Rabu, 10 Januari 2018

HAJI ALIPA, KOMITED PERKENAL DAN PERJUANG ETNIK COCOS

Tags




HAJI ALIPA, KOMITED PERKENAL DAN PERJUANG ETNIK   COCOS

SEJAK beliau mengetuai Persatuan Etnik Cocos Sabah (PECOS), masyarakat Cocos yang mempunyai populasi kira-kira 72,000 di negeri ini mendapat perhatian dan sorotan.Bersama Pecos, Haji Alipa gigih memperkenalkan kesenian dan kebudayaan etnik Cocos dan terus komited memperjuangkan kepentingan etnik Cocos, salah satu suku minoriti di negeri ini.

Haji Alipa Haji Jackery dilahirkan di Kampung Balung Cocos Tawau pada 20 September 1953. Anak sulung daripada 12 bersaudara ini mendapat pendidikan awal di SRK Balung Cocos dari 1960 hingga 1966. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Abaca Tawau dari tingkatan satu hingga tingkatan  tiga dan kemudian di SM Holy Trinity Tawau dari tingkatan empat hingga tingkatan  lima. Beliau melanjutkan pengajian di ITM di peringkat Diploma in Planting Industry Management dari tahun 1973 hingga 1976. Sebaik  tamat, beliau diterima bekerja di Sabah Softwood Sdn Bhd Tawau selama lima tahun sebelum melanjutkan pelajaran di Southern Illinois Universiy (SIU) at Carbondale, Amerika Syarikat sehingga berjaya mendapat Bsc dan MSc dalam bidang Agribisnis dan Economy. Sekembalinya ke tanah air beliau memasuki bidang perbankan sebagai `Sub Accountant' di Mayban Finance  hinggalah menjawat jawatan Pengurus Wilayah Mayban Finance sepanjang 22 tahun perkhidmatannya sebelum memutuskan untuk berhenti dan memasuki bidang perniagaan. Beliau juga banyak terlibat dalam kegiatan sosial dan kebajikan. Kini beliau adalah Presiden Persatuan Etnik Cocos Sabah (PECOS) dan Bendahari Majlis Gabungan Etnik Bumiputera Sabah (MAGEBS).
Wartawan  Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN  berpeluang menemubual  beliau di salah sebuah premis di Suria Sabah sambil menikmati minuman lemon panas. Dalam sesi temubual, beliau sempat memberitahu mengenail latar belakangnya sejak zaman persekolahan hingga menjadi Pengurus Wilayah Mayban Finance dan kini sebagai Presiden PECOS, aktif pula memperkenalkan kebudayaan dan memperjuangkan kepentingan  etnik Cocos di negeri ini. Ikuti petikan temubual ini .
UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?
HAJI ALIPA HAJI JACKERY: Saya dilahirkan di Kampung Balung Cocos Tawau pada 20 September 1953. Saya anak sulung daripada 12 adik beradik. Ayah saya, Haji Jackery Salna bekerja sebagai seorang buruh kasar dan kemudian menjadi pemandu bas sekolah. Ibu saya pula Ulin binti Haji Donal, hanya sebagai seorang suri rumah.
UB: Di mana letaknya kampung Cocos ini?
HAHJ: Kalau dulu waktu masih jalan kerikil perjalanan dari Kampung Balung Cocos ke Tawau mengambil masa yang lama, jauhnya lebih 30 kilometer. Tetapi sekarang, ia hanya terletak kira-kira sepuluh minit dari Lapangan Terbang Tawau.
UB: Dimana tuan haji menduduki bangku sekolah rendah?
HAHJ: Saya mula memasuki sekolah rendah di SRK Balung pada tahun 1960 hingga 1966. Selepas itu, saya bersekolah di SMK Abaca pada tahun 1967 hingga 1970 dan kemudian pada tahun 1971 hingga 1972 melanjutkaan pelajaran di SM Holy Trinity dalam tingkatan empat dan lima.
UB:  Selepas tingkatan lima, di mana haji melanjutkan pelajaran?
HAHJ: Saya melanjutkan pelajaran di iTM (kini UiTM) dalam bidang Diploma in Planting Industry Management atau Diploma Perladangan pada tahun 1973 hingga 1975.
UB: Sebaik tamat diploma, apa langkah tuan haji seterusnya?
HAHJ: Selepas tamat ITM, saya mendapat kerja di Sabah Softwood Sdn Bhd di Tawau selama lima tahun dari tahun 1976 hingga 1981 . Kemudian saya sambung belajar lagi dalam Bsc dan kemudian MSc dalam agribisnis ekonomi di Southern Illinois University at Carbondale, Amerika Syarikat dari tahun 1981 hingga 1984.
UB: Apa kerja tuan selepas balik ke tanah air?
HAHJ: Sekembalinya ke tanahair, saya menyertai Mayban pada tahun 1985 sebagai Sub Akauntan 1. Saya terus membina kerjaya di sana dan terus  bekerja di bank selama kira-kira 22 tahun. Jawatan terakhir saya Pengurus Wilayah Mayban Finance, dan mungkin salah satu anak Sabah yang berjaya menduduki jawatan itu. Kemudian saya bersara awal pada tahun 2005 mungkin kerana sudah ada perasaan malas makan gaji. Selepas itu, saya menubuhkan syarikat pembersihan, Sinergy Cleaning And Manpower Sdn Bhd. Apabila tamat kontrak 2015, saya menceburi perniagaan makanan selain membantu anak-anak berniaga.
UB:Berapa jumlah  anak tuan haji?
HAHJ: Semuanya lima orang, seorang puteri dan empat putera.
UB: Mungkin tuan haji masih ingat waktu bersekolah rendah dahulu.Berapa bekal tuan haji ke sekolah?
HAHJ:  Bekal ke sekolah tiada. Yang saya ingat,, selalu dapat sesisir  pisang dari tukang kebun. Saya disuruh bawa pulang pisang ke rumah. Saya ingat masa itu ,sekolah tidak mengenakan bayaran kerana kalau mengenakan bayaran mungkin orang tua saya tidak dapat menghantar 12 anaknya ke sekolah. Masa itu, ayah saya bekerja di Bal Estate. Kehidupan kami agak susah  juga pada masa itu.
UB: Oh ya, saya difahamkan tuan haji kini menjawat sebagai Presiden Persatuan Etnik Cocos Sabah (PECOS). Mungkin ramai yang ingat tahu mengenai suku kaum Cocos di Sabah. Boleh ceritakan sedikit?
HAHJ: Etnik Cocos adalah satu etnik di Sabah. Kini terdapat kira-kira 72,000 masyarakat Cocos di Tawau, Balung, Lahad Datu,Kunak, Sandakan dan Pamol , Kota Kinabalu dan kini tersebar di seluruh Sabah. Etnik ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri khususnya dalam budaya dan keseniannya.
UB:  Saya difahamkan tuan haji dalam mesyuarat baru-baru ini, mempunyai permintaan untuk dilaksanakan oleh pihak kerajaan.Boleh jelaskan?
HAHJ: Dalam mesyuarat agung yang lalu,  Ahli Majlis Tertinggi (PECOS) sebulat suara meminta agar Kaum Cocos diberikan semula status Anak Negeri. Sejak zaman pemerintahan USNO dan kemudian Kerajaan Berjaya, Kaum Cocos mendapat pengiktirafan status anak negeri. Namun selepas itu,  Kaum Cocos tidak lagi menikmati status anak negeri. Ini agak dikesali. Status  sebagai anak negeri ditarik balik oleh kerajaan PBS  atas sebab yang kita sendiripun tidak tahu. Kita mahu agar Suku Kaum Cocos diiktiraf semula sebagai anak negeri.
Perkara kedua yang kita bangkitkan ialah kita mengusulkan kepada kerajaan dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memberi peluang kepada kaum Cocos bertanding dalam pilihanraya umum ke-14. Satu ketika dahulu, salah seorang pemimpin masyarakat Cocos, Datuk Haji Railey Jeffery pernah menjadi Ahli Parlimen Silam dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya. Kita mahu kalau boleh ada wakil Cocos bertanding di peringkat ADUN atau parlimen.

UB: Mungkin tuan haji boleh sebut beberapa nama orang Cocos yang dikenali ramai untuk memberikan sedikit gambaran  mengenai Cocos.
HAHJ: Selain Datuk Railey Haji Jeffery, antara tokoh Cocos yang menonjol ialah  Haji Nistah Haji Kabul,Datuk Haji Light Nanis,  Haji Oskel Saidi, Datuk Jaafar Henry, dulu pernah jadi Timbalan Pengarah Imigresen dan Pengarah Imigresen, Dr Worren Kabul, Dr Arby Cole iatu bekas KPP Jabatan Penerangan , Haji Rayman Haji Loudrize,
UB:  Bolehkah tuan  haji nyatakan sedikit mengenai kesenian dan tarian kaum Cocos?
HAHJ: Antara tarian masyarakat Cocos yang mendapat perhatian kerana keunikannya ialah Tarian Melenggok, Tarian Dansa, Tarian Selong dan banyak lagi. Masyarakat Cocos juga terkenal kerana makanannya yang pelbagai jenis. Ini yang selalu menarik.
UB: Baru-baru ini, kami difahamkan Persatuan Etnik Cocos Sabah (RECOS) mengadakan Pesta Sukan. Barangkali tuan haji boleh jelaskan sedikit?
HAHJ: Pesta Sukan Pecos adalah acara tahunan yang bertujuan untuk mengekalkan hubungan silaturrahim, meningkatkan perpaduan dan keharmonian di kalangan ahli-ahli 7 cawangan Pecos di seluruh Sabah.
Di samping itu, kita juga cuba mengasuh bakat-bakat sukan di kalangan generasi muda Cocos yang boleh diketengahkan ke tahap yang lebih tinggi.
UB:Tuan haji sering menekankan aspek perpaduan. Mungkin boleh jelaskan sedikit lagi untuk pembaca?
HAHJ:  Dalam kesibukan kita untuk mengisi  tanggungjawab kepada keluarga, melaksanakan karier untuk pembangunan ekonomi masing-msing , kita tidak seharusnya leka dan mengambil jalan mudah mengenai perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat kita.
Jika sekiranya ada kelekaan dan keegoan  yang terpahat di dalam diri kita selama ini, yang kadangkala dilihat sering memisahkan diri dari kelompok besar masyarakat kita, saya pasti, ia akan menjadi satu stigma yang akan merugikan bangsa kita dalam menceburi pelbagai bidang pembangunan yang terbentang luas di hadapan kita.
Ini saya tekankan dalam ucapan Sempena Pesta Sukan Pecos baru-baru ini. Kenapa saya sentiasa menekankan betapa pentingnya nilai-nilai perpaduan dan keharmonian yang seharusnya dipupuk di kalangan masyarakat Cocos? Ini adalah kerana PECOS bergerak maju dan sedang memasuki fasa kedua iaitu Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Etnik Cocos yang mana Pecos berperanan sebagai penggerak bagi memastikan masyarakat Cocos tidak ketinggalan dalam merebut peluang dan ruang terhadap sektor pembangunan di negara ini.
Melalui Pelan Tindakan ini, Pecos merangka pelan tindakan merangkumi pembangunan   kapasiti pendidikan,pembangunan kapasiti politik, pembangunan kapasiti ekonomi, pembangunan kapasiti agama, pembangunan kapasiti kebudayaan, dan strategi pembangunan sosial. Itu antara yang terkandung dalam pelan tindakan itu.
PECOS juga adalah ahli gabungan organisasi sosial terbesar di Sabah iaitu Majiis Gabungan Etnik Bumputera Sabah atau singkatannya MAGEBS sejak dua tahun lalu. Melalui badan gabungan ini, PECOS tidak lagi bergerak secara solo dalam membangunkan etnik Cocos dimana populasinya kira-kira 73,000 orang. Malah Pecos memajukan diri bersama-sama etnik bumiputera Sabah yang lain di dalam bidang pembangunan  yang dikenalpasti dan berpotensi besar. Melalui gabungan ini, suara semua etnik di Sabah lebih kuat dan mudah mendapat perhatian oleh kerajaan yang memerintah.
UB: Apa perancangan Pecos selanjutnya?
HAHJ: Saya dan ahli Majlis Tertinggi PECOS sedang merancang untuk menganjurkan Pesta Kebudayaan Cocos ke-2 pada masa akan datang. Penganjuran ini adalah dirasakan perlu memandangkan kita berjaya mengajurkannya buat kali pertama pada 2014 dan memberikan impaknya yang sangat besar buat PECOS dalam memperkenalkan masyarakat Cocos di Malaysia.
Kita berpendapat dengan penganjuran Pesta Kebudayaan Cocos Kali ke-2 ini, masyarakat Cocos  sentiasa dikenali oleh semua etnik atau bangsa di Sabah khususnya di Malaysia pada amnya.
Jika kita sentiasa menonjol dalam mempromosikan kemampuan masyarakat kita serta mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai budaya kita , sudah pasti masyarakat Cocos sentiiasa disanjung dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia.




LEMBU-LEMBU BERKELIARAN, ISU PELANCONGAN DAN SEMBANG SEMBANG MENJELANG TAHUN BARU

Tags




LEMBU-LEMBU BERKELIARAN, ISU PELANCONGAN DAN SEMBANG SEMBANG MENJELANG TAHUN BARU

Lembu-lembu yang berkeliaran di pekan Kota Belud sudah lama menjadi isu dan masalah di daerah itu. Sejak bertahun tahun lalu, masih belum ada penyelesaian yang tuntas terhadap masalah itu walaupun pelbagai langkah khabarnya sudah diambil untuk menanganinya. Masalah itu seperti tak kunjung selesai.
"Jadikan masalah itu satu penyelesaian," kata Datuk  Haji Abdullah Sibil, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputeri Negeri Sabah yang juga Presiden Persatuan Sama Sabah ketika saya bertanya pendapatnya mengenai lembu-lembu berkeliaran itu.
"Setiap lembu itu pasangkan seriau atau bunyi-bunyian dan hias dengan sebaiknya. Selepas itu, setiap jam 10.00 pagi,biarkan lembu-lembu itu berbaris mengelilingi pekan seperti acara lembu berhias. Kemudian jadikan ia satu pakej pelancongan yang menarik," katanya.
Mungkin ada orang yang mentertawakan idea ini tetapi di negara luar seperti di Switzerland, di satu tempat bernama Interlaken, tidak begitu jauh dari Zurich, lembu-lembu disana menjadi satu tarikan kepada pelancong kerana pada waktu tertentu, lembu itu dan gembalanya dibawa berkeliling kota dan bunyi gemerincing yang digantung di lehernya dengan cepat menarik perhatian orang ramai. Saya pernah berkunjung ke sana, katanya dan terfikir bahawa masalah lembu berkeliaran itu boleh diselesaikan seperti yang dibuat di Zurich.
"Convert problem into solution," katanya. Sebenarnya pertemuan itu tidak dirancang. Ketika 'kupi-kupi' bersama Dj sam dan isterinya Ani, pengurus KB Hitz FM, di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya, beliau datang untuk minum kopi sambill bersembang-sembang beberapa jam sebelum waktu berganti tahun.
Banyak ideanya tidak terfikirkan sebelum ini khususnya dalam bidang pelancongan. Menurutnya, pantai pasir putih dari Rampayan Laut hingga Bira-bIraan sejauh kira-kira 22 kilometer boleh saja dijadikan arena untuk sukan screamler. Sungai Lembak Moyoh hingga Kuala Abai sejauh kira-kira 12 kilometer mungkin boleh menjadi tempat untuk sukan jetski. Kebetulan banyak udang galah di sana.
Boleh juga difikirkan agar usunan dijadikan acara yang lebih menarik. Buat perarakan kereta usunan dari Kota Belud menuju Padang Merdeka di Kota Kinabalu. Semua ini boleh dimajukan secara kreatif dan boleh membangun potensi pelancongan di Kota Belud.
Bahkan di Pekan Kota Belud sendiri, banyak tarikan pelancongan yang boleh dimajukan lagi.  Sebenarnya jika berbual dengan tokoh berpengalaman ini, banyak yang dapat dipelajari. Banyak ideanya yang walaupun bersahaja tetapi boleh direalisasikan jika semua orang berfikir mengenai kepentingan daerah Kota Belud.
Perbualan kami bertambah rancak dengan pelbagai idea baru namun saya terpaksa minta diri kerana teringat janji dengan seorang rakan lain di Taman Putrajaya. Meskipun keberatan, saya menyalaminya, berharap dapat  bersembang di lain waktu dan terasa rugi kerana terpaksa pamit padahal saya merasa banyak lagi ilmu dan informasi baru yang boleh digali dalam perbualan kami menjelang tahun baru itu.
"Tapi ada yang tidak percaya dan menganggap remeh mengenai idea lembu yang dipasangkan seriau itu," padahal ia mungkin boleh menjadi tarikan pelancong sekaligus dapat memberi pulangan ekonomi dan menyelesaikan masalah lembu-lembu berkeliaran itu.

Isnin, 1 Januari 2018

Tags
Hari pertama 2018 sebolehbolehnya saya mencatatkan sesuatu.Bukan mengenai 2017 yang ditinggal pergi atau sebenarnya dialah  yang pergi meninggalkan kita, tetapi mengenai  umur kita yang semakin berkurang.