Selasa, 30 Mei 2017

Lombok ertinya lurus.Tidak bengkok-bengkok.

Tags



KEINDAHAN LOMBOK LUAR BIASA

“Lombok  ertinya lurus.Tidak bengkok-bengkok. Sasak itu ertinya sekek. Sekek itu ertinya satu. Tidak ada duanya. Jadi erti dari Sasak dan Lombok itu tidak terpisahkan.Selalu menjadi satu dan tidak bercerai berai”, kata Pak Adenan, Pegawai Perhubungan Asosiasi Perusahaan  Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA)NTB kepada serombongan 16 orang agen dan operator pelancongan (TATO) dari Sabah yang berkunjung ke Lombok pada 16-19 April lepas.

Program itu dianjurkan oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu dengan kerjasama ASITA atau dalam bahasa Inggerisnya Association of The Indonesia Tours & Travel Agencies Nusa Tenggara Barat , Perhimpunan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) Provinsi Nusa Tenggara Barat dan Badan Promosi Pariwisata Daerah (BPPD) NTB bertujuan untuk menjalin hubungan kerjasama lebih erat dalam memajukan sektor pelancongan antara kedua pihak.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok di Praya, kami di bawa menikmati makan malam di hotel D’Praya sebelum meneruskan perjalanan kira-kira satu jam dengan bas ke Holiday Resort di Senggigi.

Keesokan harinya, kami dibawa ke Gili Trawangan, sebuah pulau kecil nan cantik, dan antara yang paling popular di Lombok. Lombok adalah sebuah pulau di Nusa Tenggara Barat yang hanya dipisahkan dari Bali di sebelah baratnya  oleh Selat Lombok manakala  di sebelah Timur ia dipisahkan oleh Selat Alas dari Sumbawa. Pulau seluas 5,435 kilometer sepanjang kira-kira 70 km terkenal juga dengan panggilan dengan pulau seribu masjid. Ia juga terkenal sebagai salah satu destinasi halal terbaik di Indonesia.
Di Gili Trawangan, selain berpeluang melihat panorama indah dalam suasana yang nyama, rombongan juga mengadakan tinjauan ke hotel Vila Ombak yang menyediakan pelbagai jenis kamar hotel untuk pelancong.
Hari kedua, rombongan yang diketuai oleh Konsul Ekonomi KJRI Kota Kinabalu, Hendro Retno Wulan berkunjung ke Pantai Mandalika, salah sebuah destinasi baru yang semakin terkenal di kalangan pelancong. Dari Pantai Mandalika ke Hotel Golden Tulip untuk makan tengahari. Rombongan sempat singgah di Mall Episentrum sebelum menghadiri Business Matching atau temu bisnis antara travel agen dengan pelaku wisata yang ada di Lombok yang diadakan di Top Roof, Hotel Golden Palace.
Ibu Retno berkata pihak KJRI Kota Kinabalu akan membantu mempromosi Lombok sebagai sebuah destinasi pelancongan yang sangat luar biasa, unik dan menaruik. Beliau juga memuji komited pemerintah setempat yang berusaha untuk memajukan pariwisata Lombok dengan menyediakan pebagai kemudahan dan infrastruktu termasuk jalan yang baik untuk ke destinasi wisata dan penyediaan kemudahan hotel untuk pelancongan.
Ini menunjukkan pelancongan di Lombok yang berkembang pesat.
“Ternyata Lombok sangat indah dan luar biasa ,” kata Samuel Chu sambil menjelaskan, pulau itu mempunyai keunikan tersendiri yang tidak dimiliki daerah lain  di Indonesua.
“Kenapa tidak dari dulu saya tahu Lombok, yang ternyata begitu indah.Jika tahu dari dahulu, sudah pasti, banyak pelancong yang akan saya bawa berkunjung ke Lombok,” katanya.
Ketua PHRI NTB, H Lalu Abdul Hadi Faishal berkata, pihaknya mensasarkan lebih ramai pelancong dari Malaysia Timur khususnya Sabah untuk berkunjung ke Lombok. Katanya, Lombok menjadi destinasi pelancongan yang menarik kerana Malaysia dan Indoneia mempunyai latar belakang budaya yang hampir sama.
Beliau berharap ikatan itu akan dapat mempereratkan hubungan antara kedua negara.
Dalam kunjungan itu, pihak PHRI NTB dan agensi pelancongan dari Kota Kinabalu mengadakan kerjasama antara kedua belah pihak. Hadi berharap melalui program itu, lebih ramai pelancong akan datang bercuti di Lombok.
Sementara itu, menurut Ketua Badan Promosi Pariwisata Daerah (BPPD) NTB, Affan Ahmad, program itu adalah salah satu langkah yang dibuat oleh Kerajaan Indonesia dan stakeholder pelancongan NTB dan berharap dengan kunjungan itu ia memberi impak positif kepada sektor pelancongan NTB dalam jangka pendek ataupun jangka panjang.
Kerajaan menetapkan sasaran 3.5 juta pelancong berkunjung ke NTB sepanjang tahun 2017.
Pengerusi ASITA NTB, Dewantoro Umbu Joka SH juga mengharapkan dengan adanya program Fam Trip dan Business Matching itu mampu membina jalinan kerjasama yang lebih erat untuk membantu meningkatkan kunjungan pelancong ke Lombok.
Dalam program kunjungan itu juga, rombongan sempat melawat kampung tradisi suku Sasak Asli di Desa Sade. Di sana mereka diperkenalkan dengan adat istiadat suku Sasak Asli, salah satu yang terkenal kerana adat resam dan kemahiran wanitanya dalam kraftangan khususnya dalam seni tenunan.
Banyak kenangan yang tertinggal di Lombok dalam kunjungan yang singkat itu. Dalam perjalanan pulang, kelihatan banyak pantai yang cantik, pemandangan yang indah, sawah padi yang terhampar dan keramahtamahan masyarakat Lombok yang menggamit untuk datang lagi ke pulau itu.