Thursday, August 31, 2017

LOH KOK CHEANG, PENGETUA CEMERLANG,37 TAHUN BERKHIDMAT SEBAGAI GURU DI SABAH




 LOH KOK CHEANG, PENGETUA CEMERLANG,37 TAHUN BERKHIDMAT SEBAGAI GURU DI SABAH


KIRA-KIRA 37 tahun lalu, seorang pemuda dari Pulau Pinang ditugaskan sebagai guru di sebuah sekolah di Ranau Sabah. Pada mulanya, beliau yang ketika itu berusia 22 tahun, baru saja lulus dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang Biologi dan Kimia. Setibanya di Ranau, beliau  mengalami kejutan budaya kerana keadaan yang jauh berbeza dari tempat asalnya di George Town,yang pada masa itu sudah dianggap moden. Di tempat barunya, beliau terpaksa melalui pelbagai cabaran yang getir. “Kalau bertolak jam 8.00 pagi dari Kota Kinabalu, jam 1.00 atau jam 2.00 petang, barulah boleh sampai di Ranau,” katanya. Setiap jam jalan ke Ranau ditutup selama 50 minit kerana  masih dalam pembinaan. Pengguna jalanraya hanya dibenarkan melalui jalan itu dalam tempoh 10 minit sebelum ditutup semula untuk menunggu lima puluh minit berikutnya. Namun ia tidak mematahkan semangat Loh Kok Cheang, kini Pengetua Cemerlang SMK Tebobon. Bermula sebagai guru sains di SMK Mat Salleh Ranau, beliau kemudian dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Keningau. Selepas itu, beliau menjadi pengetua di SM Ken Hwa Keningau, SM Teknik Kudat, SMK Majakir Papar dan SMK Tebobon sejak 2009. Beliau juga pernah dilantik sebagai Nazir Sekolah di Kementerian Pendidikan dan pernah juga bertugas sebagai konsultan perisian bagi Sekolah Bestari.
Lebih separuh usianya digunakan untuk mengabdi kepada masyarakat kerana cintanya  yang mendalam dalam bidang pendidikan. Walaupun cita-cita asalnya menjadi pilot atau pengkaji cuaca, namun akhirnya memilih untuk menjadi guru.“Saya tidak pernah menyesal malah merasa nikmat untuk berkhidmat sebagai guru” katanya

Loh Kok Cheang dilahirkan pada 21 September 1957 di George Town, Pulau Pinang.
Beliau mendapat pendidikan awal di Glugor English School sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Penang Free School. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian dalam bidang biologi dan kimia di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dari  tahun 1976 hingga 1980.
Kerjayanya dalam bidang perguruan bermula apabila dilantik sebagai guru sains di SMK Mat Salleh Ranau dari tahun 1980-1985. Kemudian beliau dilantik sebagai pensyarah sains di Maktab Perguruan Keningau dari tahun 1985-1989.
Seterusnya beliau bertugas sedbagai Pengetua Sekolah SM Ken Hwa Keningau dari tahun 1989-1993.
Pada tahun 1994 hingga 1995, beliau melanjutkan pengajian di University of Leeds United Kingdom hingga lulus  dengan kepujian Master of Education (M.Ed) dalam bidang pengkhususan Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Nazir Sekolah di Kementerian Pendidikan dari tahun 1994-2001. Pada 16 Januari 2001 hingga 15 April 2002, beliau dilantik sebagai Konsultan Pendidikan untuk membina perincian Sekolah Bestari di NITT (M) Bhd, sebuah syarikat multi nasional beribupejabat di New Delhi.
Pada  16 April 2002 hingga 31 Mac 2006, beliau dilantik sebagai Pengetua SMK Teknik Kudat. Selepas itu, beliau ditugaskan sebagai Pengetua SMK Majakir Papar bermula 1 April 2006 hingga 31 Oktober 2009. Sejak 1 November 2009, beliau bertugas sebagai Pengetua Cemerlang  (DG 54) di SMK Tebobon, Kota Kinabalu. Beliau dijadual bersara pada 21 September 2017 setelah 37 tahun berkhidmat dalam pendidikan.

Atas jasa baktinya dalam bidang pendidikan, beliau dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah pada 1992, Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong pada 2013, Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan 2005,2007, 2015,Tokoh Guru SMK Majakir 2008, Anugerah Guru Inovatif sempena Hari Guru 2011, Tokoh Maulidur Rasul SMK Tebobon 2011, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Sukan PPD Kota Kinabalu 2017 dan banyak lagi anugerah lain.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual LOH KOK CHEANG atau KC LOH  mengenai serba sedikit pengalamannya dalam bidang pendidikan. Ikuti petikan temubual bersama Mr Loh yang diadakan di pejabatnya pada satu pagi yang bersinar di SMK Tebobon:

UTUSAN BORNEO:Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?

KC LOH: Saya lahir di Pulau Pinang pada tahun 1957, iaitu tiga minggu selepas merdeka. Bapa saya seorang yang sangat patriotik. Beliau memberikan nama ‘Kok Cheang’ yang bermaksud negarabangsa  yang kuat.Maksud nama saya ini berkait rapat dengan negara kita. Tahun ini ulang tahun 60 hari kemerdekaan. Usia saja juga meningkat ke angka 60 tahun. Selepas 37 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan, saya akan bersara pada September ini.

UB: Dimana cikgu mendapat pendidikan awal?
KC LOH:Saya memasuki sekolah aliran Inggeris di Glugor English School, Pulau Pinang. Sekolah itu agak istimewa sedikit. Ada Express Stream, yang bermaksud pelajar hanya berada lima tahun di sekolah rendah.Boleh dikatakan ciri-ciri pendidikan kita masa itu agak ke depan. Semangat perpaduan sudah wujud di sekolah itu. Tak kira apa kaum dan agama, kita semua bersatu.

UB: Masih berhubung hingga sekarang?
KC LOH: Sampai sekarang masih ada koneksi, ada berjumpa sewaktu reunion, berhubung semula  melalui media sosial. Ada di antaranya menjawat jawatan tinggi seperti ketua pengarah, pengarah, isteri kepada duta dan sebagainya,

UB: Selepas sekolah rendah, dimana cikgu melanjutkan pelajaran menengah?
KC LOH: Saya sangat bertuah kerana terpilih bersekolah di Penang Free School, sekolah tertua di Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 1816. Saya masih ingat waktu itu, tahun 1969, ada siaran langsung melalui radio yang dipancarkan melalui PA System mengenai angkasawan Niel Armstrong berjaya  menjejakkan kaki ke bulan. Kami rasa terhubung dengan dunia luar.

Sekolah itu juga banyak mempengaruhi filosofi hidup saya. Misalnya kalau ada perkara penting, kita harus buat dengan bersungguh-sungguh. Satu lagi yang saya ingat ialah “if anything is worth doing, then it is worth doing well”.

UB: Dimana cikgu mendapat pendidikan tertiari?
KC LOH: Selepas itu, saya masuk universiti d Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Empat tahun di universiti, saya lulus Bsc Education dalam biologi dan kimia. Selepas itu barulah saya berkhidmat sebagai guru di Sabah.

UB: Bila kali pertama Cikgu menjejakkan kaki ke Sabah?
KC  LOH: Saya menjejakkan kaki kali pertama ke Sabah ialah pada 30 April 1980. Saya ditugaskan di SMK Mat Salleh Ranau. Saya salah seorang daripada 17 graduan yang ditugaskan di Sabah.Mungkin hanya saya seorang saja yang masih di sini.Rakan-rakan lain memohon pindah balik  ke Semenanjung selepas tiga atau empat tahun bertugas di Sabah.

UB: Apa yang membuat Cikgu suka di Sabah?
KC LOH: Saya rasa selesa di sini. Seperti berada di negeri sendiri. Lebih separuh usia saya dihabiskan di Sabah. Saya sampai di Sabah ketika berusia 22 tahun dan kini saya berusia 60 tahun.Isteri saya orang Pulau Pinang, juga mengajar di Sabah. Anak-anak saya dibesarkan di Sabah, dan mereka sangat bangga menjadi orang Sabah.

UB: Masa sungguh cepat berlalu.
KC LOH: Tidak sangka, 37 tahun sudah berlalu. Saya rasa banyak pengalaman yang sudah saya perolehi. Saya  dapat menyumbang kepada negeri di bawah bayu, dari seorang guru, pensyarah, nazir, pengetua.

Selama berkhidmat di Sabah, saya tidak pernah meninggalkan Sabah kecuali ketika melanjutkan pelajaran di University of Leed United Kingdom, dan ketika menjadi Nazir sekolah di Kementerian Pendidikan dan ketika bertugas sebagai konsultan untuk perisian projek perintis sekolah bestari di Kuala Lumpur.

Malah ketika bertugas di Kementerian Pendidikan, saya pernah diberi pilihan , Cikgu boleh pilih mahu  bertugas di mana? Tanpa teragak-agak,saya katakan hantar saya balik Sabah. Saya rasa seronok bekerja di Sabah.Sudah serasi. Ada keperluan boleh menyumbang kepada penduduk di Sabah.


UB: Boleh ceritakan pengalaman pertama ketika bertugas di Sabah?
KC LOH: Memang  pada mulanya ada kejutan budaya. Pada tahun 1980, keadaan jauh berbeza dengan tempat saya. Masa belum ada sistem pengangkutan sebaik sekarang.Perjalanan yang agak mencabar, Ranau belum ada pengangkutan awam. Untuk ke Ranau, kita perlu naik bas dari KK ke Tamparuli. Ikut bas hijau Tuaran United Transport.Dari Tamparuli tukar ke kereta jeep. Bertolak kira-kira jam 8.00 pagi  dari Kota Kinabalu, kira-kira jam 1.00 atau 2.00 petang baru sampai Ranau.
Masa itu di tengah jalan ada sekatan jalan kerana ada pembinaan jalan raya. Setaip jam, kenderaan terpaksa berhenti selama 50 minit kemudian sekatan dibuka untuk memberi laluan selama 10 minit, kemudian jalan disekat  lagi untuk 50 minit berikutnya. Begitulah seterusnya.Keadaan jalanraya masih itu kurang memuaskan.
Musim hujan jalan penuh lumpur. Pernah satu kali, kami tidak dapat melalui jalan kerana terputus berikutan tanah runtuh.

UB: Oh ya. Apa perasaan cikgu ketika mendapat gaji pertama?
KC LOH: Perasaan sangat seronok ketika dapat gaji pertama. Saya ingat saya beli radio mini compo. Dengan gaji itu, saya sempat kirim duit kepada orang tua di pulau Pinang. Bapa saya kerja sebagai pemeriksa kenderaan di majlis Perbandaran. Saya fikir itulah satu-satu majlis perbandaran yang menyediakan pengangkutan awam secara percuma.

UB: Apa pengalaman ketika mengajar di SMK Mat Salleh?
KC LOH: Masa itu tidak ada guru sains..Sejak bulan Januari tidak ada guru yang mengajar di kelas. Jadi pengetua arah saya mengajar fizik,matematik moden, yang bukan opsyen saya.Kena translate isi kandungan dari Inggeris ke BM. Tiap-tiap malam buat persediaan mengajar. Saya rasa usaha memberi impak yang baik
Tahun 1980 itu adalah tahun yang bersejarah. Itulah pertama kali pelajar menduduki SPM di sekolah itu.



UB: Siapa antara murid cikgu yang menyerlah sewaktu mengajar di SMK Mat Salleh? Berapa lama mengajar di SMK Mat Salleh?
KC LOH: Antaranya, Datuk Bolkiah Haji Ismail, sekarang pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian.Sebenarnya saya mengajar di SMK Mat Salleh Ranau kira-kira  lima tahun. Selain beliau, ramai juga yang menyerlah.

UB: Menurut cikgu, apa masalah yang dihadapi pelajar di luar bandar ketika itu? Secara umum?
KC LOH: Bila saya renung kembali, pelajar di luar bandar kurang keyakinan diri. Bila mereka tak boleh jawap soalan, mereka cepat berkata, saya tidak pandai.
Ketika itu, masalah utama kurang keyakinan diri.Jarak rumah ke sekolah agak jauh. Selain itu, pada masa itu, di kampung masih menghadapi masalah kekurangan kemudahan asas, keadaan taraf  ekonomi yang rendah.  

UB: Di mana cikgu bertugas selepas pindah dari SMK Mat Salleh
KC LOH: Pada penghujung 1984, ada siaran berita yang mengatakan sebuah maktab perguruan baru di buka di Keningau. Siapa yang berminat boleh memohon. Saya dengan isteri membuat permohonan.Kami berjaya,. Tapi isteri saya terpaksa tangguh satu tahun atas permintaan pengarah.Pengarah Pendidikan Sabah masa itu, Datuk  Mahpor Baba meminta agar isteri saya mengajar saja dulu di sekolah kerana kekurangan guru. Dia mengajar di SMK Gunsanad. Satu tahun kemudian, barulah dia mengajar di Maktab Perguruan Keningau.

UB: Bermakna cikgu adalah antara perintis di Maktab Perguruan Keningau?
KC LOH: Kami adalah kumpulan pensyarah rintis, seramai 15 orang  yang ditempatkan di Maktab  Perguruan Keningau. Sekarang dikenali IPG Keningau.  Saya bertugas sebagai pensyarah dari tahun 1985 hingga 1989.

UB: Kemudian?
KC LOH: Tiba-tiba ada panggilan temuduga di Kota Kinanbalu.JPN sedang cari graduan untuk menjadi pengetua dan penolong kanan.Masa itu tidak ramai guru berijazah.Jadi selepas interview saya dinyatakan berjaya dan  ditempatkan sebagai Pengetua di SM Ken Hwa Keningau.

UB: Apa perasaan cikgu masa itu?
KC LOH: Reaksi pertama saya agak terkejut.Sebenarnya saya masih berminat mengajar tetapi khidmat saya lebih diperlukan sebagai pengetua di SM Ken Hwa. SM Ken Hwa adalah sekolah kecil dengan 800 pelajar masa itu dengan 43 guru. Saya juga mengajar biologi,

UB: Selepas itu, cikgu bertugas dimana pula?
KC LOH: Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Saya mendapat  hadiah latihan dengan gaji penuh. Saya belajar selama satu tahun di University of Leeds dan lulus Master of Education  dengan kepujian dengan pengkhususan dalam Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan (Educational Administration and Management).

UB: Balik dari UK dimana Cikgu ditugaskan?
KC LOH: Saya ditugaskan sebagai Jemaah Nazir Sekolah di Kementerian Pendidikan pada 1994-2001. Ketika bertugas sebagai Nazir,Saya berpeluang ke  seluruh pelusuk negara ke pulau-pulau, kawasan luar bandar untuk bantu sekolah meningkatkan standard, pengajaran dan pembelajaran.
Kemudian pada 16 Januari 2001 dan 15 April 2002, Saya ditugaskan sebagai konsultan perisian sekolah bestari  dan dipinjamkan oleh Kementerian Pendidikan ke NIIT (M) Bhd, sebuah syarikat beribu pejabat di New Delhi.

UB:  Selepas itu dimana cikgu bertugas?
KC LOH: Saya dilantik sebagai Pengetua SM Teknik Kudat dari 16 April 2002 hingga 31 Mac 2006.Selepas itu, saya  ditugaskan sebagai Pengetua SMK Majakir Papar bermula 1 April 2006 hingga 31 Oktober 2009. Sejak 1 November 2009, saya bertugas sebagai Pengetua Cemerlang  (DG 54) di SMK Tebobon, Kota Kinabalu. Saya  dijadual bersara pada 21 September 2017 setelah 37 tahun berkhidmat dalam pendidikan.




No comments: