Saturday, March 31, 2018

PENGALAMAN NAIK FERI DARI TAWAU KE NUNUKAN

PENGALAMAN NAIK FERI DARI TAWAU KE NUNUKAN
CATATAN PERJALANAN MENJEJAKI JALUR PELAYARAN NUSANTARA DI ZAMAN BAHARI-Siri 1





Entah dari mana  saya mulai? Melihat ombak yang berpecahan ketika kapal KM Bukit Siguntang meninggalkan Pelabuhan Tanon Taka Nunukan memunculkan banyak fikiran yang bercampur baur dengan ingatan dan kenangan. Menelusuri jejak sejarah jalur pelayaran nusantara sejak zaman bahari, sungguh bukan kerja yang mudah.
Saya memesan capuchino. Duduk di atas dek tingkat tujuh dengan tiupan angin sepoi membuat kita cepat cepat ingin menulis sebelum ilham berterbangan sebelum hilang dan dihanyutkan  sementara kapal makin menjauh membelah Laut Sulawesi menuju Toli-Toli.
Kami berempat berangkat dari Kota Kinabalu kira-kira jam 8.00 malam. Tiba di Tawau kira-kira jam 4.12 minit pagi selepas kira--kira lapan jam dalam perjalanan. Bas Tung Ma yang kami tumpangi itu agak laju membelah kegelapan,Selepas berhenti sebentar di di kedai minum yang masih buka, kami akhirnya memutuskan untuk  ke masjid bandar.
Sebahagian jemaah sudah menyelesaikan solat Subuh. Ada yang menyarankan agar jangan meninggalkan beg di luar  sebaliknya membawanya ke dalam. Halaman masjid itu agak bersih. Selepas mengerjakan solat, kami berehat untuk meleraikan keletihan.
Rombongan Persatuan  Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) di ketuai Yang Di Pertuanya,OKK Haji Masrin Haji Hassin, WKAN Abd Madin Sumalah, saya sendiri sebagai Ketua Penerangan BKI dan Aziz Ambodai Pengerusi Komuniti Bugis Kota Belud sebagai penunjuk jalan
Kira-kira jam 7.00, kami berangkat menuju terminal feri Tawau. Kali ini tak perlu lagi mengheret beg kerana adik ipar saya,Sam datang menghantar kami. Selepas itu saya sempat lagi ke Flat Titingan berjumpa ibu mertua yang sudah pun menyiapkan kopi.
Sebaik kaunter dibuka, saya terus membeli tiket ke Nunukan. Saya sempat  bertanya gadis di kaunter mengenai jadual perjalanan. Dia memberikan penerangan dengan baik sebelum menyerahkan pasport kami.
"Bang Nadin tidak kenal saya lagi?"
Saya tidak berapa ingat. "Saya Marina, anak Cikgu Ismail", katanya.
"Oh, siapa nama panggilanmu di kampung itu? "
"Ita" katanya. Ita adalah sepupu saya, anak pakcik Maing. Cukup lama tidak bertemu dengan Ita. Kali pertama bertemu usianya sekitar empat atau lima tahun. Saya rasa agak terkejut dan gembira dengan pertemuan yang tidak disangka itu.
Jam menunjukkan 10.30 pagi ketika kami dipersilakan untuk menaiki feri MV Mid East. Namun feri yang dijadualkan berangkat jam 11.30 , hanya berangkat kita-kira jam 12.00 tengahari.
Kami memilih tempat duduk di bahagian atas. Bersama kami ada `orang putih,Steve dari England. Beliau bekerja dalam bidang pembinaan bangunan dan kini sedang bercuti.
Kira-kira dua jam kemudian, feri sampai di Pelabuhan Tanon Taka. Saya sempat merakamkan beberapa gambar sebelum menuju ke tempat pemeriksaan imigresen.
Di sana kami bertemu dengan Azwar, yang menawarkan pertolongan untuk menunjukkan hotel dan tempat agen tiket.
Kami menginap di Hotel Melati Indah. Rp250,000 satu malam. Kamarnya dua katil. Selepas itu, kami mencari tempat makan, kerana masing-masing kelaparan.
Selepas makan, kami membeli tiket kelas ekonomi ke Toli-Toli. Harga tiket sebenarnya hanya Rp216,000 campur dengan  Rp10,000, ertinya hanya Rp236,000. harga tiket di tempat agen Rp250,000. Tapi `Calo’  meminta Rp300,000 kerana wang selebihnya katanya untuk bayaran khidmatnya.
"Terus terang saja, katanya, untuk sedikit untung kami" Jadi satu orang perlu menambah Rp50,000. Harga tiket Rp1.2 juta untuk 4 orang. Sepatutnya hanga Rp1 juta saja.
Sebenarnya saya boleh saja menolak untuk mem bayar mereka kerana sebenarnya kami tidak begitu memerlukan khidmat mereka. Lagipula bayaran yang diminta itu sebenarnya agak tinggi. Tapi , sudahlah. Saya mahu agar perjalanan kami berjalan mulus tanpa kejadian yang tidak diingini. Sepatutnya dia tidak boleh cari untung seperti itu. Maknanya empat orang, beliau dapat secara Rp 200,000 ataiu hampir RM60.00 secara cuma-cuma.
Kami cepat pulang ke hotel untuk membersihkan badan. Pagi tadi tidak sempat mandi. Selepas itu, kami berehat sebentar.Petangnya kami sempat minum air kelapa. Malamnya kami makan berlaukkan ikan bandeng bakar atau kalau di Sabah, disebut ikan baulu.
Saya sengaja tidur lewat sambil menunggu Mas Enal , rakan wartawan dari Radar Tarakan.Mungkin  beliau agak sibuk kerana sewaktu menghubunginya, beliau menyatakan masih banyak yang perlu dikerjakan.
Di luar ada warung bakso. saya cuba makan bakso. Berbagi rezeki dengan peniaga bakso sambil berharap kami didatangi kebaikan-kebaikan.
Subuh tiba di Hotel Melati Delima dengan ketukan di pintu. Ayahanda OKK Haji Masrin sudah siap untuk `check out’ padahal jam baru menunjukkan jam 5.30 pagi.  Di luar masih gelap. Nasib baik saya sudah selesai mandi dan solat, dan sudahpun memakai baju.
Kami sempat mencicipi nasi kuning ikan, makanan paling popular di Nunukan. Jam 7.00 peluit kapal KM Bukit Sigunting dibunyikan. Kami bergegas ke terminal kerana kapal akan berangkat kira-kira jam 9.00 pagi.

No comments: