Sunday, December 31, 2017

CATATAN PERJALANAN KE LINGGA 1





 CATATAN PERJALANAN KE LINGGA 1

Selepas menunggu beberapa waktu di Pelabuhan Telaga Punggur, Batam, akhirnya feri yang kami tunggu tiba dari Tanjung Pinang, Pulau  Bintan. Kami terus memasuki feri untuk melanjutkan perjalanan ke destinasi yang sebenarnya, iaitu Pelabuhan Tanjung Buton, Lingga.


Hari sudah menjelang petang.  Perjalanan dari Batam ke Pulau Lingga dijangka mengambil masa antara empat hingga lima jam.  Tapi perjalanan panjang itu tidak terasa lamanya kerana saya duduk berdekatan penyair Hasan Aspahani.  Saya mengambil peluang untuk bertanya segala hal mengenai dunia perpuisian dan sastera Indonesia. Hasan,  adalah Pemimpin Redaksi Batam Pos, tetapi kini sudah berpindah ke Jakarta untuk melanjutkan kerjayanya di sana.


Pulau Lingga adalah sebuah pulau bersejarah. Ia tanah leluhur yang selalu dijuluki sebagai Negeri Bunda Tanah Melayu. Selama kira-kira 120 tahun , Daik Lingga pernah menjadi pusat kerajaan Riau Lingga.
Mengikut Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji , Sultan Mahmud III memindahkan kerajaannya ke Lingga pada 1787 selepas mereka berjaya menghalau Belanda ke Singapura dengan bantuan angkatan perang Iranun  dari Tempasuk. Sejak itu, Lingga menjadi pusat tamadun dan kebudayaan Melayu.
Saya asyik dalam percakapan dengan  Bung Hasan, sehingga tiba-tiba penumpang feri itu riuh. Hampir semuanya mengambil kamera dan telefon genggam  masing-masing untuk merakamkan Gunung Daik.


Gunung Daik yang selalu disebut dalam pantun-pantun Melayu. "Pulau Pandan jauh di tengah, Gunung daik bercabang tiga, Hancur badan di kandung tanah, budi baik di kenang juga".Rupa-rupanya gunung Daik memang tersergam indah di Daik Lingga.
Amran, pegawai dari Dinas Kebudayaan Lingga menerangkan mengenai Pulau Pandan yang berada jauh di tengah. Sebuah pulau yang tidak berpenghuni dan hanya ditumbuhi pohon-pohon pandan.
Tapi kenapa puncaknya tinggal dua?. Ada cerita mengatakan satu puncaknya patah pada zaman Orang Kaya Montel. Gunung Daik bercabang tiga, patah satu tinggal dua. Memang banyak cerita orang-orang tua mengenai patahnya satu puncak gunung daik itu.
Saya sempat mengabadikan beberapa gambar Gunung Daik setingga 1,165 meter dari aras laut  itu sebelum masuk semula ke perut feri. Tidak lama kemudian rombongan kami mendarat di Pelabuhan Tanjung Buton, Pulau Lingga.





Hari menunjukkan jam 6.00 petang waktu Indonesia Barat.  Rupanya hampir semua penumpang feri itu berkunjung ke Lingga untuk menghadiri Perhelatan Memuliakan Tamadun Melayu Antarabangsa (PMTMA) dan Syukuran Sultan Mahmud Riayat Syah sebagai Pahlawan Nasional Sempena Hari Jadi ke-14 Kabupaten Lingga.

Kami disambut ramah oleh ahli jawatankuasa penganjur dan sempat dijamu pelbagai juadah sebelum dibawa ke hotel dan selepas itu diraikan dalam Majlis Makan Malam.
Saya rasa gembira kerana bertemu dengan seorang rakan peminat sejarah, saudara  M. Fadlillah dan wartawan Batam Pos, Muhamad Hasbi.
Keesokan harinya diadakan Perbincangan Tamadun Melayu Antarabangsa yang dihadiri oleh peserta dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Banyak kertas kerja dibentangkan oleh sarjana-sarjana sejarah dan tokoh-tokoh  budaya mengenai tamadun Melayu. Antara tokoh yang membentang kertas kerjanya ialah Tan Sri Profesor Datuk Wira   Dr Abd Latif Abu Bakar, Datuk Seri Lela Budaya  Rida K Liamsi, Prof Mukhlis Paeni, Dr Didik Pradjoko, Dr Muhammad Takari Jilin Syahrial, dan ramai tokoh lagi.




Saya sempat mengemukakan pandangan mengenai Hubungan Lingga -Tempasuk dan saya sempat bergurau , saya mungkin orang dari Tempasuk yang pertama selepas 230 tahun hubungan antara kerajaan Tempasuk dan Johor Riau Lingga.
Selepas itu, bersama Fadli, kami sempat berkunjung ke Muzium Linggam Cahaya. Di sana, saya sempat melihat catatan sejarah mengenai peristiwa Mei 1787 apabila Sultan Mahmud Syah III meminta bantuan dari Angkatan Iranun Tempasuk untuk menghalau Belanda dari Tanjung Pinang. Selepas  peristiwa itulah yang menyebabkan Sultan Mahmud Syah III memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga.




Sempat pula saya melihat mengenai naskah kuno, benda-benda, perkakas dan alat-alat bersejarah termasuk kampilan, senjata Iranun yang dihadiahkan ialah sebuah keluarga di Lingga.
Kemudian kami berkunjung pula ke tapak Istana Damnah. Saya beruntung kerana saudara Fadli memiliki kefahaman sejarah yang kuat sehingga mampu memberikan penerangan mengenai sejarah di Pulau Lingga.
Kami sempat berkunjung ke Masjid Jami' Sulthan Lingga, dan sempat pula berziarah ke  Makam Sultan  Mahmud.



Biasanya puncak gunung Daik itu sering diselubungi kabus. Namun saya bertuah kerana beberapa kali berpeluang menatap puncak gunung Daik yang sudah terakam dalam pemikiran masyarakat Melayu melalui pantun beratus-ratus tahun lamanya. Sungguh, pengalaman yang tak dapat dilupakan.

No comments: