Tuesday, January 9, 2018

LEMBU-LEMBU BERKELIARAN, ISU PELANCONGAN DAN SEMBANG SEMBANG MENJELANG TAHUN BARU





LEMBU-LEMBU BERKELIARAN, ISU PELANCONGAN DAN SEMBANG SEMBANG MENJELANG TAHUN BARU

Lembu-lembu yang berkeliaran di pekan Kota Belud sudah lama menjadi isu dan masalah di daerah itu. Sejak bertahun tahun lalu, masih belum ada penyelesaian yang tuntas terhadap masalah itu walaupun pelbagai langkah khabarnya sudah diambil untuk menanganinya. Masalah itu seperti tak kunjung selesai.
"Jadikan masalah itu satu penyelesaian," kata Datuk  Haji Abdullah Sibil, Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputeri Negeri Sabah yang juga Presiden Persatuan Sama Sabah ketika saya bertanya pendapatnya mengenai lembu-lembu berkeliaran itu.
"Setiap lembu itu pasangkan seriau atau bunyi-bunyian dan hias dengan sebaiknya. Selepas itu, setiap jam 10.00 pagi,biarkan lembu-lembu itu berbaris mengelilingi pekan seperti acara lembu berhias. Kemudian jadikan ia satu pakej pelancongan yang menarik," katanya.
Mungkin ada orang yang mentertawakan idea ini tetapi di negara luar seperti di Switzerland, di satu tempat bernama Interlaken, tidak begitu jauh dari Zurich, lembu-lembu disana menjadi satu tarikan kepada pelancong kerana pada waktu tertentu, lembu itu dan gembalanya dibawa berkeliling kota dan bunyi gemerincing yang digantung di lehernya dengan cepat menarik perhatian orang ramai. Saya pernah berkunjung ke sana, katanya dan terfikir bahawa masalah lembu berkeliaran itu boleh diselesaikan seperti yang dibuat di Zurich.
"Convert problem into solution," katanya. Sebenarnya pertemuan itu tidak dirancang. Ketika 'kupi-kupi' bersama Dj sam dan isterinya Ani, pengurus KB Hitz FM, di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya, beliau datang untuk minum kopi sambill bersembang-sembang beberapa jam sebelum waktu berganti tahun.
Banyak ideanya tidak terfikirkan sebelum ini khususnya dalam bidang pelancongan. Menurutnya, pantai pasir putih dari Rampayan Laut hingga Bira-bIraan sejauh kira-kira 22 kilometer boleh saja dijadikan arena untuk sukan screamler. Sungai Lembak Moyoh hingga Kuala Abai sejauh kira-kira 12 kilometer mungkin boleh menjadi tempat untuk sukan jetski. Kebetulan banyak udang galah di sana.
Boleh juga difikirkan agar usunan dijadikan acara yang lebih menarik. Buat perarakan kereta usunan dari Kota Belud menuju Padang Merdeka di Kota Kinabalu. Semua ini boleh dimajukan secara kreatif dan boleh membangun potensi pelancongan di Kota Belud.
Bahkan di Pekan Kota Belud sendiri, banyak tarikan pelancongan yang boleh dimajukan lagi.  Sebenarnya jika berbual dengan tokoh berpengalaman ini, banyak yang dapat dipelajari. Banyak ideanya yang walaupun bersahaja tetapi boleh direalisasikan jika semua orang berfikir mengenai kepentingan daerah Kota Belud.
Perbualan kami bertambah rancak dengan pelbagai idea baru namun saya terpaksa minta diri kerana teringat janji dengan seorang rakan lain di Taman Putrajaya. Meskipun keberatan, saya menyalaminya, berharap dapat  bersembang di lain waktu dan terasa rugi kerana terpaksa pamit padahal saya merasa banyak lagi ilmu dan informasi baru yang boleh digali dalam perbualan kami menjelang tahun baru itu.
"Tapi ada yang tidak percaya dan menganggap remeh mengenai idea lembu yang dipasangkan seriau itu," padahal ia mungkin boleh menjadi tarikan pelancong sekaligus dapat memberi pulangan ekonomi dan menyelesaikan masalah lembu-lembu berkeliaran itu.

No comments: