Saturday, March 31, 2018

PANTAI SABANG YANG CANTIK DAN PENUH KISAH SEJARAH

PANTAI SABANG YANG CANTIK DAN PENUH KISAH SEJARAH
--Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 6)

Selepas Jumaat, kami ke Sabang yang terletak di sebelah utara  pusat kota Tolitoli. Pantai ini adalah spot diving atau tempat penyelaman terbaik di Tolitoli. Ia menyimpan keindahan tersembunyi di dasar lautnya. Jarak karang dari bibir pantai hanya 50 hingga 100 meter, dan  menjadi favourit snorkeling setiap akhir minggu. Kedalaman sekitar pulau pula antara 20 meter hingga 60 meter. Pantai itu memiliki surga bawah air yang memukau.
Memang sebelum ke sana, kami diberitahu bahawa pantainya memang cantik,dan sesuai untuk aktiviti penyelaman dan kami disarankan membawa baju mandi jika ingin mandimanda.
Namun kami memilih untuk melihat-lihat saja. Saya sendiri datang hanya untuk menuliskan potensi wisata yang terdapat di pantai itu.
Sebelum itu, kami singgah di Kantor Dinas Wisata (Pejabat Pelancongan) di Jalan Gadarman Hangkiho. Di sana, kami  bertemu dengan Steve Todd, pelancong dari England yang bersama kami di Kapal KM  Bukit Siguntang itu. Beliau baru balik dari Desa Wisata Malangga di Kecamatan Galang. Di sana terdapat air terjun yang cantik setinggi 5 meter yang dikelilingi Hutan Tropika dan banyak dihuni hidupan air tawar seperti udang dan ikan air tawar. Pelbagai jenis haiwan hutan tropika seperti burung tekukur, nuri, kakak tua, serindit leher merah dan binatang lain seperti monyet, ayam hutan dan sebagainya.
Tapi Steve lebih tertarik bercerita mengenai kunjungannya melihat Rumah Langko, perkebunan koko, Cengkih, pembuatan guka merah dan permainan tradisi masyarakatnya.
Sebenarnya banyak potensi wisata di Tolitoli. Kami tidak sempat ke Tanjung Matop, salah satu pusat konservasi yang memiliki keunikan tersendiri. Kalau ke sana, masa yang diperlukan antara dua hingga tiga jam dengan jarak kira-kira 95 kilometer dari Kota Tolitoli. Antara yang menari di sana ialah burung Maleo yang boleh bertelur kira-kira 10 kali besar dari telur ayam. Burung Maleo akan mencari tempat sekitar pantai untuk menyimpan telur-telurnya. Burung itu bertelur mulai April hingga Oktober dan diikuti surutnya air laut.
Steve kelihatan tertarik untuk mengikut kami ke Pantai Sabang Tende.  Saya teringat frasa  Dari Sabang sampai Marauke. Namun Sabang yang dimaksudkan ini bukan Sabang di kilometer nol di ujung  pulau SumateraIndonesia sebaliknya, Pantai Sabang Tende adalah kebanggaan Tolitoli dan selalu dianggap sebagai tempat penyelaman terbaik di kabupaten itu.


Selepas mengadakan kunjungan hormat di pejabat Kepala Dinas Pariwisata, Moh Nasir Daeng Marumu, kami bergegas ke Pantai Sabang tapi sebelum itu sempat singgah di rumah rehat Wakil Bupati, Drs Abdul Rahman Haji Budding. Menikmati kelapa muda di sana memang mengasyikkan juga dengan suasana petang dengan angin yang bertiup semilir.


Tidak jauh dari sana Pantai Sabang. Tempat itu memang cantik. Apatahlagi kami sempat menikmati kopi ditemani pisang goreng.



Tanpa disangka kami bertemu Pak Darwis Abd Hamid, seorang penduduk kampung yang bercerita mengenai beberapa pengalamannya sewaktu di Sabah.


Dahulu, bersama rakan-rakannya, ia berlayar dari Tolitoli ke Borneo, kadang-kadang tiga, kadang lima lima untuk sampai ke Sabah. Di Sabah, Pak Darwis yang  usianya masih belasan ketika itu sanggup bekerja di berbagai lapangan pekerjaan. Pernah kerja tarik kayu balak.
“Tawau sangat sunyi sekali,” katanya. Masa itu, beliau kerja di tugboat, kerja menarik kayu balik. Kalau siangnya kerja, malamnya dia tidur di Sebatik, paginya dihantar kerja tug boat.
Beliaulah antara orang pertama yang berpeluang melihat kapal Indonesia yang pertama , Pasaman namanya,sampai di Tawau selepas konfrontasi pada 20 April 1967, kenangnya.
. Darwis juga bercerita mengenai tragedi Double Six, peristiwa yang berlaku pada 6 Jun 1976 apabila helikopter jatuh Sembulan mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen dan beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan. Kejadian itu berlaku tidak jauh dari rumahnya, dan dia menceritakan suasana yang masih segar diingatannya.
“Masa itu kira-kira 4.00 petang. Kami sedang berkumpul di rumah sewa di Sembulan ketika helikopter itu jatuh katanya yang melihat kejadian memilukan itu dengan mata kepala sendiri. Pak Darwis bersama rakan-rakannya menyewa di Sembulan.
Di Kota Kinabalu, beliau antara yang penjual sanggar dan nasi goreng pada tahun 80-an. Banyaklah kenangan yang diceritakan ketika ia bekerja di Sabah.
Kemudian beliau bertanya apa tujuan kami datang ke Tolitoli. Secara bergurau, saya memberitahu tujuan kami datang adalah untuk menjejaki Iranun yang dianggap perompak oleh penjajah barat.
“Oh, di sini disebut Magindanu. Mereka dulu datang 40 hingga 60 perahu. Orang-orangnya bertubuh besar dan sasa, menurut cerita orang tua-tua, kata Pak Darwis. Perwatakannya keras, katanya.
Ada bekas kuburannya yang baru ditimbus untuk pembangunan, katanya. Kami meminta dipertemukan dengan orang yang menemui kuburan itu.  Pak Abu, Mulanya beliau keberatan bercerita kerana ada orang lain lagi yang menimbus kuburan itu.
Akhirnya kami ke lokasi kuburan lama itu. Di sana, kami diberitahu ada sebuah lagi lokasi perkuburan Iranun yang terletak di tepi pantai tidak jauh dari sana.
Pak Darwis memberitahu bahawa kuburan Iranun Magindanu itu terbiar sejak dahulu lagi, tanpa pernah dilawati oleh siapa siapa, berbanding dengan kuburan yang jelas pewarisnya, kawasan kuburan itu tak pernah dikunjungi.
Beliau sangat yakin mengenai keberadaan kuburan Iranun itu. Beliau sangat bersemagat membawa kami ke kuburan itu, “kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu mengkaji nenek moyang kita yang dulu pejuang itu,” katanya.
"Nenek moyang kita pejuang,kalau bukan kita, siapa lagi yang nak ungkit" ulangnya lagi, katanya
Di kawasan kuburan, kami melihat banyak batu nesan menunjukkan kuburan itu sudah ratusan tahun usianya. Sebahagiannya mungkin sudah dihakis kerana tempat itu sangat dekat dengan tepi pantai.





Kuburan itu amat bersejarah. Kami mencadangkan agar kawasan itu dipelihara atau sekurang-kurangnya di pagar dan dijadikan sebagai Cagar Budaya Nasional. Jika kawasan itu dibersihkan, sudah pasti ia akan  menarik lebih ramai pengunjung dari Sabah dan Mindanao yang memiliki keterkaitan sejarah dengan Tolitoli yang akan datang berkunjung. Bahasa Tolitoli juga mempunyai persamaan dengan bahasa di Borneo.Buuk dalam bahasa Tolitoli bermaksud rambut, tapak tangan dalam bahasa tolitoli ialah parak manakala hingus pula dalam bahas toli toli ialah sepun, Dalam bahasa Tolitoli Tutung bermaksud terbakar.
Lalu ke mana orang-orang Iranun itu pergi? Pak Darwis berkata mereka sudah  berpindah ke Santigi,Lingadan dan Pangalasiang. Tapi Fahri, seorang peneliti sejarah mengatakan, mungkin mereka juga ada di  Salumpaga dan Bountounan selepas diserang oleh Belanda. Ada catatan menunjukkan bahawa serangan itu berlaku pada 1812 lalu mereka berundur ke Dampal pada 1822 dan mengumpul kekuatan di sana bersama masyarakat tempatan sebelum melakukan serangan balas.
Hari sudah petang ketika itu.Matahari sudah terbenam di laut Sulawesi. Kami sangat gembira dengan penemuan itu. Kami sangat berterima kasih kepada Pak Darwis, dan Pak Fahri, seorang peneliti sejarah tempatan, dari Dinas Wisata dan rakan-rakan lain seperti Pak Kadis Moh Nasir, pak Amiruddin dan mas Anto.

Kami tidak terus pulang sebaliknya singgah di Restoran di Tanjung Batu untuk menikmati makan malam dengan lauk ikan bakar yang aduhai, betapa sedapnya.
Namun sekembalinya ke Rujab, rupanya kami sudah ditunggu kerana jamuan makan malam sudah terhidang. Kami rasa bersalah kerana tidak tahu rupanya makan malam disediakan.
Kami makan sekali lagi demi menghargai tuan rumah yang sangat baik melayani kami. Mereka setia menunggu sehingga kami tiba. Malam itu kami tidur kekenyangan, tapi esoknya harus bangun awal kerana kami akan berangkat ke Palu dan sebelum itu, singgah di Dampal Selatan dan Talaga.

No comments: