Sunday, December 31, 2017

PELBAGAI CATATAN DARI MEDIA SOSIAL-ikan karuk RM10.00 sekilo



PELBAGAI CATATAN DARI MEDIA SOSIAL
SESEORANG mengirimkan kepada saya gambar orang memukat ikan puyuh atau lebih dikenali sebagai ikan `kuruk’ atau ikan karuk, bukan di sungai tetapi  di sebatang jalan raya di Kota Belud. Paras air naik. Hujan turun diisertai angin. Beberapa kampung ditenggelami air. Bekalan elektrik putus, bekalan air tiada bekalan makanan hampir habis. Mereka yang terjejas teruk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan. Pihak berkuasa, pasukan keselamatan, PDRM, ATM, APM,RELA, JPA bertungkus lumus memindahkan mangsa mangsa banjir ke tempat yang selamat.
Saya tidak dapat menghubungi ibu dan keluarga di kampung kerana kebetulan ada masalah talian. Lagi pula sebahagian mereka tidak dapat mengecaj telefon genggam kerana bekalan elektrik terjejas. Saya hanya menerima berita melalui rakan-rakan yang tiba-tiba menjadi wartawan WhatsApp yang memberikan berita terkini mengenai keadaan di Kota Belud.
Satu cerita yang menyayat datangnya dari seorang guru,  sebutlah namanya cikgu R, yang juga seorang penulis. Beliau memberikan perkhabaran mengenai mangsa bot karam dari Kampung Lebak Moyoh. Mengenai anak yang trauma. “Salah seorang tu pelajar saya, habis buku teks dan baju sekolahnya hilang,” katanya. Pakaian yang ada ialah pakaian di badan saja. Ada juga yang pakai baju hospital.Selipar pun tiada.
“Saya ikut saja menangis, tengok keadaan di orang, “ katanya sambil menambah, kejadian itu melibatkan 12 orang. Cuaca gelap dan hujan.Arus sangat deras.Bot mereka terbalik,”
Banjir kali ini sangat teruk. Ada orang menyamakan kejadian banjir ini seperti yang pernah berlaku pada tahun 1960-an.  Kata ibu saya, banjir sebegini pernah berlaku sewakyu beliau masih remaja kira-kira tahun 1963. Spanjang ingatannya ada tiga kali banjir besar berlaku. Tetapi banjir kali ini agak teruk juga.
Sepupu saya, Along mengirimkan beberapa gambar  mengenai kegigihan pasukan keselamatan membantu memindahkan mangsa banjir. Ada yang dipindahkan menggunakan lori, pick up, perahu, bot dan sebagainya untuk memindahkan mangsa.Ada juga gambar mengenai agihan bantuan untuk mangsa banjir, lawatan pemimpin-pemimpin, wakil rakyat, pegawai kerajaan, ke pusat pemindahan dan sebagainya. Terdapat empat  pusat pemindahan seperti SMKA Tun Said, Dewan Taginambur, Dewan Haji Musbah, Dewan Tun Said. Antara pemimpin yang melawat mangsa banjir ialah Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Datuk Haji Musbah Jamli, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan pemimpin lain. Turut melawat mangsa banjir juga ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman diiringi Pegawai Daeerah Kota Belud, Haji Abdul Gari Itam. Pemimpin-pemimpin lain seperti Haji Mustapha Haji Sakmud dari PKR  turut melawat mangsa banjir.Namun yang paling banyak ialah gambar-gambar mengenai kampung yang dinaiki air, Rumah yang  ditenggelami banjir, pokok-pokok tumbang dan kereta yang terkandas dan sebagainya.
Bagaimanapun, Satu lagi komen yang diterima ialah mengenai pengurusan banjir dan bencana alam yang terlihat kurang bersedia menghadapi bencana alam ini. Tiada apa-apa kelengkapan hanya alas tidur tikar nipis.
Antara masalah ialah tiada tandas awam. Sepatutnya tandas-tandas segera sudah ditempah lebih awal.Bayangkan seramai 400 mangsa menggunakan dua tandas awam? Isu tandas adalah antara yang menjadi masalah besar, tulis seorang penulis terkenal. Kerana belum meminta izin mengutip namanya, saya bahasakan beliau sebagai MO saja.
Ramai orang yang terkandas, bekalan makanan habis, makanan dalam tin naik dengan mendadak. Mangsa yang dipindahkan adalah dari Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon,Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Suang Punggur, Menunggui, Kampung Song-Song,Kampung Sangkir, Kampung Siasai, karambenai dan sebagainya.
Ada orang kampung di kampung Pirasan mengeluh kerana sudah lapan hari tiada bekalan air.”Sudahlah dilanda banjir, tiada seorang pun ambil peduli.Entah benar, entah tidak, seorang rakan lain mengingatkan  bahawa dalam keadaan sekarang, sebaiknya ia jangan dikaitkan dengan isu politik.
Namun ada juga tindakan tidak bertanggungjawab dari rakan-rakan Whatsapp yang sengaja menghantar gambar gambar yang tidak relevan, gambar-gambar kitar semula, dan gambar-gambar yang sengaja memancing sensasi.
Tetapi antara gambar paling menarik bagi saya ialah gambar orang mengambil kesempatan memukat ikan di sebatang jalan raya. Tak pasti di kampung mana.  Yang jelas, ramai juga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang termasuk harga ikan puyuh atau ikan kuruk atau karuk di .
Lapan ekor puyuh atau karuk, harganya RM10.00. Malah ada sampai hati menjual ikan  satu ringgit satu ekor. Aduhai.

No comments: