Ahad, 31 Disember 2017

CIKGU DEEN ERWAN, GURU YANG BANYAK PENGALAMAN

Tags



CIKGU DEEN ERWAN, GURU YANG BANYAK PENGALAMAN
-masih terus aktif walaupun sudah lama bersara


Walaupun sudah lama  bersara, tetapi Cikgu Deen Erwan,71, masih tetap aktif dalam aktiviti dan program sosial dan kemasyarakatan. Selain itu, beliau terus aktif dalam kegiatan NGO. Kini beliau adalah Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan  Pendidikan Malaysia, Daerah Ranau dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PPPPM Cawangan Negeri Sabah dan Pesuruhjaya Kawasan Zon Khas  yang meliputi Kundasang, Ranau, Paginantan, Teliupid, Tongod.
“Saya tidak suka buat kerja secara terpaksa.Saya tidak suka dipaksa dan saya juga tidak suka memaksa orang,” kata bekas guru yang banyak pengalaman dan banyak berbakti kepada anak-anak bangsa di seluruh negeri ini.
Deen Erwan bin Gunda dilahirkan di Kampung Paka Bundu Tuhan Ranau pada 16 Februari 1946. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Bundu Tuhan dari tahun 1954 hingga 1959 dan kemudian di GPS Pekan Ranau pada tahun 1960. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Government Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud. Selepas itu, beliau bertugas sebagai guru di GPS Ratau sebelum memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dari tahun 1964 hingga 1966. Sebaik tamat kursus sijil perguruan, beliau ditugaskan pula ke SRK Perancangan Beluran dan kemudian  di SRK Pekan Beluran pada pertengahan 1967. Pada 1968, beliau adalah orang pertama yang bertugas di SRK Muanad Beluran, ketika sekolah itu mula dibuka,. Selepas itu, beliau bertugas di GPS Karamunsing Sandakan pada 1969 tetapi sebagai guru biasa. Pada tahun 1970 hingga 1971, Cikgu Deen Erwan bertugas di SRK Berhala Darat  kemudian beliau ditukarkan ke SRK Kituntul Ranau. Kemudian beliau terpilih untuk menghadiri kursus di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.Selepas kembali di MPSI, beliau bertugas sebagai guru di SMK Menggatal dan turut dilantik sebagai Warden Asrama di SMK Menggatal dari tahun 1974 hingga 1980. Kemudian beliau bertugas di SK Sungai Anib hingga pertengahan 1982 sebelum beliau  ditukarkan ke SK Kem Tentera hingga tahun 1983.Pada tahun 1984, beliau dilantik pula sebagai  anggota jemaah Nazir Sekolah hingga tahun 1996. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Guru Besar di SRK Lapasan, Kota Kinabalu dari tahun 1996 hingga bersara pada Februari 2001.
Cikgu Deen Erwan  mendirikan rumah tangga dengan S Mariam Haji Daud dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Erwenddy, Erwarry, Dr Marlenny dan Erwazzy.

Selepas bersara, beliau terus aktif dalam kegiatan NGO. Kini beliau adalah Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan  Pendidikan Malaysia, Daerah Ranau dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PPPPM Cawangan Negeri Sabah dan Pesuruhjaya Kawasan Zon Khas  yang meliputi Kundasang, Ranau, Paginantan, Teliupid, Tongod.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual  Cikgu DEEN ERWAN GUNDA di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalamannya ketika bersekolah rendah, menjadi guru sehinggalah bersara pada tahun 2001.
UTUSAN BORNEO; Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?
DEEN ERWAN: Saya lahir di Kampung Paka Bundu Tuhan Ranau pada 16 Februari 1946.Saya bersekolah di GPS  Bundu Tuhan dari darjah satu hingga darjah enam pada 1959. Bagaimanapun pada pertengahan tahun itu, bapa saya berpindah ke Ranau. Saya sambung balik sekolah di GPS Ranau dalam darjah enam pada tahun 1960. Bermakna saya berada dalam  darjah enam selama dua tahun.
UB: Apa kerja arwah bapa cikgu dahulu?
DEEN ERWAN: Bapa saya Gunda @ Budiman Abdullah bekerja sebagai polis. Beliau berasal dari Bundu Tuhan.Beliau berkahwin dengan orang Bundu Tuhan, Sukat @ Sukipah Abdullah,iaitu ibu saya.
UB: Berapa adik beradik?
DEEN ERWAN: Saya anak sulung dari enam orang adik beradik.
UB: Boleh ceritakan pengalaman cikgu sewaktu bersekolah rendah?
DEEN ERWAN: Saya berjalan kaki dari rumah ke sekolah.Masa itu tiada kasut. Saya berangkat dari rumah kira-kira jam 6 , kadang kadang lebih awal dari itu. Senarionya begini. Sebenarnya sekolah terletak dekat rumah tetapi ibu bapa saya tinggal jauh di ladang di Tagudon, yang jauhnya kira-kira 8 km. Kalau saya bergerak dari rumah jam 6 pagi, saya boleh sampai ke sekolah kira-kira jam 8.00 pagi. Saya berulang alik dari rumah ke sekolah, purata 16 kilometer sehari. Kadang saya tinggal di rumah bapa saya kerana di sana ada nenek atau rumah mama saya kerana di sana ada sepupu. Kalau rindu adik-adik , saya sanggup berjalan kaki pergi balik dari rumah ke sekolah walaupun jaraknya jauh.
UB: Masa sekolah dulu, berapa bekal cikgu?
DEEN ERWAN: Kadang-kadang satu sen. Satu sen masa kitu boleh dapat empat biji pisang. Tapi selalunya saya bawa bekal nasi pergi sekolah. Masing-masing ada bawa nasi  untuk bekal di sekolah.  Balik dari sekolah, kami melintas sungai Leedan. Di sana ada lubuk dipanggil kombob dalam bahasa dusun. Disanalah kami berhenti mandi dan berenang. Lepas itu sepanjang jalan kami makan jambu yang tumbuh di kiri kanan jalan supaya tidak terasa lapar.


UB;  Dimana cikgu melanjutlkan pelajaran menengah?
DEEN ERWAN: Saya sempat melanjutkan pelajaran di Government Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud tetapi tidak lama. Saya balik kampung cari kerja.
UB: Kerja apa?
DEEN ERWAN: Sepatutnya saya masuk perkhidmatan polis. Saya sudah dalam perjalanan ke Kepayan ( Ibu pejabat Polis Kepayan)  tetapi arwah emak tidak mahu saya jadi polis.
UB: Tapi suaminya kan polis? Mengapa pula beliau  tak benarkan?
DEEN ERWAN:  Mungkin kerana suaminya iaitu bapa saya  pernah ditawan oleh Tentera Jepun selama kira-kira lima tahun.. Baginya kalau jadi polis, sentiasa terlibat dalam peperangan.
UB: Dimana cikgu kerja lepas itu?
DEEN ERWAN: Saya terus kerja kampung. Bantu mengerjakan sawah ladang. Tidak lama kemudian, Cikgu Suhaimi Gilong datang. Beliau minta  saya jadi guru pelatih. Beliau yang tulis surat permohonan  kepada  Jabatan  Pelajaran masa itu untuk saya. Untuk jadi guru masa itu agak mudah. Lulus darjah enam boleh mohon menjadi guru.Pada mulanya saya tidak mahu jadi guru. Dalam fikiran saya masa itu, guru selalu  ditempatkan di tempat yang jauh.
Apabila surat sampai, permohonan saya diterima. Saya diarah bertugas di GPS Ratau. Kemudian selepas itu saya dipilih untuk mengikuti kursus  di Maktab Kent Tuaran selama tiga tahun iaitu dari tahun 1964 hingga 1966.
UB: Siapa rakan seangkatan cikgu masa itu
DEEN ERWAN:Antara rakan seangkatan saya ialah arwah Abdul Rahman Sidek, bekas PPD Kudat, Ribus Tingadun, Arwah Hassan Mimin,. Kalau dari ranau, Rasmin Saidin, Abd Malik Tahir, Haji Ahmad Idris, haji Abd Latif Daiman.
UB: Selepas tamat maktab, dimana cikgu ditempatkan?
DEEN ERWAN: Saya dapat lantikan untuk bertugas di SRK Perancangan Beluran. Sepatutnya saya bertugas di SRK Perancangan Ranau, tetapi jabatan salah tulis surat. Hal ini saya tahu kemudian setelah datang satu surat yang memberitahu perubahan itu.
UB: Berapa lama cikgu mengajar di Beluran?
DEEN ERWAN: Selepas enam bulan bertugas di sana, saya diarah bertukar di SRK Beluran pada pertengahan 1967. Pada 1968, sayalah yang menubuhkan SRK Muanad Beluran, dan menjadi guru besar di sana. Antara rakan saya ialah Cikgu Sharif Yunus. Kira-kira enam bukan kemudian, saya dimasukkan ke wad kerana jangkitan malaria. Selama dua minggu berada di hospital. Seleopas itu, Pegawai Pelajaran masa itu tidak hantar balik saya bertugas di SRK Muanad sebaliknya terus bertukar di GPS Karamunsing Sandakan pada 1969 tetapi sebagai guru biasa.
UB:  Kemudian di mana cikgu bertugas?
DEEN ERWAN: Saya bertugas di SRK Berhala Darat pada 1970 hingga 1971. Pada 1971, saya ditugaskan di SRK Kituntul Ranau, Saya ingat tarikhnya iaitu pada 20 April 1972.Kemudian saya dapat ikut Kursus Dalam Latihan  di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.  Kami diberikan latihan, falsafah pendidikan, perbezaan mengajar di sekolah menengah dan sekolah rendah.Bagi pelajar sekolah rendah mereka boleh takut kalau kena rotan.
UB: Berapa lama?
DEEN ERWAN: Latihan selama dua tahun.Masa itu terdapat kira-kira 30 orang dari Sabah belajar di MPSI.
UB: Siapa rakan cikgu dari Sabah  sewaktu kursus di MPSI?
DEEN ERWAN: Antaranya Omar Sulaiman di kenali sebagai Omar Sal, Abdul Mim Taib,Datuk Melali,Haji Tahir Sabat, Haji Abdul Latif, Dari Pimping Talib Kirah, Hasan Sarujin dari Kuala Penyu.
UB: Mungkin ada kenangan tertentu ketika kursus di MPSI?
DEEN ERWAN: Antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika berlakon dalam Tiang Seri Tegak Berlima arahan Cikgu Noordin Hassan. Sekarang Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan. Saya juga menulis sajak masa itu. Saya juga sering terlibat dalam pengacaraan apa saja aktiviti rasmi di maktab.
UB: Sebaik tamat kursus di MPSI itu, dimana cikgu bertugas?
DEEN ERWAN: Selepas itu saya menjadi warden di SMK Menggatal dari tahun 1974 hingga 1980. Mungkin ada yang mengingati saya sebagai seorang warden yang garang tetapi saya tidak garang kalau berada dalam kelas. Masa itu saya juga bertugas sebagai guru disiplin. Sehinggakan pengetua masa itu,Cikgu Abdul Aziz Abas (sekarang datuk, Ketua Pengarah DBP Malaysia) selalu memberi amaran kepada pelajar, jika mereka tidak ikut peraturan, beliau akan lapor kepada Cikgu Deen.Masa itu saya guru disiplin. Tapi saya hanya tegas kita menjalankan tugas sebagai warden.
UB: Sewaktu cikgu menjadi warden asrama di SMK Menggatal, siapa antara murid yang pernah tinggal di asrama?
DEEN ERWAN: Antaranya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri, Prof Datuk Dr Kasim Haji Mansur,Haji Sairin Ibrahim, Datuk Haji Almain Ajirul, Hajah Asmiah Haji Ajamain, Musli Oli, dan banyak lagi.
UB: Dimana cikgu  bertugas selepas itu?
DEEN ERWAN:  Saya bertukar di  SRK Sungai Anib sebagai guru biasa dari tahun  1980 hingga pertengahan 1982. Kemudian saya ditukarkan ke SK Kem Tentera hingga tahun 1983.
Pada tahun 1984, saya ditugaskan sebagai  anggota jemaah Nazir Sekolah.
UB: Berapa lama berkhidmat sebagai nazir? Kemudian dimana cikgu bertugas?
DEEN ERWAN: Saya  bertugas sebagai nazir dari tahun 1984 hingga 1996. Pada tahun 1996, saya melapor diri di SRK Lapasan sebagai guru besar. Pada tahun itu berlaku ribut Greg. Sebenarnya SK Lapasanlah yang terjejas teruk akibat ribut greg itu. Buku Teks,peralatan sekolah rosak disebabkan basah oleh hujan.  Atap sekolah diterbangkan angin sejauh setengah kilometer. Kemudian saya jumpa Ketua kampung, minta tempat untuk menempatkan murid murid sekolah sementara menunggu sekolah diperbaiki.Orang kampung mengadakan mesyuarat dan akhirnya memutuskan pelajar ditempatkan buat sementara di balai raya, yang pada masa itu tidak digunakan lagi. Warga sekolah dan penduduk kampung adakan gotong royong membersihkan balai raya.  Atas keizinan Pengarah Pendidikan masa itu ialah Datuk Dr Hasbollah Haji Mohd Taha,kami menggunakan balai raya sebagai ruang untuk kelas.
UB: Berapa tahun jadi guru besar di SK Lapasan Kota Kinabalu?
DEEN ERWAN: Saya berkhidmat sebagai guru besar dari 1996 hingga bersara pada Februari 2001.

UB: Beralih kepada penglibatan cikgu dalam pengakap.  Bagaimana cikgu mula tertarik menyertai kegiatan pengakap?
DEEN ERWAN: Saya mula tertarik dalam kegiatan pengakap ketika bersekolah di GJSS Kota Belud. Di sanalah saya mula aktif. Sejak itu saya mula aktif dalam pengakap. Bagaimanapun ketika berkhidmat sebagai nazir, saya tidak dapat bergerak aktif dalam pengakap  sebab masa terlalu suntuk bagi saya yang bertugas di pejabat. Tapi saya adalah nazir yang memantau persatuan pengakap di sekolah-sekolah.  Saya hanya kembali aktif selepas bertemu Pesuruhjaya Pengakap, Datuk Dr Awang Zainie Suntim yang mempelawa saya aktif kerana pengakap kekurangan pemimpin masa itu.
UB: Apa jawatan cikgu dalam pengakap sekarang?
DEEN ERWAN: Saya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kawasan Zon Khas  yang meliputi Kundasang, Ranau, Paginantan, Teliupid, Tongod. Kedudukan saya istimewa kerana ketua saya ada dua. Kawasan jagaan saya terletak di Ranau, Kundasang, terletak di bawah Pantai Barat Utara dan Telupid Tongod berada di bawah daerah Sandakan. Jadi sebagai pesuruhjaya kawasan, saya menghadiri mesyuarat di Sandakan dan PBU.
UB: Sepanjang dalam Pengakap, apa jambori yang pernah diikuti?
DEEN ERWAN: Saya pernah memghadiri Jambori  Pengakap Sedunia kali ke 23 di Kirara-hama, Yamaguchi Jepun pada 2015. Sebelum itu saya pernah menyertai , Replika Jambori Norway di Bukit Padang Kota Kinabalu pada 1975, Jambori 100 Tahun Sabah di Sandakan pada 2013, Jambori Kebangsaan dan Antarabangsa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

UB: Apa prinsip cikgu dalam hidup ?
DEEN ERWAN: Saya tidak suka buat kerja secara terpaksa.Saya tidak suka dipaksa dan saya juga tidak suka memaksa orang kecuali melibatkan soal dasar atau polisi. Saya juga tidak mahu diarah.Jika ada sesuatu , mesti ada tolak ansur. Segala sesuatunya mesti dirundingkan.