Sunday, December 31, 2017

MEMETIK EPAL DI AGRO KUSUMA, BERI PENGALAMAN TERSENDIRI



MEMETIK EPAL DI AGRO KUSUMA, BERI PENGALAMAN TERSENDIRI

MEMETIK buah epal di Agro Kusuma, memberikan pengalaman tersendiri ketika berkunjung ke Malang Jawa Timur.  Dalam kebun yang luas itu, kita boleh memetik buah epal dengan tangan kita sendiri. Kita boleh memetik buah epa sepuasnya dan makan sepuasnya, hanya dengan bayaran tertentu. Sewaktu saya berkunjung ke sana, kita hanya perlu membayar tiket masuk berharga  Rp75,000.
Agro Kusuma  terletak di Kota Batu, yang sering dijuluki dengan panggilan Swiss kecil kerana iklim pergunungannya yang sejak. Khabarnya ketika mengadakan kunjungan kerja ke Malang, mantan Presiden Sosilo Bambang Yudhoyono sering menginap di Hotel Kusuma, yang terletak bersebelahan hotel.
Selain buah epal, banyak buah-buahan lain yang terdapat di Agro Kusuma. Pelbagai jenis buah, ditanam di kawasan kebun yang luas itu.Ada strawberi, buah naga, jambu merah dan sebagainya. Ada juga buah-buahan dan sayuran-sayuran lain yang berkualiti tinggi, sayuran hidroponik.
 Bagaimanapun, kerana saya ternampak buah jambu batu yang menjadi favourit , saya agak kelamaan di kebun jambu batu. Saya teringat masa kecil di kampung, hanya buah jambu batu yang banyak tumbuh di halaman rumah tetapi sekarang sepohon pun sudah tiada.
Sebenarnya, selain wisata agro, saya sempat meluncur ke Songgoroti. Saya ingat sepanjang jalan kelihatan Gunung Panderman, berasal dari nama seorang Belanda, Van Der Man,  seorang pengagum keindahan gunung setinggi 2000 meter itu.
 Songgoriti terletak kira-kira 3 km di sebelah barat Batu. Ia juga terkenal sebagai tempat pemandian air panas Selain itu, ada candi Songgoriti, peninggalan abad ke-10. Di kawasan sekitarnya , iaitu di Pasar Songgoriti, kita boleh membeli  berbagai jenis makanan,kraftangan dan cenderamata. Bagi yang ingin menginap,  ada vila yang indah dan boleh disewa dengan harga yang sederhana.
 Daerah Batu juga   tempat kelahiran artis Krisdayanti dan Yuni Shara.Jika ada yang masih ingat, Ernie Djohan, penyanyi itu juga pernah tinggal di Batu.Batu juga adalah tempat kelahiran , Munir Said Thalib, seorang pejuang hak asasi manusia yang mati di Singapura dalam perjalanan ke Belanda. Di sini juga lahir Dr Sindhunata, budayawan dan wartawan Kompas.
Terdapat pelbagai jenis wisata itu di Kota Matang dan Batu. Selain wisata alam pergunungan, ada juga wisata air terjun wisata pendidikan hinggalah agro wisata, di mana pengunjung boleh memetik buah epal . Sekilas tidak ada apa istimewanya buah epal, kecuali kita dapat merasakan pengalaman memetik buah epal terus dari pohonnya.
Pengalaman memetik buah epal di Kusuma Agro , merasakan betapa nikmatnya hidup di kawasan yang jauh dari pencemaran, di kawasan yang sejuk dan nyaman, adalah kenangan yang sukar terulang.

No comments: