Ahad, 31 Disember 2017

KITA TIDAK BOLEH `LOKEK’ KATA DATIN DR TARSIAH TZ TAMAN

Tags



KITA TIDAK BOLEH `LOKEK’ KATA DATIN DR TARSIAH TZ TAMAN

Dalam hidup ini, kita tidak boleh `lokek’ terutamanya dalam ilmu pengetahuan. Apa yang kita ada, kita harus kongsikan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KKYS), Datin Dr Tarsiah TZ Taman. Personaliti kita kali ini juga adalah Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

Datin Dr Tarsiah TZ Taman dilahirkan di Kampung Sembulan pada 1 September 1955. Anak ketiga dari lapan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Sembulan dari darjah satu hingga darjah enam (1961-1966). Kemudian  anak kepada Haji Taman Joya dan Hajah Farsiah Haji Madlan ini  melanjutkan pelajaran di Sabah College hingga memperolehi sijil MCE  pada 1973. Seterusnya beliau meneruskan pengajian di UITM hingga lulus Diploma Pengajian Perniagaan pada 1977.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Ohio University hingga berjaya memperolehi Ijazah Bachelor in Business Administration  dengan pengkhususan dalam pembangunan Sumber Manusia pada tahun 1980.Kemudian beliau mengambil ijazah MBA dalam bidang pemasaran dan pengurusan di Illinois State University USA pada 1982.Walaupun sibuk dalam kerjayanya, beliau berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan  di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2007.

Dr Tarsiah pernah mengikuti pelbagai kursus antaranya Certificate in Marketing and Sales Strategy (Lloyds UK) 1997, Certificate in Marketing Management (National University of Singapore) 1995, Certificate in Date Processing in D Base III Plus (CAL Computer Learning Centre) 1992,Certificate in Professional Marketing  (Institute Training of Training Development KK) 1991, Certificate in Discipline Grivance Handling and Domestic Inquiry Prosedure (Malaysia Institute of Personnel Management (1988) dan  Certificate in Sales Technique and Motivation (ITC Management Center (1988).

Beliau mula bekerja di Sebor (Sabah) Sdn Bhd pada Julai hingga Ogos 1977 sebagai Eksekutif Jualan,,Pegawai Buruh di Kementerian  Tenaga Rakyat  dan Alam Sekitar dari September 1977 hingga Mei 1979. Selepas kembali dari Amerika pada tahun 1983, beliau menjadi sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Kemudian Pengurus Pentadbiran Perkasa Trading Sdn Bhd dari Februari 1983 hingga Julai 1994. Selepas itu beliau bertugas di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP SDN BHD) bermula Ogos 1994 hingga Disember 2014, mula-mula sebagai Pengurus Kanan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran hingga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).Bermula Julai 2015 hingga sekarang, Dr Tarsiah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknikal Yayasan (KKYS Sdn Bhd).

Dr Tarsiah juga pernah  Ahli Majlis Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB), Sabah Economic Development Corporation, Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Bumiputra, Sedcovest Sdn Bhd, KKIP Investor Consultative Committee (KKIC),KKIP Investor Consultative Committee  (KKIC), Employment Secretariat KKIP Sdn Bhd. AJK Pembangunan SME Kebangsaan Malaysia International Chamber of Commerce And Industry (MICCI).Persatuan Perumahan dan Pembangunan Rekreasi (SHAREDA), Ahli Malaysian Instiute of Human Resources Management, dan Persatuan Tenpin Boling Sabah.
Beliau kini adalah Ahli Malaysian Institute of Management, NAM Institute For The Empowerment of Women Malaysia, Majlis Keusahawanan Institusi (IPTA/IPTS) Sabah (MaKISA)
Dr Tarsiah juga adalah Presiden yang dipilih untuk Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl), Naib Presiden Majlis Institut Latihan Kemahiran Yayasan-Yayasan Kebangsaan (MILKY), Naib Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Sabah (PIPTSS) dan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).

Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah KKIP Garden Sdn Bhd. KKYS Sdn Bhd dan BSTS Sdn Bhd.
Datin Dr Tarsiah TZ Taman mendirikan rumahtangga dengan Datuk Mohd Zain Haji Mohd Said dan dikurniakan empat cahayamata.
..
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di pejabatnya di Kolej Teknikal Yayasan Sabah untuk berkongsi pengalaman beliau ketika zaman persekolahan hinggalah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Teknikal Yayasan Sabah. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN BORNEO:Boleh ceritakan sedikit latar belakang datin?
DATIN DR TARSIAH TZ TAMAN: Saya lahir di KK, membesar di KK, saya memang orang KK.Saya anak ketiga dari lapan adik beradik. Ayah saya bernama Haji Taman Joya dan ibu saya, Hajah Farsiah Haji Madlan’’

UB: Di mana datin mendapat pendidikan awal?
DR TARSIAH: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Sembulan dari darjah satu hingga darjah enam pada 1966.Kemudian saya  melanjutkan pelajaran di Sabah College hingga tamat MCE  pada 1973. Antara rakan sekelas saya ialah Dato Mahadzir Lokman, personaliti tv terkenal.

Saya selalu jalan kaki dari kampung Sembulan ke Maktab Sabah. Masa itu masjid negeri di Sembulan sedang dalam pembinaan.  Kalau ada bas Luen Thung baru naik bas. Kadang-kadang masanya tak sesuai. Kami selalu jalan kaki beramai-ramai terutama kalau ada kegiatan ko kurikulum..

Saya minat sukan.Apa saja jenis sukan.Olahraga, lompat jauh. Saya pernah mewakili sekolah dalam sukan olahraga, hoki. Selepas sekolah saya mewakili Sabah di Sukan Arafura mendapat 5 emas dalam tenpin bowling. Tapi itu 15 tahun yang lalu.
Anak anak saya Mohd Nor Zulqhimie Said  pernah mewakili negara dalam skuat elit, adiknya Mohd Zain Zilfadhli mewakili negara kategori remaha. Seorang lagi Intan Zainasah dan Aquilah Zayanie Said .Mereka pernah jadi wakil Sukma

UB: Selepas itu, dimana datin melanjutkan pelajaran?
DR TARSIAH: Dari Maktab Sabah, saya menerima tawaran dari YS ITM (kini UiTM). kami batch kedua. Antara rakan saya  Maureen E Balanggung, DS Hamidie Safie,. Tahun pertama saya kuliah di YS ITM Sembulan,kini KTYS, tahun kedua di Kuching  dan tahun ketiga di ITM Shah Alam.hingga lulus Diploma Pengajian Perniagaan pada 1977.

UB:Ke mana selepas itu?

DR TARSIAH: Saya mula bekerja di Sebor (Sabah) Sdn Bhd sebagai ekskutif jualan pada bulan Julai 1977.Tugas saya lebih kepada promosi dan memasarkan produk isirumah dan menyelia perkembangan jualan wakil jualan bumiputera. Saya tidak lama di sana . Satu bulan kemudian, saya dilantik sebagai Pegawai Buruh di Kementerian Tenaga Rakyat dan Alam Sekitar dari bulan September 1977 hingga Mei 1979. Antara tugas ialah merancang dan menyelia latihan kadet perladangan di ladang ladang di Sabah.Kemudian saya bekerja di Kementerian Tenaga Rakyat dan Alam Sekitar waktu itu Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman menjadi Pegawai Tadbir. Saya ingat kami selalu  outsation untuk mencari pelatih Skim Latihan Kadet Perladangan. Dia macam abang saya .
UB: Kemudian?
DR TARSIAH: Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Ohio University hingga berjaya memperolehi Ijazah Bachelor in Business Administration  dengan pengkhususan dalam pembangunan Sumber Manusia pada tahun 1980.Kemudian saya mengambil ijazah MBA dalam bidang pemasaran dan pengurusan di Illinois State University USA pada 1982. Antara rakan saya Samsul Badariah, Datuk Rosalind Chan, Maureen Balangung.

UB: Dimana Datin bekerja selepas kembali ke tanahair?
DR TARSIAH: Saya dilantik sebagai Pengurus Pembangunan Sumber Manusia di Perkasa Trading Sdn Bhd pada Februari 1983.

Antara bidang tugas saya ialah menyediakan keperluan latihan, pengurusan sumber manusia,pembangunan peniaga bumiputera,  pembangunan perniagaan dan pentadbiran am. Saya bertugas di sana hingga Julai 1994 kemudian saya dipinjamkan dari Kumpulan SEDCO ke  KKIP Sdn. Bhd apabila KKIP mula beroperasi pada tahun yang sama.

UB: Apa bidang tugas datin di KKIP?
DR TARSIAH: Selama 10 tahun di Taman Perindustrian KKIP, saya pernah menjawat pelbagai tugas. Sebagai salah seorang perintis, saya dilantik sebagai Pengurus  Kanan Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran. Selepas itu saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KKIP yang bertanggungjawab kepada operasi keseluruhan dan prestasi syarikat. Antara tumpuan saya ialah mewujudkan kluster perindustrian baharu.  Sepanjang bertugas di KKIP dari Ogos 1994 hingga Disember 2014 saya berusaha memantapkan KKIP sebagai pengurus dan pemaju utama taman perindustian bersepadu di rantau ini.

UB: Saya difahamkan datin juga sempat melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Apa yang mendorong Datin untuk belajar lagi?
DR TARSIAH: Saya berjaya menamatkan ijazah PhD dalam pengurusan keusahawanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2007.  Saya terdorong sekadar untuk menambahkan ilmu untuk menambah kekuatan jati diri.

UB: Datin berkhidmat di KKIP sehingga Disember 2014. Selepas itu, Datin berkhidmat dimana?
DR TARSIAH: Saya dilantik sebagai CEO di Kolej Teknikal Yayasan Sabah dari Julai 2015.

UB: Wah.Datin berpindah dari bidang korporat ke sektor akademik. Boleh ceritakan sedikit apakah terdapat perbezaan antara keduanya?
DR TARSIAH: Pindah dari sektor korporat ke sektor akademik sangat berbeza. Tapi saya sahut cabaran, Saya sambut cabaran untuk menjadi peneraju melahirkan belia berkualiti dan berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan dan kehendak industri . Alhamdulilllah, saya cuba membuat penjenamaan semula Kolej Yayasan Sabah sebagai Kolej Teknikal Yayasan Sabah. Semua ini dilakukan selaras  dengan matlamat kerajaan mengarusperdanakan bidang pendidikan teknikal dan vokasional. Kita berusaha menjadi peneraju agenda pembangunan modal insan berkualiti dan berketerampilan.
Untuk menarik lebih ramai pelajar, kita buat kempen  melalui pelbagai cara termasuk menggunakan media sosial, menggunakan aplikasi twitter, whatsaApp, Instagram dan sebagainya. Kita membuat jelajah pendididikan ke  seluruh kampung dan pelosok negeri.
Sejak bertugas di KTYS, saya berjaya mengurangkan kos operasi hingga 40 peratus, Walaupun kita masih kekurangan dari segi fasiliti dan menghadapi saingan dari Kolej Komuniti, Politeknik, ILP tetapi kita berusaha menjadikan KTYS sebagai peneraju pendidikan teknikal dan vokasional sesuai dengan keperluan dan kehendak pembangunan negara.

UB: Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Sabah (MPWS) yang baru, apa bidang yang menjadi tumpuan datin?
DR TARSIAH: Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab DSP Haji Ahmad Ayid kerana memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi MPWS.
InsyaAllah, antara fokus kami akan menggalas amanah sebagai badan penasihat dalam beberapa aspek penting termasuk pembangunan dan kebajikan wanita di negeri Sabah.

Antara  fokus saya ialah tumpuan kami adalah mendayaupayakan usahawan muda dan melahirkan usahawan muda melalui program CREAM-Creating Millionare Among Young Entrepreneur.` Kita akan membimbing wanita muda berusia antara 18 hingga 35 tahun  untuk menjadi usahawan berjaya.
Kita mahu  melahirkan tiga hingga lima  jutawan sesuai dengan apa yang dihasratkan dalam TN50. Kita akan memberikan kepada mereka sehingga boleh menembus ke peringkat antarabangsa. Tidak sekadar pasaran domestik. Lagipula populasi kita tidak banyak, Dengan menembus pasaran antarabangsa, mereka berpotensi jadi usahawan berjaya. Jenis-jenis perniagaan tidak semestinya mengeluarkan produk, bidang perkhidmatan juga tidak kurang pentingnya. Sektor pelancongan juga boleh melahirkan usahawan pelancongan yang mempunyai pendapatan lumayan.Selain itu, perniagaan online, rekaan fesyen dan sebagainya.Banyak yang boleh diteroka.Bidang usahawan tidak boleh alang-alang, kita mesti berbisnis hingga berjaya.

Selain itu, menangani perkahwinan awal di kalangan usia muda atau remaja . Kita akan telusuri akar atau punca permasalahannya. Kita pelajari undang-undang adat, undang-undang syariah dan civil law untuk mencari jalan menangani masalah ini.Kita berikan kesedaran kepada ibu bapa, dan bimbing wanita-wanita muda ini.Kita adakan langkah -langkah preventif. .dan satu lagi ialah berkaitan kebajikan wanita yang bercerai . Ada kes perceraian yanb tidak selesai hingga bertahun-tahun malah berpuluh tahun. Untuk itu, Ketua Menteri sendiri mengarahkan agar Biro Bantuan Guaman ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) . Kita cari jalan penyelesaian terhadap masalah ini.

Di bawah MPWS, kita tubuhkan tujuh jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Gender, JK Kesihatan, Wanita dan Media, JK Pendidikan, JK Undang-Undang, JK Ekonomi dan JK Sosial.

UB: Oh ya, mungkin ada pengalaman manis yang boleh dikongsikan bersama?
DR TARSIAH: Antara pengalaman manis yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika sekolah, kami jalan ramai-ramai dari kampung Sembulan ke maktab Sabah. Pulang tengah hari, lepas makan kelam kabut pula ke sekolah agama.Saya sekolah agama hingga tingkatan tiga. Malam kami ke masjid, mengaji hingga waktu Isyak. Malah saya pernah ikut tilawah dan bertanding nasyid.
UB: Apa cita cita datin sewaktu kecil?
DR TARSIAH: Sebenarnya cita-cita saya mahu jadi peguam . I was good in that..Saya tidak mahu jadi doktor kerana saya tak boleh tengok darah.Saya fobia. Kemudian saya memilih bidang pengurusab perniagaan.

UB: Apa motto dalam hidup datin?
DR TARSIAH: Pada saya, kita harus kongsikan pengetahuan yang kita ada.Kita mesti kongsikan tanpa perasaan lokek atau kedekut.Kita tidak boleh lokek apa yag kita ada.

UB: Siapa yang paling banyak mempengaruhi datin?
DR TARSIAH: Datuk saya, Haji Madlan Gaffar. Beliau sering menasihatkan saya agak belajarlah sedaya upaya kamu.Ibu saya juga selalu katakan belajarlah  selagi mahu belajar

UB: Apa hobi Datin?
DR TARSIAH: Saya memang suka sukqn. Di usia yang lanjut ini saya suka traveling, paling saya suka melihat architecture, rekabentuk bangunan. Saya juga suka fesyen.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
DR TARSIAH: Terima kasih kembali.