Sunday, December 31, 2017

Catatan perjalanan ke Kampung Kabidang



Catatan perjalanan ke Kampung Kabidang

Akhirnya saya memutuskan untuk naik teksi saja ke Beaufort. Saya sudah janji mahu datang dan saya  mestilah menepati janji.Sepatutnya saya naik kereta kawan untuk ke Kampung Kabidang tetapi saat akhirnya keretanya pula terpaksa diperbaiki kerana tidak boleh berjalan jauh.
Pemandu teksi, namanya Muslimin. Setelah menemui dua orang penumpang yang dicarinya, teksinya meluncur laju menuju destinasi.
Jam 11.30, saya tiba di Bulatan Limau Beaufort. Saya terus ke Restoran Al-Amin, yang letaknya di sebelah KFC kerana saudara saya Tuan ADO  Beaufort , Haji Jupry Etok sedang menunggu. Beliaulah yang membantu menghantar saya ke rumah Ustaz Haji Saidin Musi.
Ustaz Haji Saidin Musi adalah seorang tokoh agama-beliau lebih suka disebut pendakwah-yang pernah bertugas sebagai Ketua Nazir di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Sebelum itu, beliau pernah menjadi guru di SMA Tun Puan Hajah Rahmah dan kemudian Sekolah Islamiyah di Tawau sebelum dilantik Nazir.
Selepas bersara sebagai Ketua Nazir, Ustaz Haji Saidin pernah bertugas sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Klias. Selepas tidak lagi aktif dalam kegiatan politik, beliau terus berbakti kepada masyarakat sebagai guru Takmir.

"Sampai sekarang saya masih mengajar," kata pendakwah yang tak mengenal penat lelah. Meskipun sudah pencen, masih ada juga yang datang ke rumah dengan pelbagai hajat termasuk  gunting rambut anak.
Ustaz Haji Saidin Musi adalah antara pelajar yang mula-mula bersekolah di Sekolah Islamiyah Tawau ketika kelas itu mula dibuka. Dua tahun kemudian selepas lulus SRP, beliau juga antara angkatan pertama yang terpilih memasuki tingkatan empat di Toh Puan Hajah Rahmah.
Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (PTIK) di Nilam Puri, antara yang pertama dari Sabah yang belajar Nilam Puri. Ketika berada dalam tahun 3, PTIK Nilam Puri kemudian di kenali sebagai Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia dan semua pelajar tahun dua diserapkan ke Akademi itu.
"Mari kita makan dulu," katanya. Makanan telah disiapkan oleh isterinya. Ambuyat, nasi, ikan bakar, sayur petola dan ayam. Saya agak terkejut  dan terharu kerana tidak menyangka dijamu makan tengahari memandangkan kunjungan saya amat singkat, iaitu sekadar untuk mewawancara beliau yang sudah lama menunggu sejak jam 11 lagi.
Sambil makan , kami bercerita mengenai perkembangan sejarah pendidikan agama Islam di Beaufort.
Sebelum USIA, sudah ada sekolah-sekolah didirikan penduduk kampung atasa inisiatif mereka sendiri. Guru-gurunya adalah mereka yang bekerja di estet-estet , datang dari Semenanjung tetapi memiliki sijil empat tsanawi.
Jika ada guru dari Brunei misalnya, orang-orang kampung akan datang untuk mengaji, dan menggilirkannya dari satu masjid ke masjid yang lain.

Selain itu, antara tokoh yang berperanan dalam usaha penyebaran syiar Islam di Beaufort ialah Imam Haji Suhaili Haji Yakub.
Selepas itu, USIA mengambil alih sekolah-sekolah agama ini. Sekolah-sekolah itu diserapkan dalam jagaan USIA. Kemudian dari USIA beralih ke bawah jagaan MUIS apabila Majlis Ugama Islam Sabah ditubuhkan.

Selepas tamat dari Nilam Puri, Ustaz Haji Saidin Musi bertugas sebagai guru agama di SM Toh Puan Hajah Rahmah tetapi tidak lama. Beliau kemudian ditukarkan untuk mengajar di Sekolah Islamiah Tawau. Kemudian beliau dilantik sebagai Nazir dan kemudian Ketua Nazir di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Beliau bersara pada 1998,. Kemudian beliau dilantik sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Klias. Namun, selepas melepaskan jawatan  sebagai PKR, kini Haji Saidin Musi masih bertugas sebagai guru takmir.
Saya sempat bertanya sBeliau sempat memperlihatkan beberapa gambarfoto ketika berada  di Mesir dan berada di sana hampir satu tahun lamanya, bersama-sama pelajar dari Sabah seperti Datuk Haji Mohd Arifin Arif, Dr Kasim Tusin, Ustaz Haji Baharudin Alwi, Haji Abd Sani Marif dan ramai lagi dalam gambar, sebahagiannya saya pernah jumpa, sebahagiannya belum.
Pertemuan dengan Ustaz Haji Saidin Musi itu bagi saya adalah sesuatu amat bermanfaat. Melalui temuramah itu saya mendapat gambaran mengenai perkembangan pendidikan agama Islam bukan saja di Beaufort malah di Sabah. Banyak yang dapat dipelajari dari pengalamannya yang luas itu. Tetapi jam sudah menunjukkan jam 1.40 petang , saya terpaksa mohon diri untuk balik semula ke KK.Jika diikutkan hati, masih banyak lagi yang dapat ditanyakan bagi memperkaya wawasan dan pengetahuan.


No comments: