Selasa, 13 Februari 2018

HAJI ABD RAHMAN PARHANG, PERNAH JADI TIGA HARI JALAN KAKI DAN TIDUR DUA MINGGU DALAM HUTAN

Tags

HAJI ABD RAHMAN PARHANG, PERNAH JADI TIGA HARI JALAN KAKI DAN TIDUR DUA MINGGU  DALAM HUTAN

PERNAH berjalan kaki  tiga hari dari Tenom ke Sepulut Pensiangan, pernah bertugas ketika meletus Peristiwa Kalabakan, dan banyak lagi pengalaman lain ketika berkhidmat sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) mungkin jadi kenangan yang tetap terpahat di ingatan Haji Abd Rahman Parhang. Kini walaupun sudah bersara,  mantan anggota polis ini tetap komited  meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat di daerah kelahirannya.
Haji Abd Rahman Parhang dilahirkan di Kampung Pengalat Besar Papar pada 15 Mac 1945. Beliau mendapat pendidikan di GPS Papar dari tahun 1958 hingga 1962. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan Polis bermula 8 Oktober 1962. Kemudian selepas menjalani latihan polis hutan di Pulau Gaya, beliau terlibat dalam operasi menangkap pemberontakan Brunei di Sipitang, Mesapol, Weston, Beaufort, Bongawan dan Jesselton. Selepas meletusnya pertempuran di Kalabakan, beliau bersama platunnya dihantar bertugas untuk  Kalabakan. Selain itum antara pengalamannya yang tidak dapat dilupakan ialah ketika ditugaskan di Sepulut Pensiangan iaitu dikawasan Sempadan Malaysia -Indonesia. Selepas berkhidmat sebagai anggota Field Force (PPH), beliau diserapkan di cawangan Khas. Beliau pernah bertugas sebagai anggota cawangan khas di Balai Polis Menggatal, Balai Polis Papar, Balai polis Kudat, Ketua Cawangan Khas di Balai Polis Kunak dan di Ibu Pejabat Polis Kepayan sehingga bersara pada 1999.
Selepas bersara dari Perkhidmatan Polis, beliau bertugas pula sebagai Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Kini beliau bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Datuk Hajah Rosnah  Haji Abd Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Persekutuan dan Ahli Parlimen Papar. Selain itu, beliau juga adalah aktivis masyarakat melalui penglibatannya sebagai AJK Pemadam dan Penceramah Pemadam Daerah Papar.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Maimunah Biani dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Razni Abdul Rahman, Rahmah Abdul Rahman, kedua-duanya bertugas sebagai guru dan Razlan Abd Rahman, kini bertugas sebagai Pegawai Felda di Segamat Johor.
Beliau pernah dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan Bintang Kinabalu (BK) bagi mengenang jasa baktinya dalam perkhidmatan Polis.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau mengenai pengalamannya sepanjang berkhidmat dalam Perkhidmatan Polis dari tahun 8 Oktober 1962 hingga bersara pada 8 Oktober 1999. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?
HAJI ABD RAHMAN PARHANG (HARP):  Saya dilahirkan di Kampung Pengalat Besar Papar pada 15 Mac 1945. Waktu itu, menurut cerita orang tua, masih dalam masa penaklukan Jepun.Bapa saya Perhang bin Jeman manakala ibu saya, Elok binti Bagu. Saya anak bungsu daripada 10 orang adik beradik, tiga lelaki dan tujuh perempuan.
UB: Di mana tuan haji mendapat pendidikan awal?
HARP: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Papar pada tahun 1958. Masa itu, umur saya mungkin sembilan atau sepuluh tahun. Ketika dalam darjah lima, saya memasuki perkhidmatan polis.
UB: Tahun berapa masuk perkhidmatan Polis?
HARP:  Saya masuk perkhidmatan polis  pada 8 Oktober 1962. Masa itu tidak berapa lama sebelum Pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Saya ingat lagi masa itu, ada pegawai datang ke sekolah dan memberitahu ada pengambilan polis. Jadi sesiapa yang mahu masuk polis boleh memohon. Di sekolah kami, ada empat orang yang terpilih sebagai anggota polis, tiga darinya sudah meninggal dunia.
UB: Dimana tuan menjalani latihan?
HARP: Selepas melapor diri di Ibu Pejabat Polis Kepayan, kami menjalankan latihan polis selama dua minggu di Pulau Gaya di bawah arahan  Tuan Mohd Yassin. Seramai satu pelatun, 35 orang, satu pegawai, satu sarjan dan tiga kopral. Masa itu masih zaman British lagi.
UB: Kemudian dimana tuan ditugaskan?
HARP: Saya ditugaskan di Pasukan Field Force atau Pasukan Polis Hutan. Tugasan pertama kami adalah menjalankan operasi menahan mereka yang terlibat dalam pemberontakan Brunei di Sipitang, Weston, Beaufort, Bongawan dan Kota Kinabalu dan daerah lain juga, Kami ditugaskan untuk mengawal mereka.
UB: Selepas itu, dimana tuan ditugaskan?
HARP: Sehari selepas pertempuran di Kalabakan pada tahun 1964, kami segera dihantar ke sana. Dari Kota Kinabalu menaiki helikopter ke Tawau dan kemudian dari Tawau menaiki bot marin ke Kalabakan. Di sana kami ditugaskan untuk menjaga dan melindungi kawasan sekitar  kem dan tempat pendaratan helikopter.
UB: Berapa ramai?
HARP: Kami satu platun di bawah arahan Inspektor Abd Rahman Bugu.   Kami bertugas di sana selama kira-kira dua minggu.
UB: Selepas itu?
HARP: Kami diarahkan untuk membuat operasi di beberapa kampung di sekitar  Tawau.
UB: Apa pengalaman paling mengesankan ketika berkhidmat dalam pasukan polis?
HARP: Banyak pengalaman yang dirasai tetapi salah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika dihantar bertugas di Sepulut, Pensiangan. Kami terpaksa berjalan kaki selama  tiga hari dari Tenom ke Sepulut. Di sana kami membuat rondaan di hutan berdekatan sempadan negara kita dengan Indonesia.  Masa itu, turut bertugas bersama kami ialah anggota gurkha. Kadang dua minggu tidur dalam hutan. selepas itu balik semula  ke Balai Polis Keningau. Selang sebulan kemudian, kami dihantar lagi ke Sepulut selama tempoh sebulan, bertugas bergilir gilir dengan platun. Kami bertugas kira-kira enam bulan di kawasan Sempadan Malaysia-Indonesia ketika konfrontasi Malaysia- Indonesia. Kami meronda kawasan sempadan dan terpaksa tidur dalam hutan, berbekal ikan sardin dalam tin.
UB: Sungguh pengalaman yang berharga. Lepas itu, tuan bertugas dimana?
HARP: Sebagai anggota pasukan Polis Hutan , kami dihantar semula bertugas di Kem  di Tawau selama tiga bulan sebelum dihantar balik bertugas di ibu pejabat Polis Kepayan.
UB: Masa itu tuan masih bertugas sebagai anggota polis hutan?
HARP: Ya. Tapi ketika bertugas di ibu pejabat Polis Kepayan, saya diserapkan di Cawangan Khas. Saya bertugas sebagai anggota cawangan khas  sehingga bersara pada 8 Oktober 1999. Ketika bertugas di Cawangan khas, saya pernah bertugas di Balai Polis Menggatal, Balai Polis Papar, Balai Polis Kudat, Ibu Pejabat dan kemudian dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas di Balai Polis Kunak kira-kira tahun  1986 .Kemudian saya balik bertugas di ibu pejabat polis Kepayan. Saya bersara dari perkhidmatan polis pada tahun 1999.
UB: Berapa gaji tuan ketika mula-mula berkhidmat sebagai anggota polis?
HARP:  Gaji saya masa itu hanya RM90.00. Tapi masa itu harga gula masih 50 sen sekati, beras RM 1.30 secupak, ikan berharga 50 sen sekati, kadang ada dijual 20 sen. Harga kopi hanya 10 sen, kuih pula hanya lima sen. Masa itu, walaupun gaji kecil tetapi agak lumayan masa itu. Lagipun masa itu, hiburan masih kurang.
UB: Apa bentuk hiburan masa itu?
HARP: Antaranya ialah Wayang Gambar yang ditayangkan oleh Jabatan Penerangan di Kampung-Kampung. Tayangan wayang gambar itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk kampung. Banyak tayang filem masa itu. Antara bintang filemnya tentulah Seniman Negara Tan Sri P.Ramlee. Selain itu, ada juga hiburan di radio. Ada ruangan Lagu Permintaan di Radio Sabah  dimana kita boleh memohon lagu-lagu untuk ditujukan kepada siapa siapa yang berkenaan. Lagu-lagu P.Ramlee, saloma antara lagu-lagui permintaan yang popular masa itu.
Jika ada majlis perkahwinan pula, tuan rumah biasanya akan memutarkan lagu dari piring hitam. Tiap tiap orang kampung yang mahu melaksanakan majlis perkahwinan di rumah mereka, pasti akan mencari orang-orang yang memiliki piring hitam, kerana bukan semua orang memilikinya. Itulah yang dimainkan sewaktu majlis perkahwinan.
Lampu masa itu masih pakai `lampung pam' yang dipam dan menggunakan minyak tanah. Masa itu tiada bekalan air atau paip, setiap rumah memiliki perigi atau telaga masing-masing. Tandas pun tidak ada. Kalau mahu buang air, terpaksalah berlari masuk dalam hutan belukar.
UB: Selepas bersara dimana tuan bertugas?
HARP: Selepas bersara dari Perkhidmatan Polis, saya  bertugas sebagai Pegawai Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Ketika itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ialah Brig Jen Datuk Haji Abd Ghani Rashid. Kemudian selepas Datuk Hajah Rosnah Rashid Shirlin, masa itu Ketua Puteri UMNO Sabah dipilih sebagai calon dan menang  Parlimen Papar, saya dilantik sebagai Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Papar. Kini saya bertugas sebagai Pegawai Khas Datuk Hajah Rosnah Rashid Shirlin.
UB: Selain itu, apa tugas-tugas lain yang tuan jalankan?
HARP: Selain itu saya juga adalah Ahli Jawatankuasa Pemadam dan Penceramah Pemadam Daerah Papar. Sebelum itu, kami diberi kursus untuk menjadi penceramah Pemadam. Saya meminati tugas ini, walaupun tidak bergaji tetapi demi untuk khidmat masyarakat, saya rasa terpanggil untuk berkhidmat dengan Pemadam sampai sekarang. Saya ingin membantu kerajaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan najis dadah yang mengancam keharmonian masyarakat.

UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan masa kecil dahulu?
HARP: Dulu waktu masih kanak-kanak , saya memang minat untuk menjadi anggota polis. Dalam hati saya, saya ingin berkhidmat kepada kerajaan dan rakyat.