah tempat lain pula gempa penomena hal biasa" Pohon menyambung hujah
J: Hidup adalah rangkaian kejadian, jawab badai. Sesiapa yang kalah bertarung dengan dirinya sendiri akan rugi, yang menang akan mencapai tujuan. Biarkan semuanya berlalu, tambah badai- sebab yang akan menang adalah keikhlasan.
S:"Masalahnya, tafsiran 'keikhlasan' berbeza-beza. Ikut rasa dan hati yang mentafsir", jelas Pohon.
J: Benarlah tafsiran itu berbeza- beza, ujar badai, kerana tafsiran yang tepat sukar ditemui. Cuma, kesungguhan pohon untuk berbudi dan kejujuran bumi yang rela menjadi tempat tumbuhnya benih adalah salah satu tanda tentang keikhlasan
S:"Makna kata, 'keikhlasan' itu adalah ketetapan yangg mengwujudkan?", tanya Pohon
J: Ya, jawab badai. Keikhlasan adalah intipati perjuangan, tak kira siapa pun ia. Namun pejuang sejati punyai keikhlasan yang tak pernah diragui. Jika diragui pun, keikhlasannya tak pernah goyah.
Jika kita amati dan teliti dialog dialog itu, ia memberikan banyak penafsiran tetapi tetap bermakna.
Terima kasih kepada Pa’min (Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia) kerana di celah-celah kesibukannya masih sempat mengacah atau sekadar menguji pemahaman kita mengenai pohon dan badai, mengenai keikhlasan, mengenai badai yang melanda menyebabkan burung-burung yang tumpang menghilang letih di ranting dan kejernihan cuaca esok hari ini. Bahawa kata orang, selepas badai ribut menjelma, tunggulah sejenak, untuk kita menghirup udara yang segar di bawah langit langit yang jernih membiru.
Dialog pohon dan badai itu, berakhir dengan jawapan sang badai bahawa keikhlasan adalah inti perjuangan. Pejuang sejati punyai keikhlasan yang tidak perlu diragui.

No comments: