Saturday, March 24, 2018

SEJENAK PERTEMUAN DENGAN PROF ABHOUD SYED M LINGGA, TOKOH PERDAMAIAN DARI MINDANAO

SEJENAK PERTEMUAN DENGAN PROF ABHOUD SYED M LINGGA, TOKOH PERDAMAIAN DARI MINDANAO

Tanpa disengaja, saya terserempak dengan Prof.Abhoud Syed  M Lingga yang sedang berjalan-jalan di luar hotel. Seorang diri. Saya menyapanya dan mengajaknya minum petang di sebuah restoran di seberang jalan.
Saya memang sudah lama berhasrat untuk mewawancarainya mengenai isu dan permasalahan masyarakat Islam di Selatan Filipina. Prof Abhoud adalah Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Bangsamoro (IBS) yang berpusat di Cotabato. IBS adalah sebuah institut bukan kerajaan yang menumpukan perhatian kepada penyelidikan mengenai sejarah Bangsamoro, Kebudayaan, Politik dan isu kontemporari, dan bidang latihan untuk meningkatkan dan memperkasa golongan belia, wanita dan golongan miskin,  selain memberikan khidmat masyarakat untuk golongan kurang berkemampuan dan golongan yang terjejas akibat konflik di Selatan Filipina.
Sebagai seorang yang berpengalaman dan pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan baik dalam perkhidmatan awam dan organisasi NGO, beliau tentu memiliki pandangan menarik mengenai masalah Mindanao. Beliau memiliki ijazah sarjana dalam Pengajian Islam dan Pendidikan du universiti di Filipina.
Sebenarnya, walaupun bukan sebagai peserta rasmi, saya menghadiri Persidangan Antarabangsa Transformasi, Sosial, Komuniti dan Pembangunan Lestari 2017 (ICSTCSD) yang dianjurkan oleh Fakuliti, Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia, antara lain bertujuan untuk bertemu dengan beliau. Persidangan itu dianjurkan bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) dan Institut Sains dan Teknologi Imus Filipina.
Sambil membuat liputan mengenai persidangan itu, hasrat saya untuk bertemu Prof Abhoud tidak kesampaian kerana saya hanya melihat kelibatnya dari jauh, dan melalui Dr Ayesah Abu Bakar, saya berpesan jika dapat bertemu Prof Abhoud jika berkesempatan.
Kesempatan itu hadir tanpa diduga dan saya terus mengajaknya minum petang di Aeza Cafe. Saya gunakan peluang itu untuk menemubualnya untuk mengetahui pandangannya  mengenai prospek kedamaian di Mindanao. Kebetulan beliau juga pernah menjadi panel perunding untuk Moro Islamic Liberation Front (MILF) dalam perundingan dengan Kerajaan Filipina.
Temubual dibuat dalam bahasa Inggeris dan diselangi dengan bahasa Iranun, kerana kebetulan Prof Abhoud Syed M Lingga dari suku bangsa Iranun yang dilahirkan di Zamboanga.  
Bangsamoro adalah istilah yang digunakan untuk pelbagai sukukaum atau etnik beragama Islam yang menentang penjajah Sepanyol di Selatan Filipina. Antara sukubangsa yang dikenali sebagai bangsamoro di Filipina ialah Maguindanao, Maranao, Iranun, Tausug, Yakan, Kagayan,Samal, Badjau, Kalibugan dan sebagainya.

Prof Abhoud Syed Lingga yakin bahawa memang terdapat masa depan yang cerah untuk perdamaian di Selatan Filipina. Menurutnya, konflik di Mindanao dan  mampu diselesaikan dengan baik jika semua pihak ikhlas dalam mencari penyelesaian mengenai konflik di Selatan Filipina.
Beliau gembira dapat menghadiri persidangan itu dan ikut memberikan pendapat mengenai kaedah untuk mencari persaman dalam menangani isu dan konflik secara aman.
Prof Abhoud berkata, masyarakat Islam masih menaruh harapan terhadap Manila untuk menghormati komitmen bagi penubuhan Kerajaan Bangsamoro.
Beliau berkata, ada pihak ketiga yang bertindak sebagai pemerhati  yang diketuai oleh Malaysia dan boleh melaporkan jika ada mana-mana pihak yang tidak mematuhi perjanjian yang dimeterai .
Pertemuan petang itu menjadi makin rancak apabila saudara Nelson Dino, seorang penulis, seniman, penyair, komposer, blogger, ikut serta. Kebetulan Pak Andhika BS, mantan Konsul di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, yang sedang menyiapkan disertasinya untuk PhD di UMS juga datang menyertai kami. Pak Andhika pernah bertugas kira-kira empat tahun di Mindanao dan pernah bertindak sebagai moderator bagi panel perunding sama ada antara MNLF dengan Kerajaan Filipina dan kemudian antara MILF dengan Kerajaan Filipina.  Beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang pengurusan konflik.
Suasana pertemuan itu memang agak santai. Prof Abhoud melihat konflik Mindanao dalam bingkai perjuangan dan penentangan rakyat Bangsamoro dari dominasi dan penjajahan terhadap masyarakat Islam di selatan Filipina.
“Konflik antara Kerajaan Filipina dan penduduk bangsamoro bermula tuntutan kerajaan terhadap kedaulatan dan tuntutan rakyat Bangsamoro untuk melaksanakan hak mereka untuk pemerintahan sendiri.
“Kita harus melihat persoalan ini dari perspektif berbeza. Rakyat Bangsamoro mahu melaksanakan hak mereka untuk kerajaan sendiri tetapi kerajaan pusat tidak membenarkannya. Mereka (Rakyat Bangsamoro) berusaha untuk menggunakan proses demokratik dan aman tetapi tidak berjaya. Apabila mereka menempuh perjuangan bersenjata untuk mempertahankan komuniti mereka dari serangan tentera, ramai yang terkorban dan harta benda musnah sama ada di pihak bangsamoro dan kerajaan.
Sebenarnya, konflik Mindanao ini adalah perjuangan rakyat bangsamoro untuk mempertahankan cara hidup mereka, kepercayaan dan maruah kedaulatan rakyat mereka dari dominasi pihak berkuasa, katanya.
Prof Abhoud menjelaskan pandangannya mengenai bingkai pemikiran bangsamoro dalam perjuangan untuk mendapatkan penyelesaian konflik yang berlarutan di Mindanao dan Sulu.
Sungguhpun, sudah lewat petang tetapi Prof Abhoud semua soalan yang diajukan dengan baik. Suaranya lembut dan santun tetapi kegigihannya untuk memperjuangkan penyelesaian mengenai pelbagai isu dan konflik di Selatan Filipina dalam pelbagai forum tempatan dan antarabangsa amatlah tinggi.
Beliau memberikan pelbagai pandangan ke arah tercapainya keamanan dan perdamaian yang berkekalan di selatan Filipina beserta dengan justifikasinya.
Pada sebelah malamnya, selepas acara persidangan itu, saya bersama Datu Jamaludin Moksan, seorang calon PhD di UMS yang mengkaji mengenai peranan Iranun dalam dunia maritim di Nusantara menemui Prof Abhoud sekali lagi. Kali ini cerita berkisar mengenai sejarah masyarakat Iranun sebagai wira samudera di Nusantara pada abad ke-18.
Namun Prof Abhoud memiliki pandangan lain mengenai teori kedatangan Iranun di Filipina dan Borneo. Baginya sukubangsa Iranun berasal dari Sumatera yang memiliki tamadun lebih awal. Hujah-hujahnya juga disertai pelbagai dalil yang boleh diterima.
Beliau juga menerangkan mengenai sosial budaya masyarakat Iranun yang terdapat di Filipina. Banyak hal menarik yang dibincangkan dengan Prof Abhoud Syed M Lingga Tapi malam sudah larut dan kami terpaksa menutup pertemuan itu dengan berjabat tangan dan harapan agar dapat berjumpa lagi di masa yang akan datang.

No comments: