Monday, May 29, 2017

teringat kunjungan ke pulau belitung




HIDUPLAH untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya. Saya teringat kata-kata Pak Harfan dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata.
Ketika berkunjung ke SD Muhammadiyah Gantong, tempat Ikal dan kawan-kawannya bersekolah, saya terbayang-bayang Pak Harfan menyampaikan pesan terhadap anak-anak muridnya. Saya juga terbayang betapa gigih dan dan tabahnya seorang guru,Ibu Muslimah Hafsari mengajar dan mendidik anak-anak pulau itu, di sebuah sekolah yang terlihat sudah tua.
Entah sampai bila bangunan tua ini boleh bertahan. Saya melihatnya dengan rasa hiba dan terharu. Beginilah situasi SD Muhammadiyah suatu masa dahulu. Kini ia menjadi destinasi  pelancong di Belitung. Walaupun tempatnya agak jauh, namun ramai juga orang yang tetap mahu berkunjung untuk melihat sekolah yang menjadi terkenal di seluruh dunia itu.
Di dunia ini, tidak banyak tempat yang menjadi terkenal kerana sebuah novel. Kehebatan pulau Belitung semakin terserlah dan dikenali di seluruh dunia selepas Andrea Hirata menulis novel Laskar Pelangi, novel yang kemudian difilemkan dan menerima sambutan luar biasa.
Melalui novel yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan kemudian difilemkan itulah kita dibawa melihat suasana masa lalu di pulau Belitung, keindahan pantainya-Pantai Tanjung Tinggi dan beberapa tempat menarik lagi.
Salah satu yang paling mengesankan dari filem itu ialah sekolah SD Muhammadiyah Gantong, tempat Ikal dan kawan-kawannya -sepuluh orang semuanya-menimba ilmu pengetahuan.
Ketika sampai di SD Muhammadiyah itu, saya dapati halaman sekolah itu dipenuhi ramai pelancong. Kebanyakan mereka datang dari luar pulau Belitung dan pernah menonton Laskar Pelangi yang terkenal itu.
Namun ada seorang ibu tua, yang datang dari Jakarta turut serta dalam salah satu rombongan pelawat. “ Ini sekolahnya Ahok?” Saya menjawab bukan. Rupanya ada orang yang memberitahu Ahok, Gubernur Jakarta kononnya pernah bersekolah di sana.
“Kasihan, mengapa kerajaan tidak membangun sekolah ini? “ Bangunan ini sangat daif dan boleh roboh bila-bila masa, “ katanya. Saya hanya tersenyum.
Bangunan SD Muhammadiyah Gantong itu sebenarnya bukan bangunan SD Muhammadiyah yang sebenarnya. Bangunan itu, hanyalah sebuah replika yang dijadikan lokasi penggambaran filem Laskar Pelangi. Sekolah yang sesungguhnya kini sudah tidak ada lagi. Sutradara filem itu, Riri Riza membuat replika sekolah itu lengkap dengan pasir pantainya. Kini replika sekolah SD Muhammmadiyah itu menjadi salah satu lokasi pelancongan di pulau Belitung. Di sekitarnya, terdapat bangunan baru, kedai-kedai cenderamata dan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan. Dahulu sewaktu pertama kali datang, tempat itu kosong, yang ada hanya replika sekolah itu.
Bagaimanapun, saya masih agak beruntung kerana sempat bertemu Ibu Muslimah Hafsari di rumahnya. Ibu Muslimah banyak bercerita mengenai anak-anak yang kisah hidup mereka ditulis dalam novel itu oleh Andrea Hirata. Beliau menceritakan perkembangan mengenai pelajar-pelajar yang pernah dididiknya itu. Kecuali Lintang yang tidak mahu dikenali.
Pulau Belitung, adalah sebuah pulau kecil yang terletak di antara Selat Gaspar dan Selat Karimata, di timur Pulau Sumatera. Pulau itu sangat terkenal kerana keindahan pantai dan pulaunya. Lanskapnya mempesona, unik dan tersendiri.  
Selain itu, bongkah-bongkah batu granit dengan formasi yang cantik, adalah satu pemandangan yang menjadi ciri khas pulau Belitung. Pasirnya putih, dan airnya yang jernih menjadikan pulau itu makin terkenal.
Pulau Belitung bersama pulua Bangka, yang jauh lebih besar dan beberapa pulau kain di sekitarnya kini dijadikan  sebuah provinsi baru iaitu Provinsi  ke 31 di Indonesia pada tahun 2000 dan dikenali Provonsi Kepulauan Bangka Belitung.
Terdapat dua kabupaten di Belitung iaitu Kabupaten Belitung dengan ibu kotanya Tanjung Pandan dan Kabupaten Belitung Timur dengan ibu kotanya Manggar.
Formasi batuan granit yang menyebar di sepanjang perairan itu membuatkan pulau Belitung sebuah pulau yang berbeza. Selain pantai Tanjung Tinggi, terdapat beberapa pantai lain yang tidak kalah cantiknya iaitu Pantai Tanjung Kelayang  Pantai Burung Mandi, Pantai Tanjung Binga, Pantai Punai, dan Pantai Membalong.
Terdapat lebih 100 pulau kecil di sekitar pulau Belitung. Saya sempat ke Pulau Lengkuas, yang menempatkan rumah api yang dibina abad ke 19 si zaman penjajahan  Belanda.
Saya sempat menaiki tangga di rumah api setinggi 18 tingkat dan dibina sejak 1882 lagi.

Dari atas Rumah itu Api , saya melihat betapa indahnya kehidupan untuk kita nikmati. Betapa indahnya ciptaan-Nya.

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.

No comments: