Selasa, 30 Mei 2017

DI JOGJA, PENGALAMAN DI LERENG MERAPI

Tags



DI JOGJA, PENGALAMAN DI LERENG MERAPI

Saya disambut hujan lebat ketika mendarat di Bandara Adisucipto (Adisutjipto International Airport) Yogyakarta. Penerbangan dari Praya Lombok ke Jogja mengambil masa kira-kira 2 jam setengah kerana pesawat Garuda singgah di Ngurah Rai, Denpasar Bali. Sebenarnya jika dihitung, penerbangan dari Lombok ke Bali hanya mengambil masa 55 minit manakala dari Bali ke Jogja hanya mengambil masa satu jam 30 minit. Kebetulan pada hari itu,19 April, tidak ada pesawat  yang terbang terus ke Jogja.

Hari sudah petang. Saya sempat menelefon Pak Dedi untuk memaklumkan bahawa saya sudah tiba di Daerah Istimewa Yogyakarta yang selalu disingkat dengan DIY saja. Saya fikir mahu naik teksi saja tetapi Pak Dedi meminta saya menunggu, biar pihak hotel yang menjemput saya di Lapangan Terbang.

Di Jogja, saya menginap di hotel The Jayakarta Yogyakarta, di Jalan Laksda Adisucipto KM 8, hotel bertaraf empat bintang. Saya agak terkejut dengan kemudahan hotel yang disediakan. Terima kasih kepada Pak Dedi Setiadi, Pengurus Operasi The Jayakarta Hotel yang menaja penginapan saya sepanjang berada di Jogja.

Malamnya saya tidak keluar kecuali ke Mall di seberang jalan yang baru satu bulan dibuka. Saya perlu berehat sebentar untuk merangka agenda perjalanan kerana keesokan harinya, Mas Ari, pegawai dari TIC Dinas Pariwisata akan membawa saya berkeliling Jogja.

Saya memberitahu Mas Ari dan Mas Leonardo da Vinci mengenai niat saya untuk ke Lereng Merapi. Gunung Merapi meletus pada tahun 2010 dan penduduk di sekitarnya terpaksa berpindah ke tempat lain untuk menghindarkan dari bahaya. Meskipun demikian, penjaga gunung Mbah Marijan enggan meninggalkan gunung Merapi ketika itu sehingga beliau menemui ajalnya.

Dalam perjalanan ke sana, kami sarapan dulu di Warung Kopi Klotok, di Pakem, daerah sebelum Kaliurang. Warung itu begitu popular menyebabkan kami terpaksa duduk di bahagian luar. Tetapi ternyata,  di luar suasananya lebih tenang. Minum kopi atau teh ditemani goreng pisang di  tepi sawah sambil melihat padi menghijau memang satu pengalaman yang sangat menyenangkan..

Dari sana, di kejauhan kita masih boleh melihat puncak Merapi. Warung Kopi Klotok itu sangat sederhan tetapi banyak pengunjung.
“Makanannya enak, tempatnya bagus dan natural, pelayanannya sangat ramah, agar kualitasnya dapat dipertahankan sehingga semua orang akan merindukan, suasana, “ kata Dedi Permadi, Gubernur AAU. Sementara itu, Sudirman Sair, Menteri ESDM menyatakan “makanannya enak sekali, suasana pulang kampung, pelayanan top! Janganpernah lelah mencintai Indonesia,” catat Menteri itu.

Dari sana, kami terus ke lereng Merapi. Letusan Gunung Merapi yang berlaku pada 2010 itu adalah salah satu rangkaian peristiwa letusan gunung berapa yang berlaku di Merapi.

Letusan gunung Merapi pada 26 Oktober 2010 itu menyebabkan 353 orang terkorban termasuk Mbah Maridjan. Sebanyak 291 rumah penduduk hancur. Binatang ternakan yang tak sempat diselamatkan hangus tinggal tulang. Kira-kira 320,090 penduduk terjejas dan dipindahkan.
Menurut laporan berita, letusan gunung berapi pada hari itu berlaku hingga tiga kali.Letusan itu diiringi awan panas setinggi 1.5 meter mengarah ke Kaliadem, Kepuharjo. Letusan itu menhyemburkan vulkanik setinggi lebih 1.5 km. Selepas 26 Oktober, ada lagi beberapa  letusan berlaku.
Berbekal maklumat itulah kami Kaliadem. Di sana, saya ikut pakej Merapi Larva Tour dengan bayaran sekitar Rp350,000.
Kami terpaksa menunggu kerana semua 150 jeep yang tersedia, semua sudah ditempah dan digunakan. Kami bernasib baik kerana mendapat sedikit keutamaan.
Jeep yang dipandu oleh Mas Ngadino membawa kami ke bunker Kaliadem. Sebelum itu, kami sempat singgah  melawat bekas rumah yang Omahku Memoriku, yang musnah akibat awan panas. Kebetulan saya sempat mendengar pengalaman Mbah Kems, 92, warga yang sempat berpindah sebelum kejadian itu.
Semua penduduk di sekitar Kaliadem dipindahkan ke tempat lain. Kini tempat itu menjadi destinasi pelancongan. Hampir setiap hari, tempat itu dikunjungi oleh pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Saya sengaja berdiri di belakang Jeep untuk membolehkan saya mengambil gambar sepanjang kunjungan ke kawasan yang musnah akibat letusan awan panas. Mengikut Kepala Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK_) Yogyakarta, letusan gunung berapi adalah lebih besar jika dibandingkan dengan letusan yang berlaku pada tahun 1872. Menurut catatan, jumlah bahan volkanik yang dilontarkan oleh Merapi pada tahun 1872 adalah kira-kira 100 juta meter kubik.
Tetapi jumlah material volkanik yang dilontarkan pada 26 Oktober 2010 itu mencapai sekitar 140 juta meter kubik dan aktiviti gunung berapi itu belum terhenti.
Saya terbayang-bayang mangsa yang berlari menyelamatkan diri dari lahar gunung berapi.Kebanyakan mangsa mati kerana awan panas. Saya teringat Mbah Maridjan, juru kunci gunung Merapi. Banyak kisah kehidupan di Merapi. Tidak semua sempat dicatatkan. Dalam perjalanan pulang itu, saya teringat lagu Ebiet G Ade. Perjalanan ini sangat menyedihkan, ya, sangat menyedihkan tetapi segalanya untuk kita renungkan.