Ahad, 31 Disember 2017

YANG PENTING BAGI SAYA, BERJUANG UNTUK BANGSA DAN NEGARA

Tags




YANG PENTING BAGI SAYA, BERJUANG UNTUK BANGSA DAN NEGARA, kata mantan Setiausaha Pemuda USNO, Haji Ibrahim Dermat.

KETIKA membelek-belek gambar-gambar lama, mata saya terhenti pada sekeping menunjukkan  Allahyarham Tun Razak sedang ditemuramah wartawan di Kota Kinabalu. Gambar itu dirakamkan pada tahun 1972. Seorang lelaki bertali leher berdiri di belakangnya. Soalnya siapa lelaki itu?
“Itulah saya,” kata Haji Ibrahim Dermat, ketika itu beliau bertugas sebagai Setiausaha di ibu pejabat USNO.



Ramai yang mungkin tidak tahu,Haji Ibrahim Dermat memiliki jejak sejarah yang tidak kurang pentingnya dalam arena politik Sabah. Beliau adalah Setiausaha Cawangan USNO Sembulan yang pertama. Beliau juga  adalah salah seorang anggota delegasi Sabah ke Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1965. Salah satu usul yang diluluskan dalam kongres itu ialah penubuhan RIDA, yang kemudiannya dikenali sebagai MARA.

Kini selepas bersara dari Jabatan kerajaan , Haji Ibrahim Dermat dilantik sebagai Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di Putatan. Beliau seorang yang pernah berjasa dalam politik Sabah.  Pemimpin-pemimpin seperti Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, Tun Abdul Razak Lee Kuan Yew selain  beberapa nama, bukanlah asing bagi beliau. Namun demikian, beliau terus mengabdi dalam perjuangan memartabatkan bangsa. Beliau pernah menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO ketika Tun Datuk Seri  Panglima Haji Sakaran Dandai menjadi ketuanya.

Jika mahu, beliau mungkin boleh menjadi seseorang kaya atau jawatan tinggi pada zamannya. “Gelaran dan jawatan , semua itu tidak penting. Saya cuma mahu berjuang untuk bangsa dan negara”, katanya.

.
Haji Ibrahim Dermat dilahirkan di Kampung Air pada 30 Mei 1939. Anak kedua dari empat beradik ini mendapat pendidikan awal di  sekolah  Melayu Buit Hill hingga darjah dua.Kemudian saya sekolah di SRK Sembuland hingga darjah lima. Sebaik tamat persekolahan, beliau bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) selama 16 tahun tetapi melepaskan jawatan kerana menumpukan kegiatan dalam  aktiviti politik. Bagaimanapun,setahun kemudian beliau bekerja semula tetapi kali ini di Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK) Jabatan Penerangan (kini Jabatan Hal Ehwal Khas  JASA) . Selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan, beliau kini menjadi Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN)) di Putatan. Beliau pernah dianugerahkan pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Bintang Setia Kinabalu (BSK) dab Bintang Kinabalu (BK) atas jasa-jasa baktinya.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berkesempatan menemubualnya di rumahnya d Kampung Sailan, Putatan.untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau: Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?

HAJI IBRAHIM DERMAT: Saya dilahirkandi Kampung Air Kota Kinabalu pada 30 Mei 1939. Kampung Air pada masa itu kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Melayu dari etnik Bajau dan Brunai. Rumah kami dulu  terletak berdekatan bangunan Capitol sekarang. Ia tidak jauh dari Masjid Lama, yang terletak di kawasan di bawah Masjid Bandar Kota Kinabalu sekarang.

UB: Tahun  berapa panggung Capitol di bina?
HID: Jika tidak salah ingat, Bangunan Capitol yang terletak berdekatan Wisma Dang Bandang itu dibina pada tahun 1957. Musim itu saya sudah sekolah.Umur kira-kira 10 tahun.Dulu disana banyak pekerja keretapi .
UB: Anak keberapa dalam keluarga?
HID:Saya anak kedua dari empat bersaudara. Ayah saya, Dermat bin Andarat dari suku Bajau Brunei manakala ibu saya Ruyah binti Gang dari suku Bajau.

UB: Dimana tuan bersekolah sewaktu sekolah rendah?
HID:Saya mula bersekolah di sekolah Melayu terletak atas bukit, tak ingat namanya.Kemudian saya berpindah ke SRK Sembulan hingga tamat darjah 5. Antara rakan masa itu ialah Maludin Unjur dan Salleh Wahid.


UB: Jam berapa jalan dari rumah?
HID:Setiap pagi saya jalan kaki ke sekolah  kira-kira Jam 6.30 dari rumah  di Kampung Air. Kira-kira jam 7.00 pagi, saya sudah tiba di sekolah. Matapelajaran masa itu ialah pertukangan tangan. Matapelajaran Pertanian, hanya diajarkan ketika kami pindah ke SRK  Sembulan.

UB: Darjah berapa pindah ke Sembulan?
HID: Dalam darjah dua atau tiga, saya tidak berapa ingat, saya pindah ke SRK Sembulan ikut keluarga saya yang  berpindah ke Sembulan. Saya sekolah di sana hingga darjah lima.

UB: Apa yang tuan haji ingat mengenai masa pendudukan Jepun?
HID: Antara yang saya ingat ialah  waktu penduduk Masa jepun, masih ada lubang  persembunyian untuk lari dari kemungkinan diserang oleh Jepun. Kalau mahu tahu. Lokasi lubang persembunyian itu
kini terletak berdekatan KFC dekat Karamunsing. Di Pulau Gaya juga ada lubang tempat persembunyian menghindari diri dari bahaya serangan Jepun.

UB: Selepas tamat darjah lima, di mana tuan berkerja?
HID: Saya mendapat beberapa tawaran seperti Jabatan Perhutanan. Saya sudah lulus interview untuk bekerja di Sandakan. Tapi kakak sepupu cegah agar saya tidak kerja di sana kerana takut kena buang di sungai. Apabila mendengar kata-kata sepupu saya, ibu saya tidak setuju saya kerja di sana. Padahal saya sudah ditawarkan untuk menjawat jawatan kerani. Saya akhirnya cari kerja. Saya mahu juga sambung sekolah tapi masa itu permohonan sekolah di bawah Rancangan Colombo sudah ditutup. Akhirnya saya dapat kerja di JKR sebagai kerani.

UB: Dimana tuan haji bertugas? JKR?
HID:Saya bertugas di Jabatan Kerja Raya, jawatan kerani rendah.Lepas masa kerja , saya ikut kelas malam dalam bahasa Inggeris. Saya masuk kerja lewat sedikit. Kadang jam 9.00 atau 10.00 pagi tapi saya jenis orang yang lambat balik Jam 7.00 malam baru balik rumah.

UB: Berapa tahun bekerja di JKR?
HID:Selepas 16 tahun di JKR, saya berhenti. Sempat juga saya menganggur selama setahun. Selepas itu, saya berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Khas Jabatan Penerangan, kini bahagian itu sudah dikembangkan sebagai jabatan baru, iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) .

UB: Apa jawatan yang pernah tuan haji pegang sewaktu bergiat dalam politik?
HID:Waktu dalam USNO Cawangan Sembulan, saya pernah jadi Setiausaha Cawangan Sembulan Cawangan itu ditubuhkan pada tahun 1962, iaitu sebulan selepas kongres USNO yang pertama diadakan di Kudat.Ketua cawangan masa itu Haji Aris Jim.Saya juga pernah jadi Setiausaha USNO Bahagian Kota Kinabalu.Ketua bahagian masa itu ialah Haji Sulaiman Moktar. Kawasan Kota Kinabalu masa itu merangkumi Likas hingga Lok Kawi. Ia merangkumi kawasan yang cukup luas.Saya juga pernah jadi  Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO Pusat, masa itu Tun Sakaran jadi Ketua.

UB: Apa antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan sewaktu berada dalam USNO?
HID: Pada tahun 1985,berlaku satu Pilihanraya Umum. Masa itu, USNO Meletakkan 32 calon.Saya bertanding di DUN Sembulan, lawan Francis Leong. Saya sebenarnya tiada niat jadi calon. Tapi waktu itu, arwah Hamid  Takin  yang berkempen mahu saya tanding.

UB: Menang?
HID: Saya kalah 1375 undi kepada Francis Leong. Pengundi Cina ada 8,000 orang, pengundi Melayu 3000 orang manakala bumiputera bukan Islam sebanyak 900. Niat bertanding masa itu ialah memecahkan undi. Antara calon USNO yang bertanding masa itu,yang saya ingat ialah Mansor Abidin di Inanam. Kalau tak silap, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin tanding di kawasan Petagas tetapi turut kalah pada PRU 1985.

UB: Siapa rakan-rakan tuan haji sewaktu dalam USNO?
HID: Antara rakan-rakan saya termasuk Awang  Osman salleh,Yassin Buraw. , Kami dikenali sebagai grup kaki tapi kami lawan yang betul.

UB: Mungkin ada kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama  AllahyarhamTun Mustapha?
HID: Sebenarnya saya kurang rapat dengan Tun dibanding dengan rakan-rakan lain. Tapi ada satu kali sewaktu berada di rumahnya, beliau kelihatan marah sekali. Masa itu ada perbincangan di rumahnya. Ada arwah Datuk Dzulkifli Hamid. Beliau marah kerana pendapatnya tidak disetujui oleh kami. Belia mahu agar Tunku Abdul Rahman masa itu diusahakan agar kembali menjadi Presiden UMNO. Kami bilang kenapa kita mesti campur tangan rumah tangga orang. Kumpulan Tun Hussein Onn masa itu tentulah tidak senang hati. Ini berlaku selepas Tun Razak meninggal. Arwah Tun marah kerana katanya kami telah berikan mandat kepada beliau sebagai Presiden, kenapa pula dalam hal ini kami membantah. Bagi kami, kami hanya memberikan kuasa pentadbiran kepadanya.Itulah antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan.

UB:Saya difahamkan tuan haji pernah mewakili Sabah ke Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama diadakan di Kuala Lumpur? Siapa-siapa anggota rombongan yang tuan haji masih ingat?
HID: Antara anggota rombongan dari Sabah ialah  Mohd Din Jaafar dari Labuan, Shamsuddin, Abdillah Anson manakala dari Sandakan, Datu Bachtiyal, dari Tambunan Peter Andu. Yang memilih anggota rombongan masa itu ialah Datuk Harris Salleh, Menteri Kewangan Sabah.Saya berucap bagi pihak USNO.

Kami berangkat dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu menggunakan pesawat Fokker. Masa itu kami singgah di Lapangan Terbang Changi di Singapura. Di sana kami disambut oleh Lee Kuan Yew.

UB: Kongres Ekonomi Bumiputera yanh pertama diadakan pada tahun 1965.Ia  dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Turut hadir dalam upacara berkenaan  ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tun Abdul Razak, Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik dan 500 orang wakil kongres dari semua negeri di Malaysia.

Kongres yang berlangsung selama tiga hari itu  dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Mohd. Khir Johari. Sebanyak 10 kertas kerja mengenai pembentukan modal perniagaan dan perdagangan, perkhidmatan, pemasaran, latihan, penyertaan bumiputera dalam lapangan perusahaan dan mengenai tanah dibincangkan.

UB: Apa antara resolusi yang diluluskan?
HID: Antara yang penting ialah mencadangkan nama RIDA diganti dengan MARA iaitu Majlis Amanah Rakyat Bumiputera. Kongres itu juga meminta kerajaan Malaysia menubuhkan suatu Bank Bumiputera Malaysia, sebagai satu bank perniagaan biasa yang dimodali oleh kerajaan, dan hak milik bank itu akhirnya diserahkan kepada bumiputera dengan cara menjual saham-sahamnya;
Selain itu, kongres itu juga meminta Kerajaan Pusat mengadakan mesyuarat alim ulamak Malaysia untuk membincangkan penyatuan undang-undang zakat fitrah dan Baitulmal dan cara-cara mengutipnya.
Kongres yang diadakan itu berupaya membangkitkan semangat kaum bumiputera untuk terus maju dan berjaya dalam bidang ekonomi.
UB: Boleh ingat lagi siapa rakan-rakan seangkatan dengan tuan haji?
HID: Antaranya ialah Tan Sri Panglima Ampong Puyon.Saya pernah berkempen di kawasannya ketika pilihanraya 1978, kalau tak silap saya. Selain itu, Datuk Omar Bledram, sudah meninggal, Datuk Habib Abdul Rahman, sudah meninggal dan ramai lagi.
UB:  Pernah dapat tawaran untuk menyertai parti lain?
HID: Memang pernah tapi tak perlulah diceritakan. Malah ketika saya menolak tawaran jawatan dan kedudukan asalkan  menyertai parti tertentu, saya dikatakan tidak akan tidak akan hidup selesa dan biarlah `kau makan pasir’ kata mereka. Jawatan pada saya tidak penting, saya cuma berjuang untuk bangsa dan negara.