Saturday, March 24, 2018

USTAZ KAZIM, SENTIASA BUAT YANG TERBAIK

USTAZ KAZIM, SENTIASA BUAT YANG TERBAIK
SIAPA yang tidak kenal Ustaz Kazim Elias? Mungkin hampir semua orang mengenali penceramah bebas yang popular ini. Setiap kali datang menjayakan program ceramah di Sabah, sambutan yang diberikan oleh masyarakat agak luar biasa. Ribuan orang datang,ada diantara mereka dari kalangan bukan Islam, yang tidak berganjak mendengar ceramah Datuk Ustaz Mohamad Kazim Elias yang disampaikannya secara santai, menghibur tapi berisi dan penuh makna.
Ustaz Kazim sering dijemput memberi ceramah di seluruh negara, Singapura dan Brunei dan sering menjadi ahli panel atau pensyarah di siaran-siaran televisyen dan radio serta ceramah perdana. Beliau pernah menjayakan program tv antaranya Al-Kuliyyah di TV3, Mursyid Dai Pendakwah Milenia Musim ke3, Ketua Mentor Dai Pendakwah Nusantara, Halaqah (TV9), Forum Perdana (TV1) Tanyalah Ustaz (TV9), Salam Ramadhan (TV1),Pencetus Ummah (Astro Oasis),Santai Bersama Datuk Kazim Elias.

Datuk Ustaz Mohamad Kazim bin Elias lahir di Kampung Paya, Batu Kurau, Selama, Perak pada 28 November 1972. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tok Sajak Batu Kurau sebelum menyambung persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Seri Besout Felda Gunung Besout, Sungkai. Kemudian beliau menyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Besout dan dilantik sebagai pengawas dan Ketua Pelajar.Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Agama Syubbaniah, Batu Kurau  walaupun lulus cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas tamat sekolah agama, beliau memasuki  Maahad Tahfiz Al Quran & Qiraat Negeri Perak di Masjid Negeri Perak sehingga mendapat Diploma Tahfiz Al Quran. Selepas itu, beliau bertugas sebagai guru Maahad Tahfiz Al Quran Addin, Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak pada tahun 1993. Beliau juga adalah pensyarah di Pusat Perkhidmatan Keluarga Cawangan Negeri Perak dan kemudian dilantik sebagai pengarah bagi pusat kaunseling pada 1996. Beliau adalah pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh Perak.
Anak ke 7 dari 9 adik beradik ini dari pasangan Elias bin Che Mat dan Nazirah binti Ismail, guru agama sekolah di Batu Kurau. Kedua-dua datuk dan neneknya adalah guru agama di sekitar Batu Kurau awal tahun 1900.  Beliau adalah adik kepada Kapt (B) Dato Haji Mohd Najmuddin Elias dan ADUN Kubu Gajah , Larut, Ahmad Hasbullah Alias.
Beliau menerima Anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2015. Beliau juga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1437 Peringkat Negeri Perak pada tahun 2015.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Datuk Ustaz Mohamad Kazim Elias di salah sebuah premis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Turut bersama dalam sesi temuramah itu ialah Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM ) Sabah, Haji Samin Ongki dan Penolong Pegawai Daerah Pitas, Haji Bakri Nanun. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Sejak bila Datuk Ustaz terlibat memberikan ceramah agama?
DATUK USTAZ MOHAMAD KAZIM ELIAS (DUKE): Saya terlibat dalam memberikan ceramah agama sejak di bangku sekolah lagi. Mulanya saya menggantikan guru saya yang tidak dapat menyampaikan ceramah kerana ada urusan tertentu. Lama kelamaan, saya menjadi terbiasa memberikan ceramah. Kebetulan keluarga kedua orang tua saya datang dari keluarga yang berlatar belakangkan agama. Datuk saya seorang pendidik. Nenek saya orang panggil Mak Guru.Arwah ibu saya  juga seorang guru agama. Saya belajar Al-Quran dari ibu saya. Ayah saya meninggal pada tahun 1973, sewaktu saya masih berusia lapan bulan.
UB: Dimana Datuk mula bersekolah?
DUKE: Saya mula bersekolah di Sekolah Rendah Tok Sajak, Batu Kurau Perak. Kemudian saya menyambung persekolahan  di Sekolah Kebangsaan Seri BesoutFelda Gunung Besout 1SungkaiPerak apabila ibu saya  ditukarkan ke Sungkai.  Di sana juga saya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Besout di Felda Gunung Besout 1.
UB: Selepas itu, dimana Datuk melanjutkan pelajaran?
DUKE: Saya masuk  Sekolah Agama Syubbaniah Batu Kurau. Walaupun saya pelajar terbaik peperiksaan peperiksaan SPM, saya masuk sekolah agama, yang lain dari akademik,.
UB: Berapa usia datuk ketika itu?
DUKE: Umur saya ketika itu kira-kira 18 tahun. Saya terpaksa belajar bersama kanak-kanak berusia 9 hingga 11 tahun. Belajar bahasa Arab bersama mereka. Selepas tamat sekolah di sana,  pada tahun 1991,saya menyambung pelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran & Qiraat Negeri Perak di Masjid Negeri Perak sehingga mendapat Diploma Tahfiz Al-Quran. Saya pernah berguru dengan  Datuk Sheikh Mohd Nor Imam Besar Masjid Negeri Perak.
UB: Selepas tamat Maahad Tahfiz, dimana datuk bekerja?
DUKE: Selepas tamat Maahad Tahfiz, pada 1993, saya mengajar sebagai guru di  Maahad Tahfiz Al Quran Addin, Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak .Saya juga dijemput sebagai pensyarah di Pusat Perkhidmatan Keluarga Cawangan Negeri Perak pada 1994. Kemudian saya dilantik sebagai Pengarah bagi pusat kaunseling itu pada tahun 1996, dan menjadi imam untuk Masjid Al-Aulia di Jalan Kuala Kangsar Ipoh sehingga tahun 2001.
UB: Kemudian?
DUKE: Saya menubuhkan pusat dakwah Sedaya Irham pada tahun 2001. Kemudian pada tahun 2005, saya menubuhkan Pusat Pendidikan Islam Al Barakah di Kampung Manjoi, Ipoh Perak.
UB: Saya lihat ceramah yang datuk sampaikan menggunakan pendekatan santai yang menghiburkan?
DUKE: Saya gunakan pendekatan santai tengok tempat. Kalau di sekolah, saya agak serius mengajar pelajar baca kitab.
UB: Datuk masih mengajar?
DUKE: Saya mengajar di sekolah, hari Isnin hingga Khamis. Ketika mengajar di sekolah, saya agak serius. Tetapi saya gunakan pendekatan yang santai, komedi yang sifatnya menghibur, jika berhadapan dengan hadirin atau pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat. Kadang-kadang ada ibu-ibu sanggup datang dari jauh, bawa anak-anak mendengar ceramah,saya sampaikan mesej dan gunakan pendekatan  yang menghibur.
UB:  Biasanya apa topik yang datuk sampaikan?
DUKE: Biasanya topik  berkaitan dengan institusi kekeluargaan, motivasi,  dan sebagainya. Saya tekan konsep akhlak, penyatuan bangsa dan negara. Ceramah saya juga dihadiri oleh kalangan bukan Islam.Orang bukan Islam pun datang dengar ceramah, tengok dalam tv, menonton ceramah yang saya sampaikan. Jadi ceramah saya berkisar soal keindahan Islam, Islam sesuatu yang mudah, Islam tidak bermusuh dan tidak menggalakkan permusuhan. Mat rempit, mat rock juga datang dengar ceramah. Kita tonjolkan keindahan Islam. Penampilan saya pun mudah didekati, orang tak segan nak tegur.
UB: Kalau di Sabah ni, dimana Ustaz pernah mengadakan ceramah?
DUKE: Kalau tempat yang belum pergi, antaranya Kota Marudu, Ranau, Pulau Sebatik, Pulau Banggi. Tempat lain dah pergi.
UB: Bagaimana sambutan masyarakat Islam di Sabah?
DUKE: Sambutan masyarakat Islam di Sabah luar biasa. Di Tawau, berpuluh ribu orang datang.Begitu juga di Semporna, Sandakan. Sokongan Kerajaan Sabah dibawah kepimpinan Tan Sri Musa Haji Aman amat baik.Sambutan dan kerjasama serta sokongan pemimpin-pemimpin Sabah juga sangat baik. Pengarah Yadim,(Haji Samin Ongki) dah bawa saya pusing keliling satu Sabah.
UB: Apa yang datuk dapat lihat di Sabah?
DUKE: Saya selalu sebut  Sabah  sebagai satu contoh. Semangat satu Malaysia ada di Sabah, tidak kira bangsa , suku kaum , mereka boleh bersatu.
Malah waktu program ceramah di Tambunan, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pairin Kitingan, Pegawai Daerah Tambunan yang bukan Islam pun datang.Mereka tunggu sampai program habis. Di Sabah, masyarakatnya sangat harmoni.Hubungan kaum harmoni. Toleransi yang ada di Sabah, patut dicontohi.
Saya lihat juga kepelbagaian budaya di Sabah. Di Pitas lain, pergi ke Tawau lain. Masyarakatnya berbeza, banyak suku kaum. Di Pitas, masyarakatnya kebanyakan suku Sungai, Bajau, ada juga Brunei, Pemandangan juga berbeza. Ini yang menarik.
UB: Datuk ada masa lapang? Kalau ada masa lapang apa yang datuk lakukan?
DUKE: Masa lapang? saya tak ada masa lapang. Kalau ada masa lapang saya pergi sekolah . Kegemaran saya main badminton. Saya juga berjalan kaki ziarah hospital. Bawa pelajar ziarah hospital, buat kerja kemasyarakatan dan sebagainya.
UB: Oh ya, ramai yang ingin tahu bagaimana datuk pandai menyanyi banyak lagu?
DUKE:  Bapa tiri suka pasang piring hitam. Beliau selalu pasang piring hitam, bila pulang dari menoreh getah. Itulah sebabnya lagu lagu lama saya hafal, lagu lagu hindustan, lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee. Ayah saya meninggal dunia pada tahun 1973, iaitu ketika saya berusia lapan bulan. Mak saya kahwin semula  pada tahun 1977, waktu saya berusia lima tahun. Jadi sejak kecil lagi, saya memang biasa dengar lagu-lagu lama,menyebabkan saya boleh hafal semua lagu. Bapa tiri saya, Abu Osman Ludin seorang sangat baik. Beliau tak pernah pukul  saya. Tak pernah marah saya, malah  tak pernah cubit saya.
UB: Datuk anak keberapa dalam keluarga?
DUKE: Saya anak ketujuh dari sembilan adik beradik,ada dua adik saya lain bapa.
UB: Apa cita-cita datuk ketika kecil dahulu?
DUKE: Cita-cita masa kanak-kanak sekejap nak jadi polis, sekejap nak jadi tentera, sekejap nak jadi cikgu. Masa kanak-kanak biasalah.
UB: Pernah terfikir nak jadi penceramah?
DUKE:  Masa kecil dah jadi anak yatim.Tak ada kawan banyak. Lebih banyak duduk di rumah. Pendiam, takut, malas. Masa tingkatan empat, tingkatan lima, masih tak keluar rumah. Itu sebab bila saya beri ceramah, keluarga saya terkejut kerana mereka tahu waktu kecil saya tak cakap dengan orang. Tiba-tiba jadi penceramah.Keluarga saya terkejut.
UB: Siapa yang beri inspirasi jadi penceramah?
DUKE: Saya nampak abang saya Kapt (B) Datuk Haji Najmuddin Elias masuk dalam Tv Program Siaran Langsung Maal Hijrah. Saya fikir nak masuk juga dalam tv dan boleh berceramah seperti abang saya.
UB: Dalam ceramah-ceramah, datuk selalu selitkan dialog dalam cerita P Ramlee. Mana satu filem P Ramlee yang paling datuk sukai?
DUKE: Filem yang saya suka ialah Filem Semerah Padi. Yang paling saya tak suka ialah Filem Ibu Mertuaku, janganlah jadi macam tu, wataknya lemah sangat kerana cinta.
UB: Apa pesan datuk kepada penceramah muda?
DUKE: Dalam hidup ini, kita jangan sombong.Saya sendiri suka bersembang dan bergaul dengan orang, ini yang saya jadikan modal ceramah saya.

UB: Siapa yang paling berpengaruh dalam hidup Datuk?
DUKE: Arwah ibu saya.
UB: Apa pesan ibu yang datuk paling ingat?
DUKE: Ibu saya pesan, buat yang terbaik, buat kerja yang terbaik, sama ada orang suka tak suka, buat kerja yang terbaik.

No comments: