Thursday, August 31, 2017

PROF DATUK DR KASIM HAJI MANSOR, PERNAH LALUI PAHIT GETIR KEHIDUPAN



PROF DATUK DR KASIM HAJI MANSOR, PERNAH LALUI PAHIT GETIR KEHIDUPAN

KALAU dulu segala jenis pekerjaan pernah dibuatnya. Beliau pernah menjual ikan bagi membantu ayahnya, beliau pernah menoreh getah dengan segala prosesnya,beliau pernah mengerjakan sawah bermula dari sejak  menanam padi hingga musim menuai, beliau pernah ikut menangkap ikan, pernah juga memelihara ayam dan pelbagai jenis kerja lain . Beliau memang seorang yang lasak dan kuat semangat. Ketabahan dan pengalaman yang dimiliki oleh Profesor Datuk Dr Kasim Haji Mansur sukar ditandingi. Peranan dan sumbangannya yang besar terhadap masyarakat secara keseluruhan membolehkan Profesor Fakulti Perniagaan, Eknonomi dan Perakaunan Unversiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai penerima The Asia HRD Award 2017, anugerah paling  berprestij di Asia dan beliau adalah seorang daripada 197 penerima dari 18 buah negara sejak anugerah itu diwujudkan pada 2003.

Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor dilahirkan di Kampung Rampayan Menggatal, Kota Kinabalu pada 26 Mei 1961. Anak ke tujuh daripada lapan orang adik beradik. Ayah beliau seorang nelayan/petani (Penoreh getah dan padi) dan menjalankan perniagaan menjual ikan di Pasar pekan Menggatal, Sabah. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Rampayan Menggatal, Kota Kinabalu (sebelum itu Sekolah Sukarelawan Rakyat). Melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Maktab Sabah (1971-1977) dan SMK Menggatal, Kota Kinabalu (1978-1979). Beliau merupakan pelajar tajaan Yayasan Sabah dan sebaik sahaja menamatkan persekolahan tingkatan enam beliau  ditawarkan biasiswa Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1981 untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di Indiana State University, Terre Haute, Amerika Syarikat. Memperolehi Sarjana Muda (Pengurusan Perniagaan) dalam tahun 1984 dan Sarjana (Ekonomi Pembangunan) dalam tahun 1986. Dalam tahun 1995 beliau ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi di University of Wisconsin, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat. Sebelum melanjutkan pengajian di peringkat PhD beliau berkhidmat sebagai Pegawai eksekutif percukaian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 1986 sehingga 1995. Beliau juga adalah pensyarah sambilan dengan UiTM Menggatal (sebelum itu YS-ITM) sejak tahun 1987. Komitmen beliau dengan UiTM berterusan sehingga tahun 2009, memberi kuliah kepada pelajar-pelajar PJJ diperingkat diploma, sarjana muda dan EMBA.
Semasa berkhidmat dengan Universiti Malaysia Sabah beliau  dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dari tahun 2009 hingga 2014 (Dua Penggal). Sebelum itu beliau pernah memegang jawatan sebagai  Dekan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, (Sekarang Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Perakaunan) UMS (2003–2009), pernah menjadi timbalan dekan Pusat Pengajian Pasca Siswazah, UMS (2002-2003), dan ketua program Ekonomi Sumber Manusia (2001- 2002).
Bersesuaian dengan bidang kepakaran beliau iaitu Ekonomi Pembangunan dan Ekonomi Buruh, beliau menerbitkan hampir 100 artikel berkaitan dengan bidang kepakaran beliau dalam jurnal antarabangsa dan peringkat nasional. Pernah membentangkan lebih 100 kertas kerja di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa. Beliau  menerbitkan tiga naskah buku iaitu Pembentukan Modal Insan Cemerlang: pendekatan ekonomi Islam; Perburuhan Islam: Ke arah Melistari Ekonomi Mapan. Kota Kinabalu; Bekalan Kembara Pemasaran Berbagai Aras (MLM/ Multi-Level Marketing). Beliau juga terlibat sebagai salah seorang penyunting beberapa buku yang diterbitkan oleh penerbit UMS. Beliau pernah menjadi penceramah undangan kepada pelajar-pelajar ekonomi dibeberapa universiti terkemuka di China, Thailand dan Jepun. Beliau juga dilantik sebagai fellow kepada beberapa buah universiti  seperti HeBei Normal University,Petro-Chemical Institute Beijing,University Beijing, ,Guizhou University, Guiyang, China Wako University, Tokyo,,NIDA, Bangkok, Thailand ,Palawan State University – Fellow (2013 – kini), Felo di  Pusat Pengajian Kemeskinan dan Pembangunan (CPDS) Universiti Malaya (2017-2018)Penasihat Society Empowerment Economic Development of Sabah (SEEDS) (2016 –kini) dan Associate Editor on The Borneo Review Editorial Board
Beliau adalah  Naib Yang diPertua Majlis Tertinggi Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA). Beliau  menerima beberapa anugerah sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara  anugerah yang beliau terima ialah Anugerah Khas Cemerlang - UMS 2013,Darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) darpada Kerajaan negeri Sabah 2011,Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K.) - 2010,Anugerah Khidmat Terpuji UMS – 2007,Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2006,Ahli Darjah Kinabalu (ADK) drp Kerajaan negeri Sabah  - 2006,Tokoh Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) IPTA -2014,ACP Kehormat - Komandan SUKSIS UMS- 2009-1014.
Dalam bidang sukan, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) dari tahun 2011-2014. Sebelum itu beliau memegang jawatan sebagai Timbalan pengerusi MASUM sejak tahun 2009 hingga 2011. Beliau juga menjadi pengerusi ASEAN University Sport Council (AUSC) sejak tahun 2011 hingga 2014. Atas kapasiti sebagai Pengerusi MASUM dan pengerusi AUSC beliau  mempengerusikan penganjuran temasya sukan 16th ASEAN University Games (AUG) di Lao PDR dengan cemerlang. Berikutan dengan kejayaan menganjurkan 16th AUG, kerajaan Lao PDR  menganugerahkan kepada beliau bintang Cross of Friendship. 
Beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai delegasi Malaysia sebagai Chef de Mission dalam beberapa kejohanan Sukan di peringkat antarabangsa seperti World University Sport (Universide) Kazan, Rusia,Chief de Mission (2011) Malaysia,Malaysia-Thailand University Sport, Chiangrai ThailandChief de Mission (2010) MalaysiaASEAN University Games (AUG), Chiangmai Thailand,Ketua delegasi Malaysia (2012)World University Youth Forum, Taipei,TaiwanWorld University Youth Forum, Taipei, Taiwan,World University Taekwondo Championship, Seoul, Korea Selatan,World University Futsal Championship, Teheran, Iran, 3rd Regional Convention on Student Development, Bandung Indonesia.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD..NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Profesor Datuk Dr Kasim Haji Mansur di pejabatnya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan. UMS Berikut adalah petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi wawancara untuk Ruangan Sembang Sabtu. Boleh ceritakan sedikit latar belakang prof? Berapa adik beradik?
PROF DATUK DR KASIM HAJI MANSUR: Saya anak ketujuh dari lapan adik beradik.

UB: Dimana Prof mendapat pendidikan awal?

PROF: Saya bersekolah di Sekolah Sukarela Rakyat NVS Rampayan dari darjah satu pada 1964  hingga tamat darjah enam pada tahun 1970. Dari rumah ke sekolah,saya berjalan kaki sahaja meniti permatang. Kasut hanya dipakai kalau sudah sampai di sekolah.  Sebab itu kasut saya boleh tahan hingga satu tahun.kasut bata.tidak koyak. Bekal sepuluh sen.

UB: Bagaimana keadaan sekolah masa itu?
PROF: NVS Rampayan adalah sekolah yang dibina penduduk kampung. Atapnya rumbia. Dindingnya orang bajau sebut 'papak',berlantaikan tanah.
Setiap pagi, setibanya kami di sekolah,kami terpaksa menyapu. Kelas penuh tahi kambing sebab kambing suka tidur di situ.

UB: Siapa nama cikgu yang mengajar di NVS Rampayan masa itu? Masih ingat?

PROF:Saya ingat betul nama guru besar kami,Cikgu Noor Abd Hamid. Sebab dialah orang pertama dari kampung kami yang jadi guru. Ada juga cikgu lain iaitu Cikgu Gos dari Tuaran.Cikgu Lusi dari Batu 10,Cikgu Kimoi.

UB: Jadi bagaimana pencapaian prof masa itu?
PROF: Ketika peperiksaan darjah enam diumumkan,saya mendapat markah kedua tertinggi.

UB: Selepas itu dimana Prof melanjutkan sekolah menengah?
PROF:  Selepas lulus darjah enam,saya memilih untuk bersekolah di Maktab Sabah. Rakan rakan lain ada yang ke Semenanjung. Saya pula masuk bridge class di di Maktab Sabah, dari tingkatan  satu hingga tingkatan enam rendah dalam aliran Inggeris.

UB: Berapa umur Prof ketika itu?
PROF: Umur saya masa itu baru 12 tahun. Kerana masih kecil,, ayah saya setiap hujung minggu datang melawat saya.

UB: Siapa antara rakan prof sewaktu di Maktab Sabah?
PROF: Antara rakan saya Datuk Amrulah Kamal ,waktu itu dia tingkatan 5 sains pada 1977.Iman Ali,pegawai daerah.

UB: Lepas itu?
PROF: Masa itu kebetulan SMK Menggatal dibuka dan mengambil pelajar dari seluruh Sabah dalam aliran Melayu.

UB:Prof pindah dari Maktab Sabah ke SMK Menggatal sewaktu tingkatan enam?
PROF: Ketika tingkatan enam rendah saya berpindah dari Sabah College ke SMK Menggatal. Saya berada dalam tingkatan rendah dan enam atas dari tahun 1978-1979. Antara rakan sekelas saya ialah sahabat saya Mohd Sairin Haji Ibrahim, kini Pengurus Pos Malaysia Negeri Sabah,Hajah Asmiah Haji Ajamain,Pengarah DBP Sabah, Datuk Haji Almain Ajirul,Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia,Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul,pengarah Pendidikan Sabah,Puan Mistrine Radin pegawai kanan di kementerian pendidikan.
UB: Selepas itu?
PROF; Sambil menunggu keputusan peperiksaan tingkatan enam, saya bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara. Selepas keputusan tingkatan enam keliar, saya mendapat tawaran biasiswa ke luar negeri. Masa itu, pelajar diberi peluang melanjutkan pelajaran ke seberang laut kerana universiti tempatan tidak boleh menampung pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
UB: Selepas itu dimana Datuk meneruskan pelajaran?
PROF: Saya melanjutkan pelajaran di Indiana State University. Antara rakan saya satu universiti ialah Awang Shamsi Haji Jamih,mantan DO Tuaran,Datuk Haji Hamzah Zakaria,mantan DO Kota Belud,Yusof DO Keningau,Abd Latif DO Sipitang,DO putatan,Datuk Haris Yahya,mantan pengarah cetak,Datuk Haji Salsidu Ibrahim,Setpol Menteri di EPU,Kibin Haji Samad,SAC Omar Mammah.

UB: Kenapa pilih Indiana State University?
PROF: Sebenarnya sebelum ke Indiana, saya sempat belajar selama tiga bulan di Universiti Toledo Ohio. Tetapi keeana sistem pembelajarannya agak berbeza sedikit, saya pindah ke Indiana State University yang terletak di kawasan yang agak pedalaman, dengan kos hidup antara yang paling murah. Saya adalah orang Sabah pertama belajar di universiti itu. Terdapat kira-kira 65 pelajar Malaysia tajaan JPA yang belajar di sana ketika itu. Selepas memperolehi Sarjana Muda (Pengurusan Perniagaan) dalam tahun 1984 dan Sarjana (Ekonomi Pembangunan) dalam tahun 1986.  
UB: Dimana prof bekerja selepas kembali dari Amerika?
PROF: Saya bekerja sebagai Pegawai eksekutif percukaian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 1986 sehingga 1995.Dalam tahun 1995 saya ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi di University of Wisconsin, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat .

UB: Oh ya, boleh ceritakan sedikit mengenai keluarga prof. Ayah kerja sebagai apa?
PROF: Ayah saya seorang penjual ikan,dulunya dia seorang nelayan.Tapi kerana perahu mereka pernah karam pada suatu malam ketika menangkap ikan bersama Haji Yunus,beliau hampir kehilangan nyawa,terapung apung,tidak nampak tepian dan mendapati mereka hanyut di tengah lautan,itulah sebabnya dia beralih kerjaya. 

UB: Oh begitu. Lepas itu beliau kerja sebagai apa?
PROF: Selepas tidak lagi jadi nelayan, beliau jadi pedagang ikan.Ayah saya walaupun tiada sekolah,seorang yang pintar.Dia tak pandai baca atau menulis.hanya setelah ikut kelas dewasa,barulah dia pandai tulis angka satu dua tiga.Tulisannya cantik..Dia selalu ingatkan penjual ikan harus jujur.Kalau berniaga jangan tipu timbangan. Kadang apabila dapat untung berlebihan,dia ingatkan ipar saya, supaya jangan tipu timbangan,mesti jujur dalam berniaga.
Selepas sekolah, saya datang membangtu ayah menjual ikan, kadang saya belajar menimbang ikan.
B: Berapa harga ikan masa itu?
PROF: Ikan basung 50 sen sekati.Ikan temanung 1.50 sekati,ikan putih 2.00 hingga 2.50 sekati.ikan layang seringgit sekati,ikan parang tiada harganya masa itu.



UB: Bagaimana kemajuan perniagaannya?
PROF:Alhamdulillah, ayah saya orang yang pertama memiliki Land Rover di Menggatal.Dia seorang pengusaha, walau tiada sekolah, dia ada kebun getah.Hujung minggu ke Papar , beli ambolong. Belau  rajin berjualan di setiap tamu, Telipok, Penampang, Tuaran, Tenghilan.
Selain berniaga, ayah juga memiliki sawah padi dan kebun getah.

UB: Apa lagi pengalaman yang pernah prof lalui?
PROF: Saya juga biasa menangkap ikan menggunakan perahu, ikut pakcik saya, Saya pernah ikut mengerjakan sawah, mulai menanam padi, membajak, ngeradu, ngeragus, nudai barulah bertanam padi. Masa itu mengetam padi menggunakan linggaman. Padi yang dituai pula diangkut ke rumah menggunakan kerbau. Satu hari, kebetulan bulan zulihijjah, saya terjatuh dari kerbau. Tangan saya patah. Saya dinasihatkan agar jangan kerja berat. Itu sebabnya saya menanamkan tekad dalam diri agar mesti belajar rajin kerana tak boleh lagi angkat barang. Lebih baik aku belajar kerana tak boleh angkat benda  berat.
UB: Apa pesan dan nasihat ayah Prof yang paling diingati?
PROF: Kita harus sentiasa jujur, katanya. Jangan tipu timbangan. Timbangan ini dacing. Jadi timbangan itu harus tepat, jangan pernah mengurangkan berat timbangan hanya untuk mengambil keuntungan.

No comments: