Khamis, 26 April 2018

KEUNIKAN PERHIASAN PERAK DI UC SILVER BATUBULAN

Tags
KEUNIKAN PERHIASAN PERAK DI UC SILVER BATUBULAN
Dewa Ayu mempersilakan kami masuk sebaik tiba di halaman galeri UC Silver di Jalanraya Batubulan, Gang Candrametu 1, Denpasar, pada hari  ketiga kami berada di Bali. Sebelum masuk ke dalam galeri, kami- rombongan Media Fam Trip dari Sabah dan Sarawak, terlebih dahulu dibawa melihat bengkel tempat hasil perhiasan perak itu dihasilkan.
Ruangan itu memuatkan puluhan pekerja yang asyik membuat kerja masing-masing. Saya memerhatikan bagaimana pekerja yang memiliki kemahiran khusus menekuni kerja mereka.Kami tidak sempat mewawancara mereka. Suasananya kurang mengizinkan. Hawa bilik itu juga agak panas sedikit. Maklumlah tempat merekabentuk perhiasan dari perak.Hanya Dewa Ayu, pegawai yang ditugaskan mengiringi kami yang memberikan penerangan bagaimana proses sehingga barangan kraf dari Perak itu dihasilkan.

Selepas itu, kami dipersilakan masuk ke dalam galeri yang unik dan kelihatan mewah itu. Pelbagai jenis barangan perhiasan yang  terdapat galeri itu. Galeri perhiasan itu lengkap dengan berbagai bentuk rekaan yang cantik dari berbagai jenis batuan. Ada batu zamrud, topaz, siltrine, ruby, mutiara dan sebagainya. Rekabentuknya menarik.
Harganya bermula dari Rp200,000 atau RM56.00 hingga Rp 2 milyar atau kira kira RM562,000. Di dalam galeri itu, kami hanya menikmati rekaan-rekaan perhiasan yang cantik dan unik. Mungkin itu sebabnya Kami tidak dibenarkan mengambil gambar.


Rekaannya unik dan tidak biasa, kata Dewa Ayu. Kebanyakannya terinspirasi dari alam sekitar. Bahan rekaan menggunaka perak dan dikombinasikan dengan permara, emas dan sebagainya. Harga ditentukan bukan setakat penggunaan bahan perak dan emas tetapi tahap kesukaran ketika menciptanya. Ia dianggap sebagai karya seni. Ciptaan UC Silver bersifat eksklusif dan jumlahnya produk juga dibatasi.
Di dalam galeri itu, rak-raknya tertutup rapat tetapi semua produknya seperti anting-anting, kalungm cincin, bros dan sebagainya disusun dengan cantik. Pengunjung bebas memilih sebelum menentukan pilihan mereka.


Namun rekaan-rekaan perhiasan Perak itu di galeri


itu memang agak unik. Dewa Ayu menjelaskan serba sedikit mengenai UC Silver itu yang didirikan sekitar tahun 1989. Ia bermula dengan satu bengkel kecil di kawasan Ubud. Tapi lama kelamaan, galeri itu semakin berkembang dan kini memperkerjakan kira-kira 200 pekerja yang memiliki kemahiran yang tinggi, pekerja keras, jujur, cerdas dan bertanggungjawab.
UC Silver dikembangkan ialah empat adik bersaudara iaitu I Wayan Sutedja, I Made Dharmawan, I Nyoman Eriawan dan I Ketut Sudiarsana.
Walaupun bermula hanya dari sebuah kedai kecil, kini UC Silver memiliki galeri dan bengkel di atas tanah seluas satu hektar. Kini produk kraftangan perhiasan perak itu semakin dikenali dan dipasarkan di Asia, Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.
Selain pelancong asing, barangan perhiasan perak itu juga popular di kalangan pelanggan domestik yang semakin meningkat. Selain di Bali, UC Silver juga sudah dikembangkan ke luar negeri seperti Bangkok dan China. Hasrat mereka adalah menjadikan UC Silver menjadi jenama antarabangsa sebagai produk lokal yang dikenali di seluruh dunia.
.

Isnin, 23 April 2018

150 SERTAI PERTEMUAN IRANUN NUSANTARA DI KOTA KINABALU 14 APRIL 2018

Tags
PAGI bersinar dengan lebih terang dengan senyuman di Likas Square pada 14 April lepas. Sejak awal lagi, kira-kira 150 peserta mendaftar untuk mengikuti Seminar Sejarah dan Diaspora Iranun Nusantara 2 yang diadakan Sempena Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) yang berlangsung pada 13 hingga 15 April 2018.
Selain peserta dari Sabah, pertemuan itu juga disertai oleh peserta dari Filipina, Indonesia dan peserta dari Kuching Sarawak. Antara yang hadir ialah rombongan Dewan Adat Kabupaten Tolitoli Sulawesi Tengah, rombongan Keluarga Turunan Iranun Belitong, Provinsi Banga Belitung, Sumatera Selatan, dan rombongan dari Mindanao, Filipina.



Program dimulakan dengan pembentangan Kertas Kerja oleh Dr Jamaluddin Datu Moksan dengan tajuk Hubungan Iranun Dengan Nusantara: Perspektif Wira Alam Melayu dipengerusikan oleh Azimah Athera Jamaluddin.


Selepas itu, majlis diteruskan dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia yang juga  Penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun.

Dalam ucapannya, Pandikar menyentuh pelbagai aspek pensejarahan suku bangsa Iranun di Sabah yang perlu diteliti pengkaji sejarah.
Beliau meminta agar ahli sejarah membuat kajian yang lebih mendalam, tidak menyalin bulat bulat pendapat yang dikemukakan orientalis barat yang pasti mempunyai kepentingan sendiri dalam penulisan mereka.
Beliau menggesa masyarakat Iranun di Malaysia, Indonesia dan Filipina memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk memartabat dan memperkasakan Iranun di Nusantara.
Dalam pertemuan itu juga, Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin juga menganugerahkan Tanjak a Gumbilaan atau Tanjak Pahlawan kepada Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs Haji Ibrahim Saudah sebagai tanda penghormatan daripada BKI kepada tokoh adat itu dalam usaha memperkukuh hubungan antara masyarakat Iranun dan masyarakat Tolitoli di Sulawesi Tengah.



Sementara itu, Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs H Ibrahim Saudah pula menganugerahkan Sesepuh Pemangku Adat Tolitoli kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada beliau daripada Dewan Adat Tolitoli.



Selesai acara perasmian dan jamuan kudapan, program diteruskan lagi dengan  pembentangan makalah oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli, Sulawesi Tengah, Drs H Ibrahim Saudah dan Naib Canselor Universiti Negeri Mindanao Kampus Marawi, Dr Elin Anisha Guro yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.
Tajuk makalah oleh Dr Anisha ialah “Challenges in the Meranaw Language, Drawing Inspiration from the Iranun in Sabah” manakala Drs H Ibrahim Suadah menyampaikan makalah mengenai sejarah dan budaya Tolitoli.


Sesi sebelah petang dipengerusikan oleh peguam Mohd Salleh Lamsin manakala pembentang makalah ialah Sultan Samporna Sa Masiu, Mohammad T Bano dan Masmujahidah OKK Haji Masrin dengan kertas kerja “Major Achievement of Iranun in Sabah Malaysia” dan Sultan Samporna menyampakan kertas kerja Iranun, the Rising Star of the South East Asia .
Majlis forum yang diadakan selepas itu, sekali lagi menjemput Dr Elin Anisha Guro, Dr Jamaluddin Moksan, Moh Nasir Daeng Marumu, Kepala Dinas pariwisata Tolitoli yang dipengerusikan oleh Haji Jamil Atan.


Majlis penutupan seminar itu disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datu Rosmadi Sulai.

Rosmadi mengingatkan masyarakat Iranun agar lebih proaktif dalam mengurus aset dan khazanah warisan Iranun.

Katanya, walaupun aspek sejarah penting tetapi yang lebih penting lagi ialah mengurus aset budaya Iranun demi kepentingan generasi akan datang.
Pada sebelah malamnya, beliau turut meraikan peserta Pertemuan Iranun Nusantara dalam satu majlis makan malam di salah sebuah restoran terkenal di ibu negeri.

Burhanudin Simin, Sayuti Salleh, Datu Rosmadi, Moh Nasir dan Razak Rakunman

Sehari sebelum itu, peserta dari luar negara dibawa melawat Taman Negara Kinabalu, Ladang Tenusu di Kundasang dan, pusat tenunan Iranun di Kampung Rampayan Laut dan kemudian menikmati minuman petang di rumah Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun, OKK Haji Masrin Haji Hassin sebelum menghadiri majlis jamuan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia pada 13 April 2018.
Pada 15 April, delegasi dari Tolitoli Sulawesi Tengah dan Belitong sempat mengadakan kunjungan hormat kepada Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Krishna Djelani. Hadir dalam pertemuan itu ialah Konsul Penerangan dan Sosial KJRI KK, Bapak Cahyono Rustam.
Pertemuan Iranun Nusantara adalah satu peristiwa penting dan bersejarah dalam mempertemukan dan menjalin hubungan lebih erat dalam kalangan masyarakat Iranun yang kini tersebar di Sabah, Mindanao, Bangka Belitong, Jambi, Indragiri Hilir, Riau dan beberapa tempat lain di Indonesia.
Peranan Iranun sebagai wira Samudera sejak zaman bahari seperti yang tercatat dalam sejarah abad ke-18 dan 19 tidak dapat dinafikan lagi.
Kini apa yang lebih penting ialah menjadikan hubungan sejarah dan kerjasama budaya itu bermanfaat demi generasi akan datang.



Datu Rosmadi memperkatakan sesuatu kepada Muh Nasir Dg Marumu


OKK Haji Masrin menyammpaikan cenderamata kepada Dr Elin Anisha

Sidang Media oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia



Sultan Samporna Sa Masiu menyampaikan pandangan beliau


Imam Mohamad Ali Masbod menyampaikan pandangan beliau


Haji Datu Adek Datu Dani mengemukakan pertanyaan









AHMAD HAJI KENAJAAN, BANYAK PENGALAMAN TANGANI JENAYAH RENTAS SEMPADAN

Tags
AHMAD HAJI KENAJAAN, BANYAK PENGALAMAN TANGANI JENAYAH RENTAS SEMPADAN


Waktu menunjukkan jam 4 subuh saya buat panggilan kepada bapa Hartono supaya buka pintu biliknya. kedengaran suara terkejut bercampur gembira dengan luahan kata kata ‘ Pak sudah sampai pak’ sudah depan mata pak’ alhamdulillah syukur sambut saya”. Itulah sekelumit pengalaman ACP (B) Ahmad Haji Kenajaan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan polis. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak terlibat dalam banyak operasi menangani ancaman keganasan,rompakan laut,penculikan, jenayah rentas sempadan dan sebagainya.



Ahmad Haji Kenajaan dilahirkan di Semporna. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary English School, Semporna sebelum meneruskan pelajaran menengah di SMK Panglima Abdullah (1967-69) dan kemudian di Sekolah Menengah Holy Trinity Tawau (1970-71).Setelah tamat tingkatan 5, beliau sempat menjadi guru sementara di SMK Abdullah pada 1972 sebelum memasuki Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu pada 1973-1974. Sebaik tamat pengajian, beliau bertugas semula di SMK Abdullah (1975-77). Beliau memohon jawatan Inspektor Percubaan pada tahun 1978 dan menjalani latihan di Maktab Pegawai Kanan Polis di Kuala Kubu Baru. Ahmad pernah bertugas sebagai Pegawai Cawangan Khas di Pulau Pinang, Pegawai TCO Sandakan, Pegawai Turus E2A Sabah, , Ketua Cawangan Khas Lahad Datu , Pegawai Turus E2 Tawau, Pegawai Turus E4 Sabah dan Ketua Cawangan Khas Sandakan. Beliau dinaikkan pangkat ke Superintenden dan menjawat Timbalan Ketua Cawangan Khas II Sabah. Beliau berkelulusan Diploma In Law and Administration  (ITM), Diploma Sains Polis (DPS). Beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 Sabah dengan pangkat Assistant Commisioner of Polis (ACP) dan bersara wajib pada usia 58 tahun. Beliau menghasilkan sebuah buku bertajuk Sejarah Polis Sabah 1876-2006.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual ACP (B) AHMAD HAJI KENAJAAN di salah sebuah cafe di Jalan Gaya, Kota Kinabalu. Dalam sesi temubual itu  , beliau bercerita mengenai pengalamannya sepanjang dalam perkhidmatan dalam pasukan polis. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman berkhidmat dalam pasukan polis?
ACP (B) AHMAD: Semasa berkhidmat dalam pasukan polis, saya banyak terlibat dalam berbagai operasi khususnya menangani  ancaman keganasan dan rentas sempadan, rompakan laut dan kidnapping atau penculikan. Kefahaman mengenai isu semasa khususnya rentas sempadan membuka peluang untuk saya berkunjung ke negara jiran Filipina, Korea Selatan dan Russia.

UB: Berapa bahasa yang tuan kuasai?
AHMAD:  Selain bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, saya boleh bertutur bahasa Suluk dan Bajau,
UB: Apa kursus yang pernah tuan sertai sepanjang dalam perkhidmatan?  Antaranya?
AHMAD: Saya mengikuti kursus kuar kampus YS-ITM semata-mata untuk menimba ilmu. Saya mengikuti program Diploma  pentadbiran dan undang undang. Seterusnya, saya  melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan pengkhususan marketing atau pemasaran di institut yang sama . Pada tahun 1997saya  mengikuti program diploma science kepolisan di maktab pegawai kanan  polis kuala kubu baru.

UB: Apa hobi tuan?
AHMAD: Hobi saya ialah membaca dan menulis. Sebelum bersara sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 Sabah dengan pangkat Assistant Commisioner of Polis dan  bersara wajib 58 tahun . Saya pernah menulis sebuah buku yang bertajuk sejarah polis sabah 1876-2006.

UB: Apa peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat sebagai polis?
AHMAD: Banyak peristiwa yang menarik yang tidak dapat saya  lupakan semasa  menjalankan operasi menghapus kegiatan lanun di Pantai Timur Sabah. Selaku anak jati Semporna cerita mengenai lanun yang juga di sebut Mundu seolah olah sudah sebati dengan masalah tersebut.
 Dari pengamatan dan pengalaman saya ketjka  bertugas selaku pegawai cawangan khas yang terlibat dalam mengumpul maklumat dan  data mengenai kegiatan melanun sejak  tahun 80an dan 90an ,menunjukkan banyak insiden rompakan berlaku di perairan pantai timur Sabah bahkan kadang menjangkau sehingga 60 kes dalam tempoh sebulan.

Walaubagaimana pun insiden rompakan ke atas  bot penumpang Seleha Baru Semporna /Lahad Datu pada tahun 1979 adalah di antara kes yang menggemparkan negara dan kes  rompakan keatas Standard Chartered Bank lahad datu pada tahun 1985 yang d lakukan oleh kumpulan yang lengkap bersenjata.

Pasukan polis yang terdiri dari Cawangan Marin ,Pasukan polis Hutan dan lain lain  unit dalam PDRM  terpaksa berkerja keras mengekang kehadiran lanun yang di dapati semakin mengganas walaupun dalam keadaan serba kekurangan khususnya logistik  seperti bot laju dan baju kalis peluru .
Namun berbekalkan semangat juang serta komitman yang tinggi  bagi  menegakkan keamanan dan kemakmuran rakyat  banyak kejayaan telah di capai dengan tertangkap dan tumpasnya kumpulan  kumpulan tersebut.
 Kerajaan yang prihatin terhadap bahana ancaman ini mengujudkan berbagai operasi antaranya adalah Ops Tayang dengan penempatan pihak keselamatan di kawasan atau pulau yang strategik ia kemudian d tingkatkan lagi dengan Ops pasir ekoran kes kes penculikan yang semakin ketara. Namun perairan dan persempadanan yang agak hampir dengan negara jiran Filipina maka kumpulan kumpulan ini dengan mudah melakukan aktibiti pelanunan dan dapat  memboloskan diri mereka secara  berterusan bah kata bagaikan hilang tumbuh berganti.

UB: Apa pertistiwa yang jadi kenangan hingga kini?
AHMAD: Di antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika saya menjadi ketua Cawangan Khas Daerah Lahad Datu pada tahun 1993. Ketika itu saya  mengetuai  seramai 8 anggota  menjalankan  penyamaran  dengan menaiki bot laju  memburu kumpulan perompak terkenal ketika itu  Moloy Uwah  di perairan Tungku Lahad Datu  dibawah operasi Ops Lanyak. Semasa gerakan sedang dijalankan kumpulan saya   nyaris bertembung dengan sebuah kapal  polis marin jenis PA dari arah bertentangan. Kapal  sedang menjalankan rondaan di perairan tersebut sedang menghala ke arah kedudukan kami mereka bersedia dengan menggalas senjata sedang dalam keadaan siap sedia dihalakan ke arah kami.

Saya memerintahkan juru mudi berhenti dan jangan melakukan sebarang gerakan. Saya memberi isyarat dengan melambai kain putih sebagai tanda  isyarat kami bukan musuh.  Keadaan cemas tadi berakhir dengan suasana tenang dan lega . Ketua kapal yang berpangkat sarjan menasihatkan saya supaya lain kali bagi permakluman kerana berada dalam  kawasan kawalan mereka.

 Lanun Moloy uwah yang bermaharaja lela satu ketika dan pernah melakukan rompakan ke atas rancangan Felda Sahabat 22 dengan membunuh dua orang polis bantuan felsco dan dikatakan kebal itu akhirnya tewas di tangan anggota marin di perairan segama Lahad Datu.

Kepakaran saya mengenai masaalah rentas sempadan dan acaman melanun dan keganasan menyebabkan saya sering di hubungi oleh badan prisikan luar negara seperti Australia untuk bertukar pandangan.

Saya juga sering diundang oleh jabatan kerajaan seperti BTN dan pihak tentera untuk memberi taklimat tentang keadaan keselamatan khususnya berhubung dengan ancaman lanun ,rentas sempadan dan isu keganasan.
 Sejak bersara sesekalisaya  masih  di hubungi oleh bekas pegawai dan anggota yang pernah bertugas dibawah saya  dan bertanya khabar di samping menimba ilmu dari mahaguru mereka. Saya  juga turut bersedih atas kematian beberapa orang anggota polis semasa bertempur dengan pengganas di kampung Simunul Semporna. Tiga dari anggota tersebut satu ketika dulu bersama dalam cawangan khas yang turut terkorban iaitu Asp Micheal Padil, SJN  Ibrahim dan kpl Ahmad . Beliau sentiasa terbuka dan bersedia berkongsi pengalaman demi negara dan kesejehteraan rakyat. Kini salah seorang anaknya bertugas di ibu pejabat Cawangan Khas Kota Kinabalu mengikut jejak langkah ayahnya.

UB: Apa aktiviti yang tuan jalankan selepas bersara?
AHMAD: Setelah bersara saya  tidak berdiam diri tapi terus mencuburkan diri dalam bidang perniagaan khususnya dalam aktibiti pelancongan di daerah Semporna . Saya di bantu oleh anak anak lelaki seramai 8 orang mereka membantu dari segi marketing dan aktiviti snookerling dan diving.

Salah seorang anak saya  mohd hanif adalah dive instructor yang bertauliah.
UB: Sejak bila Arunghayat mula beroperasi?
AHMAD: Arunghayat telah pun bermula sejak 1995 lagi dengan mendirikan bangunan rumah bercirikan tradisi suku Bajau dan di jadikan perhotelan didirikan atas tanah peninggalan ibu saya  seluas enam ekar yang terletak di bandar Semporna.
 Bangunan  diperbuat dari kayu jenis merbau, selangan batu,seraya dan belian. Ia mempunyai 14 bilik dilengkapi dengan hawa dingin dan kemudahan lain. Pada tahun tahun seterusnya di bina bangunan baru  dengan tambahan 16 bilik dengan dewan mesyuarat yang boleh menampung 150/200 0rang hasil dari tanah yang diambil oleh kerajaan untuk membina jalan raya Baru Tampi Tampi Semporna.
Nama Arung hayat  diambil dari bahasa suku Bajau Semporna sebagai panggilan kepada gadis remaja kalau orang Brunei di panggil dayang sementara perkataan hayat adalah nama timangan ibu saya  ‘hayat’ .dan digabungkan menjadi panggilan arunghayat.
UB: Bagaimana perkembangan Arunghayat?
AHMAD: Nama Arung hayat  kini telah meniti di bibir penduduk setempat dan pelancung luar negeri . Sebut saja Arunghayat pasti mereka akan minta untuk dibawa  ke sana. Pada peringkat awal Sebahagin besar dari pelanggan Arung Hayat ketika itu adalah orang tempatan dan  dari semenanjung. Selain dari itu ada juga pelanggan dari orangEeropah yang di kenali sebagai back packers. Kumpulan ini biasanya  meneruskan aktibiti mereka seperti menyelam diving dan snokeerling dan bersantai di pulau berkenaan.

UB: Berapa pulau di Semporna?
AHMAD:Di Semporna terdapat 49 buah pulau tapi ada 12 buah yang terkenal dan menjadi destinasi dan pilihan mereka dan top of the list adalah  pulau Sipadan  yang merupakan syurga bagi para penyelam. Kita sedia maklum P.Sipadan merupakan antara the best diving sport in the world. Lain lain pulau yang juga menarik ialah Mabul, Kapalai, Mataking,  Pom pom, Boheydulang , sibuan dan lain lain lagi.

UB: Apa antara aktiviti Arunghayat?
AHMAD: Aktiviti  arunghayat juga dikembangkan sesuai dengan keadaan semasa Berikutan dengan keinginan pelancong luar ingin melanjutkan perjalanan mereka  ke puLau dan dengan itu telah  mendirikan bangunan  homestay di pulau  Mabul. Pada akhir tahun 1999 bermula dengan hanya 5 buah bilik bagi  mensasarkan kumpulan   B & B yang  di kenali sebagai back packers.
 Ekoran dari sambutan yang menggalakkan dibangunkan bangunan tambahan dengan membina bangunan baru dan menjadikanya 32 buah bilik di atas tanah yang telah di pohon. Namun kita dapati kehadiran  pelancung terutama dari negara cina  semakin bertambah dan satu ketika mencapai 800 orang sehari datang ke Semporna dari sumber  data yang diperolehi dari Pejabat Daerah Semporna.

Keadaan ini dijangka akan berterusan. makanan laut yang sedia ada dan kejernihan air serta kecindahan semula jadi  pulau pulau yang disebutkan sudah tentu menggamit mereka datang berkali kali.
Walaubagaimanapun kekurangan bilik penginapan di khuatiri akan membantut kelancaran aktiviti oleh itu perlu kajian holistik dan berpanjangan di lakukan oleh pihak berwajib dalam usaha menjana pendapatan yang boleh membawa pembangunan yang setimpal dengan kemajuan daerah. Dalam hal ini pengusaha tempatan perlu digalas supya terlibat dalam apa juga program berasakan pelancongan bagi membantu mereka mencapai hasrat kerajaan  untuk mengalakkkan pelancongan di negeri  ini. Di samping memberi peluang kepada anak tempatan untuk menjana pendapatan serta peluang pekerjaan.


UB: Bagaimana pula tahap keselamatan di Semporna? 
AHMAD: Dari segi keselamatan alhamdulillah  nampaknya  bertambah baik dan terkawal terutama dengan wujudnya penubuhan Eastern Command atau Eskom. Pada tahun 2013 ekoran dari kes pencerobohan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang juga di kenali sebagai Sulu Sultanate Royal Forces. Adalah tidak dinafikan  wujud juga ancaman dari kegiatan penculikan yang turut membimbangkan kerana telah memberi kesan kepada kehadiran pelancong dan mata pencarian nelayan pantai timur sabah yang telah terjejas .
Tindakan kerajaan mewujudkan perintah berkurung di kawasan yang  terlibat di harap akan mengekang kemasukan anasir tersebut. Ini menjejaskan ekonomi tempatan dengan berkurangnya pelancuog datang berkunjung dan juga melibatkan sektor perikanan ekoran dari ancaman ini.

Sebelum ancaman ini berlaku  kegiatan melanun adalah amat ketara sekali terutama sekitar tahun tahun  80an dan 90an berdasarkan kepada pengalaman saya selaku Pegawai Cawangan Khas Statistik mendedahkan hampir 60 kes berlaku kegiatan melanun pada setiap bulan. Dan kes yang menarik ketika itu ialah insiden Seleha baru pada tahun  1979 apabila sebuah bot penumpang dari Semporna dalam pelayaran menuju  ke Lahad  Datu di rompak  separuh perjalanan. Ekoran dari banyak lagi berlaku siri rompakan maka itu di wujudkan ops tayang bagi membendung ancaman ini.

UB: Mungkin ada kes menarik?
AHMAD: Kes yang menggemparkan ialah insiden penculikan di pulau sipadan pada tahun 2000 keatas 19 orang mangsa pelancong yang dipercayai d lakukan oleh kumpulan Abu Sayyap dan selang sebulan  kemudian penculikan di pulau Pandanan. Berikutan dengan itu diwujudkan Ops Pasir dalam usaha terus membendung ancaman tersebut dari berterusan.
.
Pantai timur Sabah tidak sunyi dari ancaman ini kerana sempadan dengan negara jiran yang  tak bagitu jauh dan kumpulan ini terus mengambil kesempatan melakukan penculikan. Memandangkan perairan dan pantai yang panjang 1400 km  dan perairan yang  luas dan maka  agak sukar mengawal keseluruhan pesisiran pantai namun dengan kegigihan pihak keselamatan dan dengan di bekalkan  aset aset baru Yang canggih dan bot bot laju maka ini  banyak membantu mencapai yang berakihir dengan penangkapan dan pembunuhan.kumpulan tersebut.  Kerajaan telah banyak memberi tumpuan terhadap aspek ini dengan membelanjakan berjuta ringgit  bagi membeli kelangkapan yang canggih dan ini telah berjaya mengawal percubaan pihak musuh untuk menyusup dan melakukan keganasan. Kita berharaf tahaf keselamatan akan terusan berkekalan dengan sikap dedikasi anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan.

UB: Akhir sekali, apa harapan tuan kepada generasi baru?
AHMAD:Saya adalah penesihat Persetuan Pelancungan Bumiputera tempatan yang dianggotai oleh 6 syarikat milik  bumiputera tempatan yang bergiat dalam aktibiti pelancongan di daerah Semporna. Kami bergerak secara bersama dalam  melibatkan diri dalam aktiviti ini. Walaupun ada persaingan dengan pengusaha bukan bumi putera namun  kita anggap ia satu persaingan yang sihat yang berupaya  menggerakkan ke arah kemajuan,
Cuma harapan kami kerajaan negeri  akan  memberi peluang untuk kami mendapat permit masuk ke P.sipadan untuk  aktiviti menyelam kerana ramai pelanggan kami ingin ke pulau tersebut selain dari permintaan yang meningkat ekoran pertambahan pelancung sejak akhir akhir ini. .
 Setakat  ini terdapat 12 syarikat sahaja  yang mendapat kebenaran  masuk menjalankan aktiviti penyalaman sejak di perkenalkan. Sebahagian  besar syarikat bumiputera tempatan ini telah wujud sejak bertahun tahun dan arung hayat sendiri sudah masuk 18 tahun tapi belum ada permit masuk. Kami berharap kerajaan khususnya  majlis keselamatan negara atau MKN akan membuka peluang kepada syarikat syarikat berkenaan supaya dapat meningkatkan keupayaan mereka meneruskan usaha ini. Jika tidak usaha kami akan terbantut bagitu saja. kini hanya 120 orang sahaja yang di benarkan masuk sedangkan
Jumlah pelancung  masuk ke Sabah telah meningkat sehingga lebih dari sejuta. Kita difahamkan  kerajaan negeri sedang  mensasarkan 1 juta pelancung ke Sabah. Jadi peluang ini perlu di buka luas bukan hanya dimonopoli oleh segelintir syarikat. kita berharap kerajaan negeri dibawah kepimpinan YAB  Tan Sri Musa  aman prihatin terhadap permohonan kami.Kami ingin melihat penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera tempatan dalam perusaahan ini kerana ia berpotensi untuk membangun ekonomi penduduk setempat. Kita sedia maklum kerajaan telah banyak membantu dari segi  menyediakan dana bagi meningkatkan ekonomi rakyat . Kita tidak mahu rakyat tempatan akan menjadi penonton sahaja dan terus jauh ketinggalan dalam hal ini. Kita berharaf di bawah kepimpinan ketua menteri sabah  YB Tan Sri  aman sektor pelancongan di sabah akan terus membangun dan menjadikan Sabah sebagai  desstinasi pelancungan  yang menarik dan terkenal di seluruh dunia atas keindahan alam semula jadi khususnya daerah Semporna yang terletak dalam kedudukan yang strategik tiga segi emas atau di golden triangle. Ini kerana berada dalam kedudukan yang membentuk seolah olah tiga segi dimana pelancong yang bermula dari Kota Kinabalu turun ke Sandakan dan Kinabatangan serta Danum Valley Lahad Datu dan berakhir di Semporna dan kemudian balik ke kota kinabalu melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Tawau.

JAINAB KOMITED HADAPI CABARAN MEMBANGUN KARAMBUNAI

Tags
JAINAB KOMITED HADAPI CABARAN MEMBANGUN KARAMBUNAI

MESKIPUN sentiasa sibuk dengan jadual kerja yang padat, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid sudi memenuhi permintaan untuk diwawancara. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.12 Karambunai menjawab beberapa pertanyaan mengenai Karambunai dan  mengenai isu-isu pembangunan wanita.
Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid dilahirkan di Tawau, Sabah. Anak kedua daripada tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Tawau sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM St Patrick Tawau hingga MCE. Beliau sempat bersekolah di Sabah College selama tiga bulan seelum melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level d Walthamstow, di timur laut London.. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang sehingga mendapat BA Law dan seterusnya Barrister at Law di Lincoln Inns, London.

Beliau ditauliahkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1982 dan kemudian di Mahkamah Tinggi Malaya pada 1986. Pada 1994, beliau diterima  sebagai peguam syariah.Selain Jainab juga memiliki ijazah  MBA dari UTM. Selepas membina kerjaya yang membanggakan di Kuala Lumpur, Jainab kembali ke Sabah dan menceburkan diri dalam politik. Sejak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai pada 2004, beliau adalah seorang pemimpin wanita yang sentiasa prihatin dan sentiasa turun padang menemui rakyat. Hubungannya yang mesra dengan golongan akar umbi menjadikannya seorang pemimpin wanita yang disayangi. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah ini juga adalah Ketua Wanita UMNO Sepanggar, Naib Ketua Wanita UMNO Sabah dan Exco Wanita UMNO Pusat. Sebelum dilantik menjadi Menteri, beliau adalah Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid  di sebaliknya jadual kerjanya yang padat di salah sebuah restoran malam kelmarin. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana Datuk sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi temuramah ini walaupun saya difahamkan jadual kerja datuk amat sibuk dan padat. Soalan pertama, sepanjang perkhidmatan Datuk sebagai wakil rakyat di Karambunai, apa antara pembangunan yang dilaksanakan di kawasan ini?
DATUK HAJAH JAINAB:: Sepanjang saya mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sejak 2004, banyak pembangunan yang dilaksanakan di Karambunai. Antara yang paling membanggakan ialah di kawasan ini terdapat 14 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menjadikan kawasan ini sebagai hub pendidikan., menjadi tumpuan pendidikan.
Sebenarnya banyak kejayaan yang kita capai. Antara kejayaan yang kita capai di kawasan DUN Karambunai ialah kita dapat membina rumah-rumah PPRT tidak kurang 100 buah, baik pulih rumah-rumah warga miskin tidak kurang daripada 250 buah. Kita juga membina, membaik pulih dan menaik taraf jalan-jalan kampung, membina dan membaik pulih jambatan, dan sebagainya. Kita juga membina dan membaikpulih masjid, surau, balai raya. Kita juga  mendaftarkan warga emas, golongan kurang berkemampuan, golongan miskin untuk mendapatkan bantuan kebajikan, bantuan zakat dan bagi golongan nelayan, kita menyediakan skim bantuan nelayan. Itu antaranya.
UB: Apa rancangan pembangunan yang datuk laksanakan di Karambunai?
DHJ: Kita berusaha membina lebih banyak perumahan mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Kita juga sentiasa berusaha menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya berkaitan kebersihan, mengenai pentingnya perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum. Selain itu, kita juga berusaha meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah  keselamatan terutamanya ketika berlaku kebakaran, ekonomi dan banyak lagi.
Salah satu keutamaan kita ialah memastikan pembangunan kampung dan perumahan mengikut prosedur dan mempunyai profil yang lengkap.
Seperti yang saya sebut tadi, dari segi ekonomi kita juga perkasakan industri kampung agar kita dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. Kita juga menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang benar-benar berminat, berintegriti dan mempunyai wawasan untuk bekerja di KKIP dalam  membantu industri kecil dan sederhana. Kita dapat saksikan betapa kerajaan berusaha membina banyak pembangunan untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan dan bukan setakat untuk masyarakat di Karambunai.  Kerajaan tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat  dengan membina Jalan Raya Bertingkat (flyover), Terowong Sepanggar dan sebagainya.  Terdapat juga pertambahan kawasan perumahan dan sekaligus pertambahan penduduk dan Karambunai menjadi kawasan tumpuan. Kita juga dapat menjalin kerjasama yang baik bersama TLDM dalam menjaga perairan.


Selain itu, kerajaan juga sedang giat melebarkan dan mendalamkan Sungai Kampung Rampayan dan Bandar Sierra bagi mengelakkan kejadian banjir kilat.
UB: Apa antara isu-isu yang masih menjadi cabaran kepada Datuk?
DHJ: Antara isu-isu yang kita hadapi ialah isu setinggan, kesesakan jalan raya, isu banjir,isu penyalahgunaan bekalan air/ elektrik dan kekurangan bangunan bangunan PPR, isu masalah sosial dan sebagainya.
Usaha yang kita lakukan untuk mengatasi masalah ini ialah mengenalpasti tapak-tapak tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan-perumahan kos rendah, rumah PPR dan dengan adanya rumah PPR kita boleh memindahkan penduduk-penduduk setinggan ke rumah rumah bangunan yang dibina.
Untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas pula, kita membina-jalan jalan bertingkat. Selain memperbaiki jalan raya yang sedia ada dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.
Mengenai isu banjir pula, kita memastikan sistem perparitan dibina dengan baik dan sungai dijaga dan diselenggara. Sekarang kita sudah dapat menangani isu banjir dengan lebih baik, tidak seperti dahulu. Sekarang banyak sungai sudah diselenggara manakala sistem perparitan sudah kita perbaiki.
UB: Apa kagi cabaran yang dihadapi?
DHJ: Salah satu cabaran yang kita hadapi ialah masalah sosial termasuklah penyalahgunaan najis dadah di kawasan hotspot dan penempatan setinggan di kawasan tertentu.
UB: Sekiranya diberikan peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Karambunai dalam PRU ke-14, apa perancangan datuk di Karambunai dalam tempoh  lima tahun akan datang?
DHJ: Kita akan meneruskan usaha-usaha mendampingi, mendekati rakyat, mendidik dan menanamkan sikap kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai peluang seperti peluang menambahkan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup melalui skim-skim bantuan kerajaan selain berusaha secara berterusan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi baru dan sebagainya.
Kita akan berusaha mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan mengenai peluang menambahkan pendapatan dan sebagainya.
Seperkara yang perlu kita beri keutamaan juga ialah kita haruslah bersama-sama mendidik serta menanamkan semangat bencikan tabiat-tabiat buruk yang mendatangkan kemudaratan dan tidak berfaedah. Kita juga mesti teruskan usaha agar masyarakat menjauhi penyalahgunaan najis dadah, yang menjadi ancaman kepada keutuhan sesebuah keluarga dan masyarakat.
UB: Berapa jumlah kampung dan kawasan perumahan di Karambunai?
DHJ: Bilangan kampung yang diwartakan ialah sebanyak 26 buah. Selain itu, terdapat hampir 20 kawasan taman perumahan di Sepanggar. Bangunan-bangunan perniagaan pula, antaranya Alamesra, 1B, Kingfisher, Vijaya Park di Darau, Pekan Menggatal, Sulaman Central, Indah Permai, KKIP dan Inanam.
UB: Beralih kepada soalan berkaitan pembangunan wanita.Dalam Bajet 2018 baru-baru ini, kerajaan memberikan perhatian untuk memastikan wanita cemerlang dalam pelbagai bidang. Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan wanita, mungkin datuk boleh komen sedikit?
DHJ: Kita berterima kasih kepada kerajaan khususnya kepada YAB  Perdana Menteri, kerana dalam pembentangan Bajet 2018, banyak memberikan impak kepada wanita malah beliau mengumumkan bahawa tahun ini dijadikan sebagai Tahun Memperkasa Wanita. Usaha kerajaan dalam pemerkasaan wanita ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan wanita memperolehi peluang  dan tidak ketinggalan dalam semua bidang.
Dalam usaha memperkasa wanita ini, kita mewujudkan 5 kluster yang akan diberikan penumpuan iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (gaya hidup, kecantikan dan sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan pendidikan (latihan dan pembangunan kapasiti) Kluster Wanita da Budaya (Kesenian dan Media). Semua kluster ini bakal memberi banyak manfaat kepada wanita.
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang saya terajui melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) akan lebih banyak memberi penumpuan kepada usaha melahirkan usahawan wanita selain meneruskan program pembangunan Ibu Tunggal.
Pada tahun ini juga kita mewujudkan inisiatif baru iaitu menyedikan Perkhidmatan Bantuan Guaman Wanita. Program-program kesedaran dari segi kesihatan, seminar-seminar serta kursus dalam bidang ekonomi, latihan dan media akan tetap diteruskan seperti biasa.
UB: Apa harapan datuk terhadap semua wanita?
DHJ: Harapan saya bagi semua wanita yang bekerjaya untuk mengimbangi antara keluarga dan kerjaya.Meskipun saya tahu ia satu tugas yang sukar.Tanggungjawab sebagai ibu dan wanita bekerjaya tentunya memberi tekanan dan membuat kita keletihan dari segi fizikal, mental dan emosi.
Untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan produktiviti, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi Bajet 2018 yang memberi manfaat kepada wanita dalam sektor awam dan swasta. Sebagai contoh, cuti bersalin dari 60 ke 90 hari bagi sektor swasta dan jumlah cuti bersalin dari 300 kepada 360 hari dengan maksimum 90 hari setahun bagi sektor awam. Tahun 2018 dinamakan sebagai Tahun Pemerkasaan Wanita,kerajaan menggalakkan agar wanita kembali bekerja semula. Untuk memastikan perkara ini dapat dijalankan, kerajaan akan memberi pengecualian cukai selama 12 bulan kepada wanita yang bekerja semula selepas berhenti selama dua tahun (maksimum). Kerajaan bukan sahaja menggalakkan wanita untuk terus bekerja malah mahu mereka pergi jauh dalam kerjaya yang diceburi.
UB: Dalam merancang dan merealisasikan pembangunan rakyat khususnya di Karambunai, setakat ini bagaimana kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan dalam merespon masalah rakyat?
DHJ: Kita amat berterima kasih dan sangat  menghargai komitmen pemimpin besar kita Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima  Musa Haji Aman yang sentiasa memberikan perhatian dalam usaha membangunkan rakyat, beliau  sering memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada kita. Saya boleh katakan bahawa beliau adalah pemimpin terbaik yang banyak membawa pembangunan kepada negeri Sabah. Sabah  terhutang budi kepada beliau yang memiliki visi untuk membangunkan negeri Sabah.
UB: Akhir sekali apa harapan Datuk kepada rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-14 khususnya di kawasan Karambunai?
DHJ: Saya berharap rakyat yang saya wakili bijak dalam membuat keputusan dan bersama-sama membangunkan kawasan Karambunai. Hanya kerajaan BN  sahaja yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah. BN adalah yang terbaik. Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah golongan yang memecahbelahkan masyarakat demi kepentingan politik mereka. Saya berharap rakyat  jangan cepat menuding jari kerana terpengaruh helah pembangkang. Sebaliknya jika mereka mempunyai masalah, mereka boleh  mengemukakan aduan mereka mengikut saluran yang betul. Kerajaan BN sentiasa berusaha untuk membantu rakyat.