Saturday, March 24, 2018

PERCAKAPAN DENGAN NELDY DAN CHRIS GALLEGOS MENGENAI BAHASA

PERCAKAPAN DENGAN NELDY DAN CHRIS GALLEGOS MENGENAI BAHASA

Banyak perkara menarik yang menjadi topik perbincangan kami ketika dikunjungi Chris Gallegos, rakan kami dari Quezon City Manila. Bersama pasangannya Emm Austria, beliau bercuti di  Kota Kinabalu untuk merasakan betapa cantiknya pantai di Pulau Manukan dan betapa segar dan dinginnya angin di Kundasang. Chris adalah rakan kami yang ikut serta  dalam Media Fam Trip South East Asia 2015 selama 10 hari di Indonesia bersama lebih 30 wartawan lain dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja.
Salah satu yang mungkin boleh dikongsikan ialah persamaan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu dan bahasa Tagalog, atau nama rasminya Filipino, bahasa rasmi di Filipina disamping bahasa Inggeris. Bahasa Tagalog tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia.
Sambil menikmati makan malam di Pasar Malam Ikan Todak, kami bercerita mengenai keunikan dan persamaan perkataan antara bahasa Melayu dan bahasa  Tagalog. Kebetulan sahabat saya, Neldy mahir bahasa Tagalog kerana pernah kuliah selama tujuh tahun  di Mindanao State University (MSU) di Marawi City. Neldy bukan saja pengkaji bahasa, kelulusannya adalah dalam bidang perhutanan, botani, pernah menjadi pensyarah di universiti, seorang penyair, komposer, pelakon, bloggers dan kini menyiapkan kajian sarjana di Universiti Malaysia Sabah mengenai ukiran atau Ukkil Suluk.
Melalui pengetahuannya yang kaya dalam bahasa itulah, kami dapat membandingkan antara bahasa Melayu dan bahasa Filipino atau  Tagalog.
Ada perkataan "dalamhati" dalam bahasa Tagalog, ada frasa "dalam hati" dalam bahasa Melayu tetapi pengertiannya tidak sama.Pengertian `dalamhati' dieja satu perkataan dalam bahasa Tagalog ialah berduka atau kecewa. Bagi kita, dalam hati bermaksid sesuatu yang tidak dizahirkan atau tidak diucapkan, sesuatu yang hanya dipendam dalam fikiran dan perasaan, tidak diluahkan.
Perkataan "Indah" bagi kita tentulah membawa makna cantik, molek, elok dan sebagainya. Tetapi dalam bahasa Tagalog, indah bermaksud tidak diendahkan atau tidak dipedulikan.
"Duka" dalam bahasa Melayu maksudnya perasaan yang susah dan sedih. Dalam bahasa Tagalog, duka bermakna orang miskin. Kalau kita melihat orang miskin tentulah kita turut berduka apatah lagi jika tidak dapat membantunya.
"Sulit" dalam bahasa Melayu bermakna dirahsiakan sukar, gawat atau rumit tetapi dalam bahasa Tagalog , ia bermakna berbaloi.
Satu lagi perkataan iaitu " buntut'. Dalam bahasa Tagalog, ia bermakna ekor binatang tapi dalam bahasa melayu, ia adalah bahagian badan di antara belakang dan kaki atau punggung. Perkataan itu selalu kita gunakan dengan penambahan seperti membuntuti, mengekori dan sebagainya.
"Kulit" dalam bahasa Melayu bermakna tisu nipis yang membaluti tubuh atau bahagian luar yang membaluti isi buah, bahagian di sebelah luar dan sebagainya. Namun dalam bahasa Tagalog, kulit maksudnya mengusik.
Neldy menambahkan, "Bintang" dalam bahasa tagalog bermakna tuduhan, bagi kita bintang bermakna salah satu cakerawala yang beribu-ribu banyaknya mengeluarkan cahaya berkelip kelip di langit pada waktu malam.
"Batas" dalam bahasa Tagalog bermakna undang-undang tetapi dalam bahasa  Melayu "Batas"  bermaksud had atau paras sesuatu yang paling tinggi, garis pinggir sesuatu  bidang, hingga, sampai dan sebagainya.
Persamaan perkataan dalam bahasa Melayu dan Tagalog ini, walaupun kadang-kadang  lain maknanya tidaklah menghairankan, kami memberitahu Chris. Bahkan Jose Rizal, pahlawan yang terkenal di Filipina itu  selalu disebut sebagai " pride of the Malay race"
Percakapan kami  berlanjut dengan menikmati kopi tenom sambil melihat suasana malam di Jesselton Point sebelum menyedari w

No comments: