Sunday, December 31, 2017

DR HAJAH ANANGLANGKA MAD KASSIM TOKOH PENDIDIK YANG GIGIH

 DR HAJAH ANANGLANGKA MAD KASSIM TOKOH PENDIDIK YANG GIGIH


BANYAK kisah dan cerita menarik ketika bercerita dengan tokoh pendidik, kaunselor, fasilatator yang  terkenal ini. Kisah-kisah masa kecilnya ketika bersekolah di Sandakan, kerjayanya dalam perguruan dan perjuangannya untuk meraih tahap pendidikan ke tahap yang lebih tinggi lagi hingga ke peringkat PhD. Penerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Sabah 2016 dan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri 2013 bagi Kategori Wanita menceritakan perit maung perit maung kehidupan yang pernah dilaluinya.
Dr Hajah Ananglangka binti Mad Kassim dilahirkan pada 10 Januari 1956 di Kampung Bokara, Sandakan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Karamunting Sandakan dari tahun 1964 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran di SMK Sandakan dari tahun 1971 hingg 1975. Kemudian beliau melanjutkan pengajian dalam opsyen Bahasa Melayu dan Sejarah di Maktab Perguruan Gaya (MPG) dari tahun 1977 hingga 1978.  Selepas keluar maktab, beliau bertugas sebagai guru pada tahun 1979 di SM St Cecilia Sandakan dan kemudian mengajar di SM Sanzac Kota Kinabalu dari tahun 1980 hingga 1986. Pada tahun 1987 hingga 1988, beliau dilantik sebagai Penolong Kanan di SK Pulau Gaya dan kemudian di SK Bukit Padang dari tahun 1989 hingga 1996.
Di samping itu, beliau juga mendapat latihan dan kemahiran khas dan profesional dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di Maktab Perguruan Kent Tuaran (1984), Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras Kuala Lumpur pada tahun 1987 (Sijil Khas) dan kemudian mendapat Diploma Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak pada tahun 1993. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1996 hingga 1999. Selepas tamat pengajian, beliau ditugaskan sebagai Kaunselor Sepenuh Masa di SMK Perempuan Likas , Kota Kinabalu dari tahun 1999. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Psikologi Kaunseling (2002 hingga 2005) dan Ijazah Doktor Falsafah Psikologi (2007 hingga 2011) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dr Hajah Ananglangka banyak terlibat dalam dunia pendidikan dan juga terlibat secara langsung dalam khidmat kemasyarakatan serta kesukarelaan antaranya sebagai penceramah, kanuselor, fasilitator, mentor, tutor, panel forum, jurulatih Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Pembimbing Rakan Sekerja (PERASA) Peringkat Kebangsaan. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Penyekia Lapangan dan Latihan Praktikal para Guru Kaunseling dan Pelajar IPT dan beliau pernah membentangkan tesis dan jurnal di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
Kini beliau bergiat aktif menyumbangkan bakti dalam menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pelawat Taman Sri Puteri (TSP) Kota Kinabalu (2011 hingga 2017), Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita  (BHEW) Pemadam Negeri Sabah (2001 hingga 2020), AJK Sosial Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dari tahun 2005 hingga 2008 dan 2011 hingga 2016, Tenaga Penggerak Biro Tata Negara (BTN) Jabatan Perdana Menteri, KDN Cawangan Negeri Sabah (2000 hingga kini), Ahli Persatuan Kesihatan Mental  Negeri Sabah, Ahli Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) dari tahun 2011, Ahli Seumur Hidup Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Negeri Sabah dan Panel Penceramah Pemadam Kebangsaan serta dilantik sebagai Ahli Koreksional Penjara Malaysia 2013.
Atas sumbangan beliau dalam pembangunan dan kemakmuran rakyat Negeri Sabah, Dr Hajah Ananglangka dianugerahkan Pingat Bintang Kinabalu (BK)  pada tahun 2007, Anugerah Khidmat Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan  Malaysia pada tahun 1995,2003 dan 2013. Beliau juga adalah penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW 1432 H/ 2013 M bagi kategori wanita, Anugerah Berprestij Aspirasi Pascasiswazah dari UMS tahun 2011, Perkhidmatan Cemerlang sebagai Kanselor dan AJK PIBG SMK Perempuan Likas (2000-2012), Sijil Penghargaan dan watika dari beberapa NGO, Badan Berkanun, Agensi Kerajaan dan Swasta serta sekolah di semua peringkat termasuk IPTA dan IPTS seperti PTPTL ,MSU Sabah dan agensi lain. Beliau juga dilantik Kanuselor Panel Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan  Negara (LPPKN) Negeri Sabah . Dr Hajah Ananglangka juga terpilih sebagai penerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Sabah 2016 sempena Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah pada 27 Ogos 2016.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Abd Hamid Manan dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Andie Aziz,  Addie Azizan,Nuradiana Afiza, , Dr Nur Amra Haziqah dan Abd Halim.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Dr Hajah Ananglangka Mad Kassim di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Ikuti petikan temubual bersama  beliau mengenai zaman-zaman persekolahannya dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang persekolahan Dr Hajah?
DR HAJAH ANANGLANGKA: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Karamunting dalam darjah satu hingga enam iaitu dari tahun 1964 hingga 1970 .  Prasarana sekolah dahulu sangat berbeza. Mana ada bangunan sekolah secantik sekarang. Dulu hanya bangunan papan.
Untuk ke sekolah, saya berjalan kaki dari Kampung Bokara ke Kampung Karamunting. Dulu jarak jauhnya tidak terasa, padahal kami harus berjalan melalui kuburan. Masa itu masih belum ada jalan raya lagi. Melalui jalan di kawasan kuburan itu memang menakutkan, kerana kononnya ada hantu bangkit. Antara kawan-kawan saya masa itu ialah Hajah Harijah Osman, Hajah Normadiah Haji Husin, Hajah Noraini Jipli dan ramai lagi. Guru-guru kami antaranya arwah  Cikgu Awasid,  Cikgu Laini , guru disiplin,Cikgu Noraini Zainudin dam sebagainya.
Sewaktu peperiksaan darjah enam pada tahun 1970, saya mendapat keputusan yang paling tinggi masa itu iaitu 72 peratus.
Dulu lain, sekarang lain.Dulu kita sendiri yang mesti kuat belajar. Dulu kurang motivasi dari sekeliling. Tapi kerana azam kuat, saya terus saja belajar. Waktu pagi bersekolah di sekolah kebangsaan di SRK Karamunting, petang saya sekolah agama.
UB:  Dimana Dr melanjutkan pelajaran menengah?
DR:  Selepas lulus darjah enam, saya melanjutkan pelajaran ke SMK Sandakan dari tahun 1971 hingga 1975.   Saya naik bas dari kampung Bokara. Kawan Saya yang paling baik ialah Noraini Abdullah. Beliaulah yang selalu belanja tambang bas.Masa itu untuk ke SMK Sandakan, kita perlu berjalan dari Bokara ke Karamunting ke Sandakan dan kemudian ke SMK Sandakan. Tambang bas masa itu ialah 20 sen dan 20 sen lagi ke SMK Sandakan.
UB: Siapa antara rakan sekolah di SMK Sandakan?
DR: Antaranya Bibah, Nonong dan ramai lagi. Masa itu saya pengawas. Datu Ejab Tayung ketua pengawas. Saya jadi pengawas dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Saya tidak suka menjaga di kawasan kantin kerana tiada duit beli makanan. Saya selalu minta jaga pagar sekolah.
Setiap kali peperiksaan, paling rendah saya mendapat nombor tiga. Masa itu tiada buku rujukan, tiada buku kerja. Kita hanya perlu menyalin pelajaran dari papan hitam berulang kali. Setelah siap satu di tulis di papan hitam, padam lagi, kemudian salin lagi. Begitulah rutin kita setiap hari. Asyik menyalin saja. Di sekolah saya minat subjek sejarah.
Setiap pagi bila cikgu datang ke kelas, beliau akan menyoal terlebih dahulu. Siapa yang tidak dapat terpaksa ditarik telinganya, tidak disuruh duduk. Saya selalu dapat menjawap soalan cikgu, jadi saya sentiasa duduk.
UB: Selepas SMK Sandakan, dimana Dr Hajah melanjutkan pelajaran?
DR: Ada saya punya pakcik Cikgu Ahmad , beliau yang beri galakan agar saya masuk bidang perguruan. Kemudian permohonan saya diterima masuk Maktab Perguruan Gaya. Saya naik kapal terbang ke Kota Kinabalu. Orang kampung khususnya keluarga saya, naik satu bas hantar saya ke lapangan terbang. Saya jadi antara anak pertama dari kampung kami masuk maktab.
UB: Bagaimana keadaan hidup di Maktab sebagai seorang yang berjauhan dari keluarga?
DR: Terpaksa banyak berjimat. Elaun masa itu kecil saja. Kami orang miskin. Biasanya kami berjimat. Kalau dekat-dekat masa cuti, telur kami simpan untuk bawa pulang. Saya ingat masa itu, Datuk Hajah Rita T Jaafar selalu bagi duit. Datin Helen Koding, Mrs Pang Amadous dan ramai lagi pensyarah yang baik-baik belaka.
UB: Apa saja aktiviti di Maktab?
DR: Saya banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti di Maktab. Selain itu, saya juga adalah Exco MPP Maktab Perguruan Gaya.
UB: Selepas tamat maktab, dimana Dr Hajah ditugaskan?
DR: Selepas menamatkan pengajian di MPG, saya ditugaskan di SM St Cecilia selama satu tahun pada tahun 1979. Saya memang aktif dan selalu jadi juru acara  acara-acara sukan. Saya terus mengajar BM dan sejarah yang jadi opsyen saya di Maktab. Apabila saya mendirikan rumah tangga dengan suaami saya, Abd Hamid Manan orang Pengalat Besar pada hujung 1980, saya berpindah ke  SMK Sanzac Kota Kinabalu.
UB: Berapa tahun mengajar di Sanzac?
DR: Saya mengajar di Sanzac pada tahun 1980 hingga 1986. Mula-mula saya mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Kemudian saya juga menjadi guru bimbingan dan kerjaya. Sambil itu, saya mengikuti latihan dan Kursus Dalam Cuti  (KDC)  dan berjaya mendapat mendapat sijil Bimbingan dan Kaunseling di Maktab Perguruan Kent pada 1984. Kemudian saya mengikuti kursus Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras Kuala Lumpur sehingga mendapat sijil khas  pada tahun 1987 dan kemudian mendapat Diploma Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak pada tahun 1993.
Saya memang seorang yang aktif.Semasa bertugas sebagai penolong kanan di SK Pulau Gaya pada 1987 hingga 1988, saya suka menolong pelajar, belikan mereka pencel, buku, pakaian  dan bertanya barangan keperluan mereka. Kemudian saya bertugas pula di SK Bukit Padang pada tahun 1989 hingga 1996.

 Seterusnya saya  melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1996 hingga 1999. Selepas tamat pengajian, saya ditugaskan sebagai Kaunselor Sepenuh Masa di SMK Perempuan Likas , Kota Kinabalu dari tahun 1999. Kemudian saya  melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Psikologi Kaunseling (2002 hingga 2005) dan Ijazah Doktor Falsafah Psikologi (2007 hingga 2011) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
UB: Siapa yang paling banyak memberikan dorongan kepada Dr Hajah?
DR: Ibu saya, Hajah Fatimah Panglima Aukasa. Ibu sayalah yang paling banyak memberikan dorongan. Beliau sanggup jaga anak-anak saya asalkan saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Saya teringat ketika belajar di UPM,Saya pernah terlibat dalam kemalangan dilanggar keretapi di Federal pada 1996. Tetapi ibu saya terus beri semangat. Kalau accident dia mati, dia tak payah belajar. Kerana dia hidup , dia harus belajar. Begitulah kata-katanya beri semangat untuk saya. Saya mesti sambung  belajar kerana saya hidup. Kalau sudah mati, saya tak perlu belajar lagi.
UB: Apa cita-cita Dr Hajah Dulu?
DR: Zaman dulu orang mana ada cita-cita. Kita hanya mahu belajar untuk mengubah masa depan agar lebih baik. Masa dulu, orang kampung tidaklah mementingkan pelajaran. Itu menjadi budaya masa itu.Kita terpaksa berusaha sendiri untuk belajar.
UB: Apa yang mendorong Dr Hajah untuk bersekolah ke peringkat PhD?
DR: Sebenarnya, antara yang mendorong saya ialah Prof Hajah Rosnah Ismail. Beliau yang banyak beri dorongan untuk saya belajar hingga ke peringkat ini.
Saya mahu semua orang cemerlang. Saya ingat sewaktu dulu saya kurang dapat motivasi, itu sebabnya bila ada peluang, saya buktikan bahawa orang kampung juga boleh.



No comments: