Jumaat, 24 Februari 2017

TUJUH NASIHAT JALALUDDIN RUMI

Tags


TUJUH NASIHAT JALALUDDIN RUMI

Sahabat, jangan marah kalau dalam tulisan kali ini, saya mengutip tujuh nasihat Maulana Jalaluddin Rumi, penyair sufi yang hidup sekitar abad ke-13 itu. Saya fikir ada baiknya saya mengulangi nasihat-nasihat Rumi ini untuk kita renungkan bersama. Memang sudah lama saya tertarik dengan puisi-puisi Jalaluddin Rumi tetapi beberapa buku yang menghimpunkan puisi-puisi dan kata-kata Rumi yang disusun Haidar Bagir, bagi saya sangatlah menarik. Seperti dalam buku `Mereguk Cinta Rumi-Serpihan-Serpihan Pelembut Jiwa’ yang terbit Jakarta Selatan Februari 2016 yang diberikan kata pengantar oleh Goenawan Mohamad. Dr Haidar Bagir sendiri adalah CEO Kelompok Mizan, banyak menulis buku dan termasuk sebagai salah seorang tokoh berpengaruh dalam senarai 500 Most Influental Muslims (The Royal Islamic Strategic Studies Centre, 2011).

Dalam  buku itu, beliau mengutip puisi-pusi Rumi yang menurutnya `Memang hampir-hampir tak ada yang lain, selain cinta, yang bisa kita sampaikan saat kita bicara tentang Rumi’. Kisah hidupnya, semua nya, adalah tentang cinta-Cinta kepada Tuhan dan cinta kepada manusia-manusia sahabat Tuhan. Kerana itu, katanya, hidup sungguh tak lain adalah meraih cinta sejati itu-cinta kepada puncak kesempurnaannya. Tanpa itu, bukan hanya hidup, kematian pun hanya akan menandai kehancuran, padahal seharusnya ia menandai kembalinya kita kepada Samucdera Tanpa Batas,-Sumber Kita sendiri pemenuhan kerinduian primordial kita. Kerana bagi pencinta, kematian jasad sesungguhnya hanya menandai awal kehidupan dan  Rumi menyebut Cinta sebagai (mata ) air hidup kita”.

Saya amat tertarik dengan petua-petua Jalaluddin Rumi, sahabatku, kerana kufikir ia sangat berguna dan bermanfaat untuk kita fikirkan. Mari kita hayati kata-kata Rumi, penyair yang hidup antara tahun 1207 hingga 1273, yang diberikan huraian dengan baiknya oleh Dr Haidar Bagir, yang banyak mengkaji mengenai Falsafah, Tasawuf dan pemikiran Islam kontemporari.

”Dalam hal kedermawanan dan menolong orang, jadilah seperti sungai,” kata Rumi. Seperti yang kita selalu saksikan sungai mengalir tidak henti-henti tetapi tidak mengharap kembali. Jika kita menolong atau membantu orang, jangan sesekali harapkan balasan..  Penyair sufi abad ke-13 meninggalkan kumpulan puisi  al matsnawi al-maknawi yang banyak mengandungi puisi-puisi sufi yang kebanyakannya bercerita mengenai Cinta, bahawa pemahaman atas dunia hanya boleh diperolehi melalui cinta. Bagi Rumi Tuhan sebagai satu-satunya tujuan, tidak ada yang menyamai.

Nasihatnya yang kedua “Dalam kasih sayang dan Berkah, jadilah seperti Matahari.”. Kenapa Matahari?. Kerana matahari mampu memberi kehangatan kepada siapa saja tanpa diskriminasi.

Dalam menutupi aib orang, jadilah seperti malam. Ini Nasihat Rumi yang menasihatkan supaya kita menjaga dan tidak membuka aib orang. Katanya, seprertu malam, ia sentiasa menutupi semuanya rapat rapat tanpa pernah membocorkannya.
Dalam keadaan  marah dan  murka, jadilah seperti orang mati. Diam, jangan  elakukan apa pun agar tak ada kesalahan dan tidak ,menyesal kemudian

Seterusnya Rumi berpesan agar kita menjadi seperti Bumi dalam hal kesederhanaan dan kerendahhatian. Bumi selalu menempatkan diri di bawah dan meninggikan orang lain.
Rumi juga berpesan, dalam

Dalam hal tolorensi, jadilah seperti Laut. Laut sentiasa berlapang dada selapanglapangnya dan  siap menampung pandangan yang berbeza

Dan akhir sekali, kata Rumi Tampllah seperi dirimu sejatimu atau jadlah seperti tampilanmu.Hiduplah penuh integrati sama lahir dengan batin.

Goenawan Mohammad dalam kata pengantarnya menyebut Cinta, adalah sebuah pengertian yang selama berabad abad menggetarkan hati dan membingungkan, sepatah kata yang dengan mudah  pula boleh menjadi banal (ganas) tapi juga busa membuat orang lain merelakan dirinya sendiri. Kita tidak bisa merumuskannya, kata Goenawan Mohammad. Cinta bukan bahagian dari yang secara konseptual kita ketahui.
Beliau mengutip Ibnu Arabi, pemikir kelahiran Sepanyol abad ke-12 yang mengatakan dalam risalahnya ,”Futahat” bahawa Cinta tidak punya definisi. Siapa yang mendefinasikan bererti tak mengenalinya. Sebab cinta adalah minum tanpa hilang haus

·  Di dalam cahaya-Mu aku belajar mencintai. Di dalam keindahan-Mu aku belajar menulis puisi.
·  




DENGAN LILIN SEBATANG, MENCARI DIMANA MENTARI

Tags






DENGAN LILIN SEBATANG, MENCARI DIMANA MENTARI

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, lebih dikenali sebagai seorang intelektual berbanding seorang penyair. Mantan Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa ini sebenarnya banyak melahirkan karya karya yang terkenal tetapi saya teringat bukunya Mutiara Taman Abadi, dimana beliau menulis puisi mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat.

Dalam buku setebal 67 halaman terbitan Majlis  Bahasa dan Sastera Sabah (2003) itu, Prof Dr Wan Mohd Nor menulis puisi-puisi yang menarik. Salah satunya bertajuk Hanya Peringatan, sebuah puisi panjang seratus baris.

“Al-Alim berfirman yang tahu adakah sama dengan yang tidak?
Yang bodoh dungu adakah sama dengan yang bijak?
Tepat sungguh tanggapan Rumi tentang si bodoh di siang hari
Dengan lilin sebatang dia mencari di mana mentari!.

Dalam puisi itu, penyair bertanya pembaca apakah mereka ingat pesan Junjungan Besar, bahawa mengawal diri sesungguhnya perjuangan lebih akbar?
Mengawal musuh luaran satu jihad yang tidak mudah,
Jika tubuh kerdil dan senjata usang peperangan ‘kan kalah
Tapi jika jiwa hampa kerana ilmu tak setara kuasa dan harta
Umara membuat dasar celaka, aghniya berperangai seperti baya
Bila Umara jahil dan aghniya bakhil negeri kan musnah
Pencakar langit gedung bertingkat medan pekerta nan punah.

Dalam puisi lain, penyair menulis mengenai kisah Wan Li, panglima Dinasti Ming yang gagah perkasa , tangkas bermain pedang,mahir ilmu peperangan tetapi pahlawan perkasa itu, tewas binasa, dek lentikan bibir dan janji manis gundik diraja.

Kerana banyaknya Wan Li, dikalangan kita, Melaka jatuh ke tangan Portugis, Belanda lama sekali di Indonesia, dan kaum pendatang rakus memegang kuasa dimana-mana, semuanya terjadi kerana wan Li bebas bermaharaja lela.

Wan Li , kata Penyair, mengkhianti bangsa kerana akal ditakluki wanita, Cinta wanita hanyalah sebahagian kecil nafsu keinginan kita. Kelemahan lain, kata Wan Mohd Nor dalam puisi itu ialah kejahilan, kekuasaan, pangkat kebesaran, harta, malah dengki, hasad dan kebencian lebih kerap merosak semua.

Sebuah lagi, puisinya yang menarik, ialah Aku Bimbang, Khuatir.

“Aku sungguh bimbang sekali,
Bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi
Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang
Bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang
Bukan kerana suasana politik yang tiada aman
Bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam.

Beliau khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi, kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkaan, suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan. Beliau juga khuatir, umat tidak bangkit lagi, kerana pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan, untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan, yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan, yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan.
Penyair juga bimbang Universiti tidak dinilai secara insani, hanya patuh nafsu industri, yang sering berubah mengikut pasaran, pasaran berubah mengikut perasaan.

Atau mungkin kerana “Rakyatku sentiasa ditakutkan dengan cerita khayalan, tidak berani menyata kata walau hak di dusta selalu, tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng melulu, tidak malu membuat fitnah, walau berada di pintu kaabah, tidak gentar pada al Haqq kerana takut hilang anugerah.

Kita akan terus begini seribu tahun lagi, kata penyair, kerana tabiat buruk membazir sentiasa diulangi, suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap
Membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap, menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap, semata-mata kerana benci , dengki dan hasad.

POHON BERTANYA KEPADA BADAI

Tags


POHON BERTANYA KEPADA BADAI

Pohon-pohon bercerita dengan badai. Beburung telah lama lari, dan para pemburu pun telah tidak kisah lagi tentang damak dan peluru. Menyayangimu tidak pernah menimbulkan kesukaran, malah aku sentiasa berusaha mengikis kesombonganku,” demikian satu posting yang dibuat oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin, seorang penulis-penyair-cerpenis-seorang peneliti puisi rakyat dalam ruang facebook pada 23 Oktober lalu.
Beliau bercerita dengan badai mengenai beburung yang sudah lari manakala pemburu tidak lagi peduli mengenai damar dan peluru. Bahawa menyayangimu, katanya tidak pernah menimbulkan kesukaran sebaliknya `aku’ yang sentiasa berusaha mengikis kesombongannya.
Tanpa disangka, posting beliau menerima tanggapan daripada seorang tokoh yang berada di luar dunia sastera. Seorang tokoh yang amat dihormati dan menduduki hirarki penting dalam negara, yang biasanya selalu berhubungan dengan parlimen, politik kuasa dan sebagainya.Tidak disangka beliau juga meminati sastera, tidak kira sastera dunia atau sastera rakyat.
Respon yang beliau berikan itu agak menarik. Dan akhirnya menjadi satu sesi tanya jawab yang banyak menggunakan bahasa kiasan tetapi sangat menarik diikuti.
S:Pohon bertanya pada badai. "Selain dari membawa bencana, apa buah tangan bawaan mu untuk burung-burung yang tumpang menghilang letih di ranting-ranting ku?"
J:Mungkin jawab badai itu: aku bawakan kejernihan suasana pagi besoknya, juga saripati yang tak ternilai bagi buah- buahan.
S: Pohon menyampuk, " Kejernihan suasana hari esok? Dapatkah ia mengembalikan kebahagiaan seadanya pada hari kelmarin?
J:Ya, jawab badai. Sebab hari ini dia sekadar melepaskan apa yang terpendam di kalbu, saat malam menjelma, kegelisahan itu pasti cair oleh mimpi yang manis
S:"Bukankah mimpi itu hanya mimpi?" Manisnya dirasai sewaktu bermimpi." Alangkah eloknya badai menjadi tiupan angin sepoi-sepoi bahasa?" Disyukuri yang ada seadanya daripada mengharap sesuatu yang tidak pasti akan menjelma". Pohon menyapa pula.
J: Jawab badai: Mimpi pasti tercapai jika dunia satu tujuan, badai akan reda andai tabah diharungi. Syukur adalah tingkat tertinggi kehidupan, sementara menunggu hasil yang baik perlukan kesabaran.
S:"Walau dunia tampak sebagai bulatan, namun ianya tidak sehaluan. Khutub Utara dan Khutub Selatan sejuk menggila. Manakala garisan Capricon sering banjir. Di sesetengah tempat lain pula gempa penomena hal biasa" Pohon menyambung hujah
J: Hidup adalah rangkaian kejadian, jawab badai. Sesiapa yang kalah bertarung dengan dirinya sendiri akan rugi, yang menang akan mencapai tujuan. Biarkan semuanya berlalu, tambah badai- sebab yang akan menang adalah keikhlasan.
S:"Masalahnya, tafsiran 'keikhlasan' berbeza-beza. Ikut rasa dan hati yang mentafsir", jelas Pohon.
J: Benarlah tafsiran itu berbeza- beza, ujar badai, kerana tafsiran yang tepat sukar ditemui. Cuma, kesungguhan pohon untuk berbudi dan kejujuran bumi yang rela menjadi tempat tumbuhnya benih adalah salah satu tanda tentang keikhlasan
S:"Makna kata, 'keikhlasan' itu adalah ketetapan yangg mengwujudkan?", tanya Pohon
J: Ya, jawab badai. Keikhlasan adalah intipati perjuangan, tak kira siapa pun ia. Namun pejuang sejati punyai keikhlasan yang tak pernah diragui. Jika diragui pun, keikhlasannya tak pernah goyah.
Jika kita amati dan teliti dialog dialog itu, ia memberikan banyak penafsiran tetapi tetap bermakna.
Terima kasih kepada Pa’min (Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia) kerana di celah-celah kesibukannya masih sempat mengacah atau sekadar menguji pemahaman kita mengenai pohon dan badai, mengenai keikhlasan, mengenai badai yang melanda menyebabkan burung-burung yang tumpang menghilang letih di ranting dan kejernihan cuaca esok hari ini. Bahawa kata orang, selepas badai ribut menjelma, tunggulah sejenak, untuk kita menghirup udara yang segar di bawah langit langit yang jernih membiru.
Dialog pohon dan badai itu, berakhir dengan jawapan sang badai bahawa keikhlasan adalah inti perjuangan. Pejuang sejati punyai keikhlasan yang tidak perlu diragui.