Tuesday, May 30, 2017

Kalau anda bertanya mengenai Palembang



Kalau anda bertanya apa yang menarik di Palembang, mungkin saya dapat memberikan beberapa jawapan. Namun saya sengaja membuat anda penasaran apa istimewanya Palembang, bandaraya kedua terbesar di pulau Sumatera. Palembang adalah bandar tertua di kepulauan Nusantara, terletak di pinggir Sungai Musi dengan keluasan kira-kira 369.22 kilometer persegi dengan penduduk kira-kira 1,7 juta orang.
Ketika pertama kali berkunjung ke bandaraya keenam terbesar di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Bandung,Medan dan Semarang pada tahun lalu, kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ialah apabila dijamu dengan empek-empek , makanan yang terbuat dari bahan ikan dan sagu.
Selepas segala jenis empek-empek dihidangkan di depan kami, menu terakhir ternyata lebih enak lagi. Empek-empek kapal selam Sambil bercanda, saya teringat kata-kata seorang sahabat yang menyatakan betapa gagah dan luar biasanya orang Palembang kerana kapal selam pun mereka boleh makan!
Rasanya enak. Lebih lebih lagi waktu itu diluar hujan turun dan kami dihidangkan kopi. Sungguh, satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Menurut ahli sejarah, Palembang yang menjadi ibu kota Kerajaan Srivijaya, sudah wujud sejak abad ketujuh lagi. Banyak sekali kesan sejarah yang ditemui, tetapi kerana masa agak terhad, kami tinggalkan segala fakta sejarah itu untuk kami nikmati pemandangan cantik di Sungai Musi. Jambatan Ampera yang dibina tahun 1965  sepanjang 1,117 meter   membahagikan kota Palembang menjadi dua. Palembang sekarang makin moden dan cantik, dan ketika kami ke sana, landasan untuk LRT aliran transit ringan sedang dibina dari Lapangan Terbang ke Stadium Jakabaring sebagai salah satu persiapan untuk Sukan Asia 2018, yang akan diadaka n di Palembang dan Jakarta.
Antara yang menarik di ibu kota Propinsi Sumatera Selatan igtu adalah Kampung Al-Munawar, perkampungan Arab Pertama di Palembang. Nama kampung itu sempena nama seorang tokoh penyebar agama Islam di kawasan itu iaitu Habib Abdurrahman Al Munawar.
Hanya terdapat 30 keluarga di kampung itu yang mempunyai talian kekeluargaan kerana terdapat peraturan di kampung itu dimana golongan perempuannya tidak diperbolehkan untuk berkahwin dengan orang yang berasal dari kampung lain. Walau bagaimanapun, golongan lrlaki dibenarkan untuk menikahi wanita di luar kampung mereka.
Selepas disambut dengan persembahan tarian zapin yang terkenal itu, kami dihidangkan dengan makanan daging kambing, yang dinikmati sambul duduk bersila.

Sebelum itu, kami sempat melawat Muzium di Palembang. Selain menyaksikan pelbagai bahan-bahan bersejarah, kami sempat berkunjung ke Rumah Limas iaitu Rumah Tradisional khas di Sumatera Selatan. Rumah tradisi yang luasnya sekitar 400 hingga 1000 meter. Rumah tradisi sangat istimewa malah kerana keistimewaannya, ia dicetak pada salah satu matawang Indonesia. Hiasan dan ukiran di dalam rumah itu memiliki simbol-simbol tertentu.
Sungguhpun amat tertarik dengan rumah limas,namun kami tidak dapat berlama-lama di situ. Kami terpaksa menuju destinasi lain di Palembang. Banyak destinasi yang perlu dikunjungi, dalam program anjuran Kementerian Pariwisata Indonesia yang diadakan tahun lalu dengan jadual yang begitu padat. Tapi saya tetap menyediakan waktu untuk mencari buku-buku.
Untuk ke Palembang, sebenarnya agak mudah jika kita berlepas dari Kuala Lumpur atau Jakarta. Kota itu memang memiliki pelbagai destinasi yang menarik untuk dikunjungi. Namun ketika  menyusuri Sungai Musi, yang hadir dalam imaginasi saya ialah bagaimana Parameswara memulakan pelayarannya dari Palembang, hingga kemudiannnya tiba di semenanjung dan akhirnya membuka Melaka dan dari sana, sejarah ketamadunan Melayu bermula.

No comments: