Tuesday, May 30, 2017

Keindahan yang menakjubkan di Tanjung Aan, Lombok



SEBENARNYA banyak perkara yang menakjubkan di Tanjung Aan, Lombok Tengah. Alam yang mempesona, pantainya yang putih, teluknya yang indah  dan dari atas bukit yang menganjur ke laut, kita dapat menyaksikan pemandangan yang membuat kita kehabisan kosa kata untuk menuliskannya.

Tanjung Aan adalah salah satu daya tarikan ke Pulau Lombok. Terletak kira-kira 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok di Praya, Tanjung Aan yang masih belum terjamah oleh pembangunan, mampu menghadirkan ketenangan dan kedamaian bagi pengunjung.

Sebaik turun dari bas yang membawa kami, saya terus menuju ke pantai. Saya tidak sabar sabar membidikkan kamera ke arah laut, batu-batu, perahu, nelayan, deburan ombak dan kepada seorang anak, yang kemudian saya ketahuinya namanya, Siti Aisyah.

Siti Aisyah Jamil baru berusia 15 tahun. Berasal dari desa Gerupuk, tidak jauh dari sana. Gadis dari suku Sasak, suku yang mendiami pulau Lombok. Dia mengekori saya sambil bercerita mengenai tempat-tempat yang indah dan cantik untuk mengambil gambar.

Saya tidak begitu peduli kerana asyik dengan kamera. Dari pantai itu, saya melihat ramai orang yang mendaki bukit. Rupanya, dari atas bukit itu, lanskapnya membuat kita ingin berlama-lama.

Pengunjung yang datang-sebahagian pelancong dari luar negara- mengambil peluang itu untuk berswafoto. Ada yang mengambil gambar dengan pelbagai aksi.
Salah satu aksi yang menarik adalah aksi melompat. Ramai yang mahu mengabadikan kenangan berkunjung ke Tanjung dengan melompat. Tetapi beberapa kali aksi sedemikian itu gagal dirakamkan dengan baik dalam telefon genggam.

“Mari saya bantu,” Siti Aisyah menawarkan bantuan. Adegan aksi melompat diulang lagi, dan klik, siti merakamkan aksi dengan cemerlang. “Cantik sekali,” kata Ibu Hendro Retno Wulan, Konsul Fungsi Ekonomi KJRI Kota Kinabalu, Sabah yang turut kagum dengan keindahan Pantai Tanjung Aan itu.

Sekarang masih tidak banyak bangunan yang didirikan di sana. Yang ada hanya pondok-pondok kecil penduduk tempatan yang menjual kelapa muda. Ada juga yang menjual kain, baju dan kraftangan.

Setiap hari, tidak kurang 10 bas berisi pengunjung dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Tanjung Aan. Mungkin tidak lama lagi, banyak kemudahan hotel dan sebagainya akan dibangunkan di sana. Kini walaupun belum banyak fasiliti yang tersedia, tetapi Tanjung Aan tetap menarik untuk dikunjungi.

Anak-anak sebaya Siti Aisyah juga sentiasa menawarkan khidmat mereka iaitu mengambil gambar pengunjung yang suka dengan aksi melompat atau pelbagai lagi aksi seperti gambar yang kelihatan seperti terjun atau memeluk gunung atau menolak bukit.

Setiap kali mereka mengambil gambar aksi melompat itu jarang mengecewakan. Terdapat tujuh hingga lapan orang anak-anak yang kerjanya hanya mengambil gambar orang dengan aksi melompat. Mereka ke sana sehabis waktu sekolah.

Siti Aisyah tidak pula mengenakan sebarang kadar bayaran setiap kali mengambil gambar itu. Ketika ditanya perlu bayar berapa, Siti Aisyah menjawab,” berapa saja, seikhlasnya”.

Berapa pendapatannya dalam sehari?. Antara Rp100,000 hingga Rp300,000 (Antara RM30 hingga RM100) satu hari. Pengunjung yang berpuas hati kerana gambar mereka memberikan antara Rp5,000 hingga Rp50,000 (RM1.6 hingga RM16) sesuka hati mereka.

Mengambil gambar orang melompat mendatangkan rezeki bagi anak-anak itu. Mereka juga mahir menggunakan telefon genggam dan mampu merakamkan gambar mengikut citarasa pelanggan mereka.

Dari atas bukit itu, kita dapat melihat keindahan Tanjung Aan yang sesungguhnya. Kita dapat melihat perahu-perahu, perkampungan nelayan tidak jauh dari sana.

Di tengah kekaguman akan keindahan itu, saya terkenangkan kebaikan rakan taulan, sahabat,dan orang-orang yang memungkinkan saya untuk datang ke Lombok dan melihat betapa banyaknya, betapa luasnya keindahan alam ciptaan Tuhan.
Tidak lupa, saya meminta sahabat saya, Pak Muhamad Widodo untuk merakamkan gambar saya di atas bukit itu.
“Ini foto untuk siaran Utusan Borneo, sebagai bukti saya pernah ke sini,” kata saya sambil terkekeh.

Kemudian selepas menuruni bukit menggunakan anak tangga yang disediakan itu, saya memesan kelapa muda. Harganya sekitar Rp18,000 hingga Rp20,000 saja. Sambil minum saya dikerumuni oleh penjual kain, dan barangan kraftangan.

Selepas memberi beberapa helai baju t, saya terus berlari sambil membawa kelapa muda yang belum habis ke bas yang sedang menunggu. Entah bagaimana, saya tercari-cari pen untuk menuliskan pengalaman kunjungan ke Tanjung Aan. Tapi saya yakin, kunjungan ke Tanjung Aan, Lombok Tengah itu, menjadi satu pengalaman yang tidak terlupakan.

No comments: