Saturday, March 31, 2018

MENANTI HARI ESOK SAMBIL MENIKMATI NUNUKAN

MENANTI HARI ESOK SAMBIL MENIKMATI NUNUKAN
---Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 10 dan akhir)
Jam 5.00 pagi lagi kami bersiap dan sesudah subuh, berangkat ke pelabuhan. Kami memilih Sadewa,bot yang paling awal berangkat pada hari itu.

Jarak antara Tarakan dan Nunukan kira kira 100 km dan perjalanan mengambil masa kirakira dua jam.



Kami tiba jam 10.00 di pelabuhan lama nunukan dan sebaik keluar dari feri terus mencari kenderaan dan bergegas ke pelabuhan tanon taka.



Saya geram sedikit dengan calo yang berebut penumpang dan sanggup pula mengakali kami yang terburu buru.

Kami tiba di pelabuhan Tunon Taka dan mendapati feri ke Tawau sudah berangkat jam 9.00 dengan meninggalkan kami yang masih berharap.

Setelah menunggu lama dalam ketidakpastian, akhirnya kami membeli tiket feri Labuan Ekspress yang berangkat keesokan harinya.

Tidak ada pilihan lain.Tidak ada lagi feri lain yang mahu bertolak ke Tawau. Kami akhirnya tersadai di gerai makan sebelum ke Melati Indah melepaskan lelah dan gelisah. Kami memesan ikan baulu,atau ikan bandeng,ikan paling popular dan paling banyak dijual di warung warung dekat pelabuhan itu.

Namun waktu yang tersisa itu kami gunakan untuk menikmati menanti hari esok di Nunukan.




Selepas makan tengahari,Okk Haji Masrin, Yang DiPertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sempat di interview wartawan dari Radar Tarakan yang membuat liputan untuk Nunukan dan sekitarnya.


 Sebelumnya saya tidak sempat ketemu Mas Enal walau sebenarnya sudah berjanji untuk bertemu sebelum kami ke Tolitoli.

Perkenalan dengan rakan rakan media memberi banyak manfaat. Melalui rakan rakan media,Nur Ismi, saya dapat menghubungi Mas Anto ,anggota Asita di Tarakan asal Tolitoli.Dari Mas Anto,saya dapat menghubungi Pak Amir dari TIC Tolitoli,dan dari sana perjalanan menjadi mudah. Dari Nur Ismi juga saya berkenalan dengan Mas Enal, wartawan yang berasal dari Sungai Nyamuk ini.

Sebenarnya kunjungan kami kali ini mendapat liputan dari beberapa akhbar seperti ,Radar Palu,dan beberapa media online seperti Lensa Angkasa ,Pesona Timur dan sebagainya.

Misi ke Tolitoli untuk menjejak perjalanan di zaman bahari memang berjaya kerana kami menemukan jejak Iranun di pantai Sabang,kuburan lama terletak berdekatan pantai dan tertinggal begitu saja ratusan tahun lamanya. Malah kami menyarankan agar kuburan lama itu dijadikan cagar budaya atau tempat bersejarah.

Jika tempat itu dipelihara dan dijaga ,pastilah ia mendapat kunjungan dari pelancong dari dalam dan luar negeri dan menjadi tempat wisata atau pelancongan sejarah yang menarik.

Banyak juga informasi yang diperolehi dalam misi kali ini. Selain sejarah kami dapat mengenal Tolitoli dan masyarakatnya dari dekat.Paling tidak boleh dilupakan ialah sambutan Pemerintah Daerah Tolitoli yang luar biasa.

Memikirkan waktu yang berlalu,mahu ke mana lagi. Duduk melongo di lobi tak banyak gunanya. 









Petang itu saya dan WKAN Abd Madin naik angkut ke pusat kota Nunukan. Kenderaannya van kecil. Pemandunya pak Jaini, orang Lombok,yang pernah bekerja di ladang kelapa sawit di Lahad Datu.Beliau terpaksa dideportasi dari Sabah kerana tidak memiliki dokumen yang sah. Sempat hidup luntang lantung atau merempat di nunukan sebelum diselamatkan oleh pedagang bugis. Kisah hidupnya tragis ,ditinggalkan isteri yang dicintainya. Akhirnya berkat kegigihan,beliau kini jadi pemandu angkot. Hidup biar jujur saja,katanya, asalkan tidak mencuri.

Setibanya di alun-alun kota Nunukan, kami turun dan meminta agar pak Jaini datang mengambil kami semula kira kira jam 7.00 malam.



Perkara pertama yang kami lakukan ialah mencari kedai gunting. Kawan saya mahu bergunting. Setelah melalui beberapa lorong,kami sampai di tempat tukang gunting itu.




Selesai bergunting,kami saja berjalan melihat kehidupan di daerah perbatasan itu. Melewati rumah rumah,sekolah dan anak gadis yang naik ke bumbung rumah untuk memetik buah mangga.
Dia sembunyi bila saya mahu mengambil gambar. Saya sebenarnya sengaja. Ada juga ibu ibu yang memetik lada yang ditanam di depan rumahnya.

Kemudian kami singgah di satu kedai dan sempat membeli tudung, dan beberapa oleh oleh untuk dibawa pulang.

Sempat juga kami minum di gerai yang berdekatan sebelum pulang ke hotel. Di hotel,kami sempat berkenalan dengan pak Dede,orang Bajau dari Berau, dari pulau derawan sebenarnya,yang sedang dalam perjalanan ke Sabah.

Percakapan dengan pak Dede dan kawan kawan mengenai pulau derawan dan keindahannya,dan penduduknya,dari suku Bajau derawan amat menarik. Saya sempat bertanya beberapa ungkapan dalam bahasa bajau.

Bang kita mia atai matai,bang kita mia isa binasa,katanya.
Kalau kita ikut hati mati,kalau kita ikut rasa binasa.

Kami beli tiket feri yang paling awal berangkat dari nunukan. Jadual berangkat jam 9.00 pagi tetapi ternyata feri itu entah kerana sesuatu hal, lambat bertolak dan sempat membuat kami tertanya tanya.


Nasib baik saya teringat rakan agen pelancongan.dapatlah membeli tiket pesawat dari Tawau terus ke Kota Kinabalu tanpa perlu menaiki bas lagi. Kalau tidak begitu,tentulah kami akan merasa lebih resah lagi.

Sebaik baik feri merapat di Pelabuhan Tawau,kami sempat makan tengahari di Restoran Yassin sebelum meluncur ke lapangan terbang mengakhiri perjalanan menelusuri jejak sejarah di Tolitoli.

Singgah Semalaman di Tarakan


Singgah Semalaman di Tarakan
--Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 9)

Penerbangan Wings Air dari Kota Palu ke Tarakan mengambil masa kira-kira satu jam tiga puluh minit. Berangkat jam 11.55 pagi dari Palu, ibu kota Sulawesi Tengah, kami tiba di Tarakan Kalimantan Utara kira-kira 1.25 petang.



Setibanya di pulau itu, saya menghubungi Bang Aziz yang kebetulan sedang berlatih badminton untuk menghantar kami ke hotel. Ketika kami keluar dari balai berlepas di Bandara Juwata, Bang Aziz sudahpun menanti ketibaan kami.

Bang Aziz ini masih ada kaitan keluarga dengan mertua saya.  Beliau bertugas di Hospital Tarakan. Ketika pertama kali ke Tarakan kira-kira sepuluh tahun lalu, masa itu beliau kuliah sarjana hukum sambil bekerja di hospital.  Rupanya beberapa bulan sebelum itu, beliau singgah di Kota Kinabalu dalam perjalanan ke Bandar Seri Begawan untuk mewakili Kalimantan Utara dalam kejohanan sukan di Brunei.
Beliau bercerita mengenai kos pengangkutan yang makin mahal di Tarakan. 'Sewa mobil saja satu hari Rp250,000," katanya.
Selepas itu kami mencari tempat penginapan kerana perlu bermalam di Tarakan sebelum pulang melalui Nunukan, kerana masa itu Feri Tarakan ke Tawau 'naik dock'.
Ada banyak hotel di Tarakan, antaranya Hotel Duta, Padmaloka, Royal Tarakan, Hotel Atia, semuanya saya baca informasinya sewaktu menunggu bagasi di lapangan terbang.
Kami memilih untuk menginap di Hotel Galaxy kerana ia terletak tidak jauh dari Toko Buku Gramedia. Letaknya di Jalan Yos Sudarso, berdekatan dengan balai polis.
Selepas berehat sebentar, saya mengajak WKAN Abd Madin untuk mencari buku di Toko Buku Gramedia, yang terletak kira-kira 500 meter dari hotel.




Kami menyusuri Jalan Yos Sudarso, Tarakan.  Selain di Tarakan, terdapat juga jalan Yos Sudarso di Jakarta, di Medan, Palembang, Papua dan sebagainya. Dalam hati tertanya tanya juga siapa Yos Sudarso yang menjadi nama jalan di Tarakan.
Setelah membuat carian di google, rupanya Yos Sudarso adalah nama seorang komodor tentera laut Indonesia yang terkorban dalam pertempuran di Laut Arafura Maluku pada 15 Jan 1962.  Beliau berasal dari Salatiga dan ketika meninggal dunia itu beliau adalah Timbalan Ketua Staff TNI.
 Beliau terkorban selepas kapal yang dinaikinya RI Matjan Tutul tenggelam di lau Arafura. Kapal lain RI Matjan Kumbang, RI Harimau yang sedang  berpatroli pada masa itu selamat. Komodor Yos Sudarso terkenal dengan slogan Kobarkan Semangat Pertempuran.
Selepas membeli beberapa buku di Gramedia, kami terpaksa memendekkan masa di toko buku itu  kerana Mas Anto sudah menunggu di hotel. Mas Anto adalah orang kuat ASITA atau Association of Indonesiaan Tours and Travel Agencies di Tarakan.

Selain itu, beliau juga menulis. Mas Anto banyak bercerita mengenai keistimewaan kota Tarakan.

Tarakan adalah kota penghubung antara Indonesia dan  Malaysia. ia adalah salah satu kota provinsi Kalimantan Utara selain Malinau, Tanjung Selor dan Nunukan. Jika mahu ke Kepulauan Derawan,  destinasi pelancongan menarik di Kabupaten Berau Kalimantan Timur, kita perlu singgah di Tarakan sebelum ke Derawan.
Dari sudut sejarah, Kota Tarakan adalah tempat  pertama pendaratan tentera Jepun.  Sebagai penngeluar minyak utama di zaman kolonial, Kota Tarakan menjadi sasaran Jepun.Kira-kira 20,000 tentera Jepun tiba pada 11 Januari 1942 untuk menyerang kedudukan Belanda.Masih terdapat banyak tempat bersejarah peninggalan perang dunia kedua di Tarakan.
Suku asli di Kota Tarakan adalah suku Tidung, dan kita boleh berkunjung ke Rumah Adat Tidung melalui adat dan budayanya. Penduduknya kira-kira 250,000.
Jika suka makan ketam,  banyak jenis ketam di Tarakan. Ketam atau dalam bahasa Indonesianya, kepiting memiliki banyak jenis iaitu kepiting soka, kepiting kenari. Selain itu ada makanan laut seperti kapah, kerupuk ikan pepija dan ikan bakar.
Bagi mereka yang suka wisata alam, pelancongan ke tempat semulajadi, di Tarakan terdapat Pantai Amal, Kawasan Konservarsi Mangrove dan Bekantan, Bais Hill dan Kebun Raya Anggrek.
Pertemuan dengan Mas Anto itu memberikan juga banyak informasi kepada kami. Meskipun bukan asli Tarakan, Mas Anto berasal dari Tolitoli tetapi beliau banyak tahu mengenai Tarakan.
Pada sebelah malamnya, kami mencari restoran yang menjual makanan laut. Kami singgah di restoran yang paling banyak pelanggannya. Walaupun ramai pelanggan, kami tidak terlalu lama menunggu. Malam itu, kami menikmati kepiting Tarakan, yang memang sedap.


Selepas makan malam, kami ke pasar malam untuk mencari ole ole untuk dibawa pulang. Pakcik OKK mencari batik dan membelikan kami batik sebagai kenang-kenangan di Tarakan. Pulang ke hotel, saya terus menyiapkan artikel sementara Pak Aziz berehat sambil meminta tukang urut, yang walaupun kelihatan tua tapi masih bertenaga untuk mengurutnya badannya agar kembali segar.
Keesokan hari, awal pagi lagi kami ke pelabuhan feri untuk menaiki feri ke Nunukan untuk mengejar feri Labuan Express ke Tawau

CATATAN SINGKAT DI KOTA PALU, SULAWESI TENGAH

CATATAN SINGKAT DI KOTA PALU, SULAWESI TENGAH
 -Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 8)
Kami tiba di  Kota Palu, Ibu Kota Sulawesi Tengah, kira-kira jam 11.00 malam. Perut rasa lapar kerana perjalanan yang begitu jauh. Jadi sebelum berpisah dengan driver kami, John Terry, kami mengajaknya makan malam terlebih sebelum kami ke penginapan di Mess Pemda Toli-Toli di Jalan MT Haryono.
Bertolak dari Kota Tolitoli kira-kira jam 8.00 pagi kami tiba di Kota Palu kira-kira jam 11.00 malam dan sempat singgal di Restoran di sampinga Pelabuhan Ogutua di Dampal Utara,kemudian singgah di Desa Bangkir, Dampal Selatan, selepas itu singgah di Talaga, perjalanan sebenarnya agak mengasyikkan walaupun sedikit letih. Sewa mobil kami cuma Rp 1.2 juta itu dan memang agak berbaloi untuk perjalanan sejauh itu.
Selepas meletakkan beg di kamar yang disediakan, saya minta bantuan pegawai di Mess Tolitoli untuk menempah tiket ke Tarakan keesokan harinya.
Selepas dihubungkan dengan agen tiket, saya memilih penerbangan jam 11.00 pagi. Ada pesawat yang terbang lebih awal tetapi terlalu pagi.

Sebelum meninggalkan mess Tolitoli kami sempat bergambar kenangan bersama Steve Todd. Beliau akan meneruskan perjalanan ke tempat lain dan hanya akan pulang ke England sekitar bulan April. Orang putih ini memang bernasib baik kerana sepanjang perjalanan dari Tawau ke Nunukan dan seterusnya ke Toli-toli, kami selalu dapat berjumpa walaupun sudah bersalaman dan mengucapkan selamat jalan.
Tapi pagi itu kami mengajaknya sarapan terlebih dahulu sebelum berpisah meneruskan perjalanan masing-masing. Pemandu kami, Fadli seorang kakitangan bank, yang mengisi masa rehat hari minggu dengan membawa Grab, mengajak kami ke sebuah restoran di tepi teluk, Heni Putri Kaili di Tombo Poso. Dari sana kami melibat keindahan Kota Palu, yang terletak di sebuah teluk yang cantik.






Ramai orang mandi manda di teluk Palu. Kebetulan hari minggu. Fadli memberitahu ada kepercayaan di kalangan penduduk bahawa jika mandi disitu boleh menyembuhkan penyakit kulit. Entah sejauh mana benarnya, yang pasti memang ramai yang mengambil kesempatan mandimanda.
Kota Palu bersempadan dengan Kabupaten Donggala di Utara, Kabupaten Sigi di Selatan dan Kabupaten Parigi Moutong di Timur. Penduduknya terdiri dari suku Kaili, pamona, Banggai, Bugis dan Cina, 80 peratusnya daripada Muslim.
Kota Palu memiliki lima dimensi.Saya tidak ingat lagi terbaca maklumat itu dimana, mungkin dari buku pelancongan. Lima dimensi Kota palu ialah lembah, lautan, sungai, pergunungan dan teluk.
Selain itu, Kota Palu juga memiliki sejarahnya yang tersendiri. Belanda mulamula datang menjejakkan kakinya di sana kira-kira 1868, tapi saya tidak sempat ke Muzium untuk mencari lebih banyak maklumat.
Walau begitu saya sempat singgah di kedai buku untuk membeli beberapa buah buku dan peta Sulawesi Tengah, sekadar untuk rujukan.
Memang saya masih menyimpan hasrat yang tak tertunaikan. Soal waktu. Dari buku pelancongan saya mmbaca betapa Kota Palu dan Sulawesi mempunyai banyak daya tarikan. Antaranya, Pantai Talise, Gunung Gawalise, Jambatan Palu, Cagar Alam Morowali,Pantai Tanjung Karang, Taman Nasional Lore Lindu, Danau Lewuto, Tugu Perdamaian, Wisata Alam Danau Poso, Wisata Kepulauan Togean, Pulau Kadidiri, Pulau Pasoso dan lain-lain.
Sebelum berangkat kami sempat singgah ke rumah salah seorang kerabat saudara Aziz Ambodai yang terletak berdekatan lapangan terbang. Kami sepatutnya singgah ke sana sebaik tiba di Kota Palu tapi tidak jadi kerana hari sudah jauh malam walaupun mereka tertunggu-tunggu.

Ya, apa boleh buat. Kami harus bergegas ke Bandara Mutiara SIS Al Jufri di Jalan Abdul Rahman Salleh untuk pulang ke Kota Kinabalu melalui Kota Tarakan.
Saya tidak lagi punya kata-kata untuk menggambarkan kebaikan hati orang Tolitoli terhadap kami. Saya ingin menulis puisi, atau apa saja catatan, tapi semua tidak siap kerana semua penumpang sudah dipersilakan masuk dalam pesawat untuk meneruskan penerbangan. 

Dari Tolitoli ke Kota Palu, singgah di Dampal dan Talaga

Dari Tolitoli ke Kota Palu, singgah di Dampal dan Talaga
-Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 7)

Kalau ada ucapan  yang paling tidak digemari pada hari terakhir kami di Tolitoli, ia adalah kata perpisahan. Tapi setiap yang bermula, pastilah berakhir. Kami harus berangkat ke Palu, ibu kota Sulawesi Tengah sebelum pulang ke Sabah melalui Tarakan.

Sebelum berangkat, kami sempat mengabadikan foto kenangan bersama Elfie, Ami,, Eby, Erlyn, Mulianto dan Rizal, yang melayani dan menyediakan makan minum kami sewaktu berada   Rumah Jabatan Bupati  (Rujab)  Tolitoli. Rujab adalah fasiliti rumah yang ditempati bupati selama menjawat jawatan sebagai bupati.
Sebenarnya kami berhasrat untuk pamit dengan Pak Drs H Ibrahim Sauda sebelum pulang tetapi kami hanya sempat menitip salam kepada beliau kerana tidak sempat singgah ke rumahnya.
Perjalanan ke Palu mengambil masa kira-kira 12 jam. Tetapi ada beberapa tempat lagi yang perlu kami singgahi, dan sebab itu, kami harus berangkat lebih awal jika tidak mahu kemalaman di tengah jalan.
Sebaik keluar dari Tolitoli, melewati kebun cengkeh, perbukitan, perkampungan, sawah padi, petani, dan pemandangan yang menakjubkan, kami sampai di Dampal Utara setelah kira-kira tiga jam perjalanan dari kota Tolitoli.
Kami singgah makan tengahari tidak jauh dari jalan masuk ke Pelabuhan Ogutua. Dari pelabuhan itu, kita melihat hujung Tolitoli yang paling dekat dengan Pulau Kalimantan. Bahkan jika berangkat pagi dari Kalimantan menyeberangi selat Makassar, kita boleh sampai di Dampal pada waktu petang.
Meski hujan renyai, saya ditemani Amir dan Anto sempat ke pelabuhan Ogutua itu. Ketika itu tidak ada kapal. Masih sepi. Saya melihat Pulau Lingayan, salah satu Pulau terluar di Indonesia. Layangan ertinya kayangan, saya terbaca sebuah buku wisata, dan untuk ke sana, hanya perlu beberapa minit. Pulau Lingayan ditempati oleh Orang Bajau, Bugis dan Mamuju. Pulau itu terkenal sebagai pengeluar Rumpai Laut. Dari pulau Lingayan, kita dapat melihat dengan jelas Matahari terbit dan terbenam.
Selepas makan, kami bergerak lagi ke  Dampal Selatan.







Di desa Bangkir, Dampal Selatan, kami sempat singgah di Rumah  Andi Radjeng, ibu saudara kepada Pak Moh Nasir. Di sana kami melihat Lela, kepunyaan Sultan Dampal, kakek ibunya. Ibu saya orang Dampal, Ibu dari ibu saya kahwin dengan Orang Bugis namanya Andi Tenna. Di samping itu, ada kitab lama bertulisan jawi yang masih di simpan keluarga itu. Ada juga lembarnya yang bertulis dalam aksara Bugis, walaupun saya belum pasti.




“Masih banyak sebenarnya bisa di ketahui melalui benda-benda yang ada milik keluarga kami seperti keris, cap, gulintang dari logam yang usianya sudah tua sekali.
Gulintang dimainkan saat pesta perkahwinan, dan bagi kami keturunannya harus, dan gulintang yang tertua biasanya dimainkan sebagai pembuka saja dan dilanjutkan dengan gulintang yang lain,” kata Moh Nasir.
Seperti yang tercatat dalam sejarah, sewaktu  angkatan Iranun diserang Belanda di Tolitoli, mereka berundur ke Dampal dan Kaili dan melakukan serangan balas pada 1822.
Fakta sejarah yang ditulis Prof James Warren ini memang perlu diteliti sejauh mana kebenarannya.
Tidak lama kemudian, kami minta diri kepada Andi Radjeng dan juga kepada Pak Moh Nasir yang menghantar kami hingga ke Dampal.  
Kami meneruskan dengan mobil avanza yang dipandu oleh John Terry. Beliau sering  berulang alik dari Tolitoli ke Palu. Seorang yang mahir dan mampu mengemudi kenderaan dengan baik walaupun jalan raya yang kami lalui itu agak mencabar juga.



Menjelang Maghrib kami tiba di Talaga, dan kemudian singgah di rumah Pak Ibrahim, keturunan Datu Dandi Paja, anak kepada Datu Dupang manakala Datu Dupang anak kepada Dandu, yang dulu menentang Belanda.
Pak Ibrahim adalah abang ipar kepada Pak Aziz Ambodai, rakan seperjalanan yang jadi penunjuk jalan kami. Beliau mengisahkan kisah  nenek moyangnya dulu yang menjadi penentang kolonial.


Neneknya dulu mempunyai lima senjata kampilan, 17 keris pelbagai jenis, yang semuanya dibakar oleh gerombolan sekitar tahun 1956 atau 1957, katanya. Mereka juga memiliki Lela, sejenis meriam kecil dari Perak dan besi.
Beliau yakin keturunannya dari Mindanao. Di Talaga, masih terdapat durian tampilan, sejenis pokok durian yang tinggi dan besar.  Antara beberapa kata dalam bahasa dampelas ialah saging (pisang), Bugas (beras) Ogo (air), Langkai (lelaki), bingkil (perempuan) Mengumang (makan), manginum (minum).
Banyak kisah menarik yang diceritakan tetapi kami berharap dapat datang lagi ke Talaga.
Kemudian kami meneruskan perjalanan membelah kegelapan dan sampai di Kota Palu kira-kira jam 11.00 malam.

PANTAI SABANG YANG CANTIK DAN PENUH KISAH SEJARAH

PANTAI SABANG YANG CANTIK DAN PENUH KISAH SEJARAH
--Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 6)

Selepas Jumaat, kami ke Sabang yang terletak di sebelah utara  pusat kota Tolitoli. Pantai ini adalah spot diving atau tempat penyelaman terbaik di Tolitoli. Ia menyimpan keindahan tersembunyi di dasar lautnya. Jarak karang dari bibir pantai hanya 50 hingga 100 meter, dan  menjadi favourit snorkeling setiap akhir minggu. Kedalaman sekitar pulau pula antara 20 meter hingga 60 meter. Pantai itu memiliki surga bawah air yang memukau.
Memang sebelum ke sana, kami diberitahu bahawa pantainya memang cantik,dan sesuai untuk aktiviti penyelaman dan kami disarankan membawa baju mandi jika ingin mandimanda.
Namun kami memilih untuk melihat-lihat saja. Saya sendiri datang hanya untuk menuliskan potensi wisata yang terdapat di pantai itu.
Sebelum itu, kami singgah di Kantor Dinas Wisata (Pejabat Pelancongan) di Jalan Gadarman Hangkiho. Di sana, kami  bertemu dengan Steve Todd, pelancong dari England yang bersama kami di Kapal KM  Bukit Siguntang itu. Beliau baru balik dari Desa Wisata Malangga di Kecamatan Galang. Di sana terdapat air terjun yang cantik setinggi 5 meter yang dikelilingi Hutan Tropika dan banyak dihuni hidupan air tawar seperti udang dan ikan air tawar. Pelbagai jenis haiwan hutan tropika seperti burung tekukur, nuri, kakak tua, serindit leher merah dan binatang lain seperti monyet, ayam hutan dan sebagainya.
Tapi Steve lebih tertarik bercerita mengenai kunjungannya melihat Rumah Langko, perkebunan koko, Cengkih, pembuatan guka merah dan permainan tradisi masyarakatnya.
Sebenarnya banyak potensi wisata di Tolitoli. Kami tidak sempat ke Tanjung Matop, salah satu pusat konservasi yang memiliki keunikan tersendiri. Kalau ke sana, masa yang diperlukan antara dua hingga tiga jam dengan jarak kira-kira 95 kilometer dari Kota Tolitoli. Antara yang menari di sana ialah burung Maleo yang boleh bertelur kira-kira 10 kali besar dari telur ayam. Burung Maleo akan mencari tempat sekitar pantai untuk menyimpan telur-telurnya. Burung itu bertelur mulai April hingga Oktober dan diikuti surutnya air laut.
Steve kelihatan tertarik untuk mengikut kami ke Pantai Sabang Tende.  Saya teringat frasa  Dari Sabang sampai Marauke. Namun Sabang yang dimaksudkan ini bukan Sabang di kilometer nol di ujung  pulau SumateraIndonesia sebaliknya, Pantai Sabang Tende adalah kebanggaan Tolitoli dan selalu dianggap sebagai tempat penyelaman terbaik di kabupaten itu.


Selepas mengadakan kunjungan hormat di pejabat Kepala Dinas Pariwisata, Moh Nasir Daeng Marumu, kami bergegas ke Pantai Sabang tapi sebelum itu sempat singgah di rumah rehat Wakil Bupati, Drs Abdul Rahman Haji Budding. Menikmati kelapa muda di sana memang mengasyikkan juga dengan suasana petang dengan angin yang bertiup semilir.


Tidak jauh dari sana Pantai Sabang. Tempat itu memang cantik. Apatahlagi kami sempat menikmati kopi ditemani pisang goreng.



Tanpa disangka kami bertemu Pak Darwis Abd Hamid, seorang penduduk kampung yang bercerita mengenai beberapa pengalamannya sewaktu di Sabah.


Dahulu, bersama rakan-rakannya, ia berlayar dari Tolitoli ke Borneo, kadang-kadang tiga, kadang lima lima untuk sampai ke Sabah. Di Sabah, Pak Darwis yang  usianya masih belasan ketika itu sanggup bekerja di berbagai lapangan pekerjaan. Pernah kerja tarik kayu balak.
“Tawau sangat sunyi sekali,” katanya. Masa itu, beliau kerja di tugboat, kerja menarik kayu balik. Kalau siangnya kerja, malamnya dia tidur di Sebatik, paginya dihantar kerja tug boat.
Beliaulah antara orang pertama yang berpeluang melihat kapal Indonesia yang pertama , Pasaman namanya,sampai di Tawau selepas konfrontasi pada 20 April 1967, kenangnya.
. Darwis juga bercerita mengenai tragedi Double Six, peristiwa yang berlaku pada 6 Jun 1976 apabila helikopter jatuh Sembulan mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen dan beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan. Kejadian itu berlaku tidak jauh dari rumahnya, dan dia menceritakan suasana yang masih segar diingatannya.
“Masa itu kira-kira 4.00 petang. Kami sedang berkumpul di rumah sewa di Sembulan ketika helikopter itu jatuh katanya yang melihat kejadian memilukan itu dengan mata kepala sendiri. Pak Darwis bersama rakan-rakannya menyewa di Sembulan.
Di Kota Kinabalu, beliau antara yang penjual sanggar dan nasi goreng pada tahun 80-an. Banyaklah kenangan yang diceritakan ketika ia bekerja di Sabah.
Kemudian beliau bertanya apa tujuan kami datang ke Tolitoli. Secara bergurau, saya memberitahu tujuan kami datang adalah untuk menjejaki Iranun yang dianggap perompak oleh penjajah barat.
“Oh, di sini disebut Magindanu. Mereka dulu datang 40 hingga 60 perahu. Orang-orangnya bertubuh besar dan sasa, menurut cerita orang tua-tua, kata Pak Darwis. Perwatakannya keras, katanya.
Ada bekas kuburannya yang baru ditimbus untuk pembangunan, katanya. Kami meminta dipertemukan dengan orang yang menemui kuburan itu.  Pak Abu, Mulanya beliau keberatan bercerita kerana ada orang lain lagi yang menimbus kuburan itu.
Akhirnya kami ke lokasi kuburan lama itu. Di sana, kami diberitahu ada sebuah lagi lokasi perkuburan Iranun yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari sana.
Pak Darwis memberitahu bahawa kuburan Iranun Magindanu itu terbiar sejak dahulu lagi, tanpa pernah dilawati oleh siapa siapa, berbanding dengan kuburan yang jelas pewarisnya, kawasan kuburan itu tak pernah dikunjungi.
Beliau sangat yakin mengenai keberadaan kuburan Iranun itu. Beliau sangat bersemagat membawa kami ke kuburan itu, “kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu mengkaji nenek moyang kita yang dulu pejuang itu,” katanya.
"Nenek moyang kita pejuang,kalau bukan kita, siapa lagi yang nak ungkit" ulangnya lagi, katanya
Di kawasan kuburan, kami melihat banyak batu nesan menunjukkan kuburan itu sudah ratusan tahun usianya. Sebahagiannya mungkin sudah dihakis kerana tempat itu sangat dekat dengan tepi pantai.





Kuburan itu amat bersejarah. Kami mencadangkan agar kawasan itu dipelihara atau sekurang-kurangnya di pagar dan dijadikan sebagai Cagar Budaya Nasional. Jika kawasan itu dibersihkan, sudah pasti ia akan  menarik lebih ramai pengunjung dari Sabah dan Mindanao yang memiliki keterkaitan sejarah dengan Tolitoli yang akan datang berkunjung. Bahasa Tolitoli juga mempunyai persamaan dengan bahasa di Borneo.Buuk dalam bahasa Tolitoli bermaksud rambut, tapak tangan dalam bahasa tolitoli ialah parak manakala hingus pula dalam bahas toli toli ialah sepun, Dalam bahasa Tolitoli Tutung bermaksud terbakar.
Lalu ke mana orang-orang Iranun itu pergi? Pak Darwis berkata mereka sudah  berpindah ke Santigi,Lingadan dan Pangalasiang. Tapi Fahri, seorang peneliti sejarah mengatakan, mungkin mereka juga ada di  Salumpaga dan Bountounan selepas diserang oleh Belanda. Ada catatan menunjukkan bahawa serangan itu berlaku pada 1812 lalu mereka berundur ke Dampal pada 1822 dan mengumpul kekuatan di sana bersama masyarakat tempatan sebelum melakukan serangan balas.
Hari sudah petang ketika itu.Matahari sudah terbenam di laut Sulawesi. Kami sangat gembira dengan penemuan itu. Kami sangat berterima kasih kepada Pak Darwis, dan Pak Fahri, seorang peneliti sejarah tempatan, dari Dinas Wisata dan rakan-rakan lain seperti Pak Kadis Moh Nasir, pak Amiruddin dan mas Anto.

Kami tidak terus pulang sebaliknya singgah di Restoran di Tanjung Batu untuk menikmati makan malam dengan lauk ikan bakar yang aduhai, betapa sedapnya.
Namun sekembalinya ke Rujab, rupanya kami sudah ditunggu kerana jamuan makan malam sudah terhidang. Kami rasa bersalah kerana tidak tahu rupanya makan malam disediakan.
Kami makan sekali lagi demi menghargai tuan rumah yang sangat baik melayani kami. Mereka setia menunggu sehingga kami tiba. Malam itu kami tidur kekenyangan, tapi esoknya harus bangun awal kerana kami akan berangkat ke Palu dan sebelum itu, singgah di Dampal Selatan dan Talaga.