Tuesday, February 13, 2018

HAJI ABD RAHMAN PARHANG, PERNAH JADI TIGA HARI JALAN KAKI DAN TIDUR DUA MINGGU DALAM HUTAN

HAJI ABD RAHMAN PARHANG, PERNAH JADI TIGA HARI JALAN KAKI DAN TIDUR DUA MINGGU  DALAM HUTAN

PERNAH berjalan kaki  tiga hari dari Tenom ke Sepulut Pensiangan, pernah bertugas ketika meletus Peristiwa Kalabakan, dan banyak lagi pengalaman lain ketika berkhidmat sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) mungkin jadi kenangan yang tetap terpahat di ingatan Haji Abd Rahman Parhang. Kini walaupun sudah bersara,  mantan anggota polis ini tetap komited  meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat di daerah kelahirannya.
Haji Abd Rahman Parhang dilahirkan di Kampung Pengalat Besar Papar pada 15 Mac 1945. Beliau mendapat pendidikan di GPS Papar dari tahun 1958 hingga 1962. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan Polis bermula 8 Oktober 1962. Kemudian selepas menjalani latihan polis hutan di Pulau Gaya, beliau terlibat dalam operasi menangkap pemberontakan Brunei di Sipitang, Mesapol, Weston, Beaufort, Bongawan dan Jesselton. Selepas meletusnya pertempuran di Kalabakan, beliau bersama platunnya dihantar bertugas untuk  Kalabakan. Selain itum antara pengalamannya yang tidak dapat dilupakan ialah ketika ditugaskan di Sepulut Pensiangan iaitu dikawasan Sempadan Malaysia -Indonesia. Selepas berkhidmat sebagai anggota Field Force (PPH), beliau diserapkan di cawangan Khas. Beliau pernah bertugas sebagai anggota cawangan khas di Balai Polis Menggatal, Balai Polis Papar, Balai polis Kudat, Ketua Cawangan Khas di Balai Polis Kunak dan di Ibu Pejabat Polis Kepayan sehingga bersara pada 1999.
Selepas bersara dari Perkhidmatan Polis, beliau bertugas pula sebagai Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Kini beliau bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Datuk Hajah Rosnah  Haji Abd Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar. Selain itu, beliau juga adalah aktivis masyarakat melalui penglibatannya sebagai AJK Pemadam dan Penceramah Pemadam Daerah Papar.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Maimunah Biani dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Razni Abdul Rahman, Rahmah Abdul Rahman, kedua-duanya bertugas sebagai guru dan Razlan Abd Rahman, kini bertugas sebagai Pegawai Felda di Segamat Johor.
Beliau pernah dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan Bintang Kinabalu (BK) bagi mengenang jasa baktinya dalam perkhidmatan Polis.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau mengenai pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis dari tahun 8 Oktober 1962 hingga bersara pada 8 Oktober 1999. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?
HAJI ABD RAHMAN PARHANG (HARP):  Saya dilahirkan di Kampung Pengalat Besar Papar pada 15 Mac 1945. Waktu itu, menurut cerita orang tua, masih dalam masa penaklukan Jepun.Bapa saya Perhang bin Jeman manakala ibu saya, Elok binti Bagu. Saya anak bungsu daripada 10 orang adik beradik, tiga lelaki dan tujuh perempuan.
UB: Di mana tuan haji mendapat pendidikan awal?
HARP: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Papar pada tahun 1958. Masa itu, umur saya mungkin sembilan atau sepuluh tahun. Ketika dalam darjah lima, saya memasuki perkhidmatan polis.
UB: Tahun berapa masuk perkhidmatan Polis?
HARP:  Saya masuk perkhidmatan polis  pada 8 Oktober 1962. Masa itu tidak berapa lama sebelum Pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Saya ingat lagi masa itu, ada pegawai datang ke sekolah dan memberitahu ada pengambilan polis. Jadi sesiapa yang mahu masuk polis boleh memohon. Di sekolah kami, ada empat orang yang terpilih sebagai anggota polis, tiga darinya sudah meninggal dunia.
UB: Dimana tuan menjalani latihan?
HARP: Selepas melapor diri di Ibu Pejabat Polis Kepayan, kami menjalankan latihan polis selama dua minggu di Pulau Gaya di bawah arahan  Tuan Mohd Yassin. Seramai satu pelatun, 35 orang, satu pegawai, satu sarjan dan tiga kopral. Masa itu masih zaman British lagi.
UB: Kemudian dimana tuan ditugaskan?
HARP: Saya ditugaskan di Pasukan Field Force atau Pasukan Polis Hutan. Tugasan pertama kami adalah menjalankan operasi menahan mereka yang terlibat dalam pemberontakan Brunei di Sipitang, Weston, Beaufort, Bongawan dan Kota Kinabalu dan daerah lain juga, Kami ditugaskan untuk mengawal mereka.
UB: Selepas itu, dimana tuan ditugaskan?
HARP: Sehari selepas pertempuran di Kalabakan pada tahun 1964, kami segera dihantar ke sana. Dari Kota Kinabalu menaiki helikopter ke Tawau dan kemudian dari Tawau menaiki bot marin ke Kalabakan. Di sana kami ditugaskan untuk menjaga dan melindungi kawasan sekitar  kem dan tempat pendaratan helikopter.
UB: Berapa ramai?
HARP: Kami satu platun di bawah arahan Inspektor Abd Rahman Bugu.   Kami bertugas di sana selama kira-kira dua minggu.
UB: Selepas itu?
HARP: Kami diarahkan untuk membuat operasi di beberapa kampung di sekitar  Tawau.
UB: Apa pengalaman paling mengesankan ketika berkhidmat dalam pasukan polis?
HARP: Banyak pengalaman yang dirasai tetapi salah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika dihantar bertugas di Sepulut, Pensiangan. Kami terpaksa berjalan kaki selama  tiga hari dari Tenom ke Sepulut. Di sana kami membuat rondaan di hutan berdekatan sempadan negara kita dengan Indonesia.  Masa itu, turut bertugas bersama kami ialah anggota gurkha. Kadang dua minggu tidur dalam hutan. selepas itu balik semula  ke Balai Polis Keningau. Selang sebulan kemudian, kami dihantar lagi ke Sepulut selama tempoh sebulan, bertugas bergilir gilir dengan platun. Kami bertugas kira-kira enam bulan di kawasan Sempadan Malaysia-Indonesia ketika konfrontasi Malaysia- Indonesia. Kami meronda kawasan sempadan dan terpaksa tidur dalam hutan, berbekal ikan sardin dalam tin.
UB: Sungguh pengalaman yang berharga. Lepas itu, tuan bertugas dimana?
HARP: Sebagai anggota pasukan Polis Hutan , kami dihantar semula bertugas di Kem  di Tawau selama tiga bulan sebelum dihantar balik bertugas di ibu pejabat Polis Kepayan.
UB: Masa itu tuan masih bertugas sebagai anggota polis hutan?
HARP: Ya. Tapi ketika bertugas di ibu pejabat Polis Kepayan, saya diserapkan di Cawangan Khas. Saya bertugas sebagai anggota cawangan khas  sehingga bersara pada 8 Oktober 1999. Ketika bertugas di Cawangan khas, saya pernah bertugas di Balai Polis Menggatal, Balai Polis Papar, Balai Polis Kudat, Ibu Pejabat dan kemudian dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas di Balai Polis Kunak kira-kira tahun  1986 .Kemudian saya balik bertugas di ibu pejabat polis Kepayan. Saya bersara dari perkhidmatan polis pada tahun 1999.
UB: Berapa gaji tuan ketika mula-mula berkhidmat sebagai anggota polis?
HARP:  Gaji saya masa itu hanya RM90.00. Tapi masa itu harga gula masih 50 sen sekati, beras RM 1.30 secupak, ikan berharga 50 sen sekati, kadang ada dijual 20 sen. Harga kopi hanya 10 sen, kuih pula hanya lima sen. Masa itu, walaupun gaji kecil tetapi agak lumayan masa itu. Lagipun masa itu, hiburan masih kurang.
UB: Apa bentuk hiburan masa itu?
HARP: Antaranya ialah Wayang Gambar yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan di Kampung-Kampung. Tayangan wayang gambar itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk kampung. Banyak tayang filem masa itu. Antara bintang filemnya tentulah Seniman Negara Tan Sri P.Ramlee. Selain itu, ada juga hiburan di radio. Ada ruangan Lagu Permintaan di Radio Sabah  dimana kita boleh memohon lagu-lagu untuk ditujukan kepada siapa siapa yang berkenaan. Lagu-lagu P.Ramlee, saloma antara lagu-lagui permintaan yang popular masa itu.
Jika ada majlis perkahwinan pula, tuan rumah biasanya akan memutarkan lagu dari piring hitam. Tiap tiap orang kampung yang mahu melaksanakan majlis perkahwinan di rumah mereka, pasti akan mencari orang-orang yang memiliki piring hitam, kerana bukan semua orang memilikinya. Itulah yang dimainkan sewaktu majlis perkahwinan.
Lampu masa itu masih pakai `lampung pam' yang dipam dan menggunakan minyak tanah. Masa itu tiada bekalan air atau paip, setiap rumah memiliki perigi atau telaga masing-masing. Tandas pun tidak ada. Kalau mahu buang air, terpaksalah berlari masuk dalam hutan belukar.
UB: Selepas bersara dimana tuan bertugas?
HARP: Selepas bersara dari Perkhidmatan Polis, saya  bertugas sebagai Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Ketika itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ialah Brig Jen Datuk Haji Abd Ghani Rashid. Kemudian selepas Datuk Hajah Rosnah Rashid Shirlin, masa itu Ketua Puteri UMNO Sabah dipilih sebagai calon dan menang  Parlimen Papar, saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Papar. Kini saya bertugas sebagai Pegawai Khas Datuk Hajah Rosnah Rashid Shirlin.
UB: Selain itu, apa tugas-tugas lain yang tuan jalankan?
HARP: Selain itu saya juga adalah Ahli Jawatankuasa Pemadam dan Penceramah Pemadam Daerah Papar. Sebelum itu, kami diberi kursus untuk menjadi penceramah Pemadam. Saya meminati tugas ini, walaupun tidak bergaji tetapi demi untuk khidmat masyarakat, saya rasa terpanggil untuk berkhidmat dengan Pemadam sampai sekarang. Saya ingin membantu kerajaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan najis dadah yang mengancam keharmonian masyarakat.

UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan masa kecil dahulu?
HARP: Dulu waktu masih kanak-kanak , saya memang minat untuk menjadi anggota polis. Dalam hati saya, saya ingin berkhidmat kepada kerajaan dan rakyat.

ROTHMAN A BUNTAR , GIGIH PERKENAL BATIK SABAH

ROTHMAN A BUNTAR , GIGIH PERKENAL BATIK SABAH

SEBELUM ini, nama Rothman A Buntar memang sudah lama terkenal dalam bidang nyanyian di Sabah. Sejak dulu beliau aktif menyanyi dan suaranya sering berkumandang di corong radio.Bahkan beliau pernah menang pertandingan Lagu Kadazan pada tahun 1972 meskipun beliau sebenarnya tidak mahir dalam bahasa itu. Sebagai seorang yang memiliki banyak bakat semulajadi, Rothman memiliki kelebihan yang lain. Beliau berani mencuba dan menawarkan konsep konsep baru dalam bidang yang diceburinya. Penglibatannya dalam seni batik boleh dikatakan cukup lama dan kini layak digelar Adiguru Batik Sabah kerana kemahiran dan bakat yang dimilikinya. Kemuncaknya beliau terpilih sebagai Pemenang Anugerah Emas Pertandingan Myskill Batik Peringkat Kebangsaan 2010.
Rothman A Buntar dilahirkan di Kampung Marabahai Tuaran pada 20 Julai 1949.Beliau anak bungsu dari tiga adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Patrick Membakut sebelum melanjutkan di SRK Karamunting Sandakan. Selepas itu,  beliau mendapat pendidikan menengah di SM Sung Siew Sandakan hingga Tingkatan Tiga. Selepas itu, beliau berpindah ke SM St St John Tuaran hingga tingkatan lima. Selepas tamat persekolahan beliau bekerja di Lembaga Letrik Sabah sejak 1971.Bagaimanapun pada tahun 1981, beliau mengambil cuti tanpa gaji dan cuba membuka perniagaan di Kuala Lumpur. Beliau pernah bekerja dalam pelbagai bidang sebelum memutuskan kembali ke Sabah dan bekerja semula di LLS hingga tahun  berhenti selepas LLS diswastakan.
Pada tahun 1989, beliau membuka perniagaan batik  dan kini terkenal sebagai pengeluar produk batik terkenal di Sabah dengan jenama `Rothman Batik 'terletak di Kampung Marabahai Tuaran.




Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau di bengkel batiknya yang terletak di Kampung Marabahai Tuaran. Ikuti petikan temubual bersama beliau.
UTUSAN BORNEO:  Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Kami sangat tertarik dengan perniagaan batik yang tuan ceburi. Biasanya siapa yang banyak buat tempahan?
ROTHMAN: Saya banyak mendapat tempahan batik daripada jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan NGO. Kalau tempahan itu jumlahnya sedikit, saya berikan kepada anak-anak didik saya di Kiulu dan Tamparuli. Kalau banyak, barulah saya minta  mereka datang ke tempat saya  di Tuaran.
UB: Berapa tempahan yang diterima?
ROTHMAN: Setiap bulan saya mendapat tempahan antara 15 hingga 20 helai batik. Saya yang mereka sendiri, kerana memang minat saya mereka-reka, melukis, pelanggan hanya perlu beritahu apa warna dan batik yang dikehendaki. Tak ada masalah.
UB: Sejak bila tuan mula meminati perniagaan batik ini?
ROTHMAN: Sebenarnya semasa saya berada di Kuala Lumpur, selepas pertandingan Bintang RTM tahun 1981, saya berkira-kira mahu memulakan perniagaan. Tetapi  ketika berjalan-jalan di pasar seni, saya nampak orang melukis batik. Hati saya mulai tertarik dengan batik. Dalam hati, saya berkata, kalau orang lain boleh buat, kenapa saya tidak boleh  buat. Sayapun ada kemahiran juga. Memang sejak dari kecil lagi, sejak masa persekolahan,saya suka kraftangan.
UB: Dimana tuan bersekolah dahulu?
ROTHMAN: Saya  mendapat menengah di Sung Siew Sandakan, kemudian saya bersekolah St John School Tuaran dari Tingkatan 3 tahun 1968 hingga tingkatan 5.
UB: Tuan lahir di Sandakan?
ROTHMAN: Saya lahir di Kampung Marabahai, persis di tempat ini, yang menjadi tempat Rothman Batik ini. Sebenarnya saya bersekolah rendah di SRK St Patrick Membakut. Selepas itu barulah pindah ke SRK Karamunting Sandakan. Saya berpindah ikut keluarga berpindah. Ayah saya,  Buntar Awang Ahmad kerja di Perhutanan manakala ibu saya, Rajimah Ukil seorang suri rumah. Kemudian barulah saya pindah ke SM Sung Siew hingga tingkatan 3.  Selepas itu saya pindah ke SM St John Tuaran hingga tingkatan 5.
UB: Selepas itu?
ROTHMAN: Saya terus bekerja di Lembaga Letrik Sabah dari tahun 1971 hingga bersara pada tahun 1989, apabila LLS diswastakan.
UB: Oh ya, dari dahulu tuan juga terkenal sebagai seorang penyanyi. Boleh cerita sedikit?
ROTHMAN: Dalam bidang nyanyian, sebenarnya saya seangkatan dengan mendiang John Gaisah, Emnah Mohd Noor, arwah Khalil Mohd Noor, Awang Shari Nasir.  Saya terlibat dalam bintang RTM bersama Kumpulan Nada Sukma. Itu tahun 1977. Ketika saya pindah ke Tawau, saya menubuhkan lagi kumpulan parji square.
Sebenarnya selepas pindah ke Tawau saya mulanya kurang aktif, Rapi arwah Rashid Kamsiran tulis surat mencabar saya untuk menubuhkan lagi kumpulan nyanyian. Waktu itu Rashid di Sandakan.Dia lain grup. Tapi dia banyak memberikan galakan melalui caranya sendiri dengan membuat cabaran kepada saya.
Ketika mula menyanyi saya banyak mendapat bimbingan dari MY Ismail.Dia yang betul betul banyak membimbing. Dia seoarng penyanyi yang sangat baik,  Selain itu, penyanyi AJ Ajamain.
UB: Mungkin ada pengalaman ketika menyanyi?
ROTHMAN: Saya pernah menjadi johan pertandingan lagu Kadazan pada 1972. Saya pandai menyanyi kadazan, walaupun sebenarnya saya tidak boleh bercakap kadazan dengan baik.
UB: Masih aktif menyanyi?
ROTHMAN: Sehingga sekarang saya masih aktif menyanyi. Saya masih aktif bersama Kelab seniman Senior Sabah.
UB: Kembali kepada soal batik? Apa yang tuan selalu gunakan sebagai motif batik?
ROTHMAN: Bunga-bunga. Kebetulan di masa sekolah memang saya suka melukis. Saya juga suka melukis lanskap. Itulah antara motif yang saya gunakan dalam membatik ini. Apabila balik ke Sabah, selepas beberapa ketika berada di semenanjung, saya berazam untuk menceburi bidang batik. Batik Sabah.
UB: Bagi pendapat tuan, apa yang dikatakan sebagai Batik Sabah?
ROTHMAN: Bagi saya batik Sabah tidak semestinya batik etnik tertentu, seperti yang dianggap oleh sesetengah orang. Bagi saya definiasi batik Sabah ialah batik yang dibuat orang tempatan, dengan motif motif tempatan. Saya banyak kali mengatakan, bahkan dalam temuramah yang disiarkan di TV bahawa batik Sabah adalah batik yang seratus peratus dibuat oleh orang tempatan di Sabah sendiri. Sekarang ini ada yang mengatakan ini batik sabah sedangkan batik itu bukan dibuat di Sabah sebaliknya buat di KL. Bagi saya ini tidak menepati definisi Batik Sabah.
Saya melukis berpandu kepada apa yang saya nampak. Saya jenis orang yang mudah faham. Bila saya melihat sesuatu, saya cepat belajar. Begitu juga bila melihat orang membuat batik, saya mudah buat.Bakat semulajadi.
Saya dapat idea dari banyak sumber rujukan.Kadang-kadang sewaktu bersembang dengan kawan, kadang kadang sewaktu menghadiri majlis orang kahwin, saya dapat idea. Itulah saya katakan bahawa di Sabah, kita boleh dapat banyak 'reference'. Kalau kita mahu melukis mengenai dasar laut, batu karang dan sebagainya, terdapoat banyak buku mengenainya. Begitu juga kalau kita mahu melukis mengenai bunga-bunga, orkid,  dan sebagainya , kita dengan mudah boleh membuat rujukan kepada buku.  Jika kita mahu melukis mengenai gunung Kinabalu atau apa saja lanskap, kita boleh buat. Kita di Sabah, sebetulnya tidak ada masalah.Semua ada dibukukan, tinggal lagi terpulang kepada kita apa yang kita mahu lukis. Bagi saya, bidang ini memang saya minat dari dahulu.
Saya boleh katakan bahawa saya mendapat idea dari dasar laut sampai ke langit. Pokoknya apa yang saya nampak, boleh menjadi satu idea bagi saya.Bahkan saya boleh buat batik menggunakan motif sarang labah-labah, sagu, beras dan kita boleh lihat kesan tersendiri. Ini tidak ada pada batik lain.
UB: Sejak bila tuan membuka Rothman Batik?
ROTHMAN: Saya mula membuka Rothman Batik pada tahunn 1989, ketika itu saya masih menyewa di sebuah bilik di Sinsuran. Sebuah bilik kecil yang menjadi tempat kami, saya dan isteri  tidur, makan dan membuat batik. Dari situ kisahnya bermula. Saya memulakan perniagaan hanya dengan RM250. Dari sana lama kelamaan, batik ciptaan saya makin terkenal, Saya mulai mendapat tempahan dari pegawai-pegawai kerajaan, kadang melalui kawan. Saya rasa tidak sukar untuk memperkenalkan jenama Rothman, kerana orang kenal saya masa itu sebagai penyanyi. Saya menceburi bidang nyanyian sejak masa bujang.
Sehingga kini, saya rasa bersyukur kerana Rothman Batik sudah terkenal dan menjadi satu jenama batik yang diakui.
UB: Mungkin tuan boleh ceritakan sedikit mengenai kejayaan dalam bidang batik ini?
ROTHMAN:  Saya pernah menjadi penerima Anugerah Emas Pertandingan Myskill Batik Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010. Ini satu pengiktirafan yang besar maknanya kerana saya mengalahkan pembatik pembatik yang hebat. Saya juga sering diundang untuk pameran-pameran batik di  ibu negara.
UB: Bagaimana tuan memastikan penerus indusri batik ini?
ROTHMAN: Saya menurunkan ilmu dan pengetahuan yang saya miliki kepada anak-anak didik saya yang kini sudahpun tersebar di seluruh Sabah.  Ada yang berada di Sandakan, Tawau, Semporna, Keningau, Kiulu, Kota Marudu. Bahkan sekarang saya selalu dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari universiti. Saya juga ada pelajar dari Jepun, dan China yang mempelajari teknik membatik.  Pelajar dari Jepun itu belajar setiap minggu datang ke bengkel sudah hampir dua tahun ini.
Di Rothman Batik, saya mengajar mengenai Batik dari A hingga Z. Orang yang tidak pandai melukis batik, boleh datang belajar melukis batik hingga pandai.  Bagi mereka yang memiliki pengetahuan mengenai batik, harus menambahkan lagi pengetahuan mereka mengenai batik. Jangan cepat berasa puas hati dengan apa yang dimiliki. Saya ingin menurunkan semua pengetahuan saya mengenai batik sesuai dengan hasrat saya sejak mula. Dulu saya selalu katakan, kalau saya pandai, bila balik Sabah yang mahu perturunkan ilmu yang saya miliki. Saya mahu mengajar mereka sampai mahir. Saya mahu kalau mereka sudah mahir , mereka boleh membuka usaha batik mereka sendiri.

UB: Selain batik, apa lagi kemahiran yang lain?
ROTHMAN: Selain batik dan seni suara, saya juga pernah belajar fibreglass, boleh membuat bata binaan, boleh mengecat kerana ada pengalaman mengecat dinding ketika bekerja di Singapura.
UB: Sebelum mengakhiri sesi temubual ini, apa kira-kira pesan tuan kepada pembaca?
ROTHMAN: Saya berharap lebih ramai lagi generasi baru mempelajari bidang batik ini. Batik mempunyai masa depan yang cerah. Kalau boleh mereka yang mempelajari bidang batik ini agar terus belajar hingga mahir.

MENGENAI MALIM DAN KAPAL YANG TIDAK DAPAT BERLABUH

MENGENAI MALIM DAN KAPAL YANG TIDAK DAPAT BERLABUH
Operasi atau tugas mengemudikan kapal masuk ke pelabuhan atau keluar dari pelabuhan dilakukan oleh seorang malim. Malim berperanan menentukan sama ada sesebuah  kapal berlabuh dengan  selamat atau jika melakukan pelayaran, ia dapat keluar dari pelabuhan dengan baik tanpa kejadian yang tidak diingini.Tugas malim amatlah besar dan penting dalam  memastikan pelayaran  dapat dilakukan dengan sempurna.
Dalam kamus dewan edisi keempat, kata  malim boleh bermakna guru agama, orang yang alim atau  ulama. Satu lagi maknanya ialah petunjuk jalan, pemimpin atau boleh juga dimaknakan sebagai jurumudi. Ia juga bersinonim dengan nakhoda,juragan, malim angin, malim kapal, kapten dan sebagainya. Malim juga sinonim dengan pendidik, pembimbing dan sebagainya.
Seorang malim haruslah cerdik, bijaksana, penuh perkiraan, penuh pertimbangan, mampu bertindak dengan cepat dan tepat. Untuk menjadi seorang malim yang baik, ia haruslah memiliki ilmu dan pengetahuan. Tanpa ketinggian ilmu dan luas pengetahuan, mungkin kapal yang dikemudi tidak dapat menentukan ke mana hala atau destinasi yang dituju.
Saya tertarik dengan sebuah bayuk dari masyarakat Iranun yang mengisahkan mengenai kegagalan malim mengemudikan kapal menyebabkan kapal tak tentu hala tujunya.
Bayuk adalah puisi yang paling dominan dalam masyarakat  Iranun, salah satu etnik di Sabah.Ia adalah satu wacana untuk menyampaikan sesuatu yang terbuku di hati secara berkias. Bayuk terbahagi kepada  beberapa jenis seperi bayuk a usiat (bayuk nasihat), bayuk a daung (bayuk kiasan), bayuk a sindiri  (bayuk sindiran), bayuk a uragis (bayuk rajuk), bayuk a panukauan (bayuk pengimbas berita) dan sebagainya.Selain bayuk, masyarakat Iranun memiliki pelbagai jenis puisi antaranya sambirungan, diguani, dtaya' dan mang-mang bumbungan.

"Lemalabu' su kapal,
sa di' kaludan di kilid
da' man a gkalabuan
pasadan man ku malim
kalalagan ku lalung.''

Ma' ampir su galila
sa di' lau di' dedsaan
da'a gkabarantanan
puku' ku jurubasa
dupang ku maungangen"
Terjemhannya bebasnya seperti berikut:
Kapal yang berlabuh,
bukan di lautan, bukan juga di tepian
(tak bertempat sesuai untuk berlabuh)
kerana si malim
cerdik dalam dungu.

Merapatlah ghali,
bukan di lautan, tidak juga di persisiran
(tiada tempat merapat
berpunca dari jurubahasa
bodoh dalam bijaksana".
Bayuk ini saya kutip dari buku Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah: Etnik Iranun terbitan Lembaga Kebudayaan  Negeri Sabah (LKNS) 2017.
Dalam bayuk itu , ada dua frasa yang menyebabkan kapal tidak mendapat tempat yang sesuai untuk berlabuh , bukan di lautan, bukan di tepian, dan tidak ada tempat untuk merapat kerana malim dan jurubahasa , adalah ` kalalagan ku lalung (cerdik dalam dungu) dan dupang ku maungangen (bodoh dalam bijaksana).
Kegagalan malim untuk mengendalikan kapal menyebabkan ia tidak mempunyai tempat untuk berlabuh, sehingga kita berada dalam keadaan tidak juga di tengah laut, tidak juga di tepian.
Saya fikir dalam kehidupan ini, tidak dapat tidak, kita boleh dikatakan seorang malim. Kalau  bukan malim dalam kepimpinan organisasi, jabatan,persatuan, kita malim dalam keluarga kita. Kalau bukan malim kepada sesama kita, kita adalah malim sekurang-kurangnya kepada diri kita sendiri. Satu perkara yang kita harus elakkan ialah sikap "kalalagan ku lalung (cerdik dalam dungu) dan dupang ku maungangen (bodoh dalam bijaksana).

SEJENAK MENGENAI 12 UNGKAPAN MELAYU TENTANG BINATANG


SEJENAK MENGENAI 12  UNGKAPAN MELAYU TENTANG  BINATANG

MUNGKIN ada di antara kita yang pernah melihat binatang seperti harimau, singa, beruang, badak, gajah, kancil, babi, ular, tikus, rusa, kijang, beruk, ungka, siamang, kokang, kera, kokah,lotong dan sebagainya. Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu mengenai sifat dan tabiatnya, yang boleh menggambarkan mengenai keperibadian mereka.
Dalam ungkapan tradisional Melayu Riau seperti yang dikumpul oleh Pak Tenas Effendy, Pertama mengenai Harimau. Harimau  digambarkan mempunyai banyak gelar. Ia disebut si tinjau belukar, si kilat  senja, kuda lamping telinga, tuk kesumba cindai, tuk panglima garang dan sebagainya. Harimau juga disebuat raja hutan, `nan tidak membilang-bilang lawan, nan merosak membinasakan,
Itulah antara tabiat harimau yang digambarkan dalam ungkapan tradisional Melayu. Kedua mengenai Singa. Singa pula digelar tuk jambang, yang tersebut dalam cerita, yang tak tampak oleh mata. Mungkin singa jarang kelihatan dan hanya muncul dalam kisah-kisah dongeng .
Ketiga mengenai beruang. Mengenai beruang pula, binatang ini selalu disebut tuk gempal, yang baik bernama tuk umbut, yang garang bernama tuk api. Beruang digambarkan binatang yang `baiknya baik menghabis manakala garangnya tidak mengusik.
Apa pula ungkapan Melayu terhadap badak. Keempat, mengenai badak yang  digambarkan tak telap dicencang tikam, tak mengganggu mengusik orang, culanya dibuat ubat.
Kelima mengenai gajah.Ungkapan mengenai gajah pula menunjukkan sifat gajah yang kalau berjalan bumi gementar, bagai gempa pusat bumi, kalau mati bertempatan yang tersorok di rimba dalam. Gadingnya elok diperagamkan, gading nan banyak gunanya.
Keenam mengenai kancil.Kancil pula digambarkan sebagai binatang yang cerdik. Ia juga digelar tuk panjang akal, bangunnya meninggi haru, cerdiknya cerdik mengena, tapi tertarung ke jerat jua.
Ketujuh mengenai Babi.Babi pula digelar sebagai si busuk hati, yang tak membilang ladang orang, yang tak menghitung kebun orang, apa berjumpa apa dimakan, apa bersua, apa dilendan.
Kedelapan mengenai ular. Ular adalah  binatang yang suka belit-membelit, yang kuat lilit melilit, yang bisa kalau mencatuk atau mematuk, yang pandai bersalin rupa, yang hampir dengan jin mambang, Kalau garangnya garang dipijak , garang diusik dan dianiaya.
Kesembilan mengenai tikus. Tikus bergelar Si Puteri, sebutan elok lakunya buruk, yang merosak rangkiang orang, yang menghabis padi ladang. Tikus walaupun dipanggil si puteri tetapi kerana ia tikusmm kelakuannya buruk.Kerjanya hanya menghabiskan padi di ladang.
Kesepuluh mengenai rusa.Rusa bergelar tuk ceranggah, badan besar bentuknya gagah, tapi bodoh serta penakut.Bodoh menempuh jaring orang, bodoh merapah jerat orang, bodoh masuk ke gimbang orang, takut pada salak anjing, hilang akal dan kira-kira. Kerana ketakutan rusa pada salak anjing, menyebabkan dia kehilangan akal dan perkiraan.
Kesebelas pula mengenai kijang, yang digelar tuk pesolek, bulu elok belang membelang, kepala  bertanduk cabang bercabang, tapi cepat hilang akal, cepat masuk dalam lubang.
Kedua belas pula mengenai beruk, yang rupanya buruk, kelakuannya pun buruk. Apa yang goyah digoyangnya, yang lembut dicabutnya, suka merosak ugut mengugut, makan banyak kerja tak mahu.
Mungkin setelah membaca mengenai tabiat binatang binatang ini, kita dapat mengambil sedikit perbandingan mengenai tabiat dan perilaku mereka. Meskipun sesetengah kosakata yang digunakan dalam ungkapan itu tidak dapat lagi kita fahami dengan jelas kerana ia menggunakan bahasa Melayu Riau yang semakin jarang kita dengar, tetapi dengan merenung tabiat dan perilaku binatang-binatang itu, mungkin kita dapat sesuatu pengajaran dari ungkapan tradisional Melayu itu. Apakah ada yang kira-kira boleh dibandingkan tabiat dan keperibadian kita. Kita mungkin seperti harimau atau singa, atau ular, atau tikus, atau beruk dan sebagainya.
Cuma saya tersenyum tak terkata apabila  menerima whatsapp mengenai seekor kucing yang bercermin. Kucing itu agak terkejut kerana apa yang muncul di kaca cermin itu, bukanlah wajahnya melainkan wajah seekor singa.
Mungkin tidak semua cermin boleh memberi gambaran tepat mengenai wajah kita.