Sunday, December 31, 2017

HIDUP HARUSLAH SENTIASA IKHLAS: USTAZ HAJI SAIDIN MUSI



HIDUP HARUSLAH SENTIASA IKHLAS: USTAZ HAJI SAIDIN MUSI


“HIDUP beramal, bertakwa perlu disertai dengan keikhlasan. Ikhlas adalah kunci segala-galanya. Kalau ada amal, tapi tiada ikhlas, ibadah kita mungkin tidak diterima”. Itulah antara kata-kata Ustaz Haji Saidin Musi, mantan Ketua Nazir Sekolah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Walaupun sudah lama bersara dari perkhidmatannya sebagai pegawai agama, beliau masih tetap gigih berbakti kepada masyarakat, menjadi guru takmir, aktif memenuhi undangan ceramah agama di daerah kelahirannya, Beaufort. “Saya masih mengajar sampai sekarang,” kata tokoh yang lebih suka dikenali sebagai pendakwah ini. Beliau adalah antara pelajar pertama Sekolah Menengah Islamiah Tawau ketika sekolah aliran menengah agama mula-mula diperkenalkan di negeri pada tahun 1970. Beliau juga adalah antara pelajar pertama dari Sabah yang menuntut di Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (PTIK) Nilam Puri, yang kemudian menjadi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Ustaz Haji Saidin Musi dilahirkan di Kampung Kabidang, Beaufort pada 2 Mac 1952. Anak bungsu dari dua adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Government Primary School Takuli, Beaufort selain belajar di sekolah agama di Kabidang. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM St Paul Beaufort hingga tingkatan 2 kerana beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Islamiah Tawau, sekolah agama pertama di negeri Sabah. Beliau melanjutkan persekolahan di Sekolah Menengah Toh Puan Hajah Rahmah di Sembulan, sebagai salah seorang pelajar tingkatan empat yang pertama di sekolah itu. Selepas lulus tingkatan enam, Ustaz Haji Saidin melanjutkan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri hingga lulus Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah.
Sekembalinya ke Sabah, anak kepada pasangan Musi bin Lakum dan Kiaramat binti Bakar ini ditawarkan untuk mengajar di SMU Toh Puan Hajah Rahmah, Sembulan. Dua tahun kemudian, beliau ditugaskan pula di SM Islamiah Tawau selama satu tahun, Kemudian beliau dilantik sebagai Penyelia Sekolah Agama di Pantai Barat Selatan (PBS) di JHEAINS. Kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Nazir Sekolah Agama di JHEAINS hinggalah bersara. Selepas bersara, beliau memegang pelbagai jawatan antara Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Klias dari tahun 2010 hingga 2013. Kini beliau menjadi guru takmir di Beaufort.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Ustaz Haji Saidin Musi di rumahnya di Kampung Kabidang kira-kira 5 km dari Baeufort. Dalam temuramah itu, beliau menceritakan beberapa cebisan pengalamannya dalam zaman persekolahan. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN BORNEO:  Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Boleh ceritakan sedikit latar belakang Ustaz?


USTAZ HAJI SAIDIN MUSI: Saya dilahirkan di Kampung Kabidang Beaufort pada 2 Mac 1952.. Saya bersekolah dalam dua aliran. Sekolah rendah di GPS Takuli.dan sekolah agama di Kabidang. Waktu itu, untuk Ke Takuli, kami terpaksa berjalan kaki. Jalan raya pula agak teruk , bukan seperti sekarang.

Sekolah bersekolah rendah di GPS Takuli. Jauhnya kira-kira 2 km dari rumah.Sekolah itu  dibina dengan secara bergotong royong oleh penduduk kampung. Dindingnya dari kulit kayu balak. Kayu balak itu, kulitnya sahaja yang dipakai, isinya tinggal dalam hutan.Dahulu mana ada kemudahan seperti gergaji chain saw. Itulah antara gambaran keadaan sekolah pada masa itu.

UB: Berapa usia ketika mula bersekolah?
UHSM: Saya masuk sekolah agak lambat.Mungkin usia saya sudah 10 tahun kalau mengikut IC. Saya terus masuk darjah tiga. Selain sekolah di GPS Takuli, saya juga sekolah agama. Masa itu, ramai pelajar dari jauh dan dekat datang ke Kabidang untuk belajar sekolah agama. Kemudian sekolah-sekolah agama itu diambil alih oleh USIA yang  ditubuhkan pada 1969.

UB: Sebelum ada sekolah agama, dimana masyarakat mendapat pendidikan agama?
UHSM:Sebelum kewujudan sekolah agama, sudah ada alim ulama yang datang ke Kabidang, bermukim untuk beberapa minggu,pindah dari kampung ke kampung untuk menjalankan ceramah agama secara bergilir. Kadang-kadang jika ada alim ulama datang terkenal misalnya dari Brunei, orang kampung sanggup mengambil mereka. Selain itu, ada juga orang-orang tempatan yang  mengajar agama masa itu.Antara alim masa itu ialah  Haji Taip Muhamad, dari Kampung Kota Klias.

Selain itu, antara tokoh-tokoh pendakwah yang terkenal yang pernah datang ke Beaufort ialah  Imam Suhaili Haji Yakub, antara muridnya Abdul Rahman Mohd Sirat

UB: Berapa bekal ke sekolah masa itu?
UHSM: Duit bekal pada masa itu, paling banyak pun 20 sen. Kadang-kadang sepuluh sen. Dengan duit sepuluh sen, sudah boleh dapat kuih dua biji. Masa itu, gula berharga  25 sen.

UB: Bagaimana keadaan kehidupan masa itu?
UHSM: Dulu susah mencari duit. Semua orang kerja kampung.Tiada yang makan gaji.

UB: Selepas lulus GPS Takuli, dimana Ustaz melanjutkan pelajaran?
UHSM: Saya melanjutkan pelajaran menengah di SM St Paul Beaufort. Di Beaufort masa itu hanya ada sekolah St Paul dan St John. Jadi saya memilih sekolah SM St Paul dalam aliran bahasa Inggeris. Sebelum itu sempat sekolah bridge one  dan bridge 2 sebelum dinaikkan ke form One. Saya bersekolah di sana hingga Form Two.

UB: Apa sebabnya sampai Form Two saja?
UHSM: Sebabnya saya memilih untuk sekolah dalam aliran agama. Kebetulan sebuah sekolah agama pertama dibuka di Sabah iaitu Sekolah Menengah Islamiah Tawau. Masa itu ada pengambilan pelajar.Jadi Kamilah angkatan pertama yang sekolah menengah  agama di sekolah itu. Sebelum itu saya belajar di sekolah agama di kampung , masa itu dikendalikan oleh USIA. Belum ada MUIS masa itu, Apalagi JHEAINS.

UB: Siapa antara rakan yang bersekolah di Sekolah Islamiah Tawau ketika itu?
UHSM: Antaranya Ustazah Hasnah Haji Zakaria, Ustaz Masni Osman, Allahyarham Sifri Haji Abdul Razak, Ustaz Jimlih Haji Husin, Ustaz Hassan Ali dan Ustazah Azizah. Rakan-rakan lain termasuk Datuk Haji Awang Sharin Alimin dan Ustaz Mohamad Abdul Ghani, Alalhyarhamah Hajah Norsiah dari Papar (isteri Datuk Haji Salsidu). Kami semua 45 orang satu kelas,Ustazah Rukayah, kakak kepada Ustaz Badrul Amin Haji Bahron.


UB: Naik apa ke Tawau masa itu?
UHSM: Kami naik fokker ke Tawau. Masa itu agak mewah Pelajar-pelajar yang terpilih, selain diberi tiket, diberikan hotel ,. diberikan wang saku, RM20 sebulan, diberi makan dan sebagainya.

UB: Apa perasaan ketika terpilih sebagai pelajar aliran agama?
UHSM: Perasaan saya masa memanglah gembira kerana terpilih sekolah aliran agama. keluarga juga gembira.

UB: Berapa lama sekolah di Islamiah?
UHSM: Saya bersekolah di SM Islamiah Tawau dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Ini kerana selepas itu, kami meneruskan pelajaran dalam tingkatan empat di SMU Toh Puan Hajah Rahmah.Kami angkatan pertama belajar  tingkatan empat di SMU Toh Puan Hajah Rahmah.Namun tidak semua pelajar di SM Islamiah Tawau meneruskan dalam tingkatan empat. Ada diantaranya terus mendapat kerja kerana masa itu, banyak peluang pekerjaan.

UB: Sempat jumpa Ustaz Datuk Haji Arifin Arif di sana?
UHSM: Jika tidak silap saya, ketika kami tingkatan enam, Datuk Arifin  Arif masih tingkatan 1.

UB: Selepas lulus di Toh Puan, dimana Ustaz melanjutkan pelajaran?
UHSM: Selepas lulus Sijil Tinggi Ugama, kami mendapat tawaran untuk belajar di Pusat Pengajian Tinggi Islam (PTIK) Nilam Puri.

UB: Boleh cerita sedikit perjalanan ke Nilam Puri?
UHSM: Kami berangkat  dengan kapal terbang dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu  ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sebelum melanjutkan penerbangan ke Kota Bharu.

UB: Siapa rakan-rakan Ustaz dari Sabah masa itu?
UHSM: Antara yang meneruskan pelajaran ialah saya sendiri, Datuk Haji Awang Sharin Alimin dan Allahyarham Ustaz Sifri Razak, Kamilah tiga orang laki-laki yang belajar di Nilam Puri.Selebihnya wanita, Ustazah Masliah Hasan, Ustazah Jaloha, Ustazah Rukayah Haji Ahmad, Ustazah Noraidah Awang Sahari. Kami berangkat ke Nilam Puri pada tahun 1976, masa itu, kerajaan Berjaya baru menubuhkan kerajaan.

UB: Apa perasaan Ustaz masa itu? Berapa tahun di sana?
UHSM: Perasaan masa itu saangat gembira. Belum ada sejarah orang Sabah ke sana. Setibanya di sana, kami belajar pra kuliah selama dua tahun, dan tiga tahun kuliah Usuluddin dan Dakwah. Keseluruhannya selama kira-kira lima tahun. Semua kuliah dalam bahasa Arab kecuali beberapa mata pelajaran tertentu.
Kami adalah pelajar terakhir PPTIK Nilam Puri.Ketika berada dalam tahun tiga pada tahun 1983, PPTIK diserapkan menjadi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kecuali pelajar tahun tiga, semua pelajar tahun dua automatik diserapkan ke Akademi Pengajian Islam UM.Antara pensyarah  kami Prof Muhammad Zuhdi, Prof Madya Hashim Yahya, Datuk Hassan Ahmad, Prof Madya Abdul Hayy Abd Shukur.

UB: Mungkin ada kenangan manis sewaktu belajar di Kelantan?
UHSM: Antaranya, ketika belajar di Nilam Puri, dalam masa tiga bulan pertama, saya tidak memahami percakapan mereka dalam dialek Melayu Kelantan. Namun kemudian, kerana sering bergaul dengan pelajar dan masyarakat di sana, akhirnya saya boleh menyampaikan ceramah dalam dialek Kelantan. Jika cuti sekolah, saya sering ikut berceramah di kampung kampung.

UB: Selepas itu, Ustaz bertugas dimana?
UHSM: Selepas pulang ke Sabah, saya mengajar di SMK  di SMK Toh Puan Haajah Rahmah.Dua tahun kemudian saya mengajar di Sekolah Islamiah Tawau. Setahun kemudian, saya dilantik sebagai penyelia di Pantai Barat Selatan/ Kemudian jadi Nazir , Ketua Nazir di JHEAINS. Saya bersara sebagai Ketua Nazir.

UB: Bagaimana timbul minat menjadi seorang pendakwah? Sejak bila tu?
UHSM:  Saya bercita-cita menjadi seorang pendakwah sejak kecil lagi. Minat saya bertambah apabila melihat  Dr Hamka berceramah secara `live. Ketika itu beliau melawat Tawau. Saya menjadikan beliau sebagai idola, suka caranya berceramah. Saya suka juga membaca buku-bukunya seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan buku-bukunya yang lain seperti Tasauf Moden.
UB: Selepas bersara sebagai Ketua Nazir pada 1998, apa yang ustaz lakukan mengisi masa lapang?
UHSM: Sebenarnya saya dilantik sebagai Pegawai Penceramah di Beaufort. Kemudian saya juga pernah menjadi Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Klias dari tahun 2010 hingga 2013.Sekarang saya mengajar sebagai guru takmir di bawah JAKIM. Saya berdakwah terus, berceramah biasa kalau ada orang yang jemput. Sampai sekarang maasih mengajar sebagai guru takmir .

UB: Terima kasih banyak kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami. Kata-kata akhir dari Ustaz?
UHSM:Hidup beramal, bertakwa perlu disertai dengan keikhlasan. Ikhlas adalah kunci segala-galanya. Kalau ada amal, tapi tiada ikhlas, ibadah kita mungkin tidak diterima






No comments: