Jumaat, 24 Februari 2017

TAN SRI R.M JASNI, TOKOH YANG BANYAK JASANYA

Tags

TAN SRI R.M JASNI, TOKOH YANG BANYAK JASANYA

WALAUPUN usianya hampir mencecah 80 tahun, tetapi Tan Sri Datuk R.M Jasni masih menulis buku. Beliau memberitahu sudah bersara sepenuhnya dalam kegiatan perniagaan dan perladangan yang kini diurus oleh anak-anaknya. Tokoh yang banyak menyumbang dalam sejarah politik Sabah ini bukan calang-calang orang. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor pada 1975, dan pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara selama dua penggal dari tahun 1982-1986. Selain pernah menjadi Pengerusi Lembaga Air Sabah, sumbangannya yang tidak boleh diperkecilkan ialah dalam bidang penulisan. Ketika tiba di pejabatnya di Keningau, beliau sudah menunggu kedatangan kami tepat seperti yang dijanjikan. Dalam kunjungan itu, beliau sempat berkongsi beberapa cebisan pengalaman dalam hidupnya.

Rasan Majanun Jasni @ R.M. Jasni dilahirkan di Penampang pada 4 Mei 1936. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Vernacular School, Keningau dari tahun 1947 hingga 1951. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Kent Tuaran dari tahun 1947 hingga 1954. Beliau mengikuti kursus jarak jauh Bahasa Inggeris dari British Language Institute pada 1958 hingga 1960. Pada tahun 1960 hingga 1960, beliau mengikuti Kursus Bahasa Inggeris (Kelas petang) di Advance Level di Maktab sabah. Pada 1963, beliau mengikuti kursus perkembangan korporasi (perakaunan, audit dan undang-undang koperasi) di Kuching Sarawak. Kemudian pada tahun 1967, beliau mengikuti Kursus Bahasa Inggeris intensif di Language Institute, Universiti Victoria, Wellington New Zealand dan diikuti Kursus Prosedur Parlimen dan Kerajaan Tempatan (Parliamentary Procedure and Local Government) di bawah Rancangan Colombo.

Selepas lulus dari Maktab Perguruan Kent, R..M Jasni bertugas sebagai guru di beberapa buah tempat seperti Tulid, Kemabong, Beaufort, Keningau sebelum beliau bertugas di Bahagian Bahasa Melayu Radio Sabah pada tahun 1960 hingga 1962. Pada tahun 1963 hingga 1964, beliau bertugas di Jabatan Pembangunan Koperasi dan dipertanggungjawabkan di tiga kawasan Pedalaman iaitu Keningau, Tenom dan Tambunan. Beliau adalah pegawai pertama yang memperluaskan gerakan koperasi di Pedalaman . Beliau meletakkan jawatan pada Disember 1964 dan kemudian menceburkan diri dalam kegiatan politik sepenuh masa. Beliau memilih Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebagai wadah perjuangan politiknya. Beliau terlibat secara langsung dalam kempen-kempen menentang Tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Dalam bidang politik, R.M Jasni pernah berkhidmat sebagai Pegawai Politik dan Setiausaha Bahagian Keningau pada 1965. Kemudian beliau dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Kuala Lumpur sebagai Penyelia Kelas Dewasa pada 1967 hingga 1968. Beliau adalah orang pertama yang memperkenalkan kegiatan Kelas Dewasa di Pedalaman.

Selepas mengikuti kursus kepimpinan di New Zealand pada 1967 hingga 1968, beliau bertugas di Ibu Pejabat USNO sebagai Setiausaha Bilik Gerakan Ibu Pejabat pada 1969 hingga 1970.

Pada 1970 hingga 1973, R.M Jasni membantu RTM sebagai Pembaca Berita TV sambilan di peringkat awal pelancaran TV Sabah. Pada tahun 1972 hingga 1974, beliau bertugas sebagai pegawai kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Beliau terlibat merangka dasar kebudayaan negeri di peringkat awal penubuhan kementerian itu. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri pada tahun 1975 hingga 1976 menggantikan tempat mendiang Datuk Undan Andulag melalui piliharaya kecil dan menang tanpa tanding. Pada masa yang sama,beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan.



Pada tahun 1982 hingga 1986, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama dua penggal semasa Kerajaan Berjaya. Pada tahun 1983 hingga 1985, beliau dilantik sebagai menjadi Pengerusi Lembaga Air Sabah yang pertama dan terlibat dalam perancangan Projek membekalkan air dari Tanah Besar ke Pulau Labuan. Beliau menjadi Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Sabah (PKS) yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyatukan kegiatan persatuan-persatuan kebudayaan di Sabah. Pada tahun 1991, beliau menganggotai Ahli Jawatankuasa Penaja Kemasukan UMNO Ke Sabah bagi Bahagian Sook Keningau dan terpilih sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Sook yang pertama. Beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Keningau dan pernah menceburkan diri dalam kegiatan ketenteraan Pertahanan Tempatan (Tentera Wataniah) semasa konfrontasi Indonesia 1964-1965.

Sebagai pengiktirafan atas jasa-jasanya, beliau menerima anugerah Bintang Kinabalu (B.K) Ahli Darjah Kinabalu (ADK), Pingat Keris Pejuang Bahasa. Pada tahun 2003, beliau dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabaliu (PGDK) manakala pada 2014, beliau mendapat gelar Tan Sri apabila dikurniakan Panglima Setia Mahkota (PSM) Sempena hari Jadi DYMM Yang Di Pertuan Agong.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Tan Sri R.M Jasni di pejabatnya di Keningau. Turut bersama dalam sesi temubual itu ialah Penolong Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Sabah, Rusdi Awang. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang menyingkap sedikit kisah pengalamannya sepanjang bertugas sebagai guru, pembaca berita tv, ADUN, Ahli Dewan Negara dan sebagainya.



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Tan Sri?

TAN SRI R.M JASNI: Saya lahir di Penampang, pada tahun 1936. 4 Mei ini depan saya akan menyambut hari lahir yang ke-80. Saya mula bersekolah di Government Vernacular School Keningau dari tahun 1947 hingga 1951.



UB: Apa cita-cita Tan Sri sewaktu kanak-kanak?

TAN SRI: Masa itu tiada cita-cita. Cuma mahu belajar. Mahu keluar dari kemiskinan. Dapat kerja.itu saja.

UB: Lepas tamat sekolah di Keningau, Tan Sri sekolah di mana?

TAN SRI: Selepas itu, pada tahun 1952, saya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Kent, Tuaran hingga tahun 1954. Kami angkatan pertama yang memasuki Maktab Perguruan Kent. Selain saya, Datuk Shuhaibun Yussuf, Cikgu Tanakal, Habib Abdul Rahman dan ramai lagi. Kami semua 22 orang. 18 orang baru lulus dari sekolah.

UB: Selepas tamat maktab, dimana Tan Sri mula bertugas?

TAN SRI: Selepas lulus dari Maktab Kent, Tuaran, pada tahun 1954, Saya ditugaskan di Tulid yang terletak kira-kira 44 batu dari Pekan Keningau. Cikgu Aping jadi guru besar, saya jadi penolong kanan. Saya berjalan kaki selepas menyeberangi Sungai. Belum ada jalan raya waktu itu. Kita gunakan perahu untuk ke seberang. Hanya selepas pembentukan Malaysia, dibuat jalan raya itu ke Sook. Kemudian semasa konfrontasi, Australia banyu kita baiki jalan itu.

UB: Boleh Tan Sri gambarkan keadaan masa itu di Sook?

TAN SRI: Hanya terdapat tiga buah rumah di Sook pada tahun 1954. Rumah village controller, rumah guru dan dispensari. Masa itu, penduduk tidak ramai yang tinggal di perkampungan.Mereka tinggal dalam hutan. Saya tidak tahu berapa ramai. Saya bertugas di sana selama 9 bulan. Selepas itu, saya dipinjamkan di GPS Kemabong selama tiga bulan. Kemudian saya bertukar di GPS Keningau selama satu tahun. Saya juga pernah bertugas di daerah Beaufort, Weston. Masa itu belum ada jalan raya. Saya naik keretapi dari Tenom ke Beaufort. Saya bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Kerajaan dari tahun 1954 hingga 1959.

UB: Selepas itu, Tan Sri bertugas dimana?

TAN SRI: Selepas itu, saya bertugas di Bahagian Bahasa Melayu Radio Sabah pada tahun 1960 hingga 1962.

UB: Saya difahamkan Tan Sri adalah salah seorang wartawan yang membuat liputan ketika penubuhan parti USNO pada tahun 1961. Boleh ceritakan sedikit?

TAN SRI: Masa itu, saya diarah untuk buat liputan. Itu menjadi tugas kita untuk menyebarkan penting kepada masyarakat. Kami tiba di Kudat dari Kota Kinabalu kira-kira pukul 11.00 pagi. Kami pulang ikut kapal laut kira-kira pukul 12 malam . Kami terlewat kerana terpaksa menunggu kawan yang sama-sama balik ke KK. Kami hanya dapat bertolak ke Jesselton kira-kira jam 2.00 pagi.Masa itu, sampai di Simpang Mengayau, airnya deras.

UB: Apakah ada halangan daripada kerajaan pada masa itu?

TAN SRI: Tidak ada halangan. Hanya berita yang dibuat tidak digunakan .Sedikit saja. Radio Sabah masa itu diketuai Dean Widdie yang bertugas di BBC London. Masa itu kita buat banyak rakaman.

UB: Dimana Tan Sri bertugas selepas itu?

TAN SRI: Pada tahun 1963 hingga 1964,saya bertugas di Cooperative Development Department (Jabatan Pembangunan Koperasi dan dipertanggungjawabkan di tiga kawasan Pedalaman iaitu Keningau, Tenom dan Tambunan. Saya adalah pegawai pertama yang memperluaskan gerakan koperasi di Pedalaman . Saya menubuhkan syarikat kerjasama koperasi sewaktu bertugas di Sepulut. Saya ingat satu peristiwa apabila barang-barang koperasi diangkut oleh Tentera Australia menggunakan helikopter.

UB: Bila Tan Sri menceburi bidang politik?

TAN SRI: Saya meletakkan jawatan pada Disember 1964 dan kemudian menceburkan diri dalam kegiatan politik sepenuh masa. Saya masuk Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebagai wadah perjuangan politiknya. Saya berlibat secara langsung dalam kempen-kempen menentang Tuntutan Filipina ke atas Sabah. Selain itu, saya juga terlibat kempen ke atas Hakim Halley atas perbicaraan Tun Mustapha vs Richard Yapp. Cerita ini dalam buku saya “Memoir Anak Sisa Peperangan”.

UB: Apa tugas yang pernah Tan Sri pegang sepanjang bergiat dalam politik?

TAN SRI: Saya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Politik dan Setiausaha Bahagian Keningau pada 1965. Kemudian saya dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Kuala Lumpur sebagai Penyelia Kelas Dewasa pada 1967 hingga 1968. Sayalah orang pertama yang memperkenalkan kegiatan Kelas Dewasa di Pedalaman.

Selepas mengikuti kursus kepimpinan (leadership course) di New Zealand pada 1967 hingga 1968, Saya bertugas di Ibu Pejabat USNO sebagai Setiausaha Bilik Gerakan Ibu Pejabat pada 1969 hingga 1970.

Kemudian dalam tahun 1970 hingga 1973, saya membantu RTM sebagai Pembaca Berita TV sambilan di peringkat awal pelancaran TV Sabah. Selepas itu, tahun 1972 hingga 1974, saya bertugas sebagai pegawai kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Saya juga terlibat merangka dasar kebudayaan negeri di peringkat awal penubuhan kementerian itu.

UB: Kami difahamkan Tan Sri dulu pernah jadi wakil rakyat. Dimana ya?

TAN SRI: Di Bingkor. Saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri pada tahun 1975 hingga 1976 menggantikan tempat mendiang Datuk Undan Andulag melalui piliharaya kecil pada 1975. Saya menang tanpa tanding dalam pilihanraya kecil itu.. Pada masa yang sama,sayadilantik sebagai Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan.

UB: Tan Sri juga pernah jadi Senator? Tahun berapa?

TAN SRI: Pada tahun 1982 hingga 1986, saya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama dua penggal iaitu dari tahun 1982 hingga 1986. semasa Kerajaan Berjaya. Pada tahun 1983 hingga 1985, saya dilantik sebagai menjadi Pengerusi Lembaga Air Sabah yang pertama dan terlibat dalam perancangan Projek membekalkan air dari Tanah Besar ke Pulau Labuan.

UB: Apa kegiatan lain?

TAN SRI: Saya pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Sabah (PKS) yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyatukan kegiatan persatuan-persatuan kebudayaan di Sabah. Pada tahun 1991, saya menganggotai Ahli Jawatankuasa Penaja Kemasukan UMNO Ke Sabah bagi Bahagian Sook Keningau dan terpilih sebagai Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Sook yang pertama
UB: Sejak bila Tan Sri giat dalam bidang penulisan?

TAN SRI: Saya aktif menulis di akhbar tempatan pada 1957 hingga 1970. Dulu saya banyak menulis cereta pendek. Antara nama-nama penulis yang memenuhi ruangan surat khabar masa itu ialah Henry Sunyoto, Datuk Shuhaibun Yussuf. Dulu saya juga jadi pemberita Sabah Times di Keningau. Dulu tidak banyak yang dapat dilaporkan. Habis-habis bolasepak. Bercampur aduk dengan ruangan polemik. Macam-macam yang ditulis masa itu. Saya pernah tulis berita mengenai Kulat Yang Tumbuh di Bantal. Kerana lama tersimpan dalam almari. Datuk Shuhaibun hantar berita mengenai mesin rumput. Di Keningau, selain saya, ada AP Robert yang menulis dalam bahasa Inggeris, Dulu berita dikirim menggunakan pos yang dihantar melalui keretapi. 10 hari baru sampai. Setemnya kira-kira 15 sen hingga 20 sen.



Saya sempat menerbitkan buku rujukan Ilmu Alam Negeri Sabah dan Sejarah Sabah (1958) terbitan Sinaran Brothers, Pulau Pinang. Pada 1960 hingga 1961, saya menjadi Setiausaha Agung Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS). Saya juga menulis buku “Pemberontakan Pahlawan Mat Salleh” pada 1981 atas permintaan Kerajaan Berjaya dan diterbitkan oleh Persatuan Kebudayaan Sabah. Saya juga menulis buku biografi Datuk Harris Mohd Salleh “Biar Sejarah Mengadili Saya” (1995) yang antara lain mengandungi sejarah perkembangan politik dan pembangunan Sabah. Selain itu, saya menulis memoir Anak Sisa Peperangan, Kalawon Ontoros Antanom (2012), Semangat Perjuangan Paduka Mat Salleh (2012) dan Novel Kasih Sepanjang Jalan. Satu lagi buku ialah Berputik kasih di Maliau Basin. Leadership Towards Civilization in The Interior (2015).

UB: Apa kegiatan Tan Sri sekarang?

TAN SRI: Sekarang saya sudah bersara sepenuhnya dari kegiatan perniagaan dan perladangan. Jika ada masa terluang saya menulis.

UB: Bila masanya Tan Sri menulis?

TAN SRI: Saya menulis kira-kira jam 3.00 pagi. Tidak ada gangguan. Saya tidak boleh menulis jika ada gangguan. Sekarang tidak begitu bagus daya ingatan saya. Bulan Mei ini saya sudah 80 tahun.