Rabu, 4 April 2018

KECANTIKAN BALI, TARI KECAK DAN SENJA DI ULUWATU

Tags

KECANTIKAN BALI, TARI KECAK DAN SENJA DI ULUWATU
Pandanglah kecantikan di kiri dan kanan anda, kata Pak Bagas, pemandu pelancong kami sebaik bas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali menuju Pura Uluwatu.
Hari itu adalah hari pertama kami berada di Bali, salah satu destinasi pelancongan paling terkenal di Indonesia.
Perjalanan memang panjang dan melelahkan. Kami terpaksa bangun seawal jam 3.00 pagi, malah ada yang tidak dapat tidur, kerana berada di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk check in jam 4.00 pagi. Pesawat Batik Air terbang jam 6.00 pagi dan kira-kira dua jam setengah kemudian, kami peserta  program Trip Media dan Agen dan operator pelancongan dari Sabah  sudah berada di Terminal 3,Bandara Soekarno Hatta di Tangerang. Kami hanya transit sebentar sebelum melanjutkan lagi perjalanan ke Bali  dan tiba di Bandara Internasional Ngurah Rai kira-kira jam 1.35 minit petang.


Waktu di Bali sama dengan Kota Kinabalu. Sebaik keluar dari Bandara- Bandar Udara, istilah untuk Lapangan Terbang dalam bahasa Indonesia, kami disambut oleh Nugroho Asmoro Aji atau lebih popular di kenali sebagai Pak Bagas.
Selepas menerangkan susun atur perjalanan, kami terus dibawa ke Pura Luhur Uluwatu. Pak Bagas sempat memperkenalkan dirinya. Sebelum menjadi pemandu pelancong, beliau bertugas sebagai guru, namun kemudian beralih kerjaya sebagai `tourist guide’ dan menekuni budaya Bali dan segala sesuatu fakta menarik mengenai Bali. Tiada yang menyangka lelaki yang sangat mahir bercerita mengenai keunikan dan keistimewaan serta segala selok belok budaya Bali ini sebenarnya berasal dari Madiun, Jawa Timur.

Beliau juga seorang pengumpul wang lama dan matawang dari pelbagai negara, Sehingga kini beliau sudah mengumpul kira-kira 20 jenis matawang negara-negara di dunia. Cuma beliau mengakui belum memperolehi matawang RM1.00 yang baru kerana yang ada sudah terlipat-lipat.
Pak Bagas memberitahu kami tempat-tempat menarik yang kami lewati termasuk sejarahnya. Banyak kisah mengenai Bali dan masyarakatnya yang dituturkan Pak Bagas sehingga kami tidak menyedari sudah sampai di Pura Luhur Uluwatu kira-kira satu setengah jam kemudian.






Pura Luhur Uluwatu terletak di Wilayah Dewa  Pecatu, Kecamatan Kuta Badung. Mengikut cerita, Pura yang terletak hujung barat Daya Pulau Bali, di ketinggian kira-kira 70 meter dari permukaan laut itu didirikan sekitar abad ke-11 lagi.
Pada mulanya, Pura itu digunakan sebagai tempat memuja seorang pendeta suci bernama Empu Kuturan, yang menurunkan ajaran Desa Adat dengan segala peraturannya dan juga Dang Hyang Nirartha yang datang ke Bali pada akhir tahun 1550, untuk mengakhiri perjalanannya yang dinamakan Moksa atau Ngeluhur, sehingga Uluwatu dikenal sebagai Pura Luhur Uluwatu.



Pemandangan dari Pura Luhur Uluwatu itu sangat mengasyikkan. Berdiri di atas anjungan batu karang yang curam dan tinggi itu menghadirkan pengalaman yang luar biasa.
Terdapat beberapa pura di Uluwatu, kata Pak Bagas, yang mempunyai kaitan dengan pura induk. Setiap 210 hari, pura itu dibersihkan sempena hari piodalan. Selain itu, setiap tiba bulan purnama, masyarakat Bali mengadakan upacara di pura itu.
Dari ketinggian itu, kita dapat melihat ombak pantai yang amat sesuai untuk sukan luncur. Warna biru dan cantik, dan pada setiap debur ombaknya mempesona pengunjung untuk datang lagi ke Bali.
Senja tiba di Uluwatu bersama kisah Rama, raja yang bijaksana yang cuba menyelamatkan isterinya yang dilarikan oleh Rahwana. Kisah Ramayana itu diceritakan melalui Tari Kecak, sebuah tari dengan gerakan tanpa muzik kecuali bunyi cak cak. Tari Kecak adalah sebuah tarian tradisional Bali yang menjadi ikon Bali. Tarian yang dicipta Wayan Limbak, serang seniman Bali kira-kira tahun 1930 itu sangat memukau penonton.



Tari Kecak itu sangat terkenal kerana keunikannya. Tidak hairanlah tempat pertunjukan Tari Kecak itu dipenuhi lebih 1,000 penonton walaupun kapasiti tempat duduk hanya sekitar 800 orang. Setiap penonton dikenakan Rp100,000 atau kira-kira RM28.00 tetapi jumlah penontonnya tidak berkurang setiap kali pementasan itu diadakan.



Tari kecak itu dimainkan oleh penari laki-laki yang duduk melingkar, puluhan jumlahnya, dan mampu membuat gerakan yang unik dan menarik.
Pengalaman menonton tari Kecak di Uluwatu mungkin berbeza dengan pengalaman menonton tari Kecak di Ubud. Namun ekspresi penari membuat penonton tidak berganjak dari tempat duduk mereka. Bunyi cak-cak-cak-cak yang mengiringi tarian itu, memberikan tarikan tersendiri untuk kita menghayati kisah yang dihadirkan dari awal hingga akhir dalam pementasan kira-kira satu jam itu.
Sebaik selesai, kami meninggalkan Pura Uluwatu dengan pengalaman yang menakjubkan. Bunyi cak-cak-cak-cak terus terngiang-ngiang di telinga kami sehingga tiba untuk menikmati makan malam di Pantai Jimbaran.
UTUSAN BORNEO 5 APRIL 2018