Ahad, 1 April 2018

PENGALAMAN DI ATAS KAPAL KM BUKIT SIGUNTANG

Tags

PENGALAMAN DI ATAS KAPAL KM BUKIT SIGUNTANG
-Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari-Siri 2
Sebelum masuk, tiket diperiksa dengan teliti. Pemeriksa tiket itu kemudian memberi tanda cap di tangan kiri setiap penumpang. Aneh juga caranya. Ini kali pertama saya mengalami pemeriksaan seperti itu.
Di balai berlepas, sekali lagi kami bertemu dengan Steve Todd, pengembara `backpackers’ dari England.Dia berubah fikiran. Pada mulanya beliau mahu terus ke Balik Papan, tapi kemudian beliau memilih Toli-toli.Mungkin beliau tertarik dengan perjalanan kami.
Steve sudah mengelilingi banyak negara. Selain bahasa ibundanya, beliau boleh bercakap Perancis, Jerman dan Sepanyol.Juga boleh bercakap bahasa Arab dan beberapa bahasa dunia yang lain.
Tidak lama kemudian tibalah waktu keberangkatan kami. Penumpang berpusu-pusu menuju KM Bukit Siguntang, kapal penumpang yang akan membawa kami ke Toli-Toli.








KM Bukit Siguntang, khabarnya dibina di Jerman. Ia adalah salah satu daripada 22 kapal yang dipesan oleh Indonesia ketika zaman Pak Harto.Kapal itu mampu membawa seramai 2003 penumpang dan 157 anak kapal. Panjangnya kira-kira 146.50 meter. Terdapat perpustakaan,  surau , cafe, panggung wayang ,geladak berjemur dan sebagainya.
Mulanya kami ke Lantai 5, sebutan untuk tingkat lima. Tiket yang kami beli untuk kelas ekonomi. Banyak katil disusun berjajar. Ada yang sudah dihuni dan ada juga yang masih kosong. Berada di tengah keramaian itu agak menyeronokkan. Terdapat 20 orang atau mungkin lebih dalam ruangan kami.
Akhirnya kami menerima tawaran ABK (Anak buah kapal) yang menyewakan kabin di tingkat 3 dengan harga Rp500,000, katil `untuk lima orang dan makan sebanyak dua kali Makanan dihantar terus ke kabin kami. Selain boleh tidur dan berehat dengan selesa, kabin kami terletak berhadapan dengan bilik mandi.
Saya mengambil peluang melihat suasana dalam kapal. Mengambil gambar pelabuhan Tanon Taka dan melihat gelagat penjual makanan ringan yang menjajakan jualan masing-masing.
Selepas mendapat tahu ada cafe di Lantai 7 kapal itu, Saya berazam untuk menulis hingga petang. Tekad saya hanya terhenti apabila kehabisan bateri. `Power bank’ tidak dibawa dan mujurlah ada tempat pengecaj dalam kabin.
Di Cafe itu, saya memesan capuchino. Mengeluarkan laptop untuk menulis. Saya sengaja berlama-lama, suasananya agak nyaman dan mengilhamkan. Apatahlagi ada wifi Coconnet. Hanya beli voucher seharga Rp30,000. Saya mengambil kesempatan untuk menjawab mesej dalam whatsApp.
Meja saya agak ketepi, meskipun tidak terlalu tepi. Saya seorang diri di meja itu walaupun kadang-kadang ada juga orang duduk bersama di meja yang sama.
Salah seorang daaripadanya ialah Napie. Keturunan Bugis Bone. Kini menetap di Sandakan. Napie datang menziarahi keluarganya yang sakit. Perlu tiga hari dua malam untuk sampai ke Bone dengan kapal laut itu, katanya. Selepas Toli-Toli, KM Bukit Siguntang akan singgah di Balik Papan.Dari Balik Papan, kapal itu akan berangkat ke Pare Pare. Dari Pare-Pare, kapal penumpang  itu akan ke Makassar, kemudian Bone dan selepas itu, Kupang.
Jadual kapal dari Nunukan ke Toli-Toli sebulan dua kali. Jika terlepas kapal, terpaksa menunggu dua minggu lagi. Tidak ada penerbangan langsung ke Toli-Toli dari Nunukan. Paling dekat adalah dari Tarakan ke Palu, terbang selama satu jam kemudian dari Palu, naik pesawat lagi ke Toli-Toli.
Kami sengaja memilih jalan laut. Sengaja untuk menjejaki jalur pelayaran nenek moyang kira-kira 200 tahun yang lampau, ketika teknologi enjin belum ada dan orang bergantung tiupan angin untuk berlayar.
Justeru, sementara menunggu arah angin berubah, pangangayau atau pengembara lautan itu berhenti di satu teluk atau kawasan yang terlindung, membina penempatan, berinteraksi dengan penduduk tempatan, dan mungkin sempat kahwin mawin, dan membina kehidupan baru.
Pada tahun 1812, Hunt, seorang penulis barat menyatakan terdapat kira-kira 3,000 orang Iranun di Toli-Toli. Mereka membina penempatan di sana, memiliki kira-kira 300 meriam dan perahu antara 50 hingga 60 perahu.
Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dalam rekodnya mencatatkan bahawa terdapat persepakatan yang rapat antara Iranun dengan Pemerintah Tontoli atau Toli Toli. Masa itu, Tontoli membangun sebagai sebuah masyarakat multi etnik dan hidup hasil perdagangan maritim.
Sebelum itu, penjelajah Iranun sudahpun berada di Toli-Toli. Menurut pemerhatian Thomas Forrest, pada tahun 1800, Toli-Toli sudahpun menjadi laluan bagi perdagangan antara Timur Sulawesi dan Maluku.
Pada tahun 1822, Belanda menyerang Iranun di Toli-Toli. Beberapa penempatan Iranun dibakar, kira-kira 50 perahu dimusnahkan, 40 Iranun dibunuh. Mereka  terpaksa berundur dan membuat pengkalan baru di  Dampelas dan Kaili. Dari sana mereka berkumpul semua untuk serangan balas. Mereka mendapat sokongan penduduk tempatan, seperti di Selat Tolo, Tobello dan Tobungku yang kehilangan rumah, tanah dan kebebasan dan mencari peluang untuk membalas dendam kepada VOC. Beberapa tahun kemudian, mereka diserang lagi. Menurut catatan VOC, pada tahun 1830, hanya Tungku, di Borneo yang selamat dari serangan VOC.
Selepas cangkir kedua, Ayahanda OKK Haji Masrin dan WKAN Abd Madin datang untuk mengopi, sambil saya menemuramah beliau mengenai puisi tradisional iaitu Bayuk.
Ketika kami bercakap-cakap itu, datang dua orang anak kapal membuat pemeriksaan tiket. Namanya Madin. Sebaik ternampak namanya, saya terus meminta kesudian Madin untuk bergambar dengan Abd Madin.Jarang berlaku, orang satu nama atau sangai bertemu di atas kapal.
Selepas makan dan berehat dalam kabin, saya tidak tidur untuk menunggu matahari masuk ke dalam laut. Tetapi hari gerimis dan langit dilitupi awan. Saya memilih untuk mengambil wuduk dan berjalan menuju surau al ikhlas di tingkat 7.
Sebelumnya, saya sempat melihat telefon yang tengah caj. Banyak panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenal. Ternyata ada mesej pak Amiruddin yang meminta saya menghubungi nakhoda kapal. Satu lagi nombor dari Pak Jabir, kepala Pelni Toli-Toli, yang menanyakan lokasi. Rupanya mereka menyediakan kabin khas untuk kami. Saya terpaksa menolaknya kerana kami sudah ada kabin. Beliau memberitahu bahawa setibanya di pelabuhan Toli-Toli nanti kami harus turun lebih dahulu kerana ada upacara penyambutan.