Sunday, April 22, 2018

DR ELIN ANISHA GURO, TERUJA MELAWAT SABAH

DR ELIN ANISHA GURO, TERUJA MELAWAT  SABAH

 Saya benar-benar merasa teruja ke Sabah, kata Dr Elin Anisha Guro, Naib Cancelor Mindanao State University di Marawi City. Sebenarnya, beliau menerima dua surat undangan, satu dari Sabah dan satu dari Rome, Itali.” Saya memilih untuk datang ke Sabah, berjumpa dengan saudara sebangsa dan saudara serumpun,” kata personaliti wanita yang terkenal ini. Sebelum ini, beliau  memainkan peranan instrumental  sebagai penganjur kempen online BALIK MSU: Somombak Tano Sa Pantaw a Mareg, sebuah kempen untuk mengajak mahasiswa MSU balik ke universiti ketika berlakunya krisis di Marawi pada 2017. Beliau adalah salah  tokoh  wanita Maranao yang  memiliki pelbagai pengalaman dalam perkhidmatan kerajaan, pendidikan, kerja-kerja kemasyarakatan dan NGO dan media sosial dan memiliki komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan isu-isu wanita, politik, kesihatan ,alam sekitar, pemuliharaan budaya, pendidikan dan belia. Selain itu, beliau juga   pernah menjadi ketua pengarang beberapa majalah dan surat berita sejak 1990. Beliau mempengerusikan dan membina kerjasama antara Mindanao State University dan New York City.






Elin Anisha  C. Guro dilahirkan di Marawi City pada tahun 1971.Ketika meneruskan pengajian dalam bidang PhD di University of Melbourne, beliau adalah  Naib Presiden Majlis Pelajar Filipino Australia di Victoria (FASTO) (2015-2016) . Beliau  juga adalah pemegang biasiswa Fulbright ketika menuntut dalam bidang pengajian media untuk ijazah MA di  di New School University, New York (2008). Selain itu, beliau juga adalah pemegang ijazah MA untuk pengajian Islam di Universiti of the Philippnes, Diliman, Quezon City (1996) dan Naib Presiden Pelajar Muslim  dan Persatuan Alumni UP (1993). Dr Elin Anisha juga  memiliki MA dalam Muslim Personal Laws dari Mindanao State University (1994) dan AB dalam pengajian bahasa Inggeris (1992) dan mendapat Magna Cum Laude,Anugerah Kepimpinan Mahasiswa .
Beliau adalah Naib Cancelor pertama yang memberikan  pengiktirafan khas dan insentif kepada penulis dan pengkaji dan bergiat untuk memulihara  Tasik Lanao dengan menggalakkan masyarakat menternak ikan Tilapia.

Dr Elin Anisha juga adalah wanita pertama dan eksekutif termuda yang dilantik sebagai Pengarah Pejabat Akhbar dan Penerangan MSU pada   1990 dan kini salah seorang pegawai universiti paling lama di MSU.
Jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Penolong Setiausaha Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Kebudayaan , dan sastera Intramuros Metro Manila, Naib Ketua Jawatankuasa Event Khas 2002-2006. Ketika berada di Amerika Syarikat, beliau sering  mengikuti International Visitor Program USA, Washington DC, New York, Nebraska, Arizona, Latihan Kepimpinan untuk Pemimpin Wanita di Seattle, Seminar Generasi Baru ke11 di East West Center, Hawaii USA, Persidangan Muslim Kristian di Itali Casteregandolfo Itali pada 2002, Islam dan Masyarakat Sivil di Melbourne 1998, Kapal Belia Asean 1993 di Brunei, Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura dan Jepun, Sidang Puncak Belia Asean-Australia ke2 di Melbourne


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara DR ELIN ANISHA GURO di salah sebuah premis di ibu negeri mengenai pengalamannya sewaktu pertama kali berkunjung ke Sabah untuk menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) yang turut dihadiri peserta dari Sabah, Indonesia dan Filipina. Sepanjang berada di Sabah, beliau sempat memenuhi undangan menyampaikan kuliah UPEP Siri 3 di University Malaysia Sabah (UMS) bertajuk “Balik MSU Campaign: Reclaiming Marawi City through social media campaign”.

Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang dibuat dalam bahasa Iranun sebelum dialihbahasakan ke bahasa Melayu:

UTUSAN BORNEO: Pertama sekali kami ucapkan selamat datang ke Sabah. Apa perasaan Dr ketika mula mula menjejakkan kaki ke negeri ini?
DR ELIN ANISHA  GURO:: Saya benar-benar merasa teruja ke Sabah. Sebenarnya, saya menerima dua jemputan, satu dari Itali dan satu lagi dari Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) untuk menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) di Kota Kinabalu, Sabah. Saya memilih untuk datang ke Sabah, berjumpa dengan saudara sebangsa saya.

UB: Berapa kali ke Sabah?
DR ELIN: Ini kali pertama ke Sabah. Sebelum ini saya sudah empat kali ke Malaysia tetapi inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke negeri ini. Pertama kali ke Malaysia ialah pada tahun 1993, untuk mengikuti program Kapal Belia Asean  di Kuala Lumpur, Singapura, Brunei, Indonesia dan Jepun. Tetapi masa itu, saya tidak berkesempatan ke Sabah. Kunjungan ke Sabah sangat menyentuh kerana ia seolah-olah memenuhi impian ayah saya yang mahu saya mencari saudara dan keluarga serumpun di Sabah.

UB: Memenuhi impian ayah? Apa impiannya?
Dr ELIN: Sebenarnya ketika pertama kali ke luar negeri, ayah saya yang memberikan galakan. Sebelum itu, ibu saya agak keberatan, apatah lagi sebagai seorang anak perempuan, bukan mudah bagi saya untuk bepergian. Tetapi ayah saya, Haji Malik Aguinaldo Kapal, Chief Cashier di MSU  memberitahu kalau saya ke Malaysia, singgahlah ke Sabah kerana di sana ada orang Meranaw,ada juga yang menyebutnya Maranao,  yang tidak dilahirkan di Ranao dan tidak pernah ke Ranao tetapi mereka pandai berbahasa Meranaw.  Ia menambahkan rasa ingin tahu saya. Bagaimana mungkin ada orang Meranaw yang tidak pernah ke Ranao (wilayah Lanao) tetapi boleh bercakap Meranaw? Ada juga satu  cerita  mengenai orang Meranaw yang pernah datang ke Sabah dan berjumpa dengan orang yang bercakap satu bahasa dengan mereka. Ketika ditanya, bila mereka sampai ke Sabah, mereka beritahu bahawa mereka memang orang Sabah. Ketika ditanya bagaimana mereka boleh bercakap bahasa Meranaw, mereka mengatakan bahawa bahasa yang mereka tuturkan sebenarnya adalah bahasa ibunda mereka sendiri iaitu bahasa Iranun.

UB: Dimana tempat pertama yang dikunjungi ke Sabah?
DR ELIN ANISHA: Selepas mendarat di Kota Kinabalu, saya terus dibawa ke Kampung Rampayan Laut, sebuah perkampungan Iranun di Kota Belud. Saya dibawa melihat premis tempat menenun iaitu di rumah Babu Hajah Pandian. Ketika berkunjung ke sana, saya merasa seperti berada di tempat sendiri. Saya lihat sawah padi, rumah dan kehidupan orang kampung, yang mengingatkan saya kepada Ramain, di Lanao del Sur. Hampir tiada beza antara kampung Iranun di Kota Belud dengan yang terdapat di Mindanao. Walaupun generasi muda sekarang, tidak ramai lagi orang yang pandai menenun pakaian tradisi mereka. Tradisi ini hampir hilang di Marawi City, mereka tidak tahu lagi bagaimana menenun kain.
Di kampung Rampayan Laut atau Minanga a Marampayan itu saya juga sempat melihat kuih muih tradisional Iranun yang tidak ada bezanya dengan kuih muih tradisi orang Iranun Maranao di Mindanao. Itulah yang menambah keyakinan saya bahawa sebenarnya Iranun adalah sebuah bangsa trans nasional, bangsa besar di nusantara. Saya rasa kagum dengan dokumentasi Bayuk, puisi rakyat Iranun oleh pakcik OKK Haji Masrin Haji Hassin yang sangat memberikan inspirasi.

UB: Apa antara agenda sepanjang kunjungan ke Sabah?

DR ELIN ANISHA: Sepanjang kunjungan ke Sabah, saya menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara di Likas Square yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia. dan membentang kertas kerja bertajuk “Challenges in the Meranaw Language: Drawing Inspiration From The Iranun” dalam Seminar Sejarah dan Diaspora Iranun Nusantara ke 2 yang diadakan sebagai salah satu acara pertemuan itu.. Sepanjang karier saya sebagai ahli akademik, inilah pertama kali saya membentang kertas kerja dalam bahasa ibunda saya. Hampir keseluruhan masa pembentangan makalah, saya menggunakan bahasa Meranaw.Mulanya saya tidak yakin bahasa yang saya gunakan mungkin tidak difahami, tetapi apabila mereka memberikan respon, tertawa dan bertepuk tangan, saya berasa lega dan yakin bahawa semua yang saya katakan dapat dimengerti dan difahami oleh hadirin.

UB: Pendapat Dr mengenai cabaran yang dihadapi dalam mempertahankan bahasa ibunda?
DR ELIN ANISHA: Salah satu cabaran yang dihadapi ialah tiada sistem ejaan yang seragam. No Standard orthography. Ini agak merumitkan untuk menyeragamkan sistem ejaan.  Sekarang ada lagi cabaran baru dari Jejemon, yang menulis sesuatu perkataan tanpa aturan, secara semberono, secara ikut sedap hati. (a person WhO tyPeZ lYKeS tH1s pfOuh..whether you are RICH, MIDDLE CLASS or POOR ifpK eU tYpE L1K3 tHiS pfOuh..eU are CONSIDERED AS JEJEMON
.Tulisan Jejemon ni memusnahkan keberadaan sesuatu bahasa yang digunakan dalam media seperti internet,telefon dan lain-lain dan memberikan impak negatif kepada bahasa dan pengguna.

Selain itu di kalangan generasi muda di Marawi City  juga terdapat pencemaran bahasa, pemotongan kata seperti sebutan Yasabot, sepatutnya miyasabot, Yaneg sepatutnya miyaneg, yasong sepatutnya miyakason) atau yasakit sepatutnya miyasakit. Inilah satu cabaran genting kita dalam bidang bahasa.

Salah satu yang mengejutkan juga ialah belia Meranaw yang menggunakan nama artis Jepun dan Korea sebagai gambar profail mereka malah setengahnya mengubah nama mereka kepada nama artis Korea dan Jepun. Inilah salah satu fenomena yang perlu kita hadapi.
UB: Bagaimana mengenai sokongan kerajaan terhadap pengembangan bahasa ibunda di Marawi?
DR ELIN: Sebenarnya sokongan institusi terhadap bahasa Meranaw amatlah kurang. Keadaan ini menyukarkan sekali. Selain itu, bahasa Meranaw belum lagi dijadikan sebagai salah satu kursus yang perlu dipelajari di Mindanao State University.  Selain itu, bahasa percakapan untuk pelajar sama ada dalam English atau Tagalog, atau kedua-duanya dan bukan dalam bahasa Iranun Meranaw, kecuali baru-baru ini.Usaha-usaha pemuliharaan dan pemerkasaan bahasa Meranaw di Mindanao masih baru. Bagi pendapat saya, usaha pemuliharaan dan pengumpulan  hasil sastera rakyat atau seni di Mindanao masihsangat perlahan.
UB: Selain itu, apa cabaran-cabaran yang lain yang dihadapi?
DR ELIN : Cabaran yang tidak kurang hebatnya ialah hilangnya ruang sosial, ada kalangan agamawab  yang cuba menghukum atau melabel hasil kebudayaan dan kesenian sebagai haram. Ini menyebabkan pelbagai khazanah budaya lama-kelamaan turut hilang Sebagai contoh,kandarangen termasuk kapangalilang, dikatakan oleh sebagian ulama sebagai haram atau tidak digalakkan. Keadaan ini dengan sendirinya memberikan cabaran kepada kelangsungan budaya.


UB: Selain itu, lagi cabaran yang dihadapi generasi muda?
DR ELIN: Khazanah seni sastera Iranun seperti Kapanothol, kandarangen katharo a lalag, hilang daya tarikan di kalangan generasi muda. Kini ia diganti dengan drama korea, komik manga Jepun, filem tagalog dan pengaruh pop dari Amerika.
Satu lagi perkara yang patut diberi perhatian ialah buku mengenai Meranaw oleh orang Meranaw  sendiri amat diperlukan tapi sampai sekarang masih agak kurang. Kesusasteraan kita, sejarah dan bahasa kebanyakannya ditulis untuk kita dan kadang kala bertentangan dengan kita. Kebanyakan penulis terdiri dari kalangan orang  bukan filipina.Selain itu, kita dapatai  Khazanah warisan budaya  Iranun juga disalah guna atau di salah pakai oleh orang bukan Maranao seperti sarimanok dan sebagainya

UB: Sepanjang kunjungan,apa yang dr lihat kesan lawatan di Kota Belud?
DR ELIN: Saya melihat orang Iranun di sabah masih menggunakan bahasa Iranun yang klasik dan mendalam, bahkan sesetengah kosakata itu tidak lagi digunakan sebagai bahasa pertuturan. Saya lihat juga kesedaran untuk memelihara bahasa dan budaya warisan khususnya Iranun di Sabah masih tinggi,

UB: Menurut pendapat Dr mana yang lebih dulu Iranun di Sabah atau di Mindanao?
DR ELIN: Inilah satu soalan yang perlu dijawab oleh kita semua di Sabah, di Filipina dan Indonesia. Bagi saya, keutamaan bukan untuk menentukan siapa yang datang dulu atau dari mana tetapi yang paling penting ialah apa selepas ini, ke mana selepas ini. Jika kita tidak melanjutkan rangkaian atau memperkukuhkan  ikatan atau mengeratkan hubungan sebagaimana yang dirintis  oleh penganjur, maka persoalan itu menjadi tidak bermanfaat.

UB: Apa antara cadangan Dr bagi mengukuhkan lagi hubungan budaya antara Iranun di Sabah Malaysia, Filipina dan Indonesia?
DR ELIN : Kita perlu teruskan gagasan pertemuan ini pada masa akan datang setiap tahun atau dua tahun sekali.Untuk siri ketiga, jika keadaan dan situasi mengizinkan, kita adakan di Mindanao State University, tetapi sudah tentu saya perlu mendapatkan izin dari atasan saya terlebih dahulu.
Selain itu, melalui pertemuan ini, kita juga boleh memberikan anugerah kepada lima orang Iranun dari Sabah, Indonesia dan Filipina setiap tahun atau dua tahun sekali sebagai salah satu bentuk pengiktirafan terhadap prestasi dan pencapaian mereka. Dengan ini, ia akan mencetuskan rasa kesedaran dan kebanggaan di kalangan mereka untuk menyumbang ke arah yang lebih baik untuk mencapai objektif ke arah permuafakatan Iranun di Nusantara.


No comments: