Saturday, March 31, 2018

Singgah Semalaman di Tarakan


Singgah Semalaman di Tarakan
--Catatan Perjalanan menjejaki jalur pelayaran Nusantara di zaman bahari (siri 9)

Penerbangan Wings Air dari Kota Palu ke Tarakan mengambil masa kira-kira satu jam tiga puluh minit. Berangkat jam 11.55 pagi dari Palu, ibu kota Sulawesi Tengah, kami tiba di Tarakan Kalimantan Utara kira-kira 1.25 petang.



Setibanya di pulau itu, saya menghubungi Bang Aziz yang kebetulan sedang berlatih badminton untuk menghantar kami ke hotel. Ketika kami keluar dari balai berlepas di Bandara Juwata, Bang Aziz sudahpun menanti ketibaan kami.

Bang Aziz ini masih ada kaitan keluarga dengan mertua saya.  Beliau bertugas di Hospital Tarakan. Ketika pertama kali ke Tarakan kira-kira sepuluh tahun lalu, masa itu beliau kuliah sarjana hukum sambil bekerja di hospital.  Rupanya beberapa bulan sebelum itu, beliau singgah di Kota Kinabalu dalam perjalanan ke Bandar Seri Begawan untuk mewakili Kalimantan Utara dalam kejohanan sukan di Brunei.
Beliau bercerita mengenai kos pengangkutan yang makin mahal di Tarakan. 'Sewa mobil saja satu hari Rp250,000," katanya.
Selepas itu kami mencari tempat penginapan kerana perlu bermalam di Tarakan sebelum pulang melalui Nunukan, kerana masa itu Feri Tarakan ke Tawau 'naik dock'.
Ada banyak hotel di Tarakan, antaranya Hotel Duta, Padmaloka, Royal Tarakan, Hotel Atia, semuanya saya baca informasinya sewaktu menunggu bagasi di lapangan terbang.
Kami memilih untuk menginap di Hotel Galaxy kerana ia terletak tidak jauh dari Toko Buku Gramedia. Letaknya di Jalan Yos Sudarso, berdekatan dengan balai polis.
Selepas berehat sebentar, saya mengajak WKAN Abd Madin untuk mencari buku di Toko Buku Gramedia, yang terletak kira-kira 500 meter dari hotel.




Kami menyusuri Jalan Yos Sudarso, Tarakan.  Selain di Tarakan, terdapat juga jalan Yos Sudarso di Jakarta, di Medan, Palembang, Papua dan sebagainya. Dalam hati tertanya tanya juga siapa Yos Sudarso yang menjadi nama jalan di Tarakan.
Setelah membuat carian di google, rupanya Yos Sudarso adalah nama seorang komodor tentera laut Indonesia yang terkorban dalam pertempuran di Laut Arafura Maluku pada 15 Jan 1962.  Beliau berasal dari Salatiga dan ketika meninggal dunia itu beliau adalah Timbalan Ketua Staff TNI.
 Beliau terkorban selepas kapal yang dinaikinya RI Matjan Tutul tenggelam di lau Arafura. Kapal lain RI Matjan Kumbang, RI Harimau yang sedang  berpatroli pada masa itu selamat. Komodor Yos Sudarso terkenal dengan slogan Kobarkan Semangat Pertempuran.
Selepas membeli beberapa buku di Gramedia, kami terpaksa memendekkan masa di toko buku itu  kerana Mas Anto sudah menunggu di hotel. Mas Anto adalah orang kuat ASITA atau Association of Indonesiaan Tours and Travel Agencies di Tarakan.

Selain itu, beliau juga menulis. Mas Anto banyak bercerita mengenai keistimewaan kota Tarakan.

Tarakan adalah kota penghubung antara Indonesia dan  Malaysia. ia adalah salah satu kota provinsi Kalimantan Utara selain Malinau, Tanjung Selor dan Nunukan. Jika mahu ke Kepulauan Derawan,  destinasi pelancongan menarik di Kabupaten Berau Kalimantan Timur, kita perlu singgah di Tarakan sebelum ke Derawan.
Dari sudut sejarah, Kota Tarakan adalah tempat  pertama pendaratan tentera Jepun.  Sebagai penngeluar minyak utama di zaman kolonial, Kota Tarakan menjadi sasaran Jepun.Kira-kira 20,000 tentera Jepun tiba pada 11 Januari 1942 untuk menyerang kedudukan Belanda.Masih terdapat banyak tempat bersejarah peninggalan perang dunia kedua di Tarakan.
Suku asli di Kota Tarakan adalah suku Tidung, dan kita boleh berkunjung ke Rumah Adat Tidung melalui adat dan budayanya. Penduduknya kira-kira 250,000.
Jika suka makan ketam,  banyak jenis ketam di Tarakan. Ketam atau dalam bahasa Indonesianya, kepiting memiliki banyak jenis iaitu kepiting soka, kepiting kenari. Selain itu ada makanan laut seperti kapah, kerupuk ikan pepija dan ikan bakar.
Bagi mereka yang suka wisata alam, pelancongan ke tempat semulajadi, di Tarakan terdapat Pantai Amal, Kawasan Konservarsi Mangrove dan Bekantan, Bais Hill dan Kebun Raya Anggrek.
Pertemuan dengan Mas Anto itu memberikan juga banyak informasi kepada kami. Meskipun bukan asli Tarakan, Mas Anto berasal dari Tolitoli tetapi beliau banyak tahu mengenai Tarakan.
Pada sebelah malamnya, kami mencari restoran yang menjual makanan laut. Kami singgah di restoran yang paling banyak pelanggannya. Walaupun ramai pelanggan, kami tidak terlalu lama menunggu. Malam itu, kami menikmati kepiting Tarakan, yang memang sedap.


Selepas makan malam, kami ke pasar malam untuk mencari ole ole untuk dibawa pulang. Pakcik OKK mencari batik dan membelikan kami batik sebagai kenang-kenangan di Tarakan. Pulang ke hotel, saya terus menyiapkan artikel sementara Pak Aziz berehat sambil meminta tukang urut, yang walaupun kelihatan tua tapi masih bertenaga untuk mengurutnya badannya agar kembali segar.
Keesokan hari, awal pagi lagi kami ke pelabuhan feri untuk menaiki feri ke Nunukan untuk mengejar feri Labuan Express ke Tawau

No comments: