Sunday, December 31, 2017

CATATAN KUNJUNGAN KE TEMBILAHAN, INDRAGIRI HILIR



CATATAN KUNJUNGAN KE TEMBILAHAN, INDRAGIRI HILIR


INDRAGIRI pasirnya lumat, kerang bercampur dengan lokan, bagai nabi kasihkan umat, begitu saya kasihkan tuan. Sebenarnya banyak lagi pantun menarik mengenai Indragiri yang hafal. Satu pantun lagi, agak menarik juga berbunyi “Sapu tangan segi bertekad, di bawa datang ke Indragiri, Kalau tuan pandai memikat,burung terbang menyerah diri.
Namun semuanya saya terlupa, ketika tiba di Tembilahan. Dalam kunjungan kami beberapa waktu yang lalu di ibu kota Indragiri Hilir itu, kami menginap di rumah Datuk Haji Syamsuri Latif, seorang tokoh budaya yang juga Ketua Lembaga Adat Melayu Indragiri Hilir,
Beliau seorang pengarang dan budayawan yang terkenal di Tembilahan. Usahanya mengumpul Pantun dan Bidal-Bidal Melayu di adalah satu usaha yang sangat bermanfaat untuk masyarakat Melayu.
Di rumahnya, di Pancang Jermal,Parit 10, kami menginap sepanjang berada di Tembilahan. Dalam kunjungan itu, kami ditemani sasterawan dan wartawan terkemuka Riau, Mosthamir Thalib dan Ketua Yayasan Sagang, Kazzaini KS. Antara tujuan utama kami ialah mencari jejak sejarah hubungan antara Iranun dengan Riau khususnya Reteh, yang satu masa dahulu pernah menjadi pengkalan utama angkatan Iranun di Sumatera dalam melawan penjajah di Nusantara. Ia juga membuktikan hubungan persaudaraan antara kerajaan dan rakyat di Nusantara pada satu masa dahulu amat kukuh dan akrab.
Sepanjang berada di sana, kami sempat ke pulau Kijang, Kuala Patah Parang dan sempat pula singgah di Kuala Enok.
Tembilahan letaknya kira-kira 8 jam perjalanan dari Pekan Baru Riau. Namun walaupun tempatnya agak jauh tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk ke sana, apatah lagi selepas mendapat informasi mengenai kewujudan masyarakat Melayu Timur, iaitu keturunan angkatan Iranun yang pernah membantu Sultan Mahmud III mengusir Belanda dari Tanjung Pinang sekitar tahun 1787.
Penemuan kampilan, iaitu senjata khas Iranun yang panjangnya antara 60 cm sampai 80 cm juga amat menarik. Kampilan boleh dikenali kerana ciri-cirinya yang tersendiri. Bahagian atas hujungnya sedikit bercabang , hulunya berukir kepala naga dengan umbai-umbai seperti rambut atau bulu binatang.Kampilan, senjata pusaka yang sekian lama terendam dalam sejarah dan hampir hilang hanyut di bawah arus perubahan.
Di sana juga, kami bertemu dengan orang-orang tua yang masih mampu memainkan muzik kulintangan, biarpun alat muziknya sudah dimamah usia. Banyak lagi alat budaya yang masih tersimpan dan menjadi kebanggaan mereka.
Selain itum kisah kepahlawanan Panglima Besar Sulong dalam menentang Belanda tetap menjadi catatan sejarah yang tidak boleh dinafikan lagi.
Tembilahan adalah sebuah kecamatan di Kabupaten Indragiri Hilir. Berbanding dengan kota-kota lain di Sumatera, jumlah penduduknya tidak ramai . Menurut rakan di sana, jumlahnya kira-kuea 100,000. Statistik tahun 2010, mencatatkan terdapat 69,498 orang penduduk di ibu kota kabupaten itu.
Sebahagian besar daerah itu terdiri dari tanah gambut dan endapan sungai. Di sana sini kita boleh melihat jambatan. Kelihatan di tepi tepi sungai dan parit-parit banyak tumbuhan pokok nipah. Mungkin kerana itu, Tembilahan dipanggil dengan nama Negeri Seribu Jambatan. Ratusan jambatan yang terbina di kota itu, adalah ciri khusus dan menarik jika kita berkunjung ke Tembilahan.
Penduduk Tembilahan terdiri dari pelbagai suku bangsa seperti Banjar, Bugis,Melayu, Minang, Jawa, Batak dan Tionghua.  Kebanyakan mereka berkecimpung dalam sektor pertanian. Saya lihat parit-parit selebar 10 hingga 20 meter itu dijadikan sebagai saliran untuk mengairi perkebunan kelapa. Parit-parit itu sendiri sudah wujud di Tembilahan ratusan tahun yang silam.
Antara yang tidak dapat saya lupakan, selain tentunya budi baik masyarakatnya, ialah pelbagai jenis makanan tradisi yang sempat kami nikmati. Sambutan yang luar biasa dan ramah tamah dari masyarakatnya membuatkan kami terasa seperti berada di tempat sendiri.  Sebenarnya banyak sekali tempat menarik yang boleh dikunjungi di Tembilahan, tetapi mungkin boleh diceritakan pada waktu yang lain.

No comments: