Sunday, December 31, 2017

WARGA RUMPUN MELAYU HARUS MENGHAYATI DAN SAYANGI PERADABAN MELAYU



WARGA RUMPUN MELAYU HARUS MENGHAYATI DAN SAYANGI PERADABAN MELAYU

Di kalangan budayawan,  sasterawan, sejarahwan,ahli akademik  atau di kalangan aktivis dan kegiatan siasah,nama Tan Sri Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar adalah satu nama yang tidak asing lagi. Tokoh ini pernah menjadi Ketua Dua  Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sejak 1990 sebelum mengambil alih teraju kepimpinan sebagai Ketua Satu selepas pemergian Tan Sri Prof Datuk Ismail Hussein. Beliau adalah seorang tokoh yang gigih dan terus komited dalam memperjuangkan dan memperkasakan Tamadun Melayu bukan saja di Malaysia malah di Rumpun Melayu di  Nusantara.
Tan Sri Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar dilahirkan pada 1 November 1952 di Kampung Bandar Hilir Melaka. Beliau adalah tokoh budaya,akademik yang terkenal di negara ini. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir dari tahun 1959 hingga 1964 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu Berendam. Selepas lulus Sijil Rendah Pelajaran pada 1967, beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Batu Berendam pada tahun 1968 hingga 1971. Beliau meneruskan pelajaran di Universiti Malaya dengan mendapat Sarjana Muda Sastera (dengan kepujian) pada tahun 1975. Seterusnya beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana pada tahun 1980. Beliau dianugerahkan Ijazah  Doktor Falsafah pada tahun 1997.
Profesor Dr Abdul Latiff memulakan kerjaya sebagai tutor di Jabatan Sejarah pada tahun 1975 hingga 1980. Selepas itu, beliau menjafdi Pensyarah Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya pada 1980 hingga 1987, Profesor Madya di Jabatan Pengajian Media (1999), Ketua Jabatan Penulisan (1987-1991) dan Ketua Jabatan Pengajian Media (1997 hingga 2001). Beliau dilantik sebagai Profesor pada 12 Oktober 2001. Selepas bersara dari Universiti Malaya, kini beliau bertugas sebagai Ketua Sekolah Pengajian Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya.
Beliau pernah bergiat aktif dalam politik dengan menjadi Ketua UMNO Cawangan Bandar Hilir Melaka pada 1982 hingga 1987, Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka (1984-1986) Setiausaha Biro Kebudayaan Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli Jawatankuasa Kerja Biro Kebudayaan dan Pendidkan UMNO Malaysia (1984-1988).
Selain kegiatan dalam politik, beliau juga terlibat dalam kerjaya sukarela sama ada di peringkat Kebangsaan atau peringkat negeri. Beliau pernah menyertai Pertubuhan Lembaga Bahasa Melayu Melaka sejak tahun 1970, Ketua Satu  Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau juga adalah tenaga penting dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan Pergerakan Belia MAYC Kebangsaan dan pernah terpilih sebagai Pengerusi MAYS Negeri Melaka dari tahun 1993 hingga 1998.
Sejak tahun 1980an, beliau dilantik oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Muzium Melaka, Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Melaka, Ahli Lembaga Pengarah,Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (2000) selain diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk merancang, membina konsep Melaka Bandaraya Bersejarah Negeri Berbudaya pada 1995. Beliau juga Ahli Majlis Profesor Negara.Bagi Mengenang jasa dam sumbangan beliau, Kerajaan Negeri Melaka menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun 1993 dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk pada tahun 1994. Beliau juga dianugerahkan  Panglima Setia   Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Kerajaan Malaysia.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara beliau di atas feri Pintas Samudra dalam perjalanan dari Stulang Laut Johor ke Batam Center, Batam sebelum meneruskan perjalanan ke Kabupaten Lingga Kepulauan Riau untuk menghadiri Perhelatan Memuliakan Tamadun Melayu Antarabangsa (PMTMA) dan Syukuran Sultan Mahmud Riayat Shah sebagai Pahlawan Nasional sempena Hari Jadi Ke-14 Kabupaten Lingga. Ikuti petikan wawancara bersama beliau;

UTUSAN BORNEO: Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri kerana sudi diwawancara walaupun dalam keadaan yang mungkin luar biasa kerana dilakukan di atas kapal feri dalam perjalanan menghadiri Perhelatan Memuliakan Tamadun Melayu Antarabangsa (PMTMA) yang diadakan di Kabupaten Lingga, Riau. Pertama sekali, mungkin Sri ingin mengulas sedikit mengenai makna tamadun?
TAN SRI PROF DATUK WIRA DR ABDUL LATIFF ABU BAKAR: Dalam Bahasa Melayu, perkataan tamadun atau peradaban adalah pinjaman daripada perkataan Arab iaitu umran, hadharah, madinah, madaniyyah dan tamadun. Dalam masyarakat Melayu, tamadun digunakan bagi menjelaskan mengenai  kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa.Manakala peradaban pula berasal dari perkataan Arab yang merujuk tingkah laku, tutur kata yang halus dan bersopan. Ia dikaitkan dengan istilah beradab yang menjelaskan mengenai kemajuan kehidupan yang bersopan dari aspek jasmani dan rohani. Istilah Civilization pula berasal dari perkataan Latin iaitu civitas yang bermakna bandar ataupun kota. Oleh itu, tamadun atau peradaban bermaksud kehalusan budi dan adat yang murni.Manusia yang hidup di kota atau di bandar memiliki sistem yang teratur untuk menghasilkan kemakmuran, keamanan, dan keselamatan serta mencipta kejayaan dalam bidang sains dan teknologi. Ini bermakna tamadun atau peradaban adalah satu usaha dan gagasan bagi mencapai kejayaan gemilang sesuatu bangsa dari aspek kerohanian dan kebendaan yang berpusat di bandar atau kota dalam pelbagai bidang kehidupan.
UB: Kali ini, Perhelatan Tamadun Melayu Antarabangsa diadakan di Kabupaten Lingga. Boleh jelaskan sedikit mengenai kepentingan Lingga dalam tamadun Melayu?
TAN SRI PROF: Kesultanan Johor-Pahang- Riau-Lingga sudah wujud sejak 1528 lagi.Ia diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah, anak kepada Sultan Mahmud sebagai Sultan Melaka yang terakhir yang mangkat di Pekan Tua, Pelalawan, Riau pada 1528 itu. Takhta baginda diwarisi oleh anakanda , dari isterinya Tun Fatimah, yang diterima  menjadi Sultan  bagi meneruskan kepimpinan Kesultanan Melayu Melaka.
Keturunan Kesultanan Melayu Melaka yang bermula pada 1400 diasaskan oleh Parameswara.Baginda kemudiannya memeluk Islam dengan nama Sultan Iskandar Shah dan mewariskan sebuah empayar Kesultanan Melayu Melaka yang mempunyai jajahan takluk dan pengaruh yang luas di Tanah Semenanjung Melayu sehingga ke Sumatera dan Kepulauan Borneo.
Gugusan Kepulauan Melayu, Alam Melayu dan Tanah Melayu menjadi sebutan di kalangan penghuni di rantau ini sebagai mewakili satu golongan bangsa yang dikenali sebagai bangsa Melayu yang mempunyai ratusan suku bangsa.Kejadian ini selaras dengan Firman Allah SWT Surah Al-Hujurat, ayat 13 bahawa Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dan hendaklah mereka saling mengenali dan hormat menghormati.
Bangsa Melayu yang mempunyai ratusan suku bangsa berkembang di satu wilayah dan sebuah benua yang kita kenali sebagai Rumpun Melayu. Dari segi pemikiran sosio-budaya, wilayah dan benua Rumpun Melayu diiktiraf sebagai satu stok bangsa yang besar dengan aanggaran 350 juta manusia dan bahasa induknya adalah bahasa Melayu yang digunakan di seluruh Rumpun Melayu dengan pelbagai dialek dan pelbagai ragam serta sebutan yang berbeza-beza, berdasarkan bahasa suku bangsa.Namun ia tetap sebagai bangsa Melayu yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai bahasa utama di Rumpun Melayu yang juga dikenali Dunia Melayu. Dari segi geo politik pula, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi negara. Di Indonesia, ia dinamakan sebagai bahasa Indonesia, manakala bahasa Melayu tetap dijadikan bahasa rasmi dan kebaangsaan di Malaysia, Brunei dan Singapura.Pewaris bangsa Melayu lain seperti di Thailand, Filipina, Burma, Kemboja, Laos dan Vietnam tetap menggunakan bahasa Melayu dan bahasa sukuan dalam pertuturan harian mereka.
Riau-Lingga adalah wilayah yang mempunyai sistem pemerintahan berteraskan dan mewarisi sistem pemerintahan beraja yang berasal dari Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Pulau Daik yang terletak di Kabupaten Lingga pernah menjadi ibu kota Kesultanan Melayu Riau Linga pada abad ke-18 di bawah kepimpinan Sultan Mahmud 1760-1812 iaitu selama 113 tahun. Kerajaan Kesultanan Melayu Riau Lingga adalah satu kerajaan Melayu yang berpengaruh yang berpusat di Daik, Lingga pada abad ke 18 dan 19. Kesultanan Melayu Riau-Lingga mempunyai jajahan yang luas meliputi Johor dan Pahang dan Kepulauan Riau Lingga. Kerajaan ini juga diberi jolokan sebagai Bunda Tanah Melayu.
Sebagai bunda yang mewarisi kesinambungan warisan dan peradaban Melayu di Rumpun Melayu , pemikir Melayu  mengungkapkan sebuah pantun yang menjadi buah mulut bagi memaparkan perasaan kemesraan dan kasih sayang di jiwa dan hati sanubari setiap anak Melayu hingga sekarang. Sebuah pantun serumpun bagi mengenang jasa dan kehalusan budi orang Melayu berdasarkan pembayang berlatarbelakangkan Daik sebagai Bunda Tanah Melayu yang mewarisi kehalusan budi orang Melayu. Pantun itu, semua kita tahu dan pernah dengar, Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan di kandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
UB: Sungguh menarik Tan Sri mengenai ulasan Tan Sri mengenai perasaan kasih sayang itu.
TAN SRI PROF: Bagi saya , perjalanan kita ke Lingga ini adalah perjalanan kasih sayang. Kerana kasih sayanglah, kita sanggup datang menempuh samudera, laut bergelora untuk bersama saudara saudara kita.
Warga Rumpun Melayu wajar menghayati dan mempunyai perasaan kasih sayang terhadap warisan peradaban Melayu bagi melahirkan kesatuan dan perpaduan umat Melayu dan Islam.
Warisan Peradaban Melayu yang berpusat dan dikembangkan oleh Empayar Kesultanan Melayu Melaka tetap unggul dan Kepulauan Riau Lingga menjadi penerus bagi mewarisi peradaban Melayu dari Melaka. Kekuatan Empayar Kesultanan Melayu Riau-Lingga yang menguasai Pahang, Johor, Singapura dan Kepulauan Riau Lingga menjadi medan utama kekuatan Melayu dalam lingkungan wilayah selatan Tanah Melayu (Malaysia) Singapura dan Kepulauan Riau.
Di samping itu, , warisan peradaban Melayu tetap berkembang maju di Jawa, Brunei, Sulawesi, Aceh, Minangkabau, Mindanao, Pattani, Kemboja dan lain-lain.
UB: Warisan peradaban itu tetap berkembang hingga sekarang?
TAN SRI PROF: Warisan peradaban Melayu yang beraras tinggi yang tetap berkembang sehingga sekarang. Bagi mengingati, meneruskan serta memartabatkan warisan peradaban Melayu di Rumpun Melayu, kita wajar menyusun barisan bagi meneruskan silaturrahim dan menjadi pewaris yang melahirkan bangsa bermaruah dan menghargai sejarah serta budaya sebagai tiang seri Peradaban Melayu di Rumpun Melayu.
UB: Apa pendekatan yang boleh kita lakukan?
TAN SRI PROF: Pendekatan geo-politik pula perlu diteruskan di setiap negara Asean, khususnya Rumpun Melayu atau Nusantara Raya mengikut dasar dan pemerintahan negara masing-masing seperti Indonesia, Brunei, Malaysia dan lain-lain.
Bagi mencapai matlamat yang murni dalam melahirkan negara-negara di ASEAN yang bertamadun, kita di Rumpun Melayu wajar menyusun dan merancang strategi untuk mengingatkan generasi muda dan pewaris bangsa dengan program yang berteraskan warisan sejarah dan sosio budaya yang menjadi teras dan tiang seri peradaban Melayu di Rumpun Melayu.
UB: Boleh sebutkan apa antara strategi yang perlu dirancang?
TAN SRI PROF:  Sistem pendidikan hendaklah didedahkan mengenai warisan peradaban Melayu atau negara-negara Rumpun Melayu, kerjasama Asean bagi memartabatkan warisan peradaban Melayu hendaklah diperkasakan. Program Jejak Warisan Peradaban Melayu hendaklah dijayakan terutamanya yang dipelopori Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Kita juga hendaklah mengadakan program Jejak Warisan Peradaban Melayu untuk mengenang kembali peranan institusi Raja Melayu hendaklah doadakan seperti Jejak Warisan Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Brunei, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Selain itu, kerjasama Asean bagi memartabatkan warisan peradaban Melayu hendaklah diperkasakan.
Satu lagi yang menarik ialah program Naik Kapal dari Melaka ke Kepulauan Riau hendaklah diadakan dan diikuti wilayah Rumpun Melayu yang lain seperti Jawa,Brunei, Sulawesi dan Sumatera.
UB:  Tan Sri mungkin mempunyai pendapat mengenai apa kekuatan yang kita miliki dalam memartabatkan Warisan Peradaban Melayu di Dunia Melayu?
TAN SRI PROF:  Semangat dan kekuatan Empayar Kesultanan Melaka sebagai pusat dan pewaris peradaban Melayu sejak abad ke-15 hendajlah dimartabatkan sebagai mewarisi peradaban Melayu di Rumpun Melayu.Biarpun Melaka jatuh di tangan Portugis pada 1511, namun warisan dan keturunan bangsa Melayu diteruskan di Perak, Johor, Pahang dan berkembang di Kepulauan Riau Lingga amnya di Sumatera, Jawa, Filipina dan Brunei. Warisan yang menjadi teras pembinaan peradaban di Rumpun Melayu dan terus diwarisi di beberapa negeri di Rumpun Melayu , di sebahagian besar wilayah Asean atas dasar berikut; Institusi Raja Melayu tetap kukuh dan menjadi tiang seri kepada sistem pemerintahan di Malaysia dan Brunei, Warisan Institusi Raja Melayu tetap dipertahankan sebagai Warisan Negara  seperti di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan sebagainya.
Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi teras utama dan berkembang maju dalam sistem pemerintahan yang berteraskan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja yang berdaulat. Kita lihat juga warisan institusi Raja Melayu tetap digunapakai bagi mewariskan Institusi Raja Melayu seperti status dan pangkat dan masih dihormati,Istilah Bendahara, Penghulu, Temenggung, Laksamana,Orang Kaya, Biduanda, Permaisuri terus digunakan hingga sekarang. Begitu juga bermacam anugerah dan gelaran yang digunakan di Rumpun Melayu.
Selain itu, warisan ekonomi terutama perdagangan, perkapaan dan urusniaga di Rumpun Melayu dengan negara luar. Sistem pendidikan berteraskan sekolah agama berkembang maju dan melahirkan pemimpin dan ulama yang berwibawa di Rumpun Melayu manakala sistem pendidikan dan ajaran Islam serta sekular dapat melahirkan intelektual dan profesional Melayu dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sains dan teknologi untuk menghadapi cabaran semasa.
Kita lihat juga peradaban Melayu tetap kukuh dan berkembang di Rumpun Melayu berteraskan warisan sukuan seperti di Melaka, Jawa, Acheh, Sulawesi,Kalimantan, Brunei,Singapura, Riau, Minangkabau di Sumatera dan lain-lain.
UB: Kata-kata penutup daripada Tan Sri?
TAN SRI PROF: Warga Rumpun Melayu wajar menghayati dan mempunyai perasaan kasih sayang terhadap warisan peradaban Melayu bagi melahirkan kesatuan dan perpaduan umat Melayu dan Islam.

No comments: