Ahad, 1 April 2018

BERKUNJUNG KE PULAU PANDAN, BERTUTUR BAHASA BAJAU

Tags

BERKUNJUNG KE PULAU PANDAN, BERTUTUR BAHASA BAJAU
-Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari-siri 4

Sebenarnya Pulau Pandan atau lebih dikenali Desa Sambujan , boleh ditempuhi dengan menggunakan perahu dari Tolitoli. Tetapi hari itu kami memilih jalan darat. Di kiri kanan jalan, kelihatan hutan dan  kebun cengkih. Sejak dulu lagi,Tolitoli memang terkenal sebagai salah satu pengeluar cengkih.
Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Makin lama, jalanan semakin mengecil dan sempit. Sukar dilalui kerana keadaan jalan yang memang mencabar. Mujurlah, pemandu,, Pak Ruslan Mokhtar Abas, seorang yang berpengalaman dan dengan mudah mengemudi kereta avanza hinggalah kami sampai ke sebuah jambatan.
Jambatan yang menghubungkan pesisir dan pulau sepanjang 300 meter dengan lebar 2 meter itu dikatakan antara yang terpanjang di Tolitoli. Ia memudahkan penduduk kampung untuk menuju ke daratan atau ke pulau Pandan.
Penduduk di pulau itu kebanyakannya nelayan. Terdapat kira-kira 80 ketua keluarga yang menetap di kampung itu, kebanyakan dari suku Bajau. Namun ada cerita yang mengatakan ada sebuah keluarga yang masih menyimpan senjata lama, yang diwarisi turun-temurun oleh sebuah keluarga yang mengaku keturunan dari Mindanaao.
Itulah yang menarik perhatian kami. Cuba mencari keterkaitan sejarah berdasarkan bukti-bukti seperti senjata, alat-alat kebesaran dan sebagainya. Kami terpaksa melakukannya begitu, kerana nenek moyang dulu mungkin buta aksara sehingga mereka tidak menulis sejarah perjuangan atau catatan perjalanan mereka. Setibanya di Desa Sambujan itu, kami dibawa ke rumah Nek Rahmah Marinyong.
Nenek tua itu berusia lebih 100 tahun. Beliau kelihatan masih kuat, “hanya mata yang kurang penglihatan,” katanya.
Saya sengaja menyapa mereka dalam bahasa bajau, dan di luar dugaan saya mereka boleh memahaminya. Samsudin, anak kepada nek Rahmah menyatakan `kami samah’. Akhirnya saya mewawancara mereka dalam bahasa Bajau diselangi bahasa Indonesia. Bahasa bajau Tolitoli memang jauh berbeza dengan bajau di Sabah tetapi jika dengar dengan teliti, kita boleh memahaminya. Sementara bahasa bajausama yang saya gunakan, boleh pula mereka fahami.
Ternyata senjata kepunyaan mereka itu sejenis sundang, dan khabarnya dulu dibawa, entah dari Menado, entah dari Suluk.
Nek Rahmah memberitahu senjata  berkenaan adalah milik keluarganya. Namun mereka kini sudah tidak ada. Senjata itu sendiri dianggap sakral atau suci sehingga ketika membuka sarungnya, Samsudin komat kami membaca doa.
Samsudin berkata, kini sudah tidak ada lagi yang tahu mengenai sejarah senjata lama itu, dan mereka sedia menjualnya. Tapi kami datang bukan sebagai pembeli barangan purba sebaliknya kami datang semata-mata sebagai pengunjung yang berminat mengenai hal-hal sejarah.
Saya sempat bertanya mengenai beberapa perkataan dalam bahasa tempatan di pulau itu. Misalnya Mulut dipanggil bua’, Hidung dipanggil uru, kain disebut bida, kaki disebut nai, makan ( nginta,) minum (nginum) lapar (lengantu)malam (hangar), siang (lu), bakar (tono’) Ikan (daya), Air (buih) dan beberapa lagi. Mengikut pengamatan saya, mereka adalah penutur Bajau tetapi dari dialek yang berlainan.
“Puli na kami” saya menirukan bahasa tempatan di sana untuk meminta izin pulang”. Sepanjang pengalaman saya, tidak ramai orang yang saya wawancara menggunakan bahasa Bajau sepenuhnya.
Kami tidak lama berada di rumah itu kerana harus berangkat pulang. Kelihatan awan tebal memayungi Tolitoli. Kerana takut kehujanan kami meminta diri untuk beredar.







Desa Sambujan itu juga terkenal sebagai tempat pemuliharaan terumbu karang, Ia terletak di selatan Pulau pandan dan luasnya kira-kira 100 meter persegi dengan kepadatan karang yang bervariasi.
Tempat ini begitu popular dengan aktiviti `snorkling atau penyelaman atau diving. Tidak lama kemudian kami bergegas meninggalkan Pulau Pandan dan memasuki semula hutan-hutan cengkih untuk kembali ke Tolitoli.
Setiap tamu yang datang dikalungkan bunga cengkih, kata Pak Ruslan, yang kelihatan mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai Tolitoli. Cengkih adalah hasil utama Tolitoli, selain kopra, hasil hasil pertanian dan perikanan.Sepanjang kunjungan kami ke Pulau Pandan, kami ditemani, pak Amirudin , pak Sukirman yang menguasai pelbagai bahasa tempatan, Kepala Desa dan sebagainya.
Kabupaten Tolitoli yang terleatk di utara Pulau Sulawesi mempunyai penduduk kira-kira 211,283 orang terdiri dari beberapa suku seperti Tolitoli,Dondo,Bugis,Makassar dan Buol. Selain Pulau Pandan, terdapat 42 pulau lain di Tolitoli yang terbahagi kepada 10 wilayah kecamatan.
Banyak yang menarik di Tolitoli.Selepas melewati beberapa selekoh, kami berhenti di sebuah gerai menjual buah durian di satu tempat namanya Pulias. Di sana kami menikmati buah durian yang ternyata dijual dengan harga murah.  Harga untuk 12 biji durian yang kami habiskan hanya Rp200,000 atau Ringgit Malaysia RM60.00.
Hari pertama di Tolitoli kami hanya sempat berkunjung ke Pulau Pandan. Ada beberapa tempat lagi perlu dikunjungi untuk menyempurnakan misi ke Tolitoli.