Saturday, July 15, 2017

PERJALANAN MENJEJAKI KUBURAN LAMA DI KOTA BELUD



PERJALANAN MENJEJAKI KUBURAN LAMA DI KOTA BELUD







Perjalanan kali ini agak sedikit berbeza berbanding beberapa perjalanan sebelumnya. Kali ini perjalanan kami khusus untuk mencari kuburan. Bukan kuburan biasa melainkan kawasan pemakaman lama yang dahulunya mempunyai kedudukan penting sejarah sebelum kedatangan penjajah Barat di Borneo ini.

Untuk itu, kami terpaksa masuk meredah hutan di satu kawasan hutan yang dikenali sebagai`Adsem’ untuk menjejaki makam Sultan Adil bin Datu Maminasakan, seorang tokoh kayaraya yang menjadi kuasa pentadbir Iranun di kawasan Lamau.

Menurut sejarah, Sultan Adil mempunyai hubungan yang akrab dengan kerajaan Brunei pada masa itu. Beliau dikenali sebagai tokoh yang maliana (millionaire) dengan harta kekayaan yang luar biasa.  Selain sebagai seorang ketua yang disegani, Sultan Adil juga memiliki banyak alat kebesaran yang kini sebahagiannya masih disimpan oleh keturunannya.

Selain meriam, gong,senjata dan alat kebesaran, Sultan Adil yang memerintah Lamau adalah seorang yang sangat berpengaruh pada zaman itu.

Oleh sebab itu, beliau mempunyai hubungan dengan dengan pedagang dari China yang menaiki wangkang untuk mudik ke kawasan Marampayan, kata seorang tokoh Iranun, Pinjaman Haji Hassin.

Di bawah pimpinannya, satu ketika dahulu, Marampayan (Kini Kampung Rampayan) mempunyai hubungan dagang dengan kerajaan Brunei, Sulu, Demak, Cirebon dan beberapa kerajaan kecil di kepulauan Nusantara.

“Orang-orang Iranun menjual damar, sarang burung, kulit penyu,rotan dan sebagainya,” kata Pinjaman memberitahu mengenai komoditi yang dijual pada masa itu. Katanya, pedagang dari Cirebon misalnya membawa rempah manakala pedagang dari China menjual alat senjata meriam, tempayan dan sebagainya”.

Pada masa itu, pemerintahan yang dipimpin Sultan Adil adalah termasyhur dan makmur. “Jangan silap, beliau dinamakan sultan adil bukan kerana adil yang kita fahami dalam bahasa  melayu kerana adil-adilan dalam bahasa Iranun membawa  maksud kaya raya,” katanya.

Inilah sebuah kuasa pemerintahan yang mashyur sebelum kedatangan kolonialisme, katanya sambil mencari petanda mengenai makam Sultan Adil yang kini menjadi kawasan hutan. Salah satu tanda yang masih ada ialah pangkal pokok kupang, yang sudah ditebang oleh untuk dijadikan perahu. Disitulah letaknya makam Sultan Adil dan beberapa kuburan lain.

Kawasan itu kini menjadi kawasan belukar. Kami hanya menemui kawasan yang menjadi perkuburan Sultan Adil tetapi kerana semak, kami memutuskan untuk datang lagi.

Selain penulis, turut dalam misi mencari jejak sejarah Iranun itu ialah Datu Jamaluddin Datu Moksan, peneliti sejarah Iranun, lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kami dipandu oleh seorang penduduk tempatan, Matli Ulang dan Faisyal Pinjaman, peminat sejarah Iranun.

Dari perkuburan Adsem itu, kami bergerak lagi ke sebuah kawasan perkuburan lama di Rampayan Ulu, yang dikenali sebagai `katampatan sa rebuk’. Di sana, masih tersisa sebuah kuburan yang menggunakan `rabur’ iaitu satu teknologi membuat simen, yang menjadi kepakaran Iranun. Rabur itu dibuat dari batu karang, kata Pinjaman, yang menjadi sumber rujukan kami pada hari itu.

Apa yang agak mengejutkan kami, dan ini satu penemuan yang sangat menarik ialah kewujudan batu nisan yang bertulis jawi.

“Batu nisan bertulisan jawi ini, adalah satu bukti sejarah yang tidak dapat disangkal mengenai peradaban pada masa itu. Ia boleh menjadi petunjuk mengenai ketamadunan Islam di Kota Belud,” kata Datu Jamaluddin.

Cuma kawasan perkuburan ini agak terbiar padahaal ia boleh menjadi tapak bersejarah yang perlu dipelihara, kata Datu Jamaluddin.

Ada beberapa batu bersurat yang menunjukkan bahawa masyarakat pada masa itu sudah mengenal abjad jawi dan menjadi satu bukti mengenai tahap ilmu pengetahuan yang  mereka miliki.

Selepas dari perkuburan di Rebuk, kami ke Lamau untuk melihat pula perkuburan Raja Muda Sa Sawir, seorang pemimpin yang terlibat dalam penentangan terhadap penjajah kira-kira pada tahun 1846.

Sebenarnya masih banyak yang perlukan kajian lanjut mengenai sejarah tempatan di Kota Belud. Banyak tapak bersejarah yang perlu dipulihara. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengangkat batang sejarah yang terendam dalam sungai waktu beratus-ratus tahun lamanya.

Dalam perjalanan mencari kuburan ini, kami sempat berkunjung ke tiga kawasan pemakaman, yang semuanya memiliki peranan dan kedudukan penting dalam sejarah di negara ini.

No comments: