Sunday, December 31, 2017

ISMAIL YUSUF PERJUANG BAHASA DAN BUDAYA ETNIK SAMA




ISMAIL YUSUF PERJUANG BAHASA DAN BUDAYA ETNIK SAMA


Persoalan mengenai kepupusan bahasa ibunda, soal pakaian tradisi etnik Sama  dan dan budaya `betitik’ yang kini jarang kedengaran lagi menyebabkan perasaan Setiausaha Agung Persatuan Sama Sabah (PSS) agak khuatir. Oleh itu, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) berusaha untuk membangkitkkan kesedaran mengenai identiti dan jati diri bangsa.

Ismail bin Yusuf dilahirkan di Kampung Tuaran, Sabah pada 7 Julai 1965. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Telipok pada 1972 hingga 1977 sebelum meneruskan pendidikan menengah di SMJK St Peter Telipok dari tahun 1978 hingga 1980. Kemudian beliau melanjutkan persekolahan  di SMJK Shan Tao Likas dari tahun 1981 hingga 1982. Selepas itu, Ismail meneruskan pelajaran di Institut Pertanian Sabah Kota Belud dari tahun 1983 hingga 1984. Sebaik keluar dari IPS Timbang Mengaris, beliau bertugas di Unit Perniagaan Bahagian Penaksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 1984 hingga 14 November 1999. Pada masa yang sama beliau mengambil Diploma Graphic Design dari Sabah Institute of Arts dari 1996 hingga 1998.Pada 15 November 1999 hingga 14 Februari 2003, Ismail bertugas di Pusat Penyiasatan dan Perisikan di LHDN. Beliau juga mengikuti pengajian dari Australia Institute of Management dari tahun 2000 hingga 2003 hingga lulus Ijazah Pemasaran dan Pengurusan.  Seterusnya beliau bertugas sebagai Pegawai Hasil di Unit Rekoveri dan Pungutan LHDN (15 Februari 2003 hingga 14 Julai 2008) Unit Tunggakan Hasil Bahagian Pungutan LHDN (15 Julai 2008 hingga 31 Mac 2012), Unit Khidmat Majikan, Bahagian Penaksiran (1 April hingga 30 April 2012) dan Unit Hal Ehwal Percukaian, Pejabat Pengarah Negeri Sabah (sejak Mei 2012 hingga sekarang).

Beliau seorang yang aktif dalam aktiviti sukarela, sosial dan kemasyarakatan. Sejak era persekolahan lagi hinggalah sekarang. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam Badan Kebajikan Kakitangan Islam  (BAKTI) Hasil Dalam Negeri sejak tahun 1987, pernah jadi Setiausaha dari tahun 2003 hingga 2011 dan  Naib Yang Di Pertua (Ekonomi) dari tahun 2011 hingga sekarang. Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Bersama Jabatan (MBJ)  Kesatuan Pekerja-Pekerja Hasil Dalam Negeri (SiREU) 1988 hingga 1990, Setiausaha Agung SiREU dari tahun 1995-2010 dan kemudian menjadi Presiden SiREU dari 2010- hingga kini. Beliau juga adalah Setiausaha Bersama Majlis Bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 2000.

Kegiatan lain termasuklah Pegawai Perhubungan Kakitangan Awan Islam Negeri Sabah (PERKIS) 1989 hingga 1994, Ketua Penerangan USIA KK (1997-2008), Jawatankuasa Badan Dakwah Daerah Kota Kinabalu (1991-1996), AMT merangkap Pengerusi Biro Agama Persatuan Belia Sembulan (PEBESA) dari tahun 1993 hingga 2008), Setiausaha Kehormat Persatuan Rekreasi dan Kecergasan Kota Kinabalu (PERKOTA) dari tahun 1995 hingga 2005. Beliau juga adalah Sarjan PA Jabatan Pertahanan Awam ditauliahkan 2001. Beliau juga pernah menjadi Ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Ahli Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah KWP dari tahun 2005-2007, Penolong Setiausaha Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAOIM) Sabah, Yang Di Pertua Persatuan Pemantapan Pendidikan Pelajar Luar Bandar Sabah (Pemantap),Setiausaha Persatuan Sama Sabah (PSS) Setiausaha Kehormat Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah.
Dalam bidang politik, beliau adalah Ahli Cawangan Berjaya Kampung Rugading dan pernah menjadi AJK Pemuda UMNO Tanjung Aru  Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO,  dan pernah menjadi AJK Biro Agama Perhubungan UMNO Negeri, dan banyak lagi
Beliau juga pernah menjadi Wakil Boling Padang Peringkat Kebangsaan, Selain sukan beliau juga adalah seorang penyelam skuba
Rela berkhidmat dengan cara sendiri demi agama, bahasa dan negara.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN BIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual denakan ISMAIL YUSUF  di salah sebuah hotel di  ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya  dalam usahanya melestarikan bahasa dan budaya Etnik Sama. Denakan bermaksud saudara atau encik dalam bahasa etnik Sama.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang denakan?
ISMAIL YUSUF: Saya dilahirkan di Kampung Tuaran, Sabah pada 7 Julai 1965. Selepas itu, saya bersekolah rendah di  SRK Pekan Telipok pada 1972 hingga 1977 sebelum meneruskan persekolahan di sekolah  menengah di SMJK St Peter Telipok dari tahun 1978 hingga 1980 dari tingkatan satu hingga tiga. Kemudian saya  melanjutkan persekolahan  di SMJK Shan Tao Likas dari tahun 1981 hingga 1982.

UB: Kemudian dimana denakan bersekolah?
ISMAIL: Selepas itu, saya meneruskan pelajaran di Institut Pertanian Sabah Kota Belud dari tahun 1983 hingga 1984.  Sebaik tamat  dari IPS Timbang Mengaris, saya bertugas di Unit Perniagaan Bahagian Penaksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri dari tahun 1984 hingga 14 November 1999. Pada masa yang sama saya mengambil Diploma Graphic Design dari Sabah Institute of Arts dari 1996 hingga 1998. Kemudian Pada 15 November 1999 hingga 14 Februari 2003, saya bertugas di Pusat Penyiasatan dan Perisikan di LHDN. Selain itu, saya  juga mengikuti pengajian dari Australia Institute of Management dari tahun 2000 hingga 2003 hingga lulus Ijazah Pemasaran dan Pengurusan.  

UB: Dimana denakan ditempatkan selepas itu?
IY: Seterusnya saya bertugas sebagai Pegawai Hasil di Unit Rekoveri dan Pungutan LHDN (15 Februari 2003 hingga 14 Julai 2008) Unit Tunggakan Hasil Bahagian Pungutan LHDN (15 Julai 2008 hingga 31 Mac 2012), Unit Khidmat Majikan, Bahagian Penaksiran (1 April hingga 30 April 2012) dan Unit Hal Ehwal Percukaian, Pejabat Pengarah Negeri Sabah (sejak Mei 2012 hingga sekarang).

UB: Saya tertarik dengan usaha denakan dalam membangkitkan kesedaran mengenai betapa pentingnya menjaga identiti dan jati diri etnik Sama. Apa yang denakan maksudkan dengan etnik Sama?

IY:Etnik Sama adalah satu etnik dalam rumpun Bajau.Kita menggunakan perkataan Sama bagi membezakannya dengan subetnik lain dalam rumpuan Bajau. Bajau adalah nama rumpun yang besar, yang di dalamnya terdapat pelbagai sub etnik dan suku, sementara etnik Sama yang kita wakili adalah dari kawasan Pantai Barat Sabah atau kalau dahulu sering dirujuk sebagai Bajau Pantai Barat. Tapi kita lebih selesa menggunakan perkataan Sama.

UB: Masih ramaikan penutur bahasa Sama di negeri ini?
IY: Sebagaimana yang kita ketahui Etnik Sama merangkumi masyarakat penutur bahasa Sama yang kebanyakannya berada di kawasan Pantai Barat Sabah seperti Kota Belud, Tuaran, Kota Marudu,Pitas , Kudat, Papar, Kuala Penyu dan lain-lain lagi. Ada banci yang mengatakan jumlah penutur etnik Sama pantai Barat ini ialah kira-kira 400,000 orangMasyarakat etnik Sama memang masih menuturkan bahasa ibundanya. Cuma masalahnya ia makin lama makin terancam khususnya di kalangan generasi baru. Generasi baru  khususnya yang berada di kawasan bandar dan pinggir bandar tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Ini yang agak membimbangkan kami.

UB: Dalam kunjungan ke Kampung Layan, sebagai contoh, bagaimana tahap penguasaan bahasa etnik Sama di kampung itu?

IY: Alhamdulillah  generasi baru di Kampung Layan masih boleh `betutur Sama’, kerana mereka hidup dalam alam persekitaran budaya Sama sehingga mereka masih boleh `betutur Sama’. Tapi keluar sedikit ke Kampung Melalin, Nongkulud,Giling, Rugading, Gayang, ada sudah yang tidak boleh bertutur Sama.

UB: Apa faktor penyebabnya?
IY: Gejala ini disebabkan antaranya kerana kahwin campur. Misalnya, jika lelaki Sama berkahwin  dengan pasangan dari etnik lain, atau sebaliknya wanita dari Etnik Sama tetapi lelaki nya dari suku lain, maka bahasa pertuturan mereka di rumah adalah bahasa Melayu. Anak-anak yang mereka lahirkan juga tidak lagi boleh bercakap bahasa dari sebelah ibu atau sebelah ayahnya. Selain itu, ada juga yang disebabkan oleh masalah sikap.  Malah Lebih teruk lagi ada pasangan suami isteri dari etnik Sama tetapi tidak bertutur bahasa Sama kepada anak-anak mereka..Ini yang perlu diberikan kesedaran.

UB: Ini menyebabkan bahasa Etnik Sama akan terancam?
IY: Ya,Lama kelamaan bahasa Sama akan pupus jika generasi penerusnya tidak menggunakan dan tidak mempelajari bahasa Sama,.bahasa adalah jiwa bangsa.

UB: Berbalik kepada penutur Etnik Sama. Berapa banyak kampung lagi yang masih mempunyai masyarakat penutur Sama di Tuaran?

IY: Banyak. Tapi kawasan yang terletak berdekatan antaranya Rugading, Lapasan, Salut, Malawa,Gayang, Terayung,Laya-Laya, Lok Batik,Tembalang, Mengkabong, Raganan,Berungis,Malalin, Nongkolod, Giling, Bukit Payung.

UB: Selain bahasa, tuan juga membangkitkan soal pakaian? Boleh jelaskan?
IY: Selain bahasa, pakaian tradisi etnik Sama juga perlu dipulihara. Jika dibandingkan dengan kaum lain, etnik Sama masih jauh tertinggal dalam soal pakaian tradisi ini. Terdapat kira-kira 400,000 orang dari etnik Sama, tetapi mungkin tidak sampai 50 orang yang menyimpan baju tradisi di rumahnya. Saya sendiri sering memakai pakaian tradisi untuk menunjukkan kecintaan saya terhadap pakaian yang menjadi identiti kita dan ia harus dipertahankan. Persatuan Sama Sabah (PSS) edang merancang untuk mengadakan Pesta Seliu-Liu. Kita berharap agar kita dapat memakai pakaian tradisi kita dalam pesta itu kelak.

UB: Sebagaimana yang kita tahu, Etnik Sama juga kaya dengan seni “Betitik”. Bolekah denakan bercakap sedikit mengenainya?

IY:Salah satu  khazanah yang mungkin hanyut jika tidak diselamatkan ialah Betitik.Dahulu kalau orang `betitik’ di Rugading akan kedengaran di Melalin begitu sebaliknya, tapi sekarang payah betul untuk mendengar suara muzik kulintangan atau betitik dalam bahasa Sama itu. Tapi kini tidak ramai lagi yang pandai betitik.

UB: Apa langkah yang diadakan untuk menanganinya?
IY: Bagi membina golongan pelapis, kita mewujudkan Akademi Titik di Rugading. Kita harap dapat membimbing lebih ramai golongan pelapis. Kalau tiada lagi orang tua, kepada siapa lagi kita belajar.Jika tidak ada  orang-orang tua tempat kita bertanya, masalahnya akan tambah membimbangkan lagi kerana sudah tidak ada lagi yang pandai. Selain itu, kita juga perlu mendidik generasi baru kita supaya mereka dapat menguasai tarian etnik kita seperti Limbai, Kuda Pasu dan sebagainya. Persatuan Sama Sabah (PSS) di bawah pimpinan Datuk Haji Abdullah Sibil mempunyai perancangan untuk memulihara bahasa dan budaya etnik Sama.

UB: Mengapa kini semakin ramai yang tidak menguasai seni budaya Betitik ini?
IY: Kini makin banyak bentuk hiburan berbanding dahulu. Cabaran dalam zalam digital ini lebih canggih lagi. Dahulu tidak ada bentuk hiburan dalam majlis-majlis keramaian, kini sudah ada set karaoke dan sebagainya. Selain itu, tidak ramai lagi yang memiliki set muzik Kulintangan atau Titik ini. Kalau adapun yang boleh dipinjam, kadar sewanya agak tinggi. Untuk satu majlis sahaja, ia boleh mencecah RM300 atau lebih sekali sewa.
Itu antara faktor penyebab seni Betitik tidak lagi dikuasai oleh generasi baru. Bagaimanapun, memang ada juga yang menunjukkan minat yang mendalam untuk melestarikan lagi seni betitik. Untuk itu,kami  akan menyediakan satu set kulintangan, dua gendang,dua gong untuk membolehkan golongan belia mempelajari seni Betitik.

UB: Denakan pernah berkata bahawa salah satu medium yang boleh menyatukan pelbagai etnik di negeri ini adalah MAGEBS. Boleh jelaskan sedikit?
IY: Selain menjawat jawatan sebagai  Setiausaha PSS , saya juga adalah Setiausaha Kehormat MAGEBS atau Majlis Gabungan Etnik Sabah .Bagi saya , Magebs boleh  menyatukan rakyat Sabah dengan lebih jitu kerana ia tidak bersandar kepada politik kepartian. Selainitu,, ia dianggotai pelbagai suku etnik  di negeri ini. Antara etnik yang diwakili dalam MAGEBS ialah  Balabak, Banjar,Bisaya, Bonggi, Brunei, Bugis, Bulongan, Buludupi, Cocos, Dumpas, Idahan, Iranun,Kadayan, Kagayan,Kimaragang, Liwan,Lotud, Lunbawang, Lundayeh,Melian, Paluan, Rungus,Sama,Sonsogun, Subpan, Sukang, Suluk, Sungai, Tatana, Tidung, Tindal, Tobilung, Tombonou, Ubian.

UB: Berapa ahli MAGEBS?

IY: Terdapat 38 persatuan menganggotai MAGEBS iaitu Persatuan Etnik Balabak Molbog Pulau Banggi, Persatuan Banjar Sabah, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah,Persatuan Bonggi Banggi, Persatuan Masyarakat Brunei Sabah, Persatuan Komuniti Bugis Sabah,Persatuan Masyarakat Bulongan Tawau,  Persatuan Kebudayaan dan Warisan Etnik Boludupi Sabah (Buludupi), Persatuan Etnik Cocos Sabah (PECOS),Persatuan Suku Kaum Dumpas Sabah, Persatuan Kebudayaan Suku Kaum Idahan, Persatuan Iranun Sabah (Pisba), Persatuan Iranun Kota Belud Sabah (Perisa), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Persatuan Kadayan Sabah , Persatuan Etnik Kagayan Banggi, Persatuan Kimaragang  Bersatu Sabah, Persatuan Kebudayaan Dusun Liwan Sabah, Persatuan Suang Lotud Sabah, Persatuan Lun Bawang Sabah,Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), Pertubuhan Masyarakat-Masyarakat Sabah (PERMAS), Persatuan Sungai Melian Kinabatangan Sabah (POSMIK), Persatuan Kebudayaan dan Warisan Rungus Sabah (SARUCHA), Persatuan Momogn Rungus Sabah, Persatuan Sama Sabah (PSS), Persatuan Etnik Sonsogon Sabah (PESOSA), Persatuan Suku kaum Dusun Subpan Segama Lahad Datu, Persatuan Kaum Sukang sabah, Persatuan Kebudayaan Suluk Bajau Tawau Sabah, Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) Persatuan Tatana sabah,, Pertubuhan Kebajikan dan Kebudayaan Masyarakat Tidung Sabah (PETISA), Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (USTO), Persatuan Tobilong Bersatu Sabah (TOBISA), Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PPBTS), Persatuan Etnik Ubian (Perubah)

Berbeza dengan parti politik, hanya Magebs satu wadah yang benar-benar boleh menyatukan rakyat tanpa kepentingan politik. Hanya gabungan etnik boleh menyatukan rakyat, bukan parti. Kalau parti , hari ini parti A, besok boleh  masuk parti B, parti C boleh masuk parti D, tetapi seseorang dari etnik Sama tidak boleh  keluar etnik Sama untuk masuk ke etnik lain. Kerana dia tetap etnik Sama sepanjang hayatnya. Bagi saya, hanya Majlis Gabungan Etnik Sabah (MAGEBS) yang boleh menyatukan rakyat Sabah dengan lebih jitu.








No comments: