Khamis, 31 Ogos 2017

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang, Inikan Pula Tempat Bermain

Tags
TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG,INIKAN PULA TEMPAT BERMAIN
-Catatan sekitar pertemuan Anak-Anak Jati Icebox, Kampung Titingan Hujung Tawau.

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN


TEMPAT jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Sekilas frasa itu memang klise tetapi bagi Muhamad Jamal Kahar atau lebih dikenali Bang Anto’, tidak ada hal yang klise bagi persaudaraan dan persahabatan.

Ingatan dan kenangan masa kecil yang berkampung dalam mindanya, mendorong Bang Anto’ mencari dan menjejaki rakan-rakan sekampung yang lama tidak bersua, tidak bersapa, malahan lama tidak berjumpa kerana ramai yang sudah meninggalkan tempat kelahiran mereka puluhan tahun lamanya.

Namun bagaimana cara untuk merealisasikan niat mulia itu? Ada di antara rakan-rakan sekampung itu sudah berpindah ke tempat lain, di negeri lain dan ada diantaranya lama tidak pulang ke kampung asal mereka, kampung Titingan Hujung, Tawau.

Tidak habis fikir, Bang Anto mewujudkan grup Whatsapp Anak-Anak Jati IceBox , nama lain bagi Titingan Hujung ,untuk mengumpulkan rakan-rakannya. Tanpa disangka, idea Bang Anto itu mendapat respon yang luar biasa. Dengan sokongan yang positif itu, anak-anak jati IceBox itu mengadakan reunion.

Pertemuan semula selepas lama tidak bertemu tentulah suatu peristiwa yang ditunggu-tunggu. Gayung bersambut, apabila  Ali Haji Alwi-mereka memanggilnya Tokeh Ali-, rakan mereka yang berjaya, usahawan dermawan menjemput semua rakan yang di Tawau untuk datang ke rumahnya di Taman Dahua 3, 29 Julai lepas.

Perjumpaan khusus untuk anak-anak Jati Ice Box itu bertujuan untuk mewujudkan jawatankuasa pelaksana perjumpaan anak-anak Ice Box.

Ramai yang hadir dalam majlis itu. Tuan rumah pula menyediakan menu masakan kampung. Antaranya ikan kering, sayur bening, ikan rebus, ikan panggang, kuih muih, minuman, air jagung dan sebagainya.

Ini senarai awal yang memberikan pengesahan untuk hadir..AbgMadi,Seam,Kandai, Mancui,Kidik,Ida,Cozzy,Handoko, Biyai,Yus Noi,Shake,Keyko,Jaya,Hamid @aman Mamud Saing, Yaya ,Rani,Acho,Ying Kahar,Mis pukung, Yunus Bakar,Ida Ayak Noi,Nurain Nordin,Udin Bilal,Suyung ,Jul Bunga, Asni k & suami,Apeng,Kacung,Wan & isteri, Nyil Pukung, Weady, Kucuk,Yanti, Adong,Lijak,Jenab, Biok,Miam.

Mulanya mereka memberikan nama penuh tetapi yang selalu diingati ialah nama di kampung. Ini membuatkan bang Anto Kebingungan.”Kalau boleh bagilah nama di kampung, katanya.Halijah tu siapa? ,Samsia  tu Siapa, Mariama tu siapa?

Akhirnya mereka memberikan nama `glamour di Ice Box.

“Nama kampung Halijah tu si Lijang, Samsia tu si Jinab, Sabariah tu Sibiyuk dan Mariamah tu si Miyam.
Pertemuan malam itu adalah bersejarah, bagi anak-anak yang hidupnya dulu selalu main di sungai, laut dan bawah kolong.

“Syukur alhamdulillah  Terima kasih tokey Ali dan steri dan seluruh keluarga dan admin kita Antok . Perancangan  akhirnya berjaya untuk  menyatukan anak-anak  jati Icebox sungguh meriah . Moga akan datang ,ada lagi dibuat perjumpaan sebegini....rasa terkilan sebab tak dapat datang. Memang terbaik anak-anak jati Icebox. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar setakat ini dan di harapkan di penghujung nanti berakhir dengan baiknya, Aamiin.,” demikian bunyi seorang anak jati Icebox melalui Whatsapp.

Anak-Anak Jati Icebox luas maksudnya, kata Bang Anto’. Ia merangkumi  semua anak jati Icebox dari Blok 5,Blok 6, Blok 7, Blok 8 dan Blok 9.

Bang Anto’ dulu menetap di Blok 7. Kini sudah berpindah ke Taman Semarak. Rakan-rakannya yang lain, ramai yang sudah meninggalkan kampung yang penuh nostalgia itu. Ada yang merantau ke Labuan, Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau, Melaka, Pahang, negeri-negeri lain di Semenanjung dan malah ada yang bekerja di luar negara.

Ada yang sudah lama tidak pulang kampung, ada yang puluhan tahun tidak dapat menjejakkan kaki ke Icebox kerana kesibukan  mencari penghidupan.

“Tapi selagi tembuninya tertanam di Icebox, hati mereka tetap tergamit pulang,” kata Bang Anto’.

Bang Anto’, 50, memang  dikenali ramai. Orangnya peramah dan hormat orang tua. Itulah sebab ramai yang kenal.Lebih-lebih lagi ada padang dan warung ibunya, makcik Giah yang menjadi tempat berkumpul kanak-kanak, remaja sama ada  bermain di padang atau membeli di warung, kata sepupunya, Gee atau Fauziyah Nurdin.

“Makcik Giah...petang-petang jual sanggar (Pisang goremg campur sambal) air surap dan kuih-muih. Tapi sanggar makcik Giah sangat laku. Sehingga kedainya tumpuan dan ramai anak-anak muda berkumpul di sana,” katanya.

“Depan rumah makcik Giah tu juga tempat anak-anak dan orang-orang bermain bola, badminton, main guli dan macam-macam lagi.Masa tu depan rumah makcik Giah pasir belaka.Gelanggang itu jugalah yang banyak melahirkan pemain sepaktakraw, yang mewakili daerah  hingga ke peringkat negeri,” tambahnya.

Banyaklah juga kenangan mereka sewaktu menetap di Icebox, katanya. Walaupun sudah berpindah tempat tinggal, tetapi rumah kediaman mereka masih tetap berdiri di Icebox, sebagai salah satu daripada tujuh buah rumah yang terawal didirikan di kampung itu,  kira-kira tahun 50-an. Kampung itu dulu sebuah perkampungan nelayan. Icebox terbahagi kepada Batu 2, Taman Tawau Lama. Dinamakan Icebox kerana dulu ada nama Icebox. Ia mendapat nama kampung Titingan kerana dahulu pembukaan kampung itu dirasmikan oleh Datuk Haji Abu Bakar Titingan.

“Petang-petang ketika matahari turun, kami sudah rancang mahu mandi ke sungai. Tidak ingat juga macam mana terlepas ke sungai, padahal arwah Bapa tidak pernah beri kebenaran. Ada saja alasan bagi  dengan mak kalau mahu mandi Sungai. Selalu ikut kak Yus menyuci atau makcik Sal dan Makcik Tia. Dua orang makcik inilah kami selalu ikut, kenangnya. Seronok berenang sambil menyelam di Sungai,” katanya.

“Ya, kami selalu tunggu air pasang sebab mahu mandi Sungai,” kata Kak Mis atau Misliah.  “Saya , si Tika, Si Kucuk, Si Sisal. Sekali menyelam, ada pula benda lain timbul atas kepala. Aduii, itu lagi sandi,” katanya. Sandi ertinya ertinya teruk dalam dialek Melayu Sabah.

Kak Mis ini memang cepat ketawa, kata Gee. Belum mula bercakap dah ketawa dahulu, Ka Mis ni geng Kak Nastika.Kak Tika pula nampak pendiam, tapi kalau dah dekat dengan dia, pasti ketawa dibuatnya, kata Gee lagi.

“Tempat kami selalu pergi ada di Blok 8 kerana ada pelantar tempat orang menyuci, ambil air di bawah pelantar tu saja. Sambil makcik makcik menyuci, Aku, Jah, Jun berenang-renang dekat pelantar.Kami tak pernah mandi jauh-jauh sebab kami boleh dikatakan tak lasak, tak berani mandi jauh-jauh dari Makcik.

Mengenai hubungan penduduk kampung, memang sangat akrab pada masa itu. “Seminggu sebelum majlis kahwin, keluarga dan orang-orang berkumpul ramai-ramai menyediakan masakan dan makanan untuk majlis perkahwinan, masing-masing dengan kemahiran masing-masing, dan ada juga yang ditugaskan untuk menjemput orang dari rumah ke rumah.Biasanya Makcik Yun. Sementara orang lelaki menyiapkan Serobong atau khemah  untuk majlis persandingan. Kalau ada majlis kami, tidak sah kalau tidak ada zapin.Jadi lantai serobong itu perlu kuat untuk berzapin.

Kalau ada orang meninggal di kampung, orang-orang kampung lelaki dan perempuan akan berkumpul tak perlu dijemput. Inilah istimewanya orang kampung icebox, sangat peduli dengan keluarga mahupun jiran sekeliling. Blok 6,7, 8 sangat rapat. Di Blok 8, ada dua keluarga non muslim tapi mereka tidak janggal bersama kami , lebih-lebih lagi hari raya. Di Blok 8 juga ada kedai Cina depan rumah si Din kalau tak silap. Depan kilang tayar pun ada kedai Cina,kedai runcit juga.Kami memang selalu membeli di situ, sebab dekat dengan rumah.Kak Mis selalu usik taukeh kedai yang perut buncit.Kak Mis tanya bila lagi mahu beranak.Marah apek tu dengan Kak Mis, kak Mis pun cepat-cepat lari, “ katanya.

Pertemuan Anak-Anak Jati Icebox itu tetap jadi kenangan. Kesudian Ali Haji Alwi dan isteri, Puan Norliana Alibasa dan juga anak-anak belau yang turut membantu menyediakan tempat dan makanan untuk majlis itu amatlah besar ertinya. Kehadiran Ketua Kampung, Haji Ismail dalam pertemuan itu menjadikan majlis itu berjaya dan Meriah.

Kepulangan anak-anak Icebox, yang datang dari jauh dan dekat itu sangat mengharukan. Mereka yang terpilih sebagai ahli jawatankuasa untuk persatuan anak-anak jati Icebox yang ditubuhkan berjanji untuk menggalas amanat yang diberikan demi untuk kerja-kerja  amal jariah .

“Tanggung jawab ini akan digalas dengan penuh integriti bersama gandingan jawatankuasa yangg sedia ada demi merealisasikan impian untuk memudah cara mengurus kebajikan anak jati Icebok, insyaAllah.

Sungguhpun pertemuan itu sudah berlalu, masih ada yang terkenang-kenang peristiwa itu dan kenangan sewaktu kecil dan membesar di Icebox

Ketika berjumpa ,ada yang berpeluk cium, bertanya khabar, bercerita kisah kisah dan kenangan lama, namun ada juga yang pulang dengan rasa kesal kerana  lupa berselfie atau berswafoto.

LAMZ,DARI CUCI PIRING HINGGA MENJADI USAHAWAN MUDA

Tags


LAMZ,DARI CUCI PIRING HINGGA MENJADI USAHAWAN MUDA
-Kisah yang menginspirasi dari perjalanan hidup seorang pemuda berusia 23 tahun, yang gigih dan tabah menjadi usahawan berjaya



KISAH hidupnya luar biasa. Keperitan yang dilaluinya bukan kepalang tetapi kejayaan yang diraihnya begitu menginspirasi. Ketabahan dan kesungguhannya layak dipuji, semuanya didorong semangat yang kuat, mengatasi segala cabaran, semata-mata mahu berjaya.

Kira-kira tujuh bulan lalu, Noor Lam bin Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Lamz ,23 tahun , hanya seorang pemuda yang luntang lantung mencari kerja. Berbekal duit RM60.00, beliau nekad naik bas dari Sandakan untuk mencuba nasib di Kota Kinabalu.

“Susah sangat cari kerja di Sandakan jadi hijrah cari penghidupan di KK,” katanya.

Sesampainya di Terminal Inanam, dia tidak tahu mahu ke mana. Selepas menunaikan solat Asar, beliau terilham mahu ke Putatan, kebetulan ada rakannya yang tinggal di daerah kecil itu.

Setbanya di Putatan, hari sudah malam. Beliau terus mencari tempat rehat.
Beliau sempat tidur dua hari tiga  malam di bawah jejantas, hampir  kehilangan gitar kerana diganggu orang gelandangan. Banyak cubaan yang ditempuhinya.

“Saya cuma ingat Allah pada masa itu. Doa saya, Ya Allah, andai Engkau ingin ambil semua kenikmatan yang enkau berikan kepadaku, engkau ambillah. Tapi satu jangan engkau pernah ambil ya Allah iaitu kepercayaanlu pada Engkau dan Engkau tidak pernah sesekali menzalimi hambamu.

Selepas itu,Lamz sempat menumpang di rumah kawannya selama satu malam. Keesokan harinya dengan beg pakaiannya, beliau berjalan dari kedai ke kedai, untuk mencari kerja.


“Matlamat saya mahu berjaya,” katanya kepada Utusan Borneo.
Tidak lama kemudian, beliau bernasib baik kerana mendapat kerja di sebuah kedai memasang cermin kereta, walaupun pada mulanya, ketika ditemuduga, beliau  terpaksa mengaku berpengalaman walhal ketika itu, beliau  hanya memberanikan diri.

“Saya ditanya apa pengalaman? Saya katakan saya pandai bikin kusyen kereta, tapi kedai itu kedai pasang cermin gelap. Akhirnya kerana terdesak mahu cari duit, beliau terpaksa mengaku pandai pasang cermin gelap, ada pengalaman enam tahun.

“Saya mengaku pandai.Kemudian saya ditawarkan RM1,300 gaji sebulan,” katanya.

Namun akhirnya selepas kedapatan tidak pandai memasang cermin gelap, beliau berterus terang sebenarnya beliau tidak berhasrat untuk berbohong tapi kerana beliau benar-benar perlukan kerja.
Pengawal keselamatan sebuah kedai, menumpangkan barangnya dan menumpang tempat mandi.
Akhirnya selepas bertanya ke sana kemari, Lamz dapat  bilik sewa. Sebulan RM380.00. “Pemilik rumah bertanya bila boleh bayar, saya bilang besok. Sebenarnya waktu itu saya belum ada duit.

Keesokan harinya, bila pemilik menagih duit sewa, Lamz mengaku belum ada wang kerana baru saja mendapat kerja. Beliau berjanji bayar hujung bulan. Pemilik rumah itu agak kecewa dan marah. Kalaupun dihalau, saya memang tiada tempat berteduh, katanya. Mungkin kerana rasa belas, akhirnya Lamz dibenarkan menyewa di bilik itu.

Lamz keluar bekerja kira-kira 9.00 pagi dan pulang kira-kira jam 7.00 malam. Begitulah rutin hariannya. Lepas itu mandi. Sesampai di bilik sewanya,beliau terus sambung mengajar anak-anak yang datang mengaji.Mulanya satu orang,  dua orang, kemudian lima orang, kini kira-kira 30 orang datang mengaji di bilik sewanya.

“Saya tidak kenakan bayaran. Percuma saja. Mereka mahu datang mengaji, saya ajar mereka mengaji setakat yang saya tahu,” katanya. “Saya minta mereka fokus, belajar dengan rajin.Saya selalu nasihatkan anak-anak itu”.

Jam 9.00 malam, anak-anak itu pulang ke tempat masing-masing. Selepas berehat sebentar dalam setengah jam, Lamz cari kerja lembur. Beliau menawarkan khidmat cuci piring dari warung ke warung di pasar malam Putatan. Terdapat banyak warung di Putatan, dan Lamz mampu mencuci pinggan mangkuk dari jam 10.00 hingga jam 3.00 pagi, pernah sampai 4.30 pagi. Tidur sati dua jam, lepas itu, bangun solat Subuh dan berzikir. Beliau mendapat upah dari beberapa warung untuk cuci piring. Satu malam, Lamz boleh mencuci piring di 15 gerai yang terdapat di situ. “Cabarannya memang berat.Piring bertimbun. Saya cuci piring sambil air mata mahu keluar,” katanya.
Hasil pendapatannya cuci piring di warung itu, antara RM300 hingga RM400 satu malam, terus di simpan dalam akuan simpanannya di bank.

Beliau terpaksa mengumpul wang  dengan harapan satu masa nanti, beliau boleh membuka usaha sendiri.

“Kalau tidak begitu, bagaimana saya maju. Pendidikan hanya darjah dua,” katanya. Beliau pernah bersekolah di SK Bandar Sandakan. “Saya bukan tidak mahu sekolah, tapi keluarga kami kurang mampu,” kata anak ke lima dari tujuh adik beradik itu.Ibu bapa hanya menjual sayur.

Tapi azamnya untuk berjaya itu digenggamnya sepenuh hati. Beliau rela mengikat perut, untuk berjimat. Lamz hanya makan maggi sedap, “itulah nasi, itulah lauk” setiap hari”.
Matanya cekung kurang tidur. Rambutnya panjang kerana kurang terurus. Tapi dia tetap kerja bersungguh-sungguh, mengajar anak-anak mengaji, kerja lebih masa dengan cuci piring, dan beliau tidak pernah lupa solatnya. Beliau tidak lupa mengerjakan solat istikharah meminta diberikan rezeki dan dipermudahkan segala urusannya. Sehingga satu malam beliau pernah bermimpi, mengerjakan tawaf di Kaabah.

Sebenarnya saya lari dari rumah kerana dimarahi orang tua. Puncanya kerana beliau dianggap tidak mungkin berjaya dan tidak mempunyai masa depan..
”Kalau kau tidak mahu dengar cakap mama berjual, bagus kau lari sampai bilapun kau tak akan berjaya dengan  buat kusyen kau tu sama bidang nyanyianmu itu”

Kerana tidak tahan dileteri, dan dimarahi, beliau menjual laptopnya. Selepas duitnya habis, barulah dia terfikir mahu cari kerja di KK.

“Duit yang ada hanya RM60.Tolak tambang, tinggal RM14 saja. Saya masih ingat, “ katanya.” Kalau ingat balik, airmata saya berlinangan,” katanya. Tapi Lamz tidak mahu mengalah. Beliau bertekad tidak akan menghubungi keluarganya sehinggalah dia berjaya.

Sesampainya di Terminal Inanam, Lamz tidak tahu mahu ke mana. Beliau berserah kepada Allah sahaja untuk langkah seterusnya. Selepas solat asar, beliau teringat ada seorang rakannya yang tinggal di Putatan.
Dalam hati, Lamz mahu pergi ke Putatan dari Inanam dengan berjalan kaki.Tiada tempat mahu bertanya, ingatkan dekat”. Saya bertanya seorang makcik,  Dari sini ke putatan, boleh jalan kakikah”.Makcik tu jawab, kalau dari sini sampai esok pagipun kau tidak sampai.Kalau Kolombong, dekatlah,” katanya. Kemudian dia diberitahu bagaimana ke sana.

“Dengan duit 60 ringgit itulah, saya boleh jadi begini,” katanya mengenang. Lalu, bagaimana kisahnya, sehingga beliau berjaya membuka kedai kusyen?

Selepas bekerja beberapa bulan di kedai membuat cermin gelap itu, suatu hari mereka diberi cuti empat hari sempena perayaan Tahun Baru Cina. Lamz tidak tahu mahu buat apa. Kebetulan ada syarikat seluler yang menagih hutang bil telefon dan menyebut bahawa kalau boleh mereka mahu potong bayaran dari bank.

Kemudian Lamz teringat wang yang disimpannya. Setibanya di bank, beliau rasa tidak percaya dengan jumlah duit yang terkumpul. Beliau berbaris lagi di mesin ATM, tapi tetap rasa tidak percaya hinggalah ke mesin ATM yang ketiga barulah beliau benar-benar yakin bahawa duit itu, miliknya sendiri.
Jumlahnya RM19,580.20. Itulah hasil pendapatan cuci piring selama lebih dua bulan di Putatan. Menyimpan duit tiap hari hasil upah antara RM300 hingga RM400.
“Ingatkan ATM salah, saya berbaris di mesin ATM yang lain, hingga baris di ATM ketiga, saya baru yakin itu duit saya sendiri,” katanya.

Masih rasa gugup, beliau tidak tahu apa perancangan terhadap duit yang ada. Akhirnya beliau terfikir mahu cari kedai untuk di sewa. “ Saya mahu buka kedai kusyen,” katanya. Selepas menemui kedai untuk di sewa, beliau berunding dengan pemilik kedai yang mulanya rasa kurang percaya. Di hadapannya, seorang pemuda dengan mata cekung, dan penampilan yang kurang terurus. Beliau  pandang saya dua tiga kali.

Selepas perundingan dengan taukeh kedai itu mengenai kadar sewa dan selepas beliau menerangkan niatnya mahu buka kedai kusyen, akhirnya perjanjian sewa kedai ditandatangani.

Kedai itu kosong, tanpa sebarang perabot.  Lamz kemudian mencari mesin jahit kusyen, yang diperolehi dengan harga hampir RM6,000, mesin terbaik yang didamkannya sebelum ini. Beliau kemudian menempah papan tanda.


Keesokan harinya, apabila cuti berakhir, dan kedai tempatnya bekerja dibuka, beliau berjumpa dengan majikannya untuk berhenti kerja dengan alasan mahu buka kedai kecil.
Mereka lebih terkejut apabila kedai yang dimaksudkan adalah kedai yang baru dibuka. Rakan-rakannya tidak pernah menyangka, Lamz boleh melakukannya.
Semua orang tahu , asal mula perjalanan kerjaya Lamz, dari seorang pencuci piring hingga beliau dipanggil Lamz Cuci Piring, kini dipanggil Lamz Boss.

Beliau kini berjaya membuka kedai Master Lamz Cushion Designer di Putatan Plaza. Lamz rasa bersyukur kerana berjaya membuka kedai kusyen. Mengenangkan semua itu, airmata bercucuran, segala episod dalam hidupnya sejak mulai meninggalkan rumah, tidur di bawah jejantas, kerja cuci piring dan sebagainya melintas di kepalanya.

Kini dengan hanya bermula RM60.00 dalam poket ketika mula-mula meninggalkan Sandakan dan berhijrah ke Putatan, Lamz kini mampu menggaji empat orang pekerja dengan gaji yang lumayan, menyediakan segala keperluan pekerjanya.

Hampir setiap hari beliau mendapat tempahan membuat kusyen kereta. Pendapatan bulanannya kini mencapai RM28K sebulan.

Kemudian selepas itu, barulah beliau menghubungi ibunya di Sandakan. Pada mulanya ibunya tidak mahu bercakap di telefon kerana merajuk, tapi kali ketiga selepas menyatakan kerinduannya, mereka bertangisan sambil meluahkan perasaan.

Rupanya kejayaan Lamz itu sudah diketahui keluarganya melalui facebook kerana beliau masih berteman dengan adiknya di media sosial itu.

Lamz kemudian mengajak ayah dan ibunya untuk melawatnya di Putatan, dan menunaikan hasratnya untuk membelikan hadiah istimewa kepada kedua ibu bapa dan adiknya.

KJRI KK TINGKATKAN HUBUNGAN SOSIAL, BUDAYA, EKONOMI ANTARA SABAH DAN INDONESIA

Tags


KJRI KK TINGKATKAN HUBUNGAN SOSIAL, BUDAYA, EKONOMI ANTARA SABAH DAN INDONESIA

Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-72 hari ini, selepas mengisytiharkan Proklamasi Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.   Indonesia adalah sebuah negara yang besar, memiliki kira-kira 17,000 pulau, 516 Kabupaten, 34 Propinsi, 714 suku dan 1,100 bahasa. Republik Indonesia kini semakin maju dan pesat membangun di bawah Kepimpinan Presiden Joko Widodo.
Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu mengadakan pelbagai acara untuk mengisi perayaan  sambutan HUT ke-72.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mengadakan Wawancara Khas dengan Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, AKHMAD DAYA HANDASAH  IRFAN mengenai beberapa perkara mengenai kemerdekaan, peranan KJRI KK dalam melindungi warga Indonesia, kerjasama sosial, budaya, ekonomi antara Malaysia dan Indonesia dan sebagainya. Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang diadakan di pejabatnya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI), Jalan Karamunsing Kota Kinabalu.

UTUSAN BORNEO: Dirgahayu Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-72 Pak Konjen. Terima kasih kerana sudi menerima kami untuk sesi wawancara ini. Apa yang boleh dikenang setiap kali kita memperingati kemerdekaan?
AKHMAD DH IRFAN: Peringatan Kemerdekaan Republik Indonesia akan selalu mengingatkan kembali perjuangan bangsa Indonesia untuk merdeka lepas dari penjajahan. Nenek moyang kami, berjuang untuk merdeka dan hidup bebas menentukan nasib sendiri. Di kemudian hari peringatan ini juga selalu mengingatkan kami para generasi muda untuk selalu mengisi kemerdekaan itu dengan semangat kepahlawanan dan nilai-nilai  persatuan. Bahwa bangsa Indonesia merdeka dalam kebhinekaan, berbagai suku, dan bahasa yang semua dipersatukan dengan Pancasila. Nilai ini tidak boleh dilupakan generasi muda ditengah gempuran ajaran ekstrem melalui media sosial yang begitu masif menyerang ideologi negara.

UB: Apa tugas dan peranan yang dimainkan KJRI dalam melindungi warga Indonesia di Sabah?
AKHMAD DH IRFAN: Peran KJRI tentunya memastikan warga Indonesia memiliki identitas Indonesia di negeri orang. KJRI juga berusaha memastikan Warga Indonesia untuk selalu taat pada hukum setempat  dan apabila mendapatkan permasalahan hukum baik sebagai pelaku ataupun sebagai korban maka dengan pendampingan dari KJRI mereka terlindungi dan bisa memperoleh proses yang adil dan layak.

UB: Apa pendekatan yang digunakan KJRI dalam mendekati warga Indonesia?
AKHMAD DH IRFAN: KJRI membuka jalur media sosial facebook untuk warga indonesia dimana dapat menyampaikan pendapat, bertanya jawab,  mengeluarkan keluhan, tanpa birokrasi panjang lebar. Membangun sense of belonging sebagai warga negara Indonesia untuk lebih meningkatkan hubungan dengan Sabah. Baru-baru ini KJRI dengan membuat acara Indonesian Week and Nite 2017 bagi publik, dan mengajak masyarakat Indonesia turut serta mengisi acara. Jadinya para warga negara Indonesia juga dilibatkan dalam kegiatan KJRI,  tidak hanya sebagai penerima jasa saja,  tetapi juga sebagai partisipan.  Pada pokoknya KJRI dan masyarakat itu adalah satu keluarga dengan KJRI sebagai orang tua mereka.

Sebagai orang tua, KJRI terus mendekati dan membina hubungan dengan warganya, antara lain, mengunjungi warga di berbagai tempat melalui program out-reach kekonsuleran, sosial dan budaya serta pendidikan. KJRI juga mengadakan dialog langsung dengan berbagai komunitas suku yang utama di  Sabah, melalui program keagamaan, sosial dan gotong royong.

UB: Apakah KJRI masih menerima laporan mengenai pemerasan penganiayaan pekerja di Sabah?
AKHMAD DH IRFAN: Kerana itu melibatkan hubungan antara manusia, tidak bisa dihindari masalah itu selalu ada. Kami harus berhati-hati, kalau memang terdapat unsur pemerasan dan penganiayaan maka kami mendorong agar masalah itu diselesaikan melalui jalur hukum.  Saya berpendapat bahwa pihak yang melakukan pelanggaran hukum tentu harus mempertangungjawabkan perbuatannya, baik dia sebagai majikan, orang tengah atau sebaliknya sebagai pekerja yang melakukan itu.

Walaupun demikian, dalam hal kasus-kasus bukan masalah kriminal, kami mengupayakan penyelesaiannya di luar pengadilan dengan bermusyawarah diantara para pihak. Penyelesaian melalui jalur pengadilan akan memerlukan waktu lama dan biaya yang cukup besar untuk penyelesaiannya.

UB: Apa harapan bapak terhadap hubungan kerjasama budaya, ekonomi, sosial antara Malaysia dan Indonesia?
AKHMAD DH IRFAN: Dibidang ekonomi, kami berharap hubungan ke depan akan terus meningkat dan saling menguntungkan. Selama ini terbukti perekonomian Sabah turut berkembang dengan adanya pekerja Indonesia di berbagai sektor perkebunan dan pembinaan. Tetapi kami berharap kerjasama yang baik ini tidak hanya dibidang ketenagakerjaan, tetapi juga bidang lainnya seperti kerjasama pariwisata dan sebagainya.


UB:  Bagaimana peningkatan kerjasama dagang antara Sabah dan Kaltara (Kalimantan Utara)?
AKHMAD DH IRFAN: Kerjasama dagang perlu didorong oleh pihak swasta sabah dan Kaltara(,Kalimantan Utara)  baik dalam kerangka Sosekmalindo dan BIMP EAGA. Kerjasama sister city dalam bidang sosial budaya juga perlu diwujudkan dengan kegiatan diantaranya saling kunjung antara instansi dan pengusaha ke dua wilayah untuk semakin mengenal potensi masing-masing. Sinergi usaha baik swasta dan pemerintah harus berjalan bersama-sama untuk upaya peningkatan terjadi.

UB:Jika digabungkan jumlah rakyat di kedua negara mencapai 300 juta dan boleh menjadi kuasa pasar  yang kuat. Ini sudah pasti berpotensi untuk mendorong industri halal. Apa komen bapak?
AKHMAD DH IRFAN: Malaysia dan Indonesia harus lebih cepat dalam meraup kesempatan di industri halal. Selama ini ada sebuah negara yang bukan muslim tetapi produk-produknya bahkan mengalahkan produk halal yang dikeluarkan oleh Malaysia dan Indonesia; misalnya mie instan. Ke depan saya yakin akan ada sinergi,  setelah disepakati dengan prinsip saling menguntungkan.


Indonesia - Malaysia sebagai negara yang memiliki penduduk majoriti  muslim dan memiliki kekayaan alam, sangat berpotensi  menjadi negara utama produsen (pengeluar) dan konsumen (pengguna)   makanan halal di dunia. Jika kedua negara memiliki kerjasama ekonomi yang lebih erat, dapat menjadi negara eksportir (pengeksport) utama bagi negara Islam lain di dunia.



UB: Sebagaimana yang kita ketahui Malaysia dan Indonesia ada membina Kerjasama Malindo, sejauh mana pencapaiannya?
AKHMAD DH IRFAN: Kerjasama SosekMalindo antara Kaltara dengan Sabah baru dimulai tahun 2014. Dahulu kerjasama ini adalah antara Kalimantan Timur dan Sabah. Berbagai upaya sudah mulai dirintis untuk kerjasama kedua wilayah tersebut, misalnya dari kerjasama kesehatan bagi penduduk di wilayah perbatasan. Indonesia sangat bersemangat membangun kawasan perbatasan saat ini,  terlihat dari pembangunan Pusat Lintas Batas Entikong-Tebedu di Sarawak dan Kalbar (Kalimantan Barat).

Di Kaltara, (Kalimantan Utara)  kawasan Simanggaris-Serudong, sesungguhnya pemerintah Indonesia sudah membangun jalan darat sampai di perbatasan.  Namun,  di Sabah, belum terbangun.

Banyak kerjasama yang  sudah dicapai oleh kedua negara, khususnya dalam
kerangka bilateral Indonesia-malaysia. Kerjasama ekonomi sosial dan budaya melalui kerangka kerjasama Sosek Malindo dan BIMP-EAGA, serta JBC setiap tahun membahas berbagai hal yang berkembang dan sudah dicapai oleh kedua negara. Khusus Sabah, antara yang masih pending terkait dengan kesepakatan penetapan dan pembangunan pintu perbatasan darat


UB: Sekiranya projek Pan Borneo siap kelak, sudah pasti ia boleh meningkatkan mobiliti di kalangan rakyat. Apa komen bapak mengenai manfaat Pan Borneo?

AKHMAD DH IRFAN: Pan Borneo merupakan upaya yang baik dari pemerintah Sabah untuk meningkatkan kemudahan mobiliti transportasi barang dari satu lokasi ke lokasi lainnya.  Tentunya ini akan menurunkan harga produk dan ketersediaan produk di seluruh Sabah. Dengan turunnya harga dan produk yg terdistribusi lebih merata,  tentunya mendorong geliat ekonomi di Sabah, tumbuhnya wilayah perekonomian baru. Namun,  tentunya hal ini perlu didukung adanya alat transportasi umum yang cukup dan juga sumber daya manusia yang memadai.

Pan Borneo Highway seterusnya juga akan mampu mendorong hubungan bilateral dengan wilayah perbatasan antara Kaltara, Sabah, Sarawak dan Kalbar. Semua kegiatan dalam kerangka pertumbuhan ekonomi dan Kedekatan hubungan sosial dan budaya akan meningkat dengan pesat.

UB: Bagaimana tahap hubungan antara KJRI dan kerajaan negeri?
AKHMAD DH IRFAN: Selama ini KJRI terus berkoordinasi dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam berbagai bidang. Di sektor pendidikan masyarakat Indonesia memperoleh dukungan dari pemerintah Sabah,  dan hal ini sangat dihargai oleh pemerintah Indonesia. Hubungan KJRI dengan para pemimpin  Sabah sangat baik kedinasan maupun pribadi sangat dekat.

UB: Kebelakangan ini terdapat kes penculikan yang melibatkan warga Indonesia?Bagaimana kerjasama dua negara dalam menangani hal ini?
AKHMAD DH IRFAN: Baik dan terus koordinasi. Kami juga terlibat aktif dalam pengamanan bersama wilayah perairan agar tidak lagi terjadi pencerobohan unsur kriminal lintas negara.
Sebagaimana diketahui, koordinasi tidak saja oleh Indonesia dengan Malaysia, tetapi juga dengan Filipina.  Kejahatan lintas negara merupakan musuh semua pihak. Ketiga negara ini memiliki komitmen dan kerjasama untuk memerangi kejahatan lintas negara di perairan laut Sulu.

Pada bulan Mei 2016 telah dicapai MOU Trilateral kerjasama keamanan laut Sulu yang ditandatangani di Jogjakarta dimana implementasinya antara lain adalah joint patrol antara ketiga negara sebagai upaya mencegah kejahatan lintas negara, khususnya penculikan.

Selain itu, ketiga negara juga melakukan berbagai upaya dengan meningkatkan koordinasi regional (ASEAN).

UB: Apa harapan bapak terhadap hubungan kerjasama budaya, ekonomi, sosial antara Malaysia dan Indonesia? Peningkatan kerjasama dagang antara Sabah dan Kaltara?
IRFAN: Saya mengharapkan dan akan terus mendorong supaya kerjasama perdagangan sabah dan kaltara terus meningkat. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri  yang telah membuka kembali skema perdagangan lintas batas di Nunukan - Tawau bukan Februari 2017 lalu.

UB: Terima kasih banyak kerana sudi diwawancara.Moga bermanfaat.
AKHMAD DH IRFAN: Terima Kasih kembali.