Sunday, December 30, 2018

KALAU KITA BERJALAN, KITA MESTI BERJALAN LURUS, KATA YB HAJI AHMAD HASSAN

KALAU KITA BERJALAN, KITA MESTI BERJALAN LURUS, KATA YB HAJI AHMAD HASSAN

Kalau kita berjalan, kita mesti berjalan lurus, jangan menyimpang. Apa yang kita lakukan , kita buat dengan  ikhlas, kata Ahli Parlimen Papar, Haji Ahmad Haji Hassan. Pesan yang diturunkan oleh ayahnya kepada beliau sejak masa kecil, sentiasa menjadi pegangan dan prinsip dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.

Sebenarnya beliau boleh dikatakan baru menceburi bidang politik. Sebelumnya beliau adalah seorang akauntan dan juruaudit bertauliah dalam sebuah syarikat bertaraf antarabangsa. Sebagai seorang juruaudit, beliau tahu sedikit sebanyak ketirisan yang berlalu. Itulah antara sebab yang menggamitnya untuk terjun dalam dunia politik.
Untuk rekod dalam pilihan raya umum ke-14 yang lepas, Haji Ahmad yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memperolehi undi 17,394  berjaya memenangi kerusi P175 Papar selepas mengalahkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin (BN-Umno) yang mendapat 17,069 undi  ,Jamil William Core (Star) 892, dan Elbert Sikuil (PCS) 480 undi.


Haji Ahmad Haji Hassan lahir pada 31 Disember 1960 di Kampung Benoni, Papar. Anak pertama dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Benoni dari darjah satu hingga dua. Beliau kemudian terpilih untuk projek Four lalu bersekolah di St Joseph Papar, dari darjah empat hinggalah darjah enam dan seterusnya dari tingkatan satu hingga lima di SM St Joseph Papar. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di YS-ITM hingga memperolehi diploma dalam bidang perakaunan. Selepas itu, beliau bertugas di Permodalan Bumiputera Sabah selama tiga tahun dan kemudian melanjutkan pengajian di peringkat ijazah hingga lulus sebagai akuantan bertauliah. Selepas itu, beliau bertugas selama 27 tahun sebagai juruaudit di   Boustead Holdings Berhad. Kemudian beliau meletakkan jawatan untuk bertanding dalam PRU ke 14 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Berhad.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Hariati Abdullah dan dikurniakan lima cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Ahli Parlimen Papar itu di Benoni Commercial Centre sejurus selepas solat Maghrib. Dalam sesi wawancara itu YB Haji Ahmad menceritakan masa kanak-kanak yang penuh cabaran hinggalah beliau menjawat jawatan tinggi juruaudit di salah sebuah syarikat  terkenal di tanah air. Ikuti petikan wawancara berikut:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang YB?
YB HAJI AHMAD HAJI HASSAN: Saya dilahirkan pada 31 Disember 1960. Saya anak pertama dari enam adik beradik.Semua lelaki, hanya satu perempuan. Ayah saya Haji Hassan Haji Bujal , seorang petani, begitu juga ibu Hajah Dayang Aminah,seorang suri rumah.

UB: Dimana YB mendapat pendidikan awal?
YB: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Benoni selama dua tahun iaitu dari darjah satu hingga darjah dua sahaja. Kemudian saya terpilih untuk mengikuti Projek Four dan berpindah sekolah di SRJK St Joseph Papar hingga darjah enam seterusnya melanjutkan pelajaran menengah, juga di St Joseph dari  tingkatan satu hingga lima.

UB: Naik apa ke sekolah?
YB: Ketika mula bersekolah, kami selalu ikut kereta cikgu Haji Awang Mahmun, ayah kepada Datuk Awang Buhtaman. Selepas itu, dari darjah empat, apabila berpindah sekolah ke St Joseph, kami naik Bas Mara. Kemudian ketika memasuki sekolah menengah, ayah saya membelikan basikal. Beliau buat pinjaman sebanyak $180.00 ringgit daripada Jabatan Parit dan Tali Air semata-mata untuk membelikan saya basikal.Saya mengayuh basikal ke sekolah setiap pagi. Jalan raya pada masa itu adalah jalan raya berbatu, tidaklah sebaik seperti sekarang. Kadang-kadang kami ikut jalan tabasan hingga ke landasan keretapi.
Bagaimanapun saya tidak terlambat ke sekolah. Masa masuk waktu itu ialah pukul 8.00 pagi. Kalau tidak naik basikal, saya naik bas Mara, waktu itu tambangnya kalau tidak silap antara dua puluh sen atau tiga puluh sen.

UB: Berapa bekal YB ke sekolah?
YB: Saya tidak bawa duit ke sekolah. Untuk dapat duit, susah juga masa itu. Saya bawa bekal ke sekolah dengan kopi o. Itulah bekal saya.  Sebelum turun sekolah, saya makan nasi dan minum kopi. Kami biasa makan pagi. Yang ada hanya Nasi dan  kopi. Atau  makan nasi sama bawang. Itu saja makanan yang ada.Hanya bila ada orang kahwin, kami dapat makan daging .Masa itu musim susah.



UB: Apa kegiatan selepas pulang dari sekolah?
YB: Pulang dari sekolah, kami tangkap ikan, ikan tilapia. Ikan ini kemudian dikeringkan untuk dijual di Tamu Papar, tukar dengan baragan apa yang kita kehendaki. Guna sitem tukar barang atau barter trade. Jika musim kemarau, kami masuk ke tempat yang berpaya, masuk ke dalam hutan,cari ikan haruan.
Kalau musim sawah padi, kami ikut bersawah. Tapi sawah kami tak besar.Itu sebabnya kami menyewa tanah. Pulang dari sekolah, kami juga ikut menghalau pipit

Jika musim menuai padi, kami  pergi mengetam padi, dapat upah antara RM1.50 dan RM3.00 sehari. Itulah antara kegiatan selepas pulang dari sekolah.

UB: Selain itu, apa lagi jenis kerja yang pernah YB ceburi?
YB: Saya pernah kerja kuari juga. Jika mahu diceritakan semua pengalaman, saya juga pernah kerja di Kampung Mook, buat gabian tapi terpaksa berhenti kerana yang diangkat batu batu besar sedangkan badan saya kecil. Saya tak boleh tahan.


UB: Selepas tingkatan lima, di mana YB bersekolah?
YB: Saya melanjutkan di YS ITM dalam bidang perakaunan.

UB: Siapa antara rakan YB masa di ITM Sabah? Masih ingat?
YB: Antara rakan sekolah saya masa itu ialah Datuk  Mohd lan Allani,Pg Mursidi. Mereka ini senior saya satu tahun. Datuk Maijol Mahap, Datuk Basalie Abdul Hamid

UB: Apa Kerja di mana selepas tamat ITM?
YB: Saya mendapat tawaran kerja di Permodalan Bumiputera Sabah selama tiga tahun. Selepas itu, saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England. Semua persediaan sudah dibuat untuk berangkat ke England. Tapi bila terjumpa kawan yang baru balik dari sana, masa tu musim sejuk, duit pula sudah tak ada, akhirnya saya memohon untuk masuk semula ke ITM hingga lulus sebagai akauntan. Kemudian saya menjadi  chartered akauntan dan chartered auditor. Untuk menghabiskan bond, saya bekerja di Sabah Forest Industries selama lima tahun sebagai juru audit.

UB: Di mana YB bekerja selepas itu?
YB: Kemudian saya bekerja di Bousted selama 27 tahun sehinggalah meletakkan jawatan untuk menceburi bidang politik.

UB: Apa yang menyebabkan YB menceburi bidang politik?
YB: Sebagai seorang juru audit  jadi tahu apa yang berlaku itu, ada sesuatu yang tidak ngam, banyak berlaku ketirisan dalam pentadbiran.

UB: Minat politik sejak dahulu?
YB: Tidak.Saya bukan orang politik. Saya masuk politik selepas ditelefon oleh seorang kawan. Saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai pengarah bagi wilayah Sabah,Sarawak, Brunei dan Indonesia. Syarikat tempat saya bekerja adalah sebuah syarikat besar yang terlibat dalam bisnis sawit, perladangan, pelaburan,Kewangan, perdagangan  dan sebagainya.
Prospek kerja di sana lebih besar.Saya pernah ditawarkan naik pangkat di ibu pejabat tetapi setelah difikir fikir, saya terpaksa menolak kerana kebetulan pula ayah saya sakit masa itu. Itu sebabnya saya bertahan bekerja di Sabah. Masa yang sama saya juga melibatkan diri dalam perniagaan sambil bekerja.

UB: Bagaimana sambutan masyarakat ketika YB mula-mula menceburi bidang politik?
YB: Sambutan rakyat memang sangat menggalakkan. Pada mulanya saya menumpukan kempen dan menemui rakyat di kawasan Pantai Manis. Sambutan masyarakat pun bagus. Tapi menjelang pilihanraya, saya diminta bertanding di Kawasan Parlimen. Masa itu, tinggal lapan hari sebelum penamaan calon. Saya terpaksa berkempen dalam tempoh yang singkat itu. Tapi rakyat memang mahukan perubahan, saya lihat reaksi mereka sepanjang tempih kempen itu.

UB: Apa rutin harian YB? Jam berapa berangkat dari rumah ke pejabat?
YB: Biasanya saya berjalan lebih  awal, kira-kira  jam 8.00 dari rumah untuk ke pejabat. Kadang-kadang, saya turun menemui rakyat terlebih dahulu jika ada keperluan. Saya Jsentuasa bawa  bawa cop dalam kereta. Sebelum ada pejabat, saya bawa cop ke mana-mana, hingga sekarang.

UB: Jam berapa balik ke rumah?
YB: Kadang-kadang  jam 10.00 malam , saya baru balik rumah. Ramai orang berjumpa dan datang ke pejabat. Semua saya layan dengan baik dan mendengar permasalahan dan aduan mereka.

UB: Bagaimana pula jika ada sidang Parlimen?
YB: Jika ada persidangan di Dewan Rakyat, saya balik hari Jumaat dan balik semula ke KL  pada  hari minggu. Jika ada taklimat hari Sabtu, lepas itu saya baik dan balik semula ke KL keesokan harinya.

UB: Apa isu yang selalu YB suarakan di Parlimen?
YB: Saya suarakan apa saja permasalahan rakyat. Saya sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan mereka. Saya minta input melalui media sosial misalnya melalui  beberapa grup whatsapp, facebook dan sebagainya mengenai apa saja cadangan dan permasalahan rakyat di Papar.

UB: Apa cita-cita YB sebelum ini? Pernah terfikir menjadi wakil rakyat?
YB: Saya tidak  terfikir jadi ahli politik. Saya hanya mahu jadi orang biasa saja. Selepas jalan hidup saya membawa saya menjadi akauntan, juru audit kemudian jadi ahli parlimen.

UB: Apa pesan orang tua yang masih diingati?
YB: Kalau kita berjalan, kita mesti berjalan lurus, jangan menyimpang. Apa yang kita buat, kita mestilah ikhlas.

UB: Akhir sekali,  Bolehkah YB ceritakan apa visi YB untuk Papar?
YB: Kita mahu menarik seberapa banyak pelabur ke Papar Kita mahu wujudkan peluang peluang pekerja untuk belia menganggur. Selain itu, kita mahu membangunkan sumber manusia di Papar, kita mahu melahirkan sumber manusia yang mempunyai kemahiran dan keterampilan. Sekarang kita lihat banyak graduan universiti. Kita berusaha untuk mewujudkan peluang kerja dan mengurangkan pengangguran di Papar. Itu antaranya.

UB: Sebenarnya banyak lagi yang mungkin boleh ditanyakan tetapi ruang tidak mengizinkan.Terima kasih YB kerana sudi memenuhi permintaan untuk sesi wawancara Sembang Sabtu ini.
YB: Terima kasih kembali.








SABDA LAKSANA KONSEP MIRUKUT RUKUT BANTU MASYARAKAT

SABDA LAKSANA KONSEP MIRUKUT RUKUT BANTU MASYARAKAT

MASALAH ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar, kehidupan yang semakin membebankan dengan kenaikan harga barang, sumber pendapatan yang menurun kerana harga getah dan sawit yang rendah memberikan inspirasi kepada seorang aktivis masyarakat, Maslan Maginda untuk menubuhkan  Persatuan Pembangunan Bumiputera Sabah atau Sabah Bumiputera Development Association (SABDA)

Kewujudan SABDA pada masa ini adalah untuk membantu masyarakat luar bandar untuk menaikkan taraf ekonomi mereka dengan membantu menyediakan satu modal perniagaan secara percuma serta menyediakan harga lantai untuk getah sebanyak RM 4.00-RM7.00 sekilo dan Sawit pada harga RM1.40 sekilo.

SABDA mengamalkan konsep mirukut-rukut untuk melaksanakan program yang sudah di rancang, ini juga dapat membantu pihak kerajaan untuk meningkatkn ekonomi kerajaan di masa akan datang, kata Maslan.


Maslan Maginda dilahirkan di Kampung Teringgai Laut, Kota Marudu pada 12 Oktober 1975.Anak ketiga dalam keluarga ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah SK Temuno Teringgai Darat Kota Marudu sebelum meneruskan sekolah di Sekolah Menengah Advent Goshen Kota Marudu seterusnya ke Sekolah Menengah Vokasional Kudat. Selepas lulus Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV),beliau mengikuti pelbagai kursus kemahiran. Maslan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia dan Teknologi Binaan Bangunan. Beliau juga memiliki Diploma Sains Politik dari University of Singapore. Beliau juga pernah mengikuti Kursus Perkhidmatan awam  Pengurusan  pentadbiran sosio-ekonomi di  University of Singapore.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Marylyanah @ Rose binti Yanggor dan dikurniakan tiga cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual Maslan Maginda mengenai NGO yang ditubuhkannya: Ikuti petikan temubual bersama Presiden Sabda yang diadakan di sebuah premis di Jalan Pantai, Kota Kinabalu.


UTUSAN BORNEO: Bolehkah tuan jelaskan apa makna Sabda?
MASLAN MAGINDA: SABDA adalah singkatan nama - Sabah Bumiputera Development Association.

UB: Apakah Sabda ini berdaftar dengan agensi kerajaan?
MM: Ya, Sabda  berdaftar dengan ROS.

UB:  Apakah Sabda  ini sebuah badan NGO atau badan kerajaan?
MM:  Sabda  adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO)

UB:  Apakah matlamat Sabda ?
MM:  Matlamat Sabda adalah membantu masyarakat luar bandar untuk menyediakan modal perniagaan secara percuma.

UB: Apakah modal yang Sabda  bagi itu perlu di bayar semula?
MM:  Modal perniagaan yang Sabda  bagi itu tidak perlu di bayar balik.

UB: Apakah konsep yang digunakan oleh Sabda ?
MM:  Konsep yang Sabda gunakan adalah Mirukut-rukut  atau perkongsian

UB: Siapakah yang layak menjadi ahli Sabda?
MM: Ada dua kelompok yang boleh menjadi ahli Sabda. Kelompok pertama ialahKakitangan kerajaan, berkerja sendiri,peniaga dan badan korporat manakala kelompok kedua ialah OKU dan Miskin Tegar atau golongan kurang atau berkemampuan.

UB:  Apa syarat untuk menjadi ahli Sabda ?
MM:  Bumiputera atau pemegang Mykad Sabah yang sah.

UB:  Apakah kelebihan menjadi ahli Sabda ?
MM: Kelebihan menjadi ahli Sabda ialah, mereka layak memohon modal perniagaan secara percuma.

UB:  Berapakah jumlah modal yang boleh di pohon oleh ahli ?
MM:  Ahli yang membayar yuran seumur hidup RM227., boleh memohon modal sebanyak RM 20,000. - RM 100,000.. Ahli yang membayar yuran RM 57 boleh memohon modal perniagaan sebanyak RM 5000- RM 15'000. ahli yang bayar yuran RM 37 boleh memohon modal sebanyak RM 2000 hingga RM 5000.

UB:  Berapa lama baru boleh memohon modal perniagaan ?
MM:  setelah mencapai 3000 orang dalam satu group.

UB:  Berapa banyak rukutan setiap ahli ?
MM: Setiap ahli hanya perlu bayar rukutan sebanyak RM 130 sehingga RM 390.

UB: Bagaimana cara pemberian modal perniagaan kepada ahli ?
MM:  Cara pemberian modal dibuat secara group iaitu setiap group mempunyai 3000 orang.

UB:  Dalam satu bulan berapa ramai ahli mendapat modal perniagaan ?
MM:  Dalam satu bulan, Sabda  boleh bagi 640 ahli mendapat modal pernigaan mengikut jumlah rukutan.

UB:  Berapa lama semua 3000 ahli mendapat modal perniagaan ?
MM:  Dalam 134 hari semua 3000 ahli akan dapat modal perniagaan.

UB:  Berapa kalikah ahli boleh memohon modal perniagaan ?
MM: Tiada limit atau had, yang penting phase pertama selesai.

UB: Apakah tindakan Sabda jika ada ahli yang keluar atau lari setelah mendapat modal perniagaan ?
MM: Tiada tindakan di ambil, cuma tertutup pintu selamanya kepada ahli yang berkenaan.

UB: Apakah jenis-jenis perkhidmatan dan kebaikan menjadi ahli Sabda ?
MM:  Antara perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan oleh Sabda  adalah seperti,mMembiayai sebahagian perbelanjaan perkahwinan pertama atau yang berstatus duda dan bujang tua sahaja.

Selain itu, memberi bantuan kebajikan kepada sekolah swasta , biasiswa pendidikan, kemudahan awam, membina gereja,membina rumah kediaman, umrah haji,membina surau, bantuan perayaan hari raya, krismas, tahun baru dan pesta menuai.

UB: Bagaimanakah cara Sabda  membantu ahli jika memohon bantuan dan sumbangan, jika ada yang memerlukan?
MM: : Pihak Sabda akan membuat rukutan kepada semua ahli seluruh Sabah apabila ada ahli memohon kebajikan atau sumbangan mengikut jumlah yang diperlukan.

UB: Sabda masuk dalam kelompok kategori mana dalam pertubuhan ?
MM: Sabda termasuk dalam kategori kebajikan.

UB: Bagaimanakah Sabda  menjangkau ahli di seluruh sabah ?
MM:  Setiap Wilayah, Zone , kawasan dan Kampung mempunyai pegawai-pegawai yang di lantik oleh Sabda  pusat untuk memperkenalkan Sabda  kepada masyarakat luar bandar.

UB:  Apakah pegawai-pegawai yang dilantik itu di bayar gaji atau elaun?
MM:  Pegawai-pegawai ini tidak dibayar gaji atau elaun tetapi mereka akan diberikan pernigaan di setiap Zon dan keuntungan pernigaan itu adalah menjadi kepunyaan pegawai-pegawai setiap Zon di samping mendapat modal percuma daripada konsep mirukut-rukut.

UB:: Apakah Sabda menyediakan pejabat perhubungan di setiap Zon, dan siapa yang membayar sewa pejabat berkenaan  ?
MM:  Setiap zone pejabat perhubungan Sabda  akan di sediakan dengan sewa akan di bayar sendiri oleh ahli-ahli dalam Zon berkenaan secara mirukut-rukut.

UB:  Siapakah yang menyimpan wang yang dikumpul hasil daripada rukutan,pernigaan dan hasil aktiviti di setiap Zon ?
MM:  Setiap Zon akan membuka akaun bersama antara pengarah, setiausaha dan bendahari untuk menyimpan wang rukutan, pernigaan dan hasil daripada aktiviti yang dijalankan oleh ahli-ahli di setiap Zon.
UB: Apakah alternatif tertentu yang Sabda  boleh buat untuk membantu ahli meningkatkan ekonomi mereka terutama penoreh getah dan pengusaha ladang kelapa sawit  ?
UB:  Setiap ahli  yang menjadi rakan Sabda  akan mendapat tawaran  harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit sebanyak RM 4.00 - RM 7.00 sekilo untuk getah dan RM 1.40 sekilo bagi kelapa sawit.


UB:  Adakah Sabda  ini menyediakan pinjaman kepada ahlinya ?
MM:: Sabda tidak menyediakan pinjaman kepada ahlinya tapi menyediakan modal percuma kepada ahli secara percuma.

UB: Dari manakah Sabda  mendapat modal perniagaan untuk di berikan kepada ahli-ahlinya  ?
MM:  Sabda mendapat modal perniagaan untuk di berikan kepada ahlinya melalui rukut-rukut sesama ahli, melalui sumbangan, melalui perniagaan Sabda ,  sumbangan pihak luar,kerajaan, melalui aktiviti, seminar dan kerja amal.

UB:  Apakah perancangan masa depan Sabda   ?
MM: SABDA mempunyai perancangan untuk membuat bandar Sabda  di seluruh sabah yang dilengkapi kemudahan seperti Bank Sabda, kilang-kilang, telefon mudah alih sendiri dan permotoran jenama Sabda

UB: Berapa ramai lembaga pembuat keputusan dalam Sabda dan pengarah-pengarah pelaksana ?
MM:  Sabda mempunyai 5 orang pembuat keputusan utama iaitu presiden, timbalan presiden, setiausaha, timbalan setiausaha dan bendahari dan mempunyai 16 ahli lembaga pelaksana.

UB:  Apakah 21 Ahli Lembaga ini di bayar gaji atau elaun, dan berapa orang yang wajib di bayar gaji untuk tugas-tugas pejabat dan apakah gaji ini kekal setelah pembayaran elaun dimulakan kepada semua Ahli Lembaga di masa akan datang  ?
MM: : 21 Ahli Lembaga ini akan di bayar elaun atau gaji setelah kewangan Sabda  sudah kukuh dan seorang ahli lembaga wajib dibayar gaji untuk membuat kerja-kerja pejabat dan gaji ini akan dimansuhkan pada satu masa yang ditetapkan bila pembayaran elaun dimulakan kepada semua ahli lembaga.

UB:Apakah Sabda  akan membayar wang simpanan pekerja ( KWSP ) atau insuran pekerja atau sosco kepada ahli Lembaganya dan bila ianya dibayar ?
MM: : Ya, Sabda  akan membayar wang simpanan pekerja ( KWSP)  insuran atau  sosco kepada setiap Ahli Lembaga bila kewangan Sabda sudah kukuh.

UB: : Apakah Slogan SABDA ?
MM: Slogan SABDA ialah ' Kita Bersatu, Kita Berjaya, Kita Maju.

UB: Apakah Falsafah SABDA ?
MM:  Falsafah SABDA ialah ' Jangan kita Jadi Hamba Wang, Biar Wang jadi hamba kita'

UB: Apakah Sabda  mempunyai prinsip dalam pelaksanaan segala amanah yang dikehendaki oleh semua ahli-ahli dan masyarakat untuk tidak berlaku sebarang kerugiaan kepada Sabda  ?
UB: Ya, Sabda  mempunyai 6 prinsip untuk menjadi pegangan kepada semua ahli lembaga dalam melaksanakan amanah yang dipercayakan oleh ahli dan masyarakat kepada Ahli Lembaganya.

UB: Boleh ceritakan bagaimana tuan mendapat inspirasi menubuhkan Sabda?
MM: Insprisi penubuhan Sabda  berlaku di sebabkan masalah ekonomi masyarakat luar bandar yang semakin menyusahkan kehidupan mereka disebabkan kenaikan harga barang keperluan. Selain itu,sumber ekonomi mereka juga menurun kerana harga getah dan sawit terlalu rendah.

Kewujudan Sabda pada masa ini adalah untuk membantu masyarakat luar bandar untuk menaikkan taraf ekonomi mereka. Sabda mengamalkn konsep mirukut-rukut untuk melaksanakan program yang sudah di rancang, ini juga dapat membantu pihak kerajaan untuk meningkatkan ekonomi kerajaan di masa akan datang.



UB: Berapa ahli sabda?
MM:Setakat ini 569 ahli. Sasaran ahli Sabda menjelang tahun 2019 adalah mencapai 3000-10,000  ribu ahli supaya konsep mirukut dapat di laksanakan.

BUDAYATRADISI TIDAK DILUPAKAN DALAM KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN

BUDAYATRADISI TIDAK DILUPAKAN DALAM KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN

SEBENARNYA banyak hal menarik yang boleh disaksikan dalam Karnival Pelancongan Dedsaan yang diadakan di Dedsaan Beach Village (DBV) di Suang Kila, Kampung Rampayan Laut Kota Belud, yang terletak kira-kira 78 km dari Kota Kinabalu.

“Inilah pertama kali saya ikut tarian berunsai. Saya rasa seronok sekali. Runsai bukan sesuatu yang susah. Saya dapat mengikuti rentak runsai dengan mudah, “ kata seorang pengunjung dari Kota Kinabalu.

Runsai adalah sejenis tarian tradisi yang popular di kalangan masyarakat Bajausama, dan turut popular juga di kalangan masyarakat Iranun, yang biasanya menjemput penari-penari runsai untuk memeriahkan lagi majlis keramaian seperti perkahwinan dan sebagainya.

“Saya rasa sangat beruntung, dapat menyaksikan dan ikut menari runsai,” kata Liew yang pertama kali berkunjung ke Kampung Rampayan Laut. Minatnya untuk datang itu apabila ternampak iklan yang dipasang, mempelawa kehadiran orang ramai ke program itu.

Selain runsai, turut diadakan ialah persembahan kulintangan. Permainan kulintangan itu bukan saja menarik perhatian ramai termasuk penduduk kampung yang dikenali kerana kemahiran mereka bermain kulintangan tetapi yang banyak mempesonakan ramai orang ialah kelibat 7 remaja, anak-anak dari Kampung Lentigi, yang berjaya mempersembahkan permainan kulintangan dengan begitu menarik sekali.

Adalah sesuatu yang amat mengujakan melihat kanak-kanak memalu gendang, gong, dengan titikan dan paluan bebendir yang sangat memukau.

Inilah salah satu daya penarik karnival pelancongan Dedsaan itu. Meskipun banyak pertandingan yang diadakan namun seni dan kesenian tradisi tidak dilupakan dan dilaksanakan sebagai salah satu acara persembahan dalam karnival itu.

Satu lagi yang menarik ialah permainan sepak manggis atau dalam bahasa Iranun dikenali sebagai Ka Sipa Sa Manggis. Permainan ini adalah permainan tradisi yang popular sejak dahulu lagi. Bahkan permainan ini turut disebut dalam epik Darangen, yang mengisahkan bagaimana paramata Bantogen, tokoh utama dalam cerita itu bermain sepak manggis.

Sipa sa manggis ini diambil sempena nama manggis yang dibentuk bulat bujur  dan digantung pada tiang yang diperbuat daripada buluh Apabila pemain menyepak ke arah manggis menggunakan `dsipa’ maka timbul nama bagi Sepak Manggis.

Permainan ini menjadi budaya masyarakat Iranun bukan saja semasa acara penting seperti majlis perkahwinan, perayaan dan menunaikan nazar.

Buah manggis yang diperbuat daripada kayu, dawai, kertas bewarna, biasanya diisi dengan makanan, kain, sapu tangan dan duit. Buah manggis diikat pada hujung batang buluh yang kecil dinamakan tumangu’. Buah manggis dikat dengan tali bagi memudahkannnya untuk dinaikkan ke atas atau menurunkannya ke bawah. Tinggi manggis lebih 30 kaki ke bawah.

Permainan yang sangat menarik ini turut dipertandingkan dan dipertontonkan dalam acara Karnival Pelancongan Dedsaan itu.

Acara lain yang turut diadakan ialah permainan moden, seperti ragbi, bola tampar pantai dan sebagainya.

Karnival Pelancongan Dedsaan kali ini dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuklah pertandingan ratu cantik kanak-kanak yang memperagakan pelbagai pakaian tradisi etnik etnik di Kota Belud.

Selain pameran dan jualan pakaian yang turut menarik perhatian, peniaga gerai juga menjual makanan tradisi Iranun seperti siager, seda a tiapa dan sebagainya. Pelbagai jenis makanan juga dijual termasuk laksa, bakso dan sebagainya.

Karnival ini menarik perhatiian masyarakat bukan saja di daerah Kota Belud malah di seluruh Sabah. Terdapat juga pengunjung dari luar negeri yang sangat tertarik dengan pelbagai acara yang diadakan.

Orang ramai juga berpeluang melihat kereta kerbau berhias. Segalanya menjadi kenangan bagi pengunjung ke karnival Pelancongan yang berjaya diadakan dan mencatat sejarah dalam kalendar pelancongan di Sabah.

Selain pertandingan tarik tali yang disertai 19 pasukan dari seluruh Sabah termasuk  pasukan dari Negara Brunei Darussalam, pertandingan Dart juga menggamit penyertaan  seramai 41 peserta dari Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran,Ranau KK, Tambunan, Tenom, Beaufort dan WP Labuan.

Sementara itu, Larian Pantai Dedsaan atau Dedsaan Beach Run juga menerima lebih 200 peserta, juga dari seluruh Sabah. Ketiga-tiga acara itu, selain acara memancing, akan menjadi acara tahunan,terbuka kepada orang ramai.

Kejayaan karnival ini tidak terlepas dari peranan yang dimainkan oleh penaungnya, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, mantan Speaker Dewan Rakyat, yang banyak membantu promosi Kota Belud, keindahan alam semula jadi, kekayaan khazanah budaya masyarakat dan segala keistimewaan yang dimilikinya sebagai destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi di negeri ini.

Industri pelancongan pastilah memberikan peluang pekerjaan dan mampu mendatangkan sumber ekonomi di kalangan masyarakat sekitarnya khasnya di daerah Kota Belud.

Beliau meminta agar masyarakat berfikir jauh ke depan, dan mengambil peluang yang ada untuk memajukan potensi pelancongan di Kota Belud.

Lebih 3,000 mengunjungi Karnival itu, silih berganti. Pengunjung berduyun-duyun sejak pagi, ada juga yang datang sebelah petang dan ramai yang tidak pulang sehingga pertandingan Larian Pantai Dedsaan atau Dedsaan Beach Run selesaikan dilaksanakan.

Matahari sudah tenggelam ketika orang ramai mulai meninggalkan tapak Karnival Pelancongan Dedsaan yang diadakan dengan jayanya.

KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN TARIK LEBIH 3,000 PENGUNJUNG

KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN TARIK LEBIH 3,000 PENGUNJUNG
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

KARNIVAL Pelancongan Dedsaan yang diadakan buat pertama kali di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud menggamit lebih 3,000 pengunjung untuk menyaksikan pelbagai acara yang diadakan sejak pagi hingga ke petang pada Sabtu ,8 Disember lalu.

Pengunjung dari dalam dan luar negeri berduyun duyun ke karnival itu dan menyaksikan bukan saja acara kesenian seperti berunsai dan kulintangan, ratu cantik kanak-kanak atau pelamin olok-olok, tetapi juga berpeluang menyaksikan pertandingan mewarna kanak-kanak tarik tali, dart,Pertandingan Orang Kuat Sabah, Bolasepak pantai, ragbi, Bola tampar,pertandingan ka sipa sa manggis,lumba perahu dan sebagainya.

Antara yang menarik ialah pertandingan Tarik Tali yang dikelolakan sepenuhnya oleh Persatuan Tarik Tali Negeri Sabah (SATWA).

Sebanyak 19 pasukan menyertai pertandingan itu termasuk pasukan dari Negara Brunei Darussalam, Beaufort, Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Penampang,Tambunan.

“Mereka teruja,seronok dan berpuas hati dan bersedia menyertai kejohanan itu pada masa hadapan” kata Presiden Satwa, Androd Sadian.

“Saya sangat teruja dengan sambutan yang begitu meriah,” kata setiausaha penganjur, Amilson Buragas. Mungkin kerana cuti sekolah dan kelepasan am membolehkan ramai pengunjung yang datang, dari dalam dan luar negeri termasuk dari Sarawak dan Brunei.

Pihak penganjur, Karnival Pelancongan Dedsaan memikirkan untuk menjadikan beberapa pertandingan sebagai acara tahunan. Antara yang berpotensi ialah pertandingan tarik tali, dart, pertandingan memancing dan larian Dedsaan atau Dedsaan Beach Run.

Pertandingan Dart yang dipengerusikan Haji Asdin Abdul juga mendapat sambutan yang luar biasa, termasuk peserta bertaraf Asean. Dart adalah antara pemainan yang menyedut perhatian orang ramai dan menjadi salah satu daya tarikan dalam karnival itu. Seramai 41 peserta dari Pitas, Kota Marudu,Kota Belud, Tuaran,Ranau,Kota Kinabalu, Tambunan, Beaufort dan WP Labuan.

Selain itu, pertandingan menghias kuda, sukan berkuda juga turut diadakan. Namun yang paling menarik ialah Larian Pantai Dedsaan yang diadakan pada sebelah petang dengan penyertaan lebih 200 peserta.

Peserta diberikan sijil dan medal penyertaan untuk acara Larian Pantai Dedsaan (Dedsaan Beach Run) yang berpotensi untuk dipertandingkan lagi pada masa akan datang.
Ketika golongan belia bertumpu kepada bolasepak pantai, ragbi dan bola tampar, karnival itu sebenarnya membuka jalan kepada industri pelancongan dan mempromosi Kota Belud dan Rampayan Laut khususnya sebagai destinasi pelancongan menarik.

Kini Kampung Rampayan laut terkenal sebagai pengkalan utama ke Pulau Mantani, juga kaya dengan kerlipan kunang-kunang dan pemandangan senja yang aduhai. Keindahan matahari terbenam jika dilihat dari  Dedsaan Beach  Village Rampayan Laut adalah pemandangan yang menakjubkan.

Namun jangan lupa , selain pelbagai jenis pertandingan yang diadakan, Karnival Pelancongan Dedsaan yang dinaungi mantan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli belah di gerai minuman dan sebagainya.

Pelbagai jenis juadah dijual dalam karnival itu, seperti seda a tiapa, siager, dan pelbagai jenis makanan tempatan. Turut diadakan ialah pameran perabot dan gerai pakaian dan sebagainya.

Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan penyanyi-penyanyi tempatan dalam program yang dikelola yang penyanyi Dino Menara.

Banyak keistimewaan karnival itu, yang mungkin tidak dapat dicatat satu persatu. Apa yang jelas, Karnival Pelancongan Dedsaan itu atau Dedsaan Tourism Carnival itu mampu menempatkan Kota Belud sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Kemudahan penginapan bertaraf lima bintang selain inap desa yang terdapat di sekeliling kampung itu memungkinkan Dedsaan Beach Village (DBV) dan Kampung Rampayan Laut tentunya, menjadi tumpuan bagi pelancong dalam dan luar negara pada masa hadapan.

Dari pagi hingga senja menjelma, Karnival Pelancongan Dedsaan berlangsung dengan jayanya, melakar satu lagi sejarah sebagai karnival yang digerakkan atas dukungan masyarakat, dengan pelbagai acara yang diadakan serentak, kejayaannya adalah atas semangat kebersamaan, semangat dan tekad yang luar biasa di kalangan panitia penganjurnya.

Karnival Pelancongan Dedsaan, pasti jadi kenangan dan kebanggaan masyarakat dalam mempromosi daerah itu sebagai destinasi pelancongan menarik dan tidak ada duanya.

SABAH DAN SULAWESI UTARA MILIKI BANYAK PERSAMAAN: GUBERNUR OLLY


SABAH DAN SULAWESI UTARA MILIKI BANYAK PERSAMAAN: GUBERNUR OLLY


SABAH dan Sulawesi Utara memiliki banyak persamaan. Kekayaan alam,flora dan fauna, khazanah budaya yang pelbagai, menggamit kedatangan pelancong untuk berkunjung ke destinasi yang menarik di kedua-dua wilayah yang mempunyai kedekatan dari sudut geogari.

“Kita mahu meningkatkan lagi hubungan bilateral antara Indonesia dan Malaysia, terutamanya antara Sabah dan Sulawesi Utara” kata Gubernur Olly Dondokambey yang mengetuai delegasi yang besar dan berpengaruh dari Sulawesi Utara untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal. Rombongan sempat juga mengadakan kunjungan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew. Turut serta dalam kunjungan itu ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Bapak Rushdi Kirana dan Konsul Jenderal Republik Indonesia ke Kota Kinabalu, Pak Krishna Djelani.

Olly Dondokambey dilantik sebagai Gabenor Sulawesi Utara pada 12 Februari 2016. Tokoh berpengaruh ini adalah Ketua 1 Partai Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP) bagi Sulawesi Utara dan Bendahara Umum (Bendahari Agung) PDIP dan meraih undi ketujuh tertinggi dari 560 kepala daerah seluruh Indonesia.

Olly Dondokambey dilahirkan di Manado pada 18 November 1961. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMA Negeri Manado, Manado (1982),Akademi Akuntansi Jayabaya (1982-1984),D3, Akademi Akuntansi Manado, Manado (1984-1987) dan S1, Manajemen, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Tri Dharma Widya, Jakarta (1995-1997) Beliau pernah menjadi Manager WIKA-PP JO Taman Rasuna Apartemwn Jakarta 1994-1995, Manager PT Pembangunan Perumahan, Direktur PT Bintang Rezeki Abadi Makmur dan Direktur Pusat Koperasi Mega Gotong Royong 2001.

Beliau pernah menjadi Ketua Komisi X1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia (2004-2014), Wakil Ketua Badan Anggaran (Banggar) DPR-RI (2009-2014), Anggota DPR-RI (2014-2015) dan Gubernur Sulawesi Utara (2016 hingga sekarang).
Beliau dilantik sebagai Gubernur Sulawesi Utara pada 12 Februari 2016. Mendirikan rumah tangga dengan Ir Rita Tumuntuan dan dikurniakan dua cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara Gubernur Sulawesi Utara, Olly Dondokambey beberapa ketika sebelum beliau berangkat pulang ke Kota Manado selepas mengadakan kunjungan sehari ke Sabah,pada Jumaat. Ikuti petikan wawancara singkat  bersama Gubernur Olly di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

UB: Boleh jelaskan sedikit tujuan kunjungan bapak dan delegasi Sulawesi Utara ke Sabah?

BAPAK OLLY DONDOKAMBEY: Kita ingin menjalin kerjasama ekonomi yang erat terutamanya dalam bidang pelancongan.Kedua-duanya, Sabah dan Sulawesi Utara sudah lama menjalin kerjasama dalam BIMP-EAGA dimana sekretariatnya terletak di Kota Kinabalu dan Manado.

UB: Siapa saja yang dikunjungi dalam Kunjungan Hormat itu?
OD: Sebaik tiba di Kota Kinabalu, kami membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew. Pada sebelah petang, kami membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

UB: Siapa yang ikut serta dalam rombongan itu?
OD: Antara yang turut serta dalam kunjungan itu Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sulawesi Utara, Andrei Angouw, Anggota DPRD, Rocky Wowor, Sekretaris Provinsi, Edwin Silangen, Staf Khusus Pariwisata, Dino Gobel, Pengurus Besar Tribun Manado, Risdianto Tunando.
Saya sangat berterima kasih kerana Duta Besar Republik Indonesia (KJRI) Pak Rusdi Kirana memberikan perhatian yang sangat besar dan membantu menjayakan pertemuan ini.  Dalam pertemuan itu, juga turut hadir ialah  Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krisna Djelani,Konsul Jenderal Republik Indonesia di  Kuching, Yonny Tri Prayitno Konsul Republik Indonesia di Tawau,Sulistijo  Djati Ismojo,dan kenamaan lain.


UB: Apa agenda yang dibincangkan dalam kunjungan itu?
OD: Antara agenda yang dibincangkan dalam kunjungan itukerjasama dalam bidang pelancongan  termasuk rancangan mengadakan penerbangan terus dari Kota Kinabalu dan Manado.

Dengan adanya penerbangan terus itu, tempoh penerbangan antara Kota Kinabalu dan Manado hanya sekitar dua jam berbanding sekarang yang memakan masa hampir tujuh jam. Seseorang yang mahu ke Sulawesi Utara, perlu terbang dari Kota Kinabalu ke Jakarta yang memakan masa kira-kira tiga jam sebelum melanjutkan penerbangan dari Jakarta ke Manado yang memakan masa kira-kira tiga jam setengah.

Kerjasama dengan negeri Sabah akan menjadi semacam ikon pelancongan yang baru bagi Sulawesi Utara.

UB: Bila penerbangan terus itu akan dimulakan?
OD Saya  berharap dengan adanya perbincangan dan kerjasama, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Manado dapat dimulakan tahun depan.

UB:Bagaimana respon daripada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri ?
OD: Sambutan dan respon yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew amat baik sekali.
Beliau gembira dengan kunjungan serta ajakan kerjasama dalam sektor pelancongan antara Sabah dan Sulawesi Utara. Dengan engan adanya penerbangan terus itu kelak akan menarik lebih ramai pelancong dari pelbagai negara ke Sabah dan Manado.

Saya secara peribadi dan atas nama rakyat Sulawesi Utara mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie dan Ibu Menteri, Datuk Christina Liew kerana memberika  respon yang amat baik terhadap perancangan itu.
Kerja sama dengan Sabah ini akan menjadi semacam ikon baru pariwisata bagi Sulut (Sulawesi Utara). Saya harapkan dengan adanya pembicaraan dan kerja sama ini, tahun depan sudah ada penerbangan dari Kinabalu ke Manado.
UB: Apa bentuk kerjasama pelancongan antara Sabah dan Sulawesi Utara?
OD:Sabah dan Sulawesi Utara juga boleh bekerjasama untuk membuat promosi pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat kedua wilayah. Fakta menunjukkan bahawa jumlah pelancong ke Manado meningkat 1000 peratus sejak beberapa tahun mutakhir ini. Jika penerbangan itu diwujudkan, pelancong dari China boleh singgah ke Sabah dahulu sebelum ke Manado atau sebaliknya dari Manado singgah ke Kota Kinabalu sebelum pulang ke China.
Sejak laluan penerbangan langsung dari Manado ke China pada 2016, kunjungan pelancong ke Sulawesi Utara meningkat hingga 100,000 orang. Sebelum itu, dalam tempoh selama 10 tahun kebelakangan, purata kunjungan pelancong asing ke Sulawesi Utara hanya sekitar 10,000 hingga 15,000 setiap tahun.
UB:Bolehkah Pak Olly memberitahu apa antara kelebihan Sulawesi Utara?
OD: Sulawesi Utara adalah sebuah sebuah wilayah di hujung utara Pulau Sulawesi yang memiliki pelbagai keindahan alam dan penduduk yang ramah. Ia memiliki kekayaan biodiversiti, keunikan budaya hingga seni kuliner. Sulawesi Utara terkenal dengan keramahan penduduknya. Sektor pelancongan di Sulawesi Utara semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antara kelebihan Sulut (Sulawesi Utara ) ialah lokasi penyelaman, syurga bawah laut yang menarik banyak pelancongan. Bukan hanya di Bunaken, yang begitu terkenal itu malah banyak lagi lokasi penyelaman yang luar biasa di sekitar Sulut.
Pelancong yang suka kuliner, boleh mencuba bubur khas Manado, Tinutuan, nasi kuning, mi cakalang dan sebagainya.
Satu lagi yang menarik ialah burung Maleo, sejenis burung endemik yang hanya boleh dilihat di Sulawesi. Kita boleh melihat bagaimana burung Maleo bertelur dan sebagainya.
UB: Apa harapan pak Olly terhadap sektor pelancongan?
OD: Saya berharap kerjasama antara Sabah dan Sulawesi Utara mampu melonjakkan lagi pembangunan terutamanya dalam sektor pelancongan. Semoga penerbangan terus antara Sabah dan Manado akan dapat dimulakan awal tahun depan. Kita akan bekerjasama dengan syarikat Lion Air, Malindo atau Batik Air untuk menjayakan penerbangan langsung ini.