Thursday, August 31, 2017

LAMZ,DARI CUCI PIRING HINGGA MENJADI USAHAWAN MUDA



LAMZ,DARI CUCI PIRING HINGGA MENJADI USAHAWAN MUDA
-Kisah yang menginspirasi dari perjalanan hidup seorang pemuda berusia 23 tahun, yang gigih dan tabah menjadi usahawan berjaya



KISAH hidupnya luar biasa. Keperitan yang dilaluinya bukan kepalang tetapi kejayaan yang diraihnya begitu menginspirasi. Ketabahan dan kesungguhannya layak dipuji, semuanya didorong semangat yang kuat, mengatasi segala cabaran, semata-mata mahu berjaya.

Kira-kira tujuh bulan lalu, Noor Lam bin Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Lamz ,23 tahun , hanya seorang pemuda yang luntang lantung mencari kerja. Berbekal duit RM60.00, beliau nekad naik bas dari Sandakan untuk mencuba nasib di Kota Kinabalu.

“Susah sangat cari kerja di Sandakan jadi hijrah cari penghidupan di KK,” katanya.

Sesampainya di Terminal Inanam, dia tidak tahu mahu ke mana. Selepas menunaikan solat Asar, beliau terilham mahu ke Putatan, kebetulan ada rakannya yang tinggal di daerah kecil itu.

Setbanya di Putatan, hari sudah malam. Beliau terus mencari tempat rehat.
Beliau sempat tidur dua hari tiga  malam di bawah jejantas, hampir  kehilangan gitar kerana diganggu orang gelandangan. Banyak cubaan yang ditempuhinya.

“Saya cuma ingat Allah pada masa itu. Doa saya, Ya Allah, andai Engkau ingin ambil semua kenikmatan yang enkau berikan kepadaku, engkau ambillah. Tapi satu jangan engkau pernah ambil ya Allah iaitu kepercayaanlu pada Engkau dan Engkau tidak pernah sesekali menzalimi hambamu.

Selepas itu,Lamz sempat menumpang di rumah kawannya selama satu malam. Keesokan harinya dengan beg pakaiannya, beliau berjalan dari kedai ke kedai, untuk mencari kerja.


“Matlamat saya mahu berjaya,” katanya kepada Utusan Borneo.
Tidak lama kemudian, beliau bernasib baik kerana mendapat kerja di sebuah kedai memasang cermin kereta, walaupun pada mulanya, ketika ditemuduga, beliau  terpaksa mengaku berpengalaman walhal ketika itu, beliau  hanya memberanikan diri.

“Saya ditanya apa pengalaman? Saya katakan saya pandai bikin kusyen kereta, tapi kedai itu kedai pasang cermin gelap. Akhirnya kerana terdesak mahu cari duit, beliau terpaksa mengaku pandai pasang cermin gelap, ada pengalaman enam tahun.

“Saya mengaku pandai.Kemudian saya ditawarkan RM1,300 gaji sebulan,” katanya.

Namun akhirnya selepas kedapatan tidak pandai memasang cermin gelap, beliau berterus terang sebenarnya beliau tidak berhasrat untuk berbohong tapi kerana beliau benar-benar perlukan kerja.
Pengawal keselamatan sebuah kedai, menumpangkan barangnya dan menumpang tempat mandi.
Akhirnya selepas bertanya ke sana kemari, Lamz dapat  bilik sewa. Sebulan RM380.00. “Pemilik rumah bertanya bila boleh bayar, saya bilang besok. Sebenarnya waktu itu saya belum ada duit.

Keesokan harinya, bila pemilik menagih duit sewa, Lamz mengaku belum ada wang kerana baru saja mendapat kerja. Beliau berjanji bayar hujung bulan. Pemilik rumah itu agak kecewa dan marah. Kalaupun dihalau, saya memang tiada tempat berteduh, katanya. Mungkin kerana rasa belas, akhirnya Lamz dibenarkan menyewa di bilik itu.

Lamz keluar bekerja kira-kira 9.00 pagi dan pulang kira-kira jam 7.00 malam. Begitulah rutin hariannya. Lepas itu mandi. Sesampai di bilik sewanya,beliau terus sambung mengajar anak-anak yang datang mengaji.Mulanya satu orang,  dua orang, kemudian lima orang, kini kira-kira 30 orang datang mengaji di bilik sewanya.

“Saya tidak kenakan bayaran. Percuma saja. Mereka mahu datang mengaji, saya ajar mereka mengaji setakat yang saya tahu,” katanya. “Saya minta mereka fokus, belajar dengan rajin.Saya selalu nasihatkan anak-anak itu”.

Jam 9.00 malam, anak-anak itu pulang ke tempat masing-masing. Selepas berehat sebentar dalam setengah jam, Lamz cari kerja lembur. Beliau menawarkan khidmat cuci piring dari warung ke warung di pasar malam Putatan. Terdapat banyak warung di Putatan, dan Lamz mampu mencuci pinggan mangkuk dari jam 10.00 hingga jam 3.00 pagi, pernah sampai 4.30 pagi. Tidur sati dua jam, lepas itu, bangun solat Subuh dan berzikir. Beliau mendapat upah dari beberapa warung untuk cuci piring. Satu malam, Lamz boleh mencuci piring di 15 gerai yang terdapat di situ. “Cabarannya memang berat.Piring bertimbun. Saya cuci piring sambil air mata mahu keluar,” katanya.
Hasil pendapatannya cuci piring di warung itu, antara RM300 hingga RM400 satu malam, terus di simpan dalam akuan simpanannya di bank.

Beliau terpaksa mengumpul wang  dengan harapan satu masa nanti, beliau boleh membuka usaha sendiri.

“Kalau tidak begitu, bagaimana saya maju. Pendidikan hanya darjah dua,” katanya. Beliau pernah bersekolah di SK Bandar Sandakan. “Saya bukan tidak mahu sekolah, tapi keluarga kami kurang mampu,” kata anak ke lima dari tujuh adik beradik itu.Ibu bapa hanya menjual sayur.

Tapi azamnya untuk berjaya itu digenggamnya sepenuh hati. Beliau rela mengikat perut, untuk berjimat. Lamz hanya makan maggi sedap, “itulah nasi, itulah lauk” setiap hari”.
Matanya cekung kurang tidur. Rambutnya panjang kerana kurang terurus. Tapi dia tetap kerja bersungguh-sungguh, mengajar anak-anak mengaji, kerja lebih masa dengan cuci piring, dan beliau tidak pernah lupa solatnya. Beliau tidak lupa mengerjakan solat istikharah meminta diberikan rezeki dan dipermudahkan segala urusannya. Sehingga satu malam beliau pernah bermimpi, mengerjakan tawaf di Kaabah.

Sebenarnya saya lari dari rumah kerana dimarahi orang tua. Puncanya kerana beliau dianggap tidak mungkin berjaya dan tidak mempunyai masa depan..
”Kalau kau tidak mahu dengar cakap mama berjual, bagus kau lari sampai bilapun kau tak akan berjaya dengan  buat kusyen kau tu sama bidang nyanyianmu itu”

Kerana tidak tahan dileteri, dan dimarahi, beliau menjual laptopnya. Selepas duitnya habis, barulah dia terfikir mahu cari kerja di KK.

“Duit yang ada hanya RM60.Tolak tambang, tinggal RM14 saja. Saya masih ingat, “ katanya.” Kalau ingat balik, airmata saya berlinangan,” katanya. Tapi Lamz tidak mahu mengalah. Beliau bertekad tidak akan menghubungi keluarganya sehinggalah dia berjaya.

Sesampainya di Terminal Inanam, Lamz tidak tahu mahu ke mana. Beliau berserah kepada Allah sahaja untuk langkah seterusnya. Selepas solat asar, beliau teringat ada seorang rakannya yang tinggal di Putatan.
Dalam hati, Lamz mahu pergi ke Putatan dari Inanam dengan berjalan kaki.Tiada tempat mahu bertanya, ingatkan dekat”. Saya bertanya seorang makcik,  Dari sini ke putatan, boleh jalan kakikah”.Makcik tu jawab, kalau dari sini sampai esok pagipun kau tidak sampai.Kalau Kolombong, dekatlah,” katanya. Kemudian dia diberitahu bagaimana ke sana.

“Dengan duit 60 ringgit itulah, saya boleh jadi begini,” katanya mengenang. Lalu, bagaimana kisahnya, sehingga beliau berjaya membuka kedai kusyen?

Selepas bekerja beberapa bulan di kedai membuat cermin gelap itu, suatu hari mereka diberi cuti empat hari sempena perayaan Tahun Baru Cina. Lamz tidak tahu mahu buat apa. Kebetulan ada syarikat seluler yang menagih hutang bil telefon dan menyebut bahawa kalau boleh mereka mahu potong bayaran dari bank.

Kemudian Lamz teringat wang yang disimpannya. Setibanya di bank, beliau rasa tidak percaya dengan jumlah duit yang terkumpul. Beliau berbaris lagi di mesin ATM, tapi tetap rasa tidak percaya hinggalah ke mesin ATM yang ketiga barulah beliau benar-benar yakin bahawa duit itu, miliknya sendiri.
Jumlahnya RM19,580.20. Itulah hasil pendapatan cuci piring selama lebih dua bulan di Putatan. Menyimpan duit tiap hari hasil upah antara RM300 hingga RM400.
“Ingatkan ATM salah, saya berbaris di mesin ATM yang lain, hingga baris di ATM ketiga, saya baru yakin itu duit saya sendiri,” katanya.

Masih rasa gugup, beliau tidak tahu apa perancangan terhadap duit yang ada. Akhirnya beliau terfikir mahu cari kedai untuk di sewa. “ Saya mahu buka kedai kusyen,” katanya. Selepas menemui kedai untuk di sewa, beliau berunding dengan pemilik kedai yang mulanya rasa kurang percaya. Di hadapannya, seorang pemuda dengan mata cekung, dan penampilan yang kurang terurus. Beliau  pandang saya dua tiga kali.

Selepas perundingan dengan taukeh kedai itu mengenai kadar sewa dan selepas beliau menerangkan niatnya mahu buka kedai kusyen, akhirnya perjanjian sewa kedai ditandatangani.

Kedai itu kosong, tanpa sebarang perabot.  Lamz kemudian mencari mesin jahit kusyen, yang diperolehi dengan harga hampir RM6,000, mesin terbaik yang didamkannya sebelum ini. Beliau kemudian menempah papan tanda.


Keesokan harinya, apabila cuti berakhir, dan kedai tempatnya bekerja dibuka, beliau berjumpa dengan majikannya untuk berhenti kerja dengan alasan mahu buka kedai kecil.
Mereka lebih terkejut apabila kedai yang dimaksudkan adalah kedai yang baru dibuka. Rakan-rakannya tidak pernah menyangka, Lamz boleh melakukannya.
Semua orang tahu , asal mula perjalanan kerjaya Lamz, dari seorang pencuci piring hingga beliau dipanggil Lamz Cuci Piring, kini dipanggil Lamz Boss.

Beliau kini berjaya membuka kedai Master Lamz Cushion Designer di Putatan Plaza. Lamz rasa bersyukur kerana berjaya membuka kedai kusyen. Mengenangkan semua itu, airmata bercucuran, segala episod dalam hidupnya sejak mulai meninggalkan rumah, tidur di bawah jejantas, kerja cuci piring dan sebagainya melintas di kepalanya.

Kini dengan hanya bermula RM60.00 dalam poket ketika mula-mula meninggalkan Sandakan dan berhijrah ke Putatan, Lamz kini mampu menggaji empat orang pekerja dengan gaji yang lumayan, menyediakan segala keperluan pekerjanya.

Hampir setiap hari beliau mendapat tempahan membuat kusyen kereta. Pendapatan bulanannya kini mencapai RM28K sebulan.

Kemudian selepas itu, barulah beliau menghubungi ibunya di Sandakan. Pada mulanya ibunya tidak mahu bercakap di telefon kerana merajuk, tapi kali ketiga selepas menyatakan kerinduannya, mereka bertangisan sambil meluahkan perasaan.

Rupanya kejayaan Lamz itu sudah diketahui keluarganya melalui facebook kerana beliau masih berteman dengan adiknya di media sosial itu.

Lamz kemudian mengajak ayah dan ibunya untuk melawatnya di Putatan, dan menunaikan hasratnya untuk membelikan hadiah istimewa kepada kedua ibu bapa dan adiknya.

No comments: