Sunday, December 31, 2017

SECALIT KENANGAN KETIKA BERKUNJUNG KE BALI



SECALIT KENANGAN KETIKA BERKUNJUNG KE BALI
SEBENARNYA menu makan  malam itu tidaklah seberapa. Hidangan pelbagai jenis lauk dari makanan laut yang dihidangkan dalam bentuk yang kreatif.Tetapi yang tidak dapat saya lupakan ialah suasananya. Romantis sekali.Terdengar hempasan ombak kecil kerana restoran itu terletak di tepi pantai.  Sebaik duduk, sambil menikmati melahap makanan, kami sempat menyaksikan tarian Bali dipersembahkan kepada pengunjung di restoran di Pantai Jimbaran.
Pantai Jimbaran adalah salah satu tempat menarik untuk dikunjungi di Pulau Bali, pulau yang begitu terkenal dengan pelbagai  daya tarikan. Anda boleh ke Jimbaran,Legian,Tanah Lot,Kintamani, Uluwatu,Ubud, Gunung Agung,Denpasar, Nusa Dua, Seminyak,Pantai Sanur Pantai Kuta dan banyak lagi, dan anda akan temui apa yang anda ingin temui.
Tiga hari berada di Bali ketika  berkunjung ke sana beberapa waktu yang lalu, saya hanya sempat singgah di Jimbaran, Ubud, Tanah Lot, dan menyaksikan keindahan lanskap, kesenian dan kehidupan masyarakat Bali.
Sebelum ini hanya mengenali Bali melalui buku-buku novel dan cerpen yang banyak berkisah mengenai Bali. Saya mengenal nama dan karya beberapa penulis Bali, antaranya Putu Wijaya, Oka Rosmini, Putu Setia, Happy Salma, Wayan Sunarta,Nyoman Wirata.
Sebab itu, kunjungan ke Bali membantu saya untuk lebih memahami Bali. Tapi apalah yang boleh diceritakan dalam sebuah kunjungan singkat. Saya hanya sempat mengambil gambar-gambar, membuat beberapa interview, mencari beberapa buku dan menyaksikan kesenian selain menikmati keindahan lanskap di pulau itu.
Satu lagi tempat yang kami kunjungi alah Muzium Seni Lukis Antonio Blanco, yang terletak di Ubud. Pelukis  terkemuka itu sendiri sudah lama meninggal dunia iaitu pada tahun 1998. Kami disambut dan dilayan dengan mesra oleh anaknya Mario.
Mario menceritakan perjalanan hidup ayahnya sebelum menetap di Bali pada tahun 1952. dan mendirikan rumah di atas sekeping tanah yang dihadiahkan oleh Raja Ubud, Tjokorda Gde Agung Sukawati.
Antonio Blanco, pelukis berdarah Sepanyol dan Amerika itu dilahirkan di Ermita Manila pada tahun 1912. Bagaimanapun, beliau membesar dan bekerja di Florida dan California. Bakat seninya yang luar biasa itu menarik perhatian Putera Norodom Sihanouk, Raja Kemboja. Selepas dari Kemboja beliau ke Bali. Kemudian beliau berkahwin dengan gadis bali,Ni Ronji, seorang penari.
Antonio Blanco , seorang pelukis yang ekpresif. Kebiasannya melukis wanita cantik. Ketika melukis itu, beliau sering ditemani isterinya. Terdapat kira-kira 300 hasil karya Blanco yang dipamerkan di muzium beliau itu. Setiap hari, Muzium itu menjadi salah satu tumpuan pelancong jika berkunjung ke Ubud.
Sepanjang hidupnya, beliau pernah menerika Tiffany Fellowship, Chevalier du Sahametrai of Cambodia, the Society of painters of Fine Art Quality of President Sukarno,Prize of The Art Critique in Spain,Order of Cruz de Caballero King of Spain, Juan Carlos1 yang membawa gelaran Don di depan namanya.
Lukis-lukisan dikagumi antaranya oleh Sukarno, Suharto, artis Ingrid Bergman, Wakil Adam Malik, Michael Jackson dan ramai lagi.
Mario membawa kami ke setiap sudut pameran di Muzium  yang mempamerkan karya ayahnya, Don Antonio Blanco.  
Bali memang memberikan banyak kenangan dan keindahan.  Namun ketika tiba saat perpisahan, kata penyair Kahlil Gibran, janganlah kalian berduka, sebab apa yang paling kalian kasihi darinya mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan.

No comments: