Thursday, August 31, 2017

TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG,INIKAN PULA TEMPAT BERMAIN




TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG,INIKAN PULA TEMPAT BERMAIN
-Catatan sekitar pertemuan Anak-Anak Jati Icebox, Kampung Titingan Hujung Tawau.

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN


TEMPAT jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Sekilas frasa itu memang klise tetapi bagi Muhamad Jamal Kahar atau lebih dikenali Bang Anto’, tidak ada hal yang klise bagi persaudaraan dan persahabatan.

Ingatan dan kenangan masa kecil yang berkampung dalam mindanya, mendorong Bang Anto’ mencari dan menjejaki rakan-rakan sekampung yang lama tidak bersua, tidak bersapa, malahan lama tidak berjumpa kerana ramai yang sudah meninggalkan tempat kelahiran mereka puluhan tahun lamanya.

Namun bagaimana cara untuk merealisasikan niat mulia itu? Ada di antara rakan-rakan sekampung itu sudah berpindah ke tempat lain, di negeri lain dan ada diantaranya lama tidak pulang ke kampung asal mereka, kampung Titingan Hujung, Tawau.

Tidak habis fikir, Bang Anto mewujudkan grup Whatsapp Anak-Anak Jati IceBox , nama lain bagi Titingan Hujung ,untuk mengumpulkan rakan-rakannya. Tanpa disangka, idea Bang Anto itu mendapat respon yang luar biasa. Dengan sokongan yang positif itu, anak-anak jati IceBox itu mengadakan reunion.

Pertemuan semula selepas lama tidak bertemu tentulah suatu peristiwa yang ditunggu-tunggu. Gayung bersambut, apabila  Ali Haji Alwi-mereka memanggilnya Tokeh Ali-, rakan mereka yang berjaya, usahawan dermawan menjemput semua rakan yang di Tawau untuk datang ke rumahnya di Taman Dahua 3, 29 Julai lepas.

Perjumpaan khusus untuk anak-anak Jati Ice Box itu bertujuan untuk mewujudkan jawatankuasa pelaksana perjumpaan anak-anak Ice Box.

Ramai yang hadir dalam majlis itu. Tuan rumah pula menyediakan menu masakan kampung. Antaranya ikan kering, sayur bening, ikan rebus, ikan panggang, kuih muih, minuman, air jagung dan sebagainya.

Ini senarai awal yang memberikan pengesahan untuk hadir..AbgMadi,Seam,Kandai, Mancui,Kidik,Ida,Cozzy,Handoko, Biyai,Yus Noi,Shake,Keyko,Jaya,Hamid @aman Mamud Saing, Yaya ,Rani,Acho,Ying Kahar,Mis pukung, Yunus Bakar,Ida Ayak Noi,Nurain Nordin,Udin Bilal,Suyung ,Jul Bunga, Asni k & suami,Apeng,Kacung,Wan & isteri, Nyil Pukung, Weady, Kucuk,Yanti, Adong,Lijak,Jenab, Biok,Miam.

Mulanya mereka memberikan nama penuh tetapi yang selalu diingati ialah nama di kampung. Ini membuatkan bang Anto Kebingungan.”Kalau boleh bagilah nama di kampung, katanya.Halijah tu siapa? ,Samsia  tu Siapa, Mariama tu siapa?

Akhirnya mereka memberikan nama `glamour di Ice Box.

“Nama kampung Halijah tu si Lijang, Samsia tu si Jinab, Sabariah tu Sibiyuk dan Mariamah tu si Miyam.
Pertemuan malam itu adalah bersejarah, bagi anak-anak yang hidupnya dulu selalu main di sungai, laut dan bawah kolong.

“Syukur alhamdulillah  Terima kasih tokey Ali dan steri dan seluruh keluarga dan admin kita Antok . Perancangan  akhirnya berjaya untuk  menyatukan anak-anak  jati Icebox sungguh meriah . Moga akan datang ,ada lagi dibuat perjumpaan sebegini....rasa terkilan sebab tak dapat datang. Memang terbaik anak-anak jati Icebox. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar setakat ini dan di harapkan di penghujung nanti berakhir dengan baiknya, Aamiin.,” demikian bunyi seorang anak jati Icebox melalui Whatsapp.

Anak-Anak Jati Icebox luas maksudnya, kata Bang Anto’. Ia merangkumi  semua anak jati Icebox dari Blok 5,Blok 6, Blok 7, Blok 8 dan Blok 9.

Bang Anto’ dulu menetap di Blok 7. Kini sudah berpindah ke Taman Semarak. Rakan-rakannya yang lain, ramai yang sudah meninggalkan kampung yang penuh nostalgia itu. Ada yang merantau ke Labuan, Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau, Melaka, Pahang, negeri-negeri lain di Semenanjung dan malah ada yang bekerja di luar negara.

Ada yang sudah lama tidak pulang kampung, ada yang puluhan tahun tidak dapat menjejakkan kaki ke Icebox kerana kesibukan  mencari penghidupan.

“Tapi selagi tembuninya tertanam di Icebox, hati mereka tetap tergamit pulang,” kata Bang Anto’.

Bang Anto’, 50, memang  dikenali ramai. Orangnya peramah dan hormat orang tua. Itulah sebab ramai yang kenal.Lebih-lebih lagi ada padang dan warung ibunya, makcik Giah yang menjadi tempat berkumpul kanak-kanak, remaja sama ada  bermain di padang atau membeli di warung, kata sepupunya, Gee atau Fauziyah Nurdin.

“Makcik Giah...petang-petang jual sanggar (Pisang goremg campur sambal) air surap dan kuih-muih. Tapi sanggar makcik Giah sangat laku. Sehingga kedainya tumpuan dan ramai anak-anak muda berkumpul di sana,” katanya.

“Depan rumah makcik Giah tu juga tempat anak-anak dan orang-orang bermain bola, badminton, main guli dan macam-macam lagi.Masa tu depan rumah makcik Giah pasir belaka.Gelanggang itu jugalah yang banyak melahirkan pemain sepaktakraw, yang mewakili daerah  hingga ke peringkat negeri,” tambahnya.

Banyaklah juga kenangan mereka sewaktu menetap di Icebox, katanya. Walaupun sudah berpindah tempat tinggal, tetapi rumah kediaman mereka masih tetap berdiri di Icebox, sebagai salah satu daripada tujuh buah rumah yang terawal didirikan di kampung itu,  kira-kira tahun 50-an. Kampung itu dulu sebuah perkampungan nelayan. Icebox terbahagi kepada Batu 2, Taman Tawau Lama. Dinamakan Icebox kerana dulu ada nama Icebox. Ia mendapat nama kampung Titingan kerana dahulu pembukaan kampung itu dirasmikan oleh Datuk Haji Abu Bakar Titingan.

“Petang-petang ketika matahari turun, kami sudah rancang mahu mandi ke sungai. Tidak ingat juga macam mana terlepas ke sungai, padahal arwah Bapa tidak pernah beri kebenaran. Ada saja alasan bagi  dengan mak kalau mahu mandi Sungai. Selalu ikut kak Yus menyuci atau makcik Sal dan Makcik Tia. Dua orang makcik inilah kami selalu ikut, kenangnya. Seronok berenang sambil menyelam di Sungai,” katanya.

“Ya, kami selalu tunggu air pasang sebab mahu mandi Sungai,” kata Kak Mis atau Misliah.  “Saya , si Tika, Si Kucuk, Si Sisal. Sekali menyelam, ada pula benda lain timbul atas kepala. Aduii, itu lagi sandi,” katanya. Sandi ertinya ertinya teruk dalam dialek Melayu Sabah.

Kak Mis ini memang cepat ketawa, kata Gee. Belum mula bercakap dah ketawa dahulu, Ka Mis ni geng Kak Nastika.Kak Tika pula nampak pendiam, tapi kalau dah dekat dengan dia, pasti ketawa dibuatnya, kata Gee lagi.

“Tempat kami selalu pergi ada di Blok 8 kerana ada pelantar tempat orang menyuci, ambil air di bawah pelantar tu saja. Sambil makcik makcik menyuci, Aku, Jah, Jun berenang-renang dekat pelantar.Kami tak pernah mandi jauh-jauh sebab kami boleh dikatakan tak lasak, tak berani mandi jauh-jauh dari Makcik.

Mengenai hubungan penduduk kampung, memang sangat akrab pada masa itu. “Seminggu sebelum majlis kahwin, keluarga dan orang-orang berkumpul ramai-ramai menyediakan masakan dan makanan untuk majlis perkahwinan, masing-masing dengan kemahiran masing-masing, dan ada juga yang ditugaskan untuk menjemput orang dari rumah ke rumah.Biasanya Makcik Yun. Sementara orang lelaki menyiapkan Serobong atau khemah  untuk majlis persandingan. Kalau ada majlis kami, tidak sah kalau tidak ada zapin.Jadi lantai serobong itu perlu kuat untuk berzapin.

Kalau ada orang meninggal di kampung, orang-orang kampung lelaki dan perempuan akan berkumpul tak perlu dijemput. Inilah istimewanya orang kampung icebox, sangat peduli dengan keluarga mahupun jiran sekeliling. Blok 6,7, 8 sangat rapat. Di Blok 8, ada dua keluarga non muslim tapi mereka tidak janggal bersama kami , lebih-lebih lagi hari raya. Di Blok 8 juga ada kedai Cina depan rumah si Din kalau tak silap. Depan kilang tayar pun ada kedai Cina,kedai runcit juga.Kami memang selalu membeli di situ, sebab dekat dengan rumah.Kak Mis selalu usik taukeh kedai yang perut buncit.Kak Mis tanya bila lagi mahu beranak.Marah apek tu dengan Kak Mis, kak Mis pun cepat-cepat lari, “ katanya.

Pertemuan Anak-Anak Jati Icebox itu tetap jadi kenangan. Kesudian Ali Haji Alwi dan isteri, Puan Norliana Alibasa dan juga anak-anak belau yang turut membantu menyediakan tempat dan makanan untuk majlis itu amatlah besar ertinya. Kehadiran Ketua Kampung, Haji Ismail dalam pertemuan itu menjadikan majlis itu berjaya dan Meriah.

Kepulangan anak-anak Icebox, yang datang dari jauh dan dekat itu sangat mengharukan. Mereka yang terpilih sebagai ahli jawatankuasa untuk persatuan anak-anak jati Icebox yang ditubuhkan berjanji untuk menggalas amanat yang diberikan demi untuk kerja-kerja  amal jariah .

“Tanggung jawab ini akan digalas dengan penuh integriti bersama gandingan jawatankuasa yangg sedia ada demi merealisasikan impian untuk memudah cara mengurus kebajikan anak jati Icebok, insyaAllah.

Sungguhpun pertemuan itu sudah berlalu, masih ada yang terkenang-kenang peristiwa itu dan kenangan sewaktu kecil dan membesar di Icebox

Ketika berjumpa ,ada yang berpeluk cium, bertanya khabar, bercerita kisah kisah dan kenangan lama, namun ada juga yang pulang dengan rasa kesal kerana  lupa berselfie atau berswafoto.

No comments: