Sabtu, 24 Mac 2018

DEDDY M BORHAN, BESAR JASANYA DALAM INDUSTRI FILEM TANAHAIR

Tags

DEDDY M BORHAN,  BESAR JASANYA DALAM  INDUSTRI FILEM TANAHAIR 

KETIKA industri perfileman negara memasuki zaman kemerosotan,  Deddy M Borhan muncul sebagai penyelamat. Walaupun kurang  berpengalaman, beliau memberanikan diri menceburi bidang perfileman dengan menubuhkan syarikat Sabah Film Productions di Kuala Lumpur pada tahun 1975. Melalui syarikat itu, industri filem tempatan mulai menggeliat dan bangkit semula  pada pertengahan 1970-an dan 1980-an selepas era kegemilangan Studio Malay Film Production dan Cathay Keris Filem yang berpusat di Singapura. Beliau adalah tokoh penting yang memberikan nafas kepada industri filem yang tercungap-cungap bersaing dengan filem filem asing yang menguasai pawagam tempatan. Sumbangannya amat besar dalam menghidupkan semangat dunia perfileman Melayu.




Datuk Deddy M Borhan atau nama sebenarnya Maddin Borhan dilahirkan di Tuaran, Sabah pada 26 Februari 1944. Beliau mendapat pendidikaan awal di Goverment Primary School (GPS) Tuaran sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sabah College, kini dikenali sebagai Maktab Sabah.  Selepas tamat persekolahan pada 1964, M Borhan menerima tawaran kerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 1965. Tahun berikutnya, beliau ditukarkan ke Bahagian Akaun Ibu Pejabat Polis Kepayan. Selepas beberapa  bulan bertugas di situ, beliau dipindahkan ke Pejabat Daerah Tenom, sebagai kerani akaun. Pada tahun 1967, beliau bertugas semula di Kota Kinabalu sebagai Pegawai Eksekutif di Jabatan Hasil Bumi  sehingga dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Tinggi. Selepas itu, beliau berhenti untuk menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal  alat ganti kenderaan,membuka bengkel kereta dan  membuka agensi perjalanan. Namun demikian, M Borhan memilih bidang perfileman untuk memenuhi minatnya yang mendalam dalam bidang itu. Sepanjang  pembabitan beliau dalam bidang perfileman, beliau pernah menerbitkan 18 filem yang berjaya menarik minat penonton. Beliau bukan saja seorang penerbit filem, pelakon, pengarah filem, pemuzik, pencipta lagu dan penyanyi. Malah M.Borhan adalah pengasas dan presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (PAPITA) pada tahun 1977.
Atas sumbangan jasa baktinya, Deddy M Borhan dianugerahkan Tokoh Perfileman Finas pada tahun 2006. Beliau juga menerima anugerah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk"  sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah pada tahun 2016.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri mengenai  pengalaman beliau terlibat dalam bidang seni khususnya perfileman . Ikuti petikan wawancara bersama  Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak ini:
UTUSAN BORNEO: Bagaimana awalnya Datuk terlibat dalam bidang seni?
DATUK DEDDY M BORHAN:  Saya meminati bidang seni sejak berada di bangku sekolah. Sauya minat muzik. Saya juga boleh bermain clarinet, saxophone, drum,biola dan juga menyanyi. Di sekolah kami menubuhkan kumpulan kugiran. Malah ketika bersekolah di Sabah College, kami sering mendapat undangan menyanyi di majlis-majlis keramaian dan jemputan menyanyi di RTM.Ketika itu saya selalu mendapat jemputan menyanyi bersama MY Ahmad, Tan Sri RM Jasni dan pernah dibayar sebanyak RM8.00 sahaja masa itu.
Ketika berkhidmat dengan kerajaan, mungkin kerana bakat menyanyi yang ada, saya pernah membuat persembahan di Kudat atas jemputan Ketua Menteri Sabah masa itu, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha. Saya ingat masa itu, belum ada jalan yang baik ke Kudat, jadi terpaksalah naik kapal laut 'Kimanis' yang cukup terkenal pada masa itu.
UB: Apa kerja datuk selepas tamat persekolahan?
DEDDY: Selepas tamat sekolah, saya mendapat tawaran kerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 1965. Tidak lama kemudian, saya ditukarkan ke Bahagian Akaun Ibu Pejabat Polis Kepayan. Tidak sampai setahun, saya dihantar bertugas sebagai kerani di Pejabat Daerah Tenom pada 1966. Selepas itu, saya berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif di Jabatan Hasil Bumi   pada 1967. Selepas itu, saya  berhenti kerja untuk menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal  alat ganti kenderaan,membuka bengkel kereta dan  membuka agensi perjalanan.

UB: Boleh ceritakan suasana dunia perfileman ketika itu?
DEDDY: Dunia perfileman tempatan pada awal dan pertengahan 60-an  sudah memasuki masa suram.  Filem-filem tempatan menerima saingan hebat dari filem-filem luar seperti filem Indonesia. Pawagam-pawagam di Sabah menayangkan filem Cathay Kris dan filem luar yang lain. Malah ramai artis dari Singapura yang datang ke Sabah membuat persembahan.  Menteri Kewangan Sabah masa itu, Datuk Salleh Sulong sering mengundang artis-artis dari Singapura. Saya pula memang biasa dengan Datuk Salleh Sulong dan selalu berkunjung ke rumahnya,sekadar untuk bersembang dan sebagainya. Suatu hari, saya bertemu Datuk Aziz Sattar di rumah Datuk Salleh Sulong. Di situlah kami berkenalan. Dalam pertemuan demi pertemuan yang diadakan, Kemudian timbul idea untuk membeli saham dalam PERFIMA. Datuk Salleh Sulong berhasrat membeli saham bernilai RM500,000 dalam Perfima dengan syarat menguasai kepentingan sebanyak  51 peratus. Namun demikian HM Shah tidak bersetuju.  Ketika di Kuala Lumpur, P Ramlee cuba menghubungi Datuk HM Shah tetapi tidak diangkat walaupun didail berkali-kali. Kami menunggu hingga larut malam  tetapi HM Shah tidak ada jawapan. Jam 1.00 pagi kami balikla.hMungkin beliau  takut kehilangan kuasa dalam dalam Perfima, Akhirnya hasrat itu tidak tertunai dan Allahyarham Datuk Salleh Sulong tidak mahu terlibat lagi.
UB: Selepas itu, apa yang datuk lakukan?
DEDDY: Walaupun hasrat tersebut gagal tetapi tidak mematahkan semangat saya. Akhirnya saya membulatkan tekad menubuhkan Sabah Film Production pada tahun 1971 walaupun saya tidak pengalaman dalam filem. Saya yakin pelaburan dalam bidang perniagaan filem  boleh membantu memajukan filem tempatan. Saya mendapat khidmat nasihat dari Aziz Sattar.
UB: Bagaimana datuk mulai minat dalam filem?
DEDDY:Sejak kecil saya memang minat Filem Tan Sri  P.Ramlee.Adakalanya filem filemnya yang ditayangkan di panggung wayang di Tuaran, saya tonton empat lima kali. Harga tiket masa itu antara 30 sen hingga 50 sen. Dengan harga tiket itu saya boleh menonton di kelas kambing. Duduk paling depan. Itu sebabnya saya dapat menghafal dan menyanyikan lagu-lagu P.Ramlee.
UB: Pernah jumpa Tan Sri P Ramlee?
DEDDY: Saya pernah bertemu sekali saja dengan Tan Sri P.Ramlee di Shah Motel bersama Datuk Salleh Sulong. Itulah saja pertemuan kami. Masa itu, P Ramlee sudah di Kuala Lumpur.
UB: Selepas menubuhkan Sabah Film Production, apa filem pertama yang dikeluarkan?
DEDDY: Filem pertama yang kami terbitkan ialah Keluarga Comat. Saya minta Aziz Sattar untuk jadi pengarah. Saya tanya "Abang Aziz boleh arah buat filem kan? Lama dia tidak menjawab, Katanya dia tidak mempunyai pengalaman.  Abang Aziz boleh arah? Aziz jawab saya cuba-cuba.Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong.  . Abang Aziz yang  tulis skrip dan arahkan.Awalnya memang Aziz gusar memikul tanggungjawab itu kerana pengalamanya mengarah tidak begitu banyak.Saya katakan padanya, tidak apa, tulis dulu skrip dan saya akan uruskan hal lain seperti membeli peralatan kamera, cari jurukamera dan krew filem yang lain.Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong.  Saya bawa Oscar Bakar Ali beli peralatan filem, kamera filem kerana dia yang paling tahu soal kamera.
Dalam filem Keluarga Si Comat kami syuting di Singapura, Semenanjung dan Sabah. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penonton.
Selepas kejayaan itu,  Sabah Filem menerbitkan Hapuslah Airmatamu, lakonan Broery Marantika yang ketika artis top di Indonesia, pelakon terbaik Indonesia, Christine Hakim dan Datuk Sharifah Aini, Penyanyi top Malaysia dan Latiif Ibrahim. Filem itu berjaya menjadi satu fenomena dalam Filem Malaysia masa itu. Hampir setiap rumah memiliki kasetnya.Setiap yang ada kereta, memiliki kaset Hapuslah Airmatamu.  Lagu-lagu menjadi siulan anak muda
UB: Apa kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berada dalam industri filem?
DEDDY: Banyak juga. Salah satu filem yang mendapat sambutan hebat masa itu ialah filem Azura. Saya jadi pengarah.Kami buat syuting di Kundasang, Kuala Lumpur.  Pemandangan menarik, lagi pula lokasi syuting di Kundasang itu bagus untuk filem cinta. Filem Azura  menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud, A.Galak dan Maria Arshad.
 Dalam filem keluaran Sabah Film saya banyak memilih lokasi syuting di Sabah.  Kemudian saya mengarahkan filem Pendekar, saya buat syuting antaranya di Kota Belud.  Saya memujuk M Amin untuk berlakon. Antara pelakon yang terlibat pelakon Indonesia Farouk Afero, Teh Faridah dan Malik Selamat.
Satu lagi kenangan ialah filem Si Badul arahan Aziz Sattar  yang mendapat sambutan hangat, hingga ada peminat yang meninggal dunia ketika berebut tiket di Kelang. Nama AR Badul dan Allahyarham R Jaafar masa itu memang cukup popular. Filem itu menjadi box office dan kutipannya mencecah RM2 juta , satu jumlah yang cukup banyak jika dibandingkan dengan harga tiket masa itu.Filem itu bertahan selama 60 hari di panggung Coliseum dan 102 hari di Panggung P.Ramlee dan menjadi antara filem Melayu yang paling lama bertahan di pawagam.
UB: Berapa filem yang sempat diterbitkan sepanjang pembabitan dalam filem?
DEDDY: Selama kira-kira 15 tahun  dalam industri filem tanahair, Sabah Filem menerbitkan sebanyak 18 buah filem.Antaranya ialah Keluarga Si Chomat (1975) , Hapuslah Air Matamu (1976) Pendekar (1977),Gila-Gila, Kisah Seorang Biduan, Si Badol, Si Luncai dan Tuan Besar (1980),Sumpah Semerah Padi dan Toyol (1981) Bertunang (1982) Manis-Manis Sayang dan Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Azura, Di Ambang Kasih, Pagar-Pagar Cinta dan Talaq (1984) Si Jantung Hati (1985).
UB: Apa pengalaman menarik ketika berlakon dalam filem?
DEDDY: Saya pernah naik kerbau. Naik tanpa pelana, hanya tarik ekornya. Saya juga pernah jatuh kerbau sampai sakit pinggang. Saya pernah buat 15 kali stunt untuk filem saya. Walaupun menjadi penerbit filem, Saya selalu bersama krew mengangkat kerusi, menyediakan set dan props, sistem tata cahaya, kamera, hinggalah sudut pengarahan.
UB: Masih ingin bergiat dalam filem? Apakah masih ada keupayaan untuk itu?
DEDDY:  Saya yakin masih bertenaga. Saya ingin membuat filem Pahlawan Mat Salleh. Saya mahu bikin baru dengan format baru. Saya mahu melahirkan filem epik yang besar mengenai Pahlawan Mat Salleh. Saya yakin dengan adanya teknologi terkini kita boleh melahirkan filem besar yang boleh diterima penggiat filem di peringkat global.  Dulu saya pernah mengeluarkan Filem Mat Salleh Pahlawan Sabah tapi saya kurang puas hati walaupun ia diterima peminat. Banyak kekurangan dalam filem itu, Kali ini kita buat filem yang lebih besar dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa.