Saturday, March 31, 2018

BKI TELUSURI SEJARAH JALUR PELAYARAN NUSANTARA DI TOLI-TOLI





BKI TELUSURI SEJARAH JALUR PELAYARAN NUSANTARA DI TOLI-TOLI
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

Meskipun hanya dalam beberapa perenggan, hubungan Tempasuk di Borneo dan Toli-Toli di Sulawesi Tengah pada abad ke-18 dan 19, tetap tercatat dalam sejarah penentangan terhadap kehadiran penjajah di Nusantara. Pada tahun 1812, Hunt, seorang penulis Barat menulis bahawa terdapat 3,000 orang Iranun,  dengan 300 meriam  dan 50 hingga 60 perahu  menetap di Tontoli atau Toli-Toli di bawah pemerintahan Sultan Muhammed Kubu.
Catatan ini sangat menarik dan mendorong ahli dan peminat sejarah untuk membuat penelitian mengenai  hubungan antara wilayah-wilayah di Nusantara  berkaitan dengan gerakan penentangan dan perlawanan terhadap kolonialisme.
Dalam sejarah tertulis bahawa terdapat seramai  3,000 Iranun di Toli-Toli kira-kira 206 tahun yang lalu. Memang terdapat catatan lain bahawa pada 1822, mereka diserang oleh 1 Frigate dan lima kapal Belanda, membakar beberapa penempatan Iranun, memusnahkan 50 perahu dan 40 Iranun terbunuh dalam pertempuran itu.Apakah keturunan mereka masih ada di Toli-Toli atau sekitarnya? Jika masih ada, bagaimana bentuk budaya dan bahasanya?
Beberapa persoalan itulah yang mendorong, Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) mengadakan misi Kunjungan Budaya dan Penelitian Sejarah ke Toli-Toli pada 18 hingga 20 Januari.
“Kami ingin menelusuri jalur pelayaran Iranun di Nusantara pada zaman bahari,” kata  Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin, yang juga Ketua Daerah Kota Belud.
“Terdapat hubungan yang sangat erat antara  Tempasuk dan Toli Toli pada abad ke-18 dan 19 sebagaimana yang tercatat dalam sejarah,” katanya.
"Kami berharap hasil kunjungan ini akan mendekatkan hubungan budaya antara kedua pihak  dan membantu memperkenalkan Toli toli sebagai destinasi wisata yang berpotensi.
Rombongan itu disertai oleh Ketua Penerangan BKI,Abd.Naddin Haji Shaiddin,WKAN Abd Madin Sumalah dan Aziz Ambodai,Ketua Persatuan Komuniti Bugis Kota Belud sebagai penunjuk jalan.
Antara objektif kunjungan itu ialah untuk menelusuri sejarah pelayaran nusantara khususnya di daerah Toli-Toli,Proponsi Sulawesi Tengah.
"Diharapkan kunjungan itu dapat mempererat dan mempromosikan hubungan budaya antara Provinsi Sulawesi Tengah dan negeri Sabah,"katanya.
Sepanjang berada di Toli Toli ,delegasi peneliti itu diberikan sambutan luar biasa oleh pemerintah Kabupaten Toli Toli,Dinas Pariwisata Toli Toli,Ketua Majlis Adat Toli-Toli dan masyarakat Toli Toli.
Rombongan itu diberikan sambutan hangat di Pelabuhan Toli Toli sebaik menuruni KM Bukit Siguntang selepas mengharungi kira-kira 16 jam perjalanan laut dar Nunukan.
"Kami sangat terharu dan amat berterima kasih atas sambutan yang luar biasa itu.
Antara yang hadir ialah Wakil Bupati Toli-Toli,  H Abd Rahman S Budding,Ketua Dewan Adat Drs H Ibrahim Suadah,Asisten Bidang Pemerintahan, Dr Ajamain Laterey, Asisten Administrasi Umum, H Abdillah H Gaffar, Kepala Dinas Pariwisata,Moh Naser Daeng Marumu, Kepala Balitbang, Dr Igusti Lannag Arimbawa, Wakapolres Tolitoli, Kepala Pelni Toli-Toli, Anggota DPRD Toli-Toli, Nurdin Najamuddin, Kepala Dinas Perhubungan Ir Fajar Sukosyuhada.
Bahkan OKK Haji Masrin Haji Hassin didaulat sebagai Datu warga kehormat Toli Toli dan dianugerahkan sesepuh pemangku adat oleh Majlis Adat Toli Toli pada 19 Januari yang turut disaksikan oleh pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua jabatan di Toli-Toli.
Antara yang hadir ialah Komandan Angkatan Laut Toli Toli, Letkol Henry Ballo,dan wakil TNI  Letkol Anker Widianto .
Sepanjang berada di Toli-Toli , rombongan sempat  berkunjung ke Pulau Pandan,Pulau Luntungan,Sabang,Dampal Selatan,Talaga dan beberapa tempat lain.
Rombongan peneliti berjaya menemui sebuah kawasan perkuburan lama Iranun yang diperkirakan wujud sejak  abad ke 18 di Sabang Toli-Toli.
"Kami juga menemui meriam jenis lela di Dampal Selatan dan kampilan dan alat persenjataan lain di Talaga,yang menunjukkan bahawa satu ketika dahulu terdapat hubungan yang sangat dekat antara kerajaan Tempasuk (kini Kota Belud) dengan Toli toli dan Dampelas  sejak kurun ke 18dan 19
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu kerana sentiasa memberikan sokongan sehingga misi menelusuri jejak nusantara itu dapat dijayakan dengan Sempurna.
Iranun adalah salah satu sukubangsa yang gigih menentang dan berperang dengan penjajah kolonial di nusantara termasuk melawan belanda di Indonesia,Sepanyol di filipina dan british di Borneo.
Selain di Kota Belud,Tungku,Kudat dan Kita Kinabalu di Sabah,Iranun juga terdapat di Mindanao dan turut dikenali sebagai Maranao dan Magindanao di Mindanao.
Sebelum ini,BKI sudah melakukan penelitian sejarah  dan kunjungan budaya ke Tanjung Pinang Kepri, Pulau Bangka,Belitung,Tembilahan Indragiri Hilir.Misi ini sudah dimulakan sejak 2010.
"Hasil penelusuran sejarah,kami mendapati terdapat kira kira 4,000 turunan Iranun di Belitung manakala di Indragiri Hilir dan Jambi,keturunan Iranun disana dikenali sebagai suku Melayu Timur" , katanya.
Menurutnya, misi menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari akan diteruskan lagi ke beberapa tempat seperti Kalimantan, Ternate, Halmahera serta beberapa tempat lain yang pernah tercatat dalam sejarah sebagai penempatan Iranun pada abad yang lampau.
Mungkin benar, kata orang bahawa sejarah adalah kapal yang membawa kenang-kenangan kehidupan ke masa yang akan datang. 

No comments: