Selasa, 30 Mei 2017

SECEBIS PENGALAMAN DI LOMBOK

Tags



SECEBIS PENGALAMAN DI LOMBOK

Muka depan surat khabar Lombok Post menyiarkan gambar Mahfud MD memeluk  Dahlan Iskan sambil disaksikan peguam Yusril Ihza Mahendra  dengan tajuk Kalau Tidak Korupsi, Jangan dikorupsikan. Berita mengenai bekas Menteri yang dibicarakan di Mahkamah Tipikor Surabaya mengisi muka depan Lombok Post, akhbar pertama dan terbesar di Nusa Tenggara Barat (NTB) pada 17 April 2017, iaitu hari kedua kami berada di Senggigi.
Berita mengenai Kejuuaraan Lumba Basikal Tour de Lombok-Mandalika juga disiarkan di halaman depan dengan kejayaan pelumba Muhammad Shahrul Matamin menjuarai perlumbaan itu walaupun sering tertinggal jauh  di belakang tetapi pada pusingan terakhir memecut untuk memenangi kejuaraan itu.
Turut disiarkan di muka depan ialah berita mengenai masyarakat NTB yang mengecam sikap tidak terpuji Steven Sulistyo yang dikatakan mengeluarkan kenyataan menghina terhadap Gubernur NTB, TGH M Zainul Majdi.
Peristiwa yang tidak kalah menarik di muka depan akhbar itu ialah pernikalan kepala tujuh antara Artis Veteran Nani Widjaya, 72 dengan tokoh sastera Ajip Rosidi,79 di Keraton Kasepuhan Cirebon.
Ketika asyik membaca itu, bas yang disediakan untuk rombongan kami sudah tiba dan Pak Adenan, Pegawai Perhubungan ASITA mempersilakan kami untuk naik ke dalam bas untuk memulakan perjalanan kami menuju jeti Gili Trawangan, yang terletak kira-kira satu jam dari hotel.
Kami berada di Gili Trawangan, pulau kecil yang terkenal kerana pantainya yang cantik dan sentiasa menjadi pelancongan itu, dari pagi hingga ke petang. Rombongan 16 orang agen dan operator pelancongan dari Sabah diketuai Konsul Ekonomi, Hendro Retno Wulan,dari  Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu  agak terpesona dengan keindahan dan suasana yang amat menyegarkan.
Pada malamnya kami dijamu makan malam di Hotel Holiday Resort, disajikan pelbagai juadahmakanan  oleh tuan rumah Asosiasi Perusahaan  Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA)NTB dan Perhimpunan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) dan sempat  menyaksikan nelayan menjala ikan di tepi pantai Senggigi.
Selepas itu, saya memenuhi janji untuk berkunjung ke rumah Pakcik Badrun RS, iaitu saudara sepupu mertua saya yang menetap di perumahan Pabri Jalan KH Ahmad Dahlan, Blok C, Desa Prampuan, Kecematan Labuapi, Lombok Barat.
Jaraknya agak jauh juga, Kira-kira satu jam perjalanan. Akhirnya saya memutuskan naik teksi Blue Bird. Pemandunya, pak Ridwansyah membawa saya membelah malam ke rumah pakcik Badrun yang sudah lama menunggu.

Pakcik Badrun, kini 81 tahun, pernah menjadi tentera dalam bahagian infantri. Dulu pernah bertugas di Sumbawa dan bersara tahun 80.  Isternya, ibu Masitah Badrun orang Sumbawa. Hanya mereka berdua saja di rumah manakala anak-anak mereka tinggal di tempat lain.
Walaupun tidak lama di rumahnya, kami sempat bercerita mengenai pengalamannya hinggalah menetap di Lombok Barat itu. Ketika ditanya, apa resepi beliau kekal sihat dan bahagia pada usianya yang lanjut itu, pakcik Badrun berkata, petuanya hanyalah berbaik sangka. Jangan mudah berburuk sangka pada orang, katanya.
Kota Mataram yang menjadi ibukota Lombok itu mempunyai sejarah yang panjang. Kini Mataram menjadi tumpuan pelancong selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok di Praya dirasmikan tahun Oktober 2011.
Seramai 2.9 juta pelancong berkunjung ke Lombok tahun lalu, menurut Dinas Pariwisata NTB, kebanyakan dari Malaysia diiikuti Australia, Eropah termasuk Perancis dan Belanda.
Menurut infirnasi yang didapati dari Pak Ridwansyah, pelancong Malaysia suka ke Lombok kerana Lombok adalah destinasi halal. Pelancong dari Malaysia suka berbelanja, wisata kuliner. Mereka tidak ragu makan kerana disini semuanya halal.
Kini terdapat tiga penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur ke Lombok, dan tidak hairanlah mengapa Lombok, yang terkenal dengan nama Pulau Seribu Masjid itu digemari oleh pelancong dari Malaysia.

Sebenarnya kunjungan ke Lombok agak singkat. Jadi saya tidak sempat ke Museum Nusa Tenggara Barat atau melihat Kampus Universitas Mataram. Saya cuma bergambar Pusat Islam atau Islamic Center Nusa Tenggara Barat.  Selain Gili Trawangan dan Mandalika,pantai Senggi, Kota  Lombok juga terkenal kerana gunung Rinjani, gunung berapi tertinggi kedua di Indonesia.

Kebanyakan penduduk kota Mataram terdiri dari Suku Sasak, Ada juga suku Bali, Tionghua, Melayu dan Arab. Walaupun majoriti penduduknya beragama Islam, namun mereka tetap hidup harmoni, saling menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain.
Meskipun saya tidak sempat menaiki Cidomo, kenderaan angkutan kota seperti ojek, kereta kuda tetapi saya sempat menaiki Cidomo di Gili Trawangan.

Dalam kunjungan singkat itu juga, saya sempat minum kopi bersama pak H Taufiqurrahman, Sip MM, mantan Kepala Dinas Pariwisata Ekonomi Kreatif Sumbawa Barat, menantu Pakcik Badrun di Mall Lombok Epicentrum.

Beliau mengajak makan ayam taliwang, dan plecing kangkung,  makanan khas di Lombok, tapi tidak cukup waktu kerana malamnya kami harus menghadiri majlis di Golden Palace.  Sebenarnya, banyak lagi makanan khas Lombok antaranya,beberok terong, sate bulayak, nasi balap puyung, sate rembiga, poteng jaje tujak dan sebagainya.
Meskipun kunjungan ke Lombok itu, hanya tiga hari, tetapi keramahtamahan dan kebaikan hati mereka tetap tersemat dalam ingatan. Lombok itu  ertinya lurus.Tidak bengkok-bengkok, saya teringat kata-kata pak Adenan.